![]() |
Serangan bom tentera Israel ke atas pejabat Ketua Biro Politik Hamas |
Tempoh
tiga bulan pertama 2019 terus memperlihatkan tindak tanduk pemerintahan rejim
Yahudi yang tidak pernah mengenal erti kemanusiaan dalam berhadapan dengan
tuntutan dan bantahan rakyat Palestin yang bangun memperjuangkan hak serta
kepentingan mereka.
Dalam
banyak keadaan tentera rejim Yahudi seolah-olah semakin rakus dalam melakukan
kekerasan terhadap rakyat Palestin – tindakan yang bertentangan dengan
peraturan dan undang-undang ketenteraan apabila setiap tindakan mereka akhirnya
dilindungi oleh pemerintah politik.
Lebih
jauh dari itu, tindakan yang bersifat pelanggaran kepada peraturan dan
undang-undang antarabangsa yang dihalakan terhadap rakyat Palestin nampaknya
semakin menjadi-jadi bilamana negara yang diharapkan dapat menguatkuasakan peraturan
dan undang-undang berkenaan iaitu Amerika Syarikat sendiri akhirnya didapati
kerap mengambil pendirian secara menyebelahi rejim Yahudi.
Saksikan
di bawah ini, rentetan peristiwa yang berlaku pada sepanjang bulan Januari hingga
Mac 2019 buat menyedarkan kita akan segala bentuk kesengsaraan yang mahu tidak
mahu terpaksa dilalui jua oleh rakyat Palestin dalam mempertahankan hak dan
kepentingan mereka di tanah air mereka sendiri.
Cacatan Peristiwa Penting
Sepanjang Januari – Mac 2019
Tarikh
|
Catatan Peristiwa
|
22.01.2019
|
Tentera
rejim zionis menculik sekurang-kurangnya 8 orang warga Palestin pada waktu
subuh dalam satu kempen ketenteraan yang dilakukan di bandar Beit Ummar di
Tebing Barat. Tentera rejim mendakwa mereka ditahan kerana disyakki terlibat
dalam beberapa tindakan pengganasan yang dihalakan terhadap penduduk Yahudi.
***
Pusat
Kajian Tahanan Palestin menerbitkan laporan bahawa Pihak Berkuasa Israel
telah mengeluarkan 920 perintah penahanan terhadap rakyat Palestin pada tahun
2018. Laporan berkenaan menyebutkan daripada
jumlah itu 381 orang dikenakan arahan tahanan tanpa caj atau perbicaraan buat
kali pertama, manakala 539 lagi terdiri daripada individu yang diperbaharui
perintah penahanan mereka.
|
24.01.2019
|
Tentera
Israel menzahirkan kekejaman terhadap sekumpulan 100 tahanan Palestin di
penjara Ofer di Tebing Barat yang diduduki
oleh rakyat Palestin. Anggota pasukan Metsada khas Israel dikatakan telah
menyerang mereka menggunakan peluru getah dan gas pemedih mata menyebabkan
sebahagian besar daripada mereka mengalami kecederaan dan kerosakan
barang-barang peribadi.
|
25.01.2019
|
Rejim
zionis bertindak menceroboh dan menolak hingga rata sebidang tanah pertanian
milik penduduk Palestin di kawasan Wad al-Sam yang terletak di bandar
al-Khalil, selatan Tebing Barat. Dalam kejadian itu beberapa buah jentolak
dengan diiringi beberapa anggota tentera rejim zionis dikatakan telah
memasuki tanah tersebut dan seterusnya menolak hingga rata tanah berkeluasan
kira-kira 15 dunums ( 1 dunum
= 1,000
meter persegi) tersebut serta meroboh tembok di sekelilingnya. Selain itu, rejim
zionis juga dilaporkan turut menjalankan operasi yang sama dengan meratakan
tanah di bandar Assira Qiblia, arah selatan Nablus.
|
28.01.2019
|
Seorang
kanak-kanak Palestin mengalami kecederaan teruk akibat ditembak dalam satu
peristiwa serang hendap oleh tentera penyamar di kem pelarian Shu’fat, timur
laut Baitulmuqaddis. Paramedik Bulan Sabit Palestin berkata kanak-kanak
berusia 15 tahun itu menerima rawatan kecemasan akibat kecederaan pada
bahagian belakangnya setelah beliau ditembak oleh tentera rejim zionis. Tentera
zionis kemudiannya dilaporkan turut menculik kanak-kanak itu ketika beliau
dalam perjalanannya ke bilik pembedahan di Hospital Hadassha.
|
31.01.2019
|
Tentera
rejim zionis Israel menyerbu bandar Saida di Tulkarem dan menyoal siasat
beberapa rakyat Palestin dalam apa yang didakwa sebagai operasi memerangi
pengganasan rakyat Palestin terhadap Israel. Dalam operasi tersebut beberapa jalan telah
ditutup manakala yang lainnya dipenuhi dengan beberapa pusat pemeriksaan.
Dalam peristiwa itu juga beberapa orang rakyat Palestin telah disoal selama
berjam-jam dengan ada beberapa orang di antara mereka yang ditahan.
|
01.02. 2019 |
Rejim
Israel menyampaikan notis untuk merobohkan sekolah Palestin di Masafer Yatta,
daerah tebing selatan Al-Khalil. Yasser Saleh yang merupakan Pengarah
Kementerian Pelajaran di Yatta menyatakan bahawa tentera Israel menggantung
perintah perobohan di pintu sekolah. Sekolah tersebut telah dirobohkan oleh
rejim Zionis sebelum ini iaitu pada Julai tahun lalu tetapi telah dibina
semula oleh penduduk tempatan.
|
04.02.2019
|
Tentera
rejim zionis menutup kemasukan arah barat di kampung Ras Karkar village, di
barat laut Ramallah Tebing Barat dengan penghadang besi. Saksi mata
memberitahu Akhbar Quds yang trak Israel tiba di kawasan itu dengan membawa
blok-blok konkrit untuk dijadikan tapak bagi penghadang itu. Mereka menambah
yang tentera rejim menggunakan kren untuk membina penghadang di kawasan itu yang menghubungkan jalan utama
menuju bandar Ramallah dan perkampungan berdekatan.
***
UNRWA
membuat rayuan kepada para penderma agar membantu memastikan peruntukan
berjumlah $1.2 billion dapat dikekalkan pada tahun 2019 setelah mengalami
kesukaran pada tahun lepas apabila Amerika Syarikat menarik sumbangannya. UNRWA
berjaya mendapatkan peruntukan dengan jumlah sama pada tahun 2018 walaupun
mengalami kesukaran mendadak apabila pentadbiran Presiden AS Donald Trump
menghentikan semua sokongan terhadap agensi itu.
***
Mahkamah
Tentera Israel membuat keputusan memanjang tempoh penahanan tanpa pertuduhan
dan perbicaraan terhadap seorang pemberita Quds Press, Mohamed Manna kepada
enam bulan lagi. Tentera rejim telah menculik pemberita berumur 37 tahun itu
pada 1 Ogos 2018 di rumahnya di kampung Zawata, barat Nablus. Sebelum ini,
pihak rejim telah menahan Manna beberapa kali dan beliau telah menghabiskan
masa selama lebih tujuh tahun hidup di penjara, kebanyakannya atas alasan
keselamatan.
|
07.02.2019
|
Puluhan
extremis Israel telah memecah masuk ke Masjid al-Aqsa. Akhbar Quds melaporkan
bahawa sebilangan besar pegawai polis Israel mengiringi extremis tersebut
semasa lawatan mereka. Agensi berita itu berkata bahawa 45 warga Israel
memasuki Masjid pada awal pagi bersama 26 pelajar Yahudi dari institusi
keagamaan dan universiti Israel.
|
12.02.2019
|
Perbandaran
Israel di Baitulmuqaddis mengumumkan perancangan untuk membina jalan baru
bagi pendatang mulai dari bandar Abu Dis ke penempatan Ma’ale Adumim. Ketua
Jawatankuasa Perlindungan Tanah Palestin di Baitulmuqaddis Bassam Bahar
berkata Israel berniat untuk merampas lebih 1,000 dunum daripada tanah
pertanian Palestin untuk melaksanakan projek tersebut. Projek itu dikatakan bertujuan
menghubungkan beberapa penempatan Israel di kawasan tersebut.
***
Seorang
rakyat Palestin, Fares Baroud, 51 tahun meninggal dunia semasa berada dalam
tahanan di penjara Israel. HAMAS mendakwa Israel sengaja membunuh Fares
Baroud apabila enggan menyediakan rawatan perubatan yang diperlukan walaupun
laporan perubatan mengesahkan bahawa kemerosotan kesihatan beliau pada tahap
yang membimbangkan dan serius. HAMAS berkata pengabaian rawatan perubatan
yang disengajakan oleh Rejim Zionis terhadap tahanan Palestin adalah suatu
jenayah terhadap kemanusiaan.
|
21.02.2019
|
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Israel menerbitkan data yang menunjukkan
majoriti perobohan rumah rakyat Palestin dilakukan sendiri oleh pemiliknya,
setelah pemerintah Zionis mengeluarkan surat perintah. Hal itu dilakukan demi
bagi mengelakkan pemilik rumah daripada dikenakan denda sekiranya pihak berkuasa
Israel sendiri yang merobohkannya. Pada tahun 2018, sebanyak 2,326 unit rumah
dihancurkan di mana sebanyak 2,064 unit dihancurkan oleh pemiliknya sendiri.
|
26.02.2019
|
Penunjuk perasaan di kalangan warga Palestin memaksa pihak berkuasa Israel untuk membuka kunci Bab al-Rahma Gate yang dimeteraikan oleh polis Israel baru-baru ini bagi menghalang rakyat Palestin daripada masuk ke dalam kompleks Masjid Al-Aqsa. Sumber di Jabatan Awqaf Palestin mengumumkan bahawa polis Israel telah mengeluarkan kunci dan rantai yang mereka letakkan sehari sebelumnya di pintu logam menuju bangunan Bab al-Rahma, di dinding timur Kota Lama Jerusalem. Ketegangan meletus berhampiran dan di Masjid al-Aqsa selepas polis Israel menutup pintu logam dan menahan orang Muslim yang beribadah. |
27.02.2019
|
Sekumpulan 35 orang pendatang haram Yahudi dilaporkan telah menceroboh masuk Masjidil al-Aqsa dengan diiringi anggota polis Israel. Menurut akhbar Quds Press yang memetik kenyataan Jabatan Wakaf Islam Baitulmuqaddis pelampau Yahudi telah memasuki halaman masjid itu melalui pintu al-Maghareba dan seterusnya telah dibawa melihat-lihat sekitar halaman masjid sambil diberi penerangan yang mendakwa bahawa di situlah terletaknya tapak “Kuil Suci” mereka. |
05.03.2019 |
Pesawat penjajah Zionis telah melancarkan serangkaian serangan udara
di beberapa lokasi penempatan rakyat Palestin di barat daya Deir Balah di
wilayah tengah Semenanjung Gaza. Menurut wartawan Pusat Informasi Palestin,
pesawat helikopter penjajah Zionis
menembak dua buah bom ke sebuah lokasi Brigade Al-Qassam di pantai
barat daya Deir Balah.
***
Polis
rejim zionis bertindak menahan seorang pegawal keselamatan yang bertugas di
Masjidil al-Aqsa. Jurucakap Jabatan Wakaf Islam, Baitulmuqaddis, Feras
al-Dibs berkata bahawa anggota polis rejim menahan Ali Hamad di pintu masuk
al-Asbat dan membawanya ke pusat penyiasatan di Kota Lama. Polis Israel sebelum
ini telah menangkap berpuluh pegawai Wakaf dan pegawal keselamatan masjid
yang terletak di Kota Lama, Baitulmuqaddis itu selepas mereka mengadakan
sembahyang berjemaah sempena pembukaan semula ruang solat, Bab al-Rahman pada
hari Jumaat minggu lepas setelah 16 tahun tempat itu ditutup.
|
07.03.2019
|
Sekumpulan pelampau Yahudi bertindak memasuki Masjidil al-Aqsa dengan diiringi anggota polis Israel. Menurut kata pihak Wakaf Islam, polis rejim bersama 30 orang pendatang Yahudi telah memasuki masjid tersebut pada awal pagi dan melakukan upacara sembahyang mengikut ajaran Talmud berhampiran lapangan Bab al-Rahmah. Pada masa yang sama, beberapa orang pegawai perisikan Israel dikatakan turut kelihatan berada kawasan itu. |
11.03.2019
|
Pesawat-pesawat
tempur Israel kembali melancarkan serangkaian serangan udara berdekatan
pelabuhan di pantai laut Khan Yunis di Semenanjung Gaza selatan. Menurut
wakil Pusat Informasi Palestin, pesawat drone penjajah menembak peluru di
sekitar pelabuhan sebelah barat Khan Yunis, sebelum pesawat tempur Zionis
kembali menyerang dengan mengebom tempat itu bagi kali kedua. Serangan ini
menyebabkan penduduk menjadi panik. Ini adalah hari keempat berturut-turut
pesawat Israel melancarkan serangan terhadap kedudukan pejuang dan tempat
awam di Semenanjung Gaza.
|
15.03.2019
|
Tentera
rejim zionis bertindak menahan 11 warga Palestin di Tebing Barat. Satu
kenyataan yang diumumkan oleh pihak tentera rejim menyatakan, 11 orang penduduk Palestin telah
ditangkap kerana didakwa terlibat dalam satu siri serangan anti Yahudi.
|
20.03.2019
|
Tentera
rejim zionis menahan seorang remaja perempuan Palestin, Walaa Ghaith, 17 tahun dekat Masjid Ibrahimi
di al-Khalil atas tuduhan cuba menikam. Ghaith kemudiannya dipindahkan dalam
keadaan bergari ke pusat perisikan israel yang berdekatan untuk siasatan. Tentera
rejim zionis dari masa ke semasa, secara rawak menahan kanak-kanak dan remaja
Palestin di pos pemeriksaan Tebing Barat atas pelbagai tuduhan.
|
25.03.2019
|
Satu
sumber tempatan Palestin mendedahkan pasukan penjajah Israel menembak dua
pemuda Palestin yang memandu kereta berdekatan makam Yusuf mengakibatkan
keduanya meninggal dunia. Penjajah Zionis dikatakan menembak kedua-dua pemuda
Palestin itu pada tengah malam 19 Mac 2019 setelah menyerbu kawasan Makam
Yusuf di Nablus, wilayah utara Tebing Barat. Peristiwa ini berlaku hanya
beberapa jam setelah operasi pembunuhan terhadap Omar Abu Laila di Salfit
dalam kejadian serbuan oleh pasukan penjajah Israel di Ramallah.
|
27.03.2019 |
Rejim
zionis Israel melancarkan serangan udara mensasarkan pejabat Ketua Biro
Politik Hamas, Ismail Haneya. Serangan itu telah menyebabkan bangunan
tersebut musnah sama sekali. Pesawat tentera udara Israel melepaskan 2 peluru
berpandu mensasarkan bangunan berkenaant. Bagaimanapun, tiada kecederaan
dilaporkan berlaku dalam serangan tersebut. Haneya sebelum dari itu
dilaporkan berkata dalam satu kenyataan medianya bahawa rakyat Palestin
“tidak akan menyerah” manakala kumpulan pejuang lain “akan halang musuh yang
cuba melepasi garisan merah”.
|
28.03.2019
|
Rejim
zionis Israel meneruskan gelombang siri serangan udara dan yang terbaharu,
mensasarkan beberapa kawasan berbeza di Khan Younis, selatan Semenanjung
Gaza. Serangan yang dilakukan pada petang Selasa (semalam) itu telah
mendorong kumpulan pejuang Palestin bertindak balas dengan melancarkan peluru
roket pula.
***
Penjara
Rejim Zionis memutuskan untuk mempertingkatkan langkah-langkah hukuman kepada
tahanan Palestin ekoran kejadian yang melibatkan 2 tahanan penjara yang di
tikam beberapa hari lepas di penjara Negev. Langkah-langkah tersebut
menyasarkan tahanan yang berkait rapat dengan Hamas di penjara Ramon untuk
menghukum mereka kerana telah menyebabkan keadaan huru-hara dan kebakaran di
sel penjara. 96 orang yang lain di penjara Negev juga menerima nasib yang
sama ekoran kejadian tikam-menikam.
Kesemua
tahanan tersebut akan dipaksa untuk membayar denda dan tidak dibenarkan
menerima pengunjung. Mereka juga dipaksa untuk berjalan setiap hari di
kawasan penjara tersebut. Keadaan tegang di penjara Eshel juga dikatakan
tercetus ekoran pemasangan penghalang isyarat telefon bimbit yang boleh
membawa penyakit barah di beberapa kawasan fasiliti penjara.
|
Wallahu’alam (MMO)
No comments:
Post a Comment