![]() |
Etnik Rohingya Lari Menyelamatkan Diri ke Negara Jiran Bangladesh |
Pada 24 September lalu Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) telah
mengeluarkan laporannya yang mendedahkan bahawa pihaknya telah menemukan bukti
bahawa tentera Myanmar terlibat dalam melakukan keganasan sistematik terhadap
etnik minoriti Islam Rohingya termasuk pembunuhan beramai-ramai dan rogol.
Kajian Jabatan Negara AS berdasarkan wawancara yang diadakan pada April
melibatkan 1,024 responden dewasa yang berlindung di Bangladesh dan keterangan
yang diperoleh itu dikatakan konsisten dengan laporan daripada kumpulan hak asasi
manusia yang membuat pemantuan ke atas isu yang sama.
Bagaimanapun, laporan Biro Risikan dan Penyelidikan Jabatan Negara AS itu
dilihat cuba mengelak daripada menggunakan terma pembunuhan beramai-ramai atau
penghapusan etnik bagi menggambarkan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.
Tinjauan Jabatan Negara AS itu mendedahkan
bahawa keganasan terbaharu di utara Rakhine adalah melampau, pada skala besar,
meluas dan seolah-olah dilakukan bagi mencetuskan ketakutan kepada penduduk
dan mengusir etnik Rohingya.
Laporan tersebut turut mendakwa bahawa skop dan skala operasi
ketenteraan menunjukkan ia dirancang dengan rapi dan sistematik. Di sesetengah
kawasan, pelaku menggunakan taktik yang mengakibatkan kematian ramai seperti
mengunci penduduk dalam rumah dan membakarnya, mengepung seluruh kampung
sebelum menembak orang ramai atau menenggelamkan bot yang dinaiki Rohingya yang
cuba melarikan diri.
Menurut laporan itu lagi, sebanyak 82 peratus individu yang ditemu bual
secara peribadi menyaksikan pembunuhan dengan 51 peratus lagi melaporkan
sama ada terlibat atau ada menyaksikan berlakunya keganasan seksual.
Jabatan Negara berkata, saksi daripada kampung-kampung lain melaporkan
kejadian rogol yang sama iaitu askar lelaki akan memaksa semua wanita
meninggalkan rumah mereka. Mereka kemudiannya akan memilih sebilangan kecil
wanita seramai empat atau lima orang malah ada yang mendakwa sehingga 20 orang
sebelum seramai 15 tentera akan membawa mereka ke padang, hutan, sekolah,
masjid untuk dirogol secara beramai-ramai.
Kebanyakan mangsa kemudiannya dilaporkan dibunuh, walaupun bukan semua
kes seperti itu. Laporan itu turut menambah bahawa askar Myanmar akan pergi
dari rumah ke rumah bagi mencari gadis cantik untuk dirogol.
Dalam 88 peratus kes yang berlaku, saksi-saksi berkata, tentera Myanmar
lah yang mendalangi keganasan, sementara hanya segelintir yang mengatakan mereka
diserang oleh Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA), kumpulan yang
dikatakan menjadi pencetus kepada berlakunya keganasan tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya.
Pendedahan yang dibuat dalam laporan Jabatan Negara AS itu sekaligus
membenarkan dakwaan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Rohingya, juga
masyarakat antarabangsa, bahawa tentera Myanmar adalah pihak sebenar yang
bertanggungjawab mencetuskan konflik dan keganasan ke atas etnik minoriti Islam
di Myanmar.
Perkara itu bagaimanapun telah dinafikan oleh pemerintah tertinggi
tentera Myanmar, hatta kerajaan Myanmar sendiri yang dipimpin oleh Aung San Suu
Kyi yang sebaliknya mendakwa terdapat cubaan jahat pihak-pihak luar yang cuba
mengaitkan kerajaan dan tentera Myanmar dengan isu keganasan ke atas etnik Rohingya.
Kini, dengan adanya laporan Jabatan Negara AS itu, kita teruja untuk
melihat apakah lagi bentuk penafian yang akan cuba digunakan oleh kerajaan
Myanmar dalam melindungi tindak-tanduk mereka yang melanggari prinsip hak asasi
kemanusiaan etnik Rohingya yang sehingga sekarang, melarat dengan menjadi
pelarian di negara jiran, Bangladesh.
Sehubungan ini, kita amat berharap agar AS tidak berhenti setakat
mengeluarkan laporan tersebut sahaja, sebaliknya mengheret mereka yang didakwa
bertanggungjawab itu ke muka pengadilan, khususnya di Mahkamah Jenayah
Antarabangsa. Hal ini sebelum ini pernah ditimbulkan oleh wakil AS di PBB,
Nikki Haley beberapa bulan lalu, tetapi sehingga kini tidak menampakkan
kemajuan sebagaimana yang dibayangkan.
Dan kini, dengan kelangsungan Sidang Kemuncak PBB yang menghimpunkan seluruh
pemimpin dunia, kita mengharapkan satu suara yang lantang, tegas dan keras dibuat terhadap
isu pelarian Rohingya, termasuklah terhadap pelaku-pelaku yang menyebabkan
berlakunya tragedi kemanusiaan itu, berserta pendekatan yang mampan dan tuntas ke
arah penyelesaiannya dalam masa terdekat.
Pelarian Rohingya yang kini mencecah angka satu juta tidak boleh dibiarkan
lebih lama di kem-kem pelarian di Bangladesh yang semakin hari semakin
bermasalah, usang dan tertekan, dan kini dicemari pula dengan pelbagai masalah sosial dan
jenayah. Mereka perlu segera dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di
Rakhine di bawah satu plan jaminan keselamatan antarabangsa dan diberikan perlindungan sewajarnya daripada kembali terjerumus di bawah tekanan serta penginayaan rejim yang memerintah.
Wallahua’alam (MMO).
No comments:
Post a Comment