Tuesday, February 20, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (Bahagian 8)


A.M. Azahari (berdiri di barisan belakang, dua dari kiri) bergambar bersama keluarga 
di Pekan Brunei sekembalinya dari Indonesia pada tahun 1952 

Sireh Pulang Ke Gagang 

Tiada acara sambutan sebagai wira atas kepulangan A.M. Azahari dari Indonesia ke tanah air. Namun kepulangan beliau itu suatu yang ditunggu-tunggu oleh saudara mara dan temannya. Orang tidak lagi bertanya sijil dan ijazah yang dibawa pulang, tetapi yang ditanya ialah kisah enam tahun berperang dan pengalaman menimba ilmu perjuangan di perantauan. A.M. Azahari pulang dari Indonesia dengan berbekalkan ilmu membebaskan manusia dari perhambaan manusia.

A.M. Azahari menjejakkan semula kakinya di tanah tumpah darahnya pada tahun 1952. Apakah Sultan sudah mengagak akan kesudahannya nanti dengan kerjasama baginda membawa pulang A.M. Azahari?. Tidak diketahui. Tetapi British sudah tentu telah memberikan nasihat dan maklumat latar belakang A.M. Azahari selama berada di luar negeri.

Adalah dipercayai Sultan Omar Ali Saifuddein memang berhati-hati dan mengambil kira dengan semua maklumat mengenai rakyat yang demikian wataknya. Tetapi A.M. Azahari belum melakukan apa-apa kesalahan di Brunei. Kesalahannya jikapun ada ialah berjuang mengangkat senjata dalam peperangan memerdekakan sebuah negara majoriti orang Islam yang terjajah. Adakah ia satu kesalahan?

Menentang kezaliman dan penindasan adalah kerja yang mulia dan jika dilaksanakan kerana Allah, maka ia adalah satu ibadat dan jihad. Jika A.M. Azahari terlibat sama dalam kancah revolusi kemerdekaan Indonesia, ia adalah satu kewajaran bagi sesiapa saja yang berada dalam persekitaran yang ada ketika itu. Ia bukan suatu kesalahan bagi peraturan di Brunei. Dia boleh diperhatikan tetapi dia tidak boleh didakwa dan dihukum.

Sultan Omar Ali Saifuddein sendiri belum mengenal A.M. Azahari dari dekat. Baginda tentunya disogokkan dengan pandangan dari  pegawai intelegen British di Brunei termasuk Residen British sendiri mengenai kegiatannya semasa berada di Indonesia. Namun baginda Sultan mengambil pendirian yang terbuka, menggunakan pengaruh baginda keatas Residen British untuk mempermudah kepulangan warga negaranya dari perjuangan yang besar di perantauan.

Dalam konteks yang lain, pendirian Sultan Omar Ali Saifuddein itu adalah betul. Sebarang pendirian menghalang kepulangan A.M. Azahari sudah tentu akan membantu membina imejnya. A.M. Azahari pasti akan muncul sebagai seorang penting di luar negeri jika dihalang pulang, sedang beliau belum melakukan sesuatu yang mengganggu ketenteraman raja dan Brunei. Biarlah A.M. Azahari sendiri membina imejnya, bukan baginda Sultan dan British membina ketokohan dan kehebatannya. 

Jalinan Silaturrahim 

Pada hakikatnya, watak terpuji Sultan Omar Ali Saifuddein sebagai seorang raja yang penyayang dan bebas perasangka begitu terserlah. Setibanya A.M Azahari ke tanah air pada tahun 1952, dengan senang hati baginda menerima beliau mengadap untuk menjunjung kasih atas campur tangan baginda sehingga membolehkannya kembali ke pangkuan keluarga.

Persahabatan A.M. Azahari dengan Sultan Omar Ali Saifuddein terjalin sejak pertemuan pertama mereka itu. Kemudiannya, disusuli pula dengan pertemuan yang lebih kerap apabila Sultan Omar Ali Saifuddein sering menitahkan Pengiran Dato Paduka Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ismail yang dikenali sebagai “Pengiran Mohamad Catur” untuk membawa A.M. Azahari naik ke Istana menemani mereka bermain catur. Sultan Omar Ali Saifuddein dan Pengiran Dato Paduka Haji Mohamad bin Pengian Haji Ismail bersahabat sedari kecil.

Baginda Sultan dan Pengiran Dato Paduka Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ismail sama meminati permainan catur, sementara A.M. Azahari pula tidak pandai bermain catur. Beliau hadir ke istana apabila dititahkan. Kehadiran beliau sekadar memeriahkan suasana. Pengiran Dato Paduka Haji Mohamad bin Pengiran Ismail adalah kawan sepermainan A.M. Azahari semasa kecil.

Testimoni

Pengiran Haji Abu Bakar bin Pengiran Dato Paduka Haji Mohamad bin Pengiran Hj. Ismail (memakai blazer) menemubual Ayahanda saudara beliau, YAM Pengiran Kerma Negara Pengiran Anak Haji Abdul Wahab bin Pengiran Anak Sabtu Kamaluddin (memakai baju batik biru), mengenai hubungan A.M. Azahari dan DYMM Sultan Omar Ali Saifuddein III pada 06 Disember 2007 di Bandar Seri Begawan.

Pengiran Haji Abu Bakar, iaitu anakda Pengiran Dato Paduka Haji Mohamad bin Pengiran Haji Ismail (Pengiran Mohamad Catur) dalam testimoni bertulisnya bertarikh 6hb Disember  2007 mengenai hubungan Sultan Omar Ali Saifudein dengan A.M. Azahari seperti yang diceritakan oleh ayahandanya, dan testimoi beliau ini telah disahkan kebenarannya oleh  (YAM Pg Kerma Negara Pg Anak Hj Abd Wahab). Antara lain testimoni tersebut  menyebutkan: 
Ayahanda saya berkawan dan bergaul boleh dikatakan dari mula remaja lagi bersama dengan Al-Marhum (Sultan Omar Ali Saifuddein) sejak dari Pengiran Muda hingga disampiri gelaran Wazir pertama, iaitu Duli Pg Bendahara dan sehingga naik Raja pun masih berkawan akrab seperti isi dengan kuku, aur dengan tebing. Sama juga dengan saudara-saudara ayahanda patuan, seperti AlMarhum Yang Amat Mulia Pg Paduka Ratna Pg Anak Hj Ahmad bin Pg Anak Sabtu Kamaluddin, YAM Pg Jaya Perkasa Pg Anak Hj Mohd Hassan bin Pg Anak Sabtu Kamaruddin , Pg Anak Yussof bin Pg Anak Petra Tajuddin. Kesemua mereka ini adalah berpupu sekali dari belah Ayah. Mereka sama-sama bersilat dan berkuntau sama main Taipie. Kerana guru mereka adalah Pg Anak Petra Tajuddin Ibni Pg Bendahara Besar Pg Anak Muhammad Ibni Pengeran Muda Mohamad Tajuddin. Pg Anak Petra Tajuddin adalah adek kepada Pg Anak Sabtu Kamaluddin. (NENDA saya sebelah ibu) Ibu saya adalah Allahyarhamah Pg Anak Datin Hajah Tengah NorQamar binti Pg Anak Sabtu Kamaluddin.

Selain belajar silat…Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddien juga suka bermain catur bersama dengan Ayahanda dan Ayahanda-Ayahanda Patuan saya tersebut di atas. Sehingga Almarhum memanggil Ayahanda saya sebagai Pg Mohammad Catur. Kerana kata Ayahanda, setiap kali mereka bermain, Pg Mohammad Catur ini jarang kalah oleh nama-nama yang tersebut tadi. Sehingga pernah suatu ketika, Pg Mohammad Catur ini mengalahkan Residen dan Pesuruhjaya Tinggi British  ketika itu semua inda angkat muka. Bila mana saja terdengar kepada Baginda siapa pandai main catur melainkan Ayahanda saya MENJADI WAKIL atau boleh juga dipanggil ayam sabungan Baginda untuk berlawan catur. Pehin Jawatan Mat Nor kah, Tan Kok Tong kah inda pernah menang bila berlawan dengan Ayahanda saya. Bila saya Tanya kepada YAM Pg Kerma Negara Pg Anak Hj Abd Wahab benarkah apa yang diceritakan oleh Ayahanda saya atu. Pg Kerma berkata benar tu.

Pada masa yang sama juga bila mana Sultan Omar Ali Saifuddien tidak dapat beradu maka Baginda juga telah menitahkan driver Istana pada ketika itu iaitu..ARWAH PA GADOR untuk memanggil bapa saya PG MOHAMAD CATUR ini untuk membawa Sheikh Azhari bin Sheikh Mahmud untuk mereka sama-sama bermain catur kata ayahanda saya.

Pendek kata, sejak perkenalan Almarhum Sultan Omar Ali Saifuddein dengan Sheikh Azhari, mereka boleh dikatakan akrab sekali. Dan bila mana Sheikh Azhari ke Istana bersama dengan ayahanda saya, beliau akan membawa permakanan untuk acara yang boleh diibaratkan majlis berjaga-jaga atau istilah masa kini mereka itu LEPAK setiap malam. Tetapi lepak mereka bermain catur adalah untuk menguji minda dalam strategi pertahanan dan menyerang. Kerana catur waktu itu bolehlah diibaratkan sekarang ini sama dengan orang main GOLF. Sheikh Azahari, kata ayahanda saya bila kami naik, dipanggil naik (ke istana) akan membawa cucur-cucuran sebagai makanan yang dibekalkan oleh ibundanya kata ayah saya. Persahabatan mereka semua hanya diketahui oleh sebilangan orang sahaja. Seperti Pehin Bendahari Taha Hj Bakir ketika itu. Pehin Abas Perdana Menteri Hj Ibrahim (sekarang masih hidup) memang tiada banyak orang tahu kata ayahanda PG KERMA NEGARA (YAM Pg Kerma Negara Pg Anak Hj Abd Wahab). (6/12/70).

Kisah Seterusnya 

Kisah A.M. Azahari seringkali naik ke Istana bersama Pengiran Mohamad Catur menemani Sultan Omar Ali Saiffudein bermain catur juga menjadi ristaan bonda tiri A.M. Azahari iaitu Dayang Napsiah binti Madil, semasa hidupnya.

Menurut nenda Dayang Napsiah Madil, A.M. Azahari tidak pandai bermain catur, justeru kalau mereka sudah keletihan A.M. Azahari akan “mengacau” permainan mereka menyebabkan baginda sultan murka lalu menyuruh mereka pulang.

Di lain hari mereka dititahkan lagi untuk naik ke istana. Begitulah seterusnya. Menurut nenda Napsiah binti Madil, beliaulah yang sering membekalkan A.M. Azahari makanan berupa kueh-kueh curur setiap kali naik ke istana. Keakraban kedua putera Negara ini terserlah dari kisah yang dipaparkan. 

Dijarakkan Oleh Kesibukan 

Pertemuan dua putera Negara ini semakin jarak apabila masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. A.M. Azahari dengan penubuhan PRB dan Sultan Omar Ali Saifuddein dengan urusan perlembagaan.

Keakraban antara dua sahabat inilah yang dicemburi oleh penjajah British lalu diadu dumbakan sehingga keduanya terfitnah, seorang dituduh penderhaka dan seorang lagi ditituduh bersubahat dengan PRB. Penjajah British bukan sahaja berjaya menjarakkan kedua putera Negara ini, tetapi memisahkan keduanya hingga di akhir hayat mereka.

Justeru, demi survivaliti Institusi Kesultanan Melayu Islam Brunei Darussalam marilah kita sama-sama mengangkat apa jua bentuk legasi dan perasangka peningalan penjajah bagi mengelakkan kita menjadi korban fitnah buat kesekian kalinya. Marilah kita sama-sama melihat sejarah perjuangan bangsa itu dari pandangan kelulut dan bukannya dari pandangan langau. 


Wallahu a’alam (MMO). 

                                                                      *******


1 comment:

  1. DAFTAR AGEN JUDI TARUHAN IDN POKER ONLINE S1288POKER

    KUNJUNGI FREECHIP SITUS RESMI POKER INDONESIA TERMURAH DAN TERPECAYA

    MASIH BANYAK PERMAINAN CASINO LIVE POKER CEME SABONG AYAM DAN PERMAINAN LAIN SERUNYA !! TENTUNYA EVENT BONUS PROMO SETIAP BULAN NYA YANG MANTAPPP ^^
    CS 24jam Online
    JANGAN SAMPAI KEHABISAN FREECHIPSNYA !!

    ReplyDelete