Monday, March 12, 2018

GILIRAN UMAT ISLAM SRI LANKA PULA DILANDA TEKANAN


Pasukan keselamatan Sri Lanka mengawal di tempat kejadian
 
Belum pun wujud sebarang tanda penyelesaian berkaitan  isu kekerasan rejim Myanmar ke atas komuniti Islam Rohingya yang menyaksikan lebih 600,000 etnik itu kini menjadi pelarian di Bangladesh, kita dikejutkan pula dengan berita kejadian kekerasan yang dilakukan oleh kumpulan fanatik Buddha Sinhala ke atas etnik Islam di Sri Lanka.

Semuanya bermula berikutan kematian seorang remaja Sinhala yang dikatakan telah diserang oleh sekumpulan penduduk Islam dalam satu kejadian kemalangan jalan raya pada 4 Mac lalu. Ia kemudiannya telah mengundang sekumpulan etnik Buddha Sinhala yang tidak berpuas hati untuk bertindak balas beberapa hari kemudiannya dengan menyerang komuniti Islam di wilayah Kandy, wilayah di mana insiden pembunuhan tersebut dilaporkan berlaku.

Dalam kejadian yang berlarutan selama empat hari bermula pada 6 Mac itu, sekumpulan fanatik Buddha dikatakan telah bertindak menyerang komuniti Islam di wilayah Kandy yang menyaksikan kematian tiga penganut Islam dan kecederaan terhadap 20 orang yang lain. Kumpulan fanatik Buddha itu juga dilaporkan telah bertindak membakar berpuluh-puluh rumah kediaman, premis-premis perniagaan dan masjid di beberapa penempatan Islam sehingga memaksa kerajaan mengistyharkan darurat selama 10 hari di wilayah berkenaan bagi mengawal keadaan.

Berikutan kejadian tersebut, pihak keselamatan Sri Lanka dikatakan telah menghantar pasukan tentera dan polis elit ke wilayah Kandy yang terletak kira-kira 160 kilometer dari ibu negara Sri Lanka, Colombo untuk mengawal keadaan selepas serangan dilakukan ke atas beberapa premis milik penduduk Islam. Dalam peristiwa itu juga pihak polis dikatakan telah menahan kira-kira 150 aktivis Buddha, termasuk seorang yang disyakki menjadi dalang dalam membakar sentimen anti-Islam yang akhirnya mengundang kepada berlakunya tindakan kekerasan ke atas komuniti Islam itu.

Kerajaan Sri Lanka, selain itu, turut mengambil langkah menyekat kemudahan internet di wilayah tersebut dan menyekat akses ke semua saluran media sosial utama seperti Facebook, Whatsapp dan Viber. Tindakan itu dilakukan bagi mencegah berlakunya penularan berita palsu, juga sebarang sentimen permusuhan antara penganut Buddha dengan etnik Islam yang mungkin boleh menghangatkan lagi keadaan yang sedia ada.

Kerajaan Sri Lanka juga memutuskan untuk bertindak tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menghasut dan mencetuskan keganasan melalui media sosial itu.

Sementara itu, biar pun perintah darurat dikuatkuasakan di wilayah Kandy, penduduk Islam di wilayah itu dikatakan terus dilanda ketakutan dan kebimbangan kemungkinan serangan curi dilakukan oleh saki baki fanatik Buddha yang terlepas dari tindakan pihak keselamatan Sri Lanka. Ini termasuklah ketika umat Islam mahu mengerjakan solat Jumaat baru-baru ini yang kemudiannya menyaksikan ibadah tersebut akhirnya dapat dilaksanakan dengan aman setelah tentera Sri Lanka memberikan perlindungan keselamatan.

Terbaru, kerajaan Sri Lanka mengumumkan penarikan balik perintah darurat setelah keadaan keseluruhan didapati terkawal. Kerajaan Sri Lanka juga turut mengumumkan pembentukan  sebuah badan siasatan yang dianggotai oleh tiga orang hakim bagi menyiasat punca kekacuan yang berlaku di samping berjanji akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati bersalah.

Seorang Menteri kanan Islam di Sri Lanka, Rauff Hakeem, telah melahirkan kekecewaannya terhadap se­­rangan yang nampaknya sengaja menyasarkan harta benda milik penduduk Islam. Beliau mendakwa kegagalan jentera dan pe­rintah undang-undang menjadi punca kepada masalah yang timbul itu. Kerosakan itu yang menurutnya, tidak diketahui motifnya secara jelas, berkemungkinan sekali tercetus kerana didorong oleh sentimen kebencian terhadap etnik Islam.

Kekerasan penganut agama Budha ke atas komuniti Islam bukanlah suatu perkara baru di Sri Lanka. Sebelum ini pun, iaitu sekitar bulan Jun 2014, sekumpulan fanatik Buddha Sinhala pernah melakukan tindakan kekerasan ke atas penganut agama Islam Sri Lanka yang menyaksikan beberapa kemalangan jiwa berlaku dalam kalangan umat Islam. Walau pun pihak kerajaan di bawah pimpinan Presiden Maithripala Siresena berjanji untuk menyelidiki kejahatan anti-Islam sebaik mengambil alih kuasa pemerintahan pada tahun 2015, penduduk Islam mendakwa tidak ada pun sebarang kemajuan signifikan yang telah dicapai berhubung dengannya.

Dilihat sepintas lalu dari sudut sejarah, Sri Lanka yang sebelum ini dikenali sebagai Ceylon, telah mencapai kemerdekaan daripada pihak British pada tahun 1948. Nama negara Ceylon kemudiannya ditukar ke nama Sri Lanka dalam tahun 1972.

Majoriti penduduk Sri Lanka ialah kaum Sinhala yang beragama Buddha. Kaum kedua terbesar adalah Tamil yang beragama Hindu. Daripada keseluruhan 21 juta penduduk Sri Lanka, jumlah penduduk Islam dianggarkan kurang dari 10 peratus. Lima peratus daripada mereka dikatakan adalah berketurunan Melayu.

Walaupun kecil dari segi jumlahnya, kehadiran orang Islam telah diiktiraf oleh kerajaan Sri Lanka sepertimana yang dapat dilihat pada bendera negara itu di mana warna hijau telah dmasukkan sebagai melambangkan pengiktirafan kerajaan terhadap rakyat Sri Lanka yang beragama Islam.

Berhubung kejadian rusuhan agama Buddha-Islam yang berlaku di Sri Lanka itu, tidak dapat dinafikan, ia berkemungkinan turut dipengaruhi oleh sentimen anti-Islam yang berlaku di Myanmar di mana penganut Buddha yang merupakan penduduk majoriti menekan, malah mahu melenyapkan umat Islam yang merupakan penduduk minoriti di negara berkenaan.

Cumanya, disebabkan kerajaan Sri Lanka sendiri telah pun memberi pengiktirafan terhadap penduduk Islam sebagai warganegaranya, maka itulah kita dapati terdapat sedikit komitmen di pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah yang ada. Walau bagaimanapun kita amat berharap, janganlah ada lagi mana-mana kerajaan di rantau ini yang terdorong mengikut agenda kerajaan Myanmar dalam mempamirkan permusuhan terhadap rakyatnya yang beragama Islam.

Dalam masa yang sama, kita berharap biarlah sebarang penyelesaian pertikaian yang berlaku di antara penganut agama lain yang merupakan penduduk majoriti di sesebuah negara dengan penduduk minoriti Islam diselesaikan menurut kehendak dan pertimbangan undang-undang, bukannya diselesaikan menerusi sentimen keagamaan mahupun perkauman.

Di satu sudut yang lain, kita berharap Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan cepat membuka mata terhadap apa yang berlaku di Sri Lanka itu. Hendaknya apa yang berlaku di Myanmar diambil iktibar. Janganlah ianya sampai berulang semula di Sri Lanka sudahlah. 

Wallahua’alam (MMO).


*******



No comments:

Post a Comment