Wednesday, February 7, 2018

STRATEGI PERCATURAN CHINA DALAM ISU ROHINGYA

 
Penduduk Rohingya lari meninggalkan kampung halaman mereka yang dibakar oleh tentera Myanmar

Setelah menampakkan pendirian yang jelas berpihak kepada rejim tentera Myanmar, China akhirnya mulai menyertai arus perdana antarabangsa bagi menggesa Myanmar agar berkerjasama ke arah mencari penyelesaian isu Rohingya yang berlanjutan sejak sekian lama. 

Menerusi kenyataan yang dibuat oleh wakil China di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada penghujung tahun lalu, China mengambil nada yang berbeza daripada sebelumnya apabila menyertai Majlis Keselamatan PBB untuk menzahirkan kebimbangan mengenai laporan kekejaman tentera Myanmar di Ra­khine dan menggesa supaya langkah segera diambil untuk menamatkannya.

China, malah, menggesa supaya gencatan senjata di Rakhine dilakukan bagi membolehkan pelarian Rohingya dapat pulang dari Bangladesh. Cina juga mengesyorkan supaya rundingan antara Myanmar dan Bangladesh diadakan bagi tujuan membawa pulang pelarian, dan menjalin kerjasama bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap nasib pelarian Rohingya yang pulang.

Namun, dunia, khususnya sebahagian besar negara Islam tidak lupa akan sikap dan pendirian China ketika mana kekacauan yang ditimbulkan oleh tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya berada di kemuncaknya.

Ketika itu, China secara terang-terangan menyokong tindak-tanduk tentera Myanmar dalam menggempur dan melaksanakan kekerasan ke atas pejuang dan orang awam etnik Rohingya. China mempertahankan tindakan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya itu sebagai bertujuan untuk menegakkan keamanan dan kestabilan di negeri Rakhine. China juga mengutuk serangan ganas yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Rohingya di Rakhine sambil mengesyorkan masyarakat antarabangsa agar menyokong usaha Myanmar dalam menjaga keamanan dan kestabilan pembangunan nasionalnya.

Terdapat dalam kalangan penganalisis politik antarabangsa yang berpandangan pendirian awal China itu bekemungkinan didorong oleh sekurang-kurangnya dua faktor. 

Pertama, China juga memiliki masalah yang serupa dengan Myanmar dalam berhadapan dengan ancaman daripada sekurang-kurangnya dua kumpulan. Pertama, kumpulan pemisah minoriti Islam di Xinjiang, dan kedua, kumpulan pemisah minoriti Buddha di Tibet. 

Penindasan yang dilakukan oleh China ke atas kedua-dua kumpulan etnik ini sama buruknya dengan apa yang dilakukan oleh rejim tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya. Justeru, sekiranya China mengutuk Myanmar berhubung isu Rohingya, Cina bimbang ia mungkin boleh menjadi ‘precedence’ kepada negara itu sendiri supaya tidak melakukan hal yang serupa ke atas kedua-dua kumpulan etnik tersebut. Ini suatu perkara yang tidak diingini oleh China. Justeru, China mahu tak mahu, terpaksa menyatakan pendirian menyokong tindakan rejim Myanmar itu walaupun menyedari tindakannya itu sebenarnya bercanggah dengan kehendak majoriti masyarakat antarabangsa.

Kedua, terdapat maklumat bahawa China mempunyai kepentingan perniagaan yang semakin besar di Myanmar. Sejumlah perusahaan mega China dikatakan sedang giat dibangunkan di wilayah luar pantai (offshore) negara itu terutama di Rakhine. Perusahaan tersebut adalah China National Offshore Oil Corporation (CNOOC), PetroChina, dan China National Petroleum Corporation (CNPC).

Maklumat ini selari dengan perdedahan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin pejuang Rohingya bahawa sebahagian besar kampung halaman mereka telah dirampas oleh pihak berkuasa untuk dijadikan kawasan industri. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan ada kemungkinan penindasan dan kekejaman sengaja dilakukan ke atas etnik Rohingya supaya mereka meninggalkan kampung halaman masing-masing. Dengan itu ia akan membuka laluan bagi junta tentera untuk mengambilalih tanah-tanah berkenaan bagi tujuan ekonomi dan perindustrian tanpa perlu membayar apa-apa pampasan kepada etnik Rohingya.

Selain dua faktor di atas, terdapat satu lagi pandangan yang tidak kurang pentingnya dalam menjelaskan mengapa China mengambil berpendirian menyokong Myanmar dalam isu Rohingya itu.

Pandangan itu adalah berkait dengan isu hak asasi manusia. China dikatakan secara diam-diam menyetujui adanya pelanggaran hak asasi manusia di Rakhine kerana bimbang Amerika Syarikat akan memanfaatkan suasana yang berlaku di Myanmar itu  bagi memengaruhi negara-negara Asia yang lain dengan menggunakan platform hak asasi manusia. Jika ini berlaku, China bimbang kedudukan hak asasi manusia di negara itu yang tercemar kelak mungkin boleh mengundang negara itu untuk berada di bawah telunjuk Amerika.

Justeru, bertitik tolak daripada beberapa perhitungan itulah, China, walaupun menyedari tindakannya ‘menongkah arus’ dengan pendirian antarabangsa berhubung isu Rohingya, mempertahankan pendirian negara itu dalam menyokong tindakan tentera Myanmar dalam mengenakan kekerasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar.

Namun kini, mungkin setelah menyedari bahawa pendiriannya itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipertahankan, lebih-lebih lagi setelah melihat dunia antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) sendiri semakin komited dalam mencari penyelesaian isu Rohingya, China akhirnya membuat ‘Pusingan U’ untuk sama-sama menyertai usaha antarabangsa dalam mencari penyelesaian isu Rohingya.

Sedikit mengenai sejarah hubungan Myanmar
dengan China dan Amerika Syarikat

Selama dua dekad sehingga 2011, Myanmar dipinggirkan oleh Barat, terutama Amerika Syarikat yang menentang pemerintah junta tentera negara itu. Sepanjang tempoh itu, China menjadi sekutu dan penaung kepada Myanmar, memberi sokongan politik dan melabur berbilion dolar dalam pelbagai projek terutama melibatkan sumber asli. 

Walau bagaimanapun pergantungan ini boleh menghadkan potensi perkembangan ekonomi Myanmar yang mempunyai banyak kelebihan termasuk dari sudut kedudukan geografi dan sumber alam. Pada masa yang sama, selepas dua dekad di bawah pengaruh China, Myanmar menyedari kelebihan dimilikinya, lantas cuba bergerak ke arah memulihkan status antarabangsanya.

Pada tahun 2011, perubahan besar berlaku di Myanmar berikutan keputusan pemerintah untuk menjadikan negara itu lebih demokratik. Myanmar mula berubah daripada pemerintahan tentera kepada pemerintahan campuran awam dan tentera – suatu perubahan yang menyumbang kepada pemulihan hubungan Myanmar-Barat, khususnya dengan AS. Perkembangan ini telah dimanfaatkan oleh Myanmar untuk mengimbangi pengaruh kedua-dua kuasa besar AS dan China, sekaligus cuba mengurangkan pergantungan kepada China. 

Kedudukan geografi Myanmar di antara China di sebelah timur laut dan Teluk Bengal dan Lautan Hindi di sebelah barat dayanya menjadikan Myanmar satu laluan penting kepada China. China setakat ini telah berjaya dalam kerjasama dengan Pakistan dengan satu projek utamanya, pelabuhan Gwadar di pesisir Laut Arab berhampiran Teluk Parsi telah mula beroperasi. 

Kedudukan geografi kedua-dua Pakistan dan Myanmar mempunyai kepentingan bukan sahaja dari segi perdagangan tetapi juga keperluan ketenteraan kepada China. Myanmar, selain itu, turut menjadi benteng bagi China untuk memantau India di sebelah barat yang turut membuat pelaburan bernilai berbilion dollar di Myanmar. Pemantauan tersebut tidak sahaja terhad dari sudut saingan ekonomi dan perdagangan, malah menjangkau kepada aspek strategik dan ketenteraan.

Kedudukan geografi dan sumber ekonomi yang ada pada Myanmar ini menjadi satu faktor penting mendorong AS berusaha menghakis pengaruh China di Myanmar dan cuba membina hubungan lebih baik dengan negara itu. Bagaimanapun, pihak tentera yang berpengaruh masih mengekalkan hubungan baik dengan China. Suu Kyi sendiri menyedari keperluan menjaga hubungan dengan kedua-dua Beijing dan Washington, yang dikunjungi beberapa bulan lalu untuk mengukuhkan hubungan. Beliau melawat kedua-dua Beijing dan Washington dalam satu tempoh yang singkat – pada Ogos (Beijing) dan September (Washington) – bertujuan mengelakkan daripada persepsi mengabaikan mana-mana pihak, sekali gus dapat memberi gambaran terhadap kepentingan kedua-dua kuasa itu kepada Myanmar.

Hal ini menjelaskan kenapa tidak ada pihak yang bertindak tegas terhadap kekejaman dan genosid yang dilakukan pemerintah dan pelampau Buddha di Myanmar terhadap etnik Rohingya. Sejauh ini tidak ada usaha yang konkerit daripada kedua-dua pihak untuk mencegah tindakan kejam pemerintah Myanmar ke atas etnik Rohingya yang kini sedang dalam fasa terbaru penghapusan etnik. Kuasa-kuasa terbabit seolah-olah tidak mahu menjejaskan hubungan dengan pemerintah Myanmar, yang kini melalui dasar luar barunya yang mempunyai kelebihan dalam menangani pengaruh kuasa-kuasa besar termasuk AS dan China.

Asean pula berterusan selesa dengan prinsip tidak mahu terlibat dalam politik dalaman negara jiran yang menjadi anggota. Akibatnya keadaan menjadi semakin parah, berikutan tiadanya sebarang tindakan tegas baik dari kalangan negara berpengaruh mahupun negara-negara jiran yang sepatutnya bangun mengatur langkah untuk membantu. 


Wallahua'lam (MMO).

*****

No comments:

Post a Comment