Sunday, December 24, 2017

BAHAGIAN AKHIR : ULASAN TITAH


“Kalau Beta dilihat gembira maka rakyat juga adalah berhak untuk bergembira. Jika Beta bersyukur maka rakyat juga patut bersyukur”.

(Petikan Titah Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah Ibni  Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddein, Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam,  sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan  Baginda pada 14 Muharram 1439/5 Oktober  2017).

Bergembira Dan Bersyukur Bersama Raja

Titah ini dizahirkan sebagai satu bentuk manifestasi kebersamaan rakyat jelata dengan ulil amri dan kerajaan Kebawah DYMM. Sesungguhnya sebagai rakyat yang amat mengerti istilah mengenang budi, rasa syukur dan gembira itu sentiasa mekar di sanubari kerana rakyat yang beriman akan sentiasa berpegang dengan janji Allah s.w.t. Melalui ayat 7, surah Ibrahim, Allah berfirman yang maksudnya, “Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Kami pasti akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu) maka sesungguhnya azabKu sangat pedih”.

Memang diakui sepanjang 50 tahun pemerintahan Kebawah DYMM, terlalu banyak nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t. yang mewajarkan titah Baginda itu untuk  disyukuri, bergembira dengan nikmat tersebut dan berterima kasih kepada Baginda yang menjaga amanah Allah s.w.t. di bumi Brunei Darussalam ini. Syukur itu adalah berpaksikan pada ketaatan kepada Allah s.w.t., dan hamba yang melakukan ketaatan adalah hamba yang menunaikan syukur nikmat dengan hati, lisan dan anggota tubuh.

Setinggi mana rasa syukur dan gembira Baginda Sultan, maka begitu jugalah rasa syukur dan gembira rakyat. Namun, rakyat menaruh keyakinan bahawa rasa syukur, berterima kasih dan gembira itu pastinya lebih bermakna andainya persoalan keberadaan dan kebersamaan rakyat turut bersama berbakti kepada ulil amri dan negara diletakkan pada kedudukan yang selayaknya, sejajar dengan prinsip keadilan Islam iaitu meletakkan yang hak pada tempatnya. Perlu ditegaskan, ini sama sekali tidak membawa erti bahawa rakyat jelata menuntut kedudukan yang setara dengan ulil amri.

Ketika mana janji untuk memberi ruang partisipasi kepada mereka dalam pemerintahan  ditunaikan dan hak rakyat dilunaskan, maka itulah detik kegembiraan sebenar yang dinantikan tanpa menafi dan mengingkari segala nikmat yang dikecapi selama ini. Dengan hadirnya rasa taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara, serta nikmat keamanan dan ketenteraman yang Allah s.w.t. kurniakan kepada Negara Brunei Darussalam ini, maka adalah dirasakan, inilah ketika yang amat kondusif untuk Kebawah DYMM melakukan anjakan paradigm dan transformasi politik.

Disamping itu, dengan rendah hati kita juga mengharapkan agar peristiwa bersejarah sambutan jubli emas pemerintahan Baginda ini diambil sebagai peluang keemasan dan titik tolak ke arah memperkenankan anugerah yang amat bernilai kepada rakyat yang memang dinanti-nantikan sejak lebih setengah abad yang lalu, iaitu dengan mengangkat darjat pejuang-pejuang kemerdekaan negara, mengiktiraf mereka sebagai Pahlawan Negara dan memilih satu hari sebagai Hari pahlawan untuk diraikan setiap tahun. Justeru akan terbinalah jatidiri berbangsa yang mantap di atas pelantar sejarah bangsa yang agung, sekali gus berupaya menjadi sebahagian sistem pertahanan yang siap siaga di barisan hadapan untuk mempertahankan kedaulatan raja, nusa dan bangsa. 

Kebawah DYMM adalah insan yang paling berwibawa untuk menjadi jurumudi dan pemangkin kepada proses penghijrahan politik dan sosial yang faedahnya akan dikecapi dan disyukuri secara berterusan oleh pewaris tahta dan generasi Brunei mendatang, Insyaallah. Sebagai imbal balik, rakyat pula wajib mentaati Baginda Sultan, rebah bangun bersama Baginda selagi mana Baginda tidak menodai aqidah Islamiyah.

Sabitan Dan Hukuman

Kisah Nabi Yusuf a.s. dengan saudara-saudaranya dipaparkan dengan begitu menarik di dalam al-Quran. Berhadapan dengan saudaranya yang merayu supaya adik mereka dilepaskan daripada hukuman mencuri dan digantikan dengan salah seorang adik-beradik mereka yang lain, Nabi Yusuf a.s. menjawab, “Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim” (ayat 79, surah Yusuf).

Iktibar yang boleh kita petik dari kisah ini ialah, Nabi Yusuf a.s. sebagai ‘al-aziz’ meskipun berkuasa penuh, tetapi baginda tetap berpegang dengan prinsip keadilan bahawa hukuman ke atas kesalahan yang dilakukan tidak wajar sama sekali dipindahkan kepada orang lain.

Analogi ini tepat sekali kalau diterimapakai dalam persoalan politik Negara Brunei Darussalam. Jika kita menyusuri sejarah peristiwa 8 Disember 1962, “pesalah” yang terlibat dengan pemberontakan terhadap penjajah Inggeris telah pun dibalas dengan hukuman, dipenjarakan tanpa diadili, malah ada yang meninggal di dalam tahanan, suami isteri bercerai berai dan ada pula yang diserang penyakit mental. Malah sebahagian besar mereka telah pun meninggal dunia. Semua mereka itu tidak pernah diadili, malah dicemuh sebagai penderhaka dan memberontak terhadap Baginda Sultan.

Dalam konteks ini, prinsip keadilan tersebut telah tersasar jauh dinodai oleh pengekalan undang-undang darurat. Jika benar kita berpegang dengan prinsip keadilan bahawa hanya yang bersalah sahaja wajar dihukum, mengapakah seluruh rakyat Brunei sekarang ini turut terpalit dengan hukuman yang terus-menerus sehingga kini? Adakah mereka juga digolongkan sebagai ‘pesalah’ sehingga menjustifikasikan penafian hak mereka untuk sama-sama membangun negara dan bangsanya dalam sebuah sistem pemerintahan yang representatif?

Melalui kisah Nabi Yusuf a.s. tersebut, Allah s.w.t. telah memperlihatkan watak seorang pemimpin dan penguasa yang berjiwa besar apabila Nabi Yusuf a.s. berkata, “Tidak ada celaan ke atas kamu pada hari ini…” (ayat 92, surah Yusuf), sedangkan Nabi Yusuf a.s. mengetahui akan segala makar yang dirancang dan dijalankan oleh saudaranya sendiri. Dengan ucapan tersebut, jelas Nabi Yusuf a.s. tidak menyimpan sebarang dendam malah dengan berlapang dada memaafkan segala kesalahan yang dilakukan terhadapnya.

Kesimpulannya, kegembiraaan sebenar yang ingin dikecapi rakyat ialah agar mereka sama-sama berperanan membangunkan negara bangsa ini secara terhormat melalui perwakilan mereka yang sah di dalam sebuah parlimen yang berwibawa. Perjuangan rakyat wajar diiktiraf bagi membersihkan sejarah bangsa yang agung yang telah dinodai oleh penjajah.  Kegembiraan rakyat yang terpancar ketika itu pastinya akan turut menggembirakan Raja. Namun kegembiraan raja tidak semestinya dikongsi rakyat. Rakyat juga tetap bersyukur di atas apa jua nikmat ganjaran yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada mereka dan dalam masa yang sama pastinya mereka juga tetap menjunjung kasih kepada Kebawah DYMM sebagai pemegang amanah Allah s.w.t.  untuk menjaga dan memelihara bumi Brunei dengan segala isinya. 

Wallaha ‘alam


No comments:

Post a Comment