Sunday, January 31, 2021

DIARI KEHIDUPAN XIX : UMAT PALESTIN DIASAK OLEH PELBAGAI AGENDA ISRAEL


Kediaman warga Palestin yang dirobohkan

Tempoh suku tahun terakhir (Oktober - Disember) 2020 tidak banyak memperlihatkan perkembangan yang positif dari sudut perjuangan umat Palestin, khususnya dari sudut membebaskan diri dari ancaman dan tekanan Israel yang sekaligus melemahkan perjuangan mereka dalam mencapai matlamat menjadikan Palestin sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Dalam tempoh ini, Israel sebaliknya didapati semakin rakus dalam menggerakkan agenda mereka khususnya dalam menyiapkan diri bagi menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku terhadap dasar pentadbiran baru Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu seandainya Donald Trump kalah dalam pilihan raya Presiden yang dijadualkan berlansung dalam bulan November. Trump memang diketahui dunia sebagai pemimpin yang sangat kuat berpihak kepada Israel dalam apa jua pertikaiannya dengan Palestin.

Akibatnya, dalam tempoh ini Israel didapati telah memperhebatkan pembinaan penempatan haram di atas tanah milik warga Palestin yang diduduki, menyerang dan memusnahkan rumah-rumah kediaman penduduk Palestin, merosakkan kebun-kebun tanaman dengan tujuan untuk merampas tanah kebun milik rakyat Palestin dan berbagai lagi tindakan yang melanggar undang-undang serta hak kebebasan rakyat Palestin. 

Israel, dalam tempoh ini juga, telah berusaha untuk merealisasikan hubungan baharunya dengan negara-negara Arab yang sekonyong-konyong bangun menghulurkan salam persahabatan dengan negara itu. Matlamat akhir Israel, dengan adanya sokongan dunia Arab terhadap negara itu, perjuangan Palestin terhadap pembentukan negara sendiri yang merdeka dan berdaulat lama kelamaan akan dapat dilenyapkan.

Dalam masa yang sama, Israel juga terus memperhebatkan usaha bagi ‘mengambil’ Masjid Aqsa dengan pelbagai cara, termasuk dengan menggunakan pasukan keselamatannya bagi menaungi kemasukan warga Yahudi ke halaman, malah ke dalam Masjid Aqsa, memperhebatkan pembangunan di sekeliling masjid tersebut dan menerapkan nilai-nilai Yahudi ke kawasan sekitar Masjid Aqsa.

Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam tempoh liputan yang dapat menyokong kenyataan berkaitan agenda Israel sepertimana yang kita perkatakan.  

1 Oktober 2020

Peneroka Haram Yahudi Cemari Masjid Al-Aqsa Walapupun Dalam Keadaan Sekatan Pergerakan

Sekumpulan peneroka haram Yahudi pada hari Selasa lalu telah mencemari Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis yang diduduki walaupun sekatan pergerakan yang ketat dikenakan oleh Israel ke atas Kota Lama.

Menurut sumber tempatan, beratus-ratus peneroka haram telah memasuki Masjid dalam tempoh beberapa minggu yang lepas di bawah pengawasan polis dan telah mundar-mandir di kawasan halamannya. Mereka dilaporkan turut melakukan ritual Talmud semasa lawatan di tempat suci Islam tersebut. 

Mereka juga meminta polis rejim Zionis untuk memperketat cengkaman mereka di Masjid Al-Aqsa dan mengambil tindakan yang lebih ketat terhadap jemaah Muslim, dengan mendakwa bahawa orang-orang Yahudi berhak bersembahyang di mana sahaja selama berada di bawah kedaulatan Israel.

8 Oktober 2020

Sekitar 165, 690 Kediaman Palestin Telah Dimusnahkan

Pusat Kajian Tanah dari Persatuan Kajian Arab di Al-Quds mengatakan, sejak awal berdirinya negara Israel, rejim Zionis itu telah merobohkan sekitar 165 690 rumah kediaman warga Palestin yang menyebabkan sekitar satu juta daripada mereka menjadi pelarian. 

Dalam satu kenyataannya, pusat kajian tanah tersebut menyebutkan, “sepanjang sembilan bulan pertama wabak corona menyerang Palestin dengan warga Palestin diperintahkan agar tidak keluar dari rumah mereka, rejim Israel telah bertindak merobohkan lebih 450 unit rumah kediaman mereka. 

Malah, dalam beberapa kejadian, warga Palestin telah dipaksa supaya merobohkan rumah mereka sendiri sekiranya mereka tidak mampu untuk membayar kos pemusnahan yang besar jika proses pemusnahan itu dilakukan oleh pihak berkuasa Israel . 

Pada setiap 5 Oktober dunia menyambut Hari Habitat Antarabangsa. Namun bagi Israel, tarikh tersebut telah dicemari dengan pihak berkuasa mensasarkan rumah warga Palestin, terutama warga Al-Quds, kepada tindakan perobohan atas pelbagai alasan yang sengaja diada-adakan. 

26 Oktober 2020

Perjanjian Penerbangan Bahrain – Israel

Bahrain telah menandatangani perjanjian kerjasama penerbangan dengan Israel dan bersetuju menghantar 11 penerbangan setiap minggu dengan laluan perniagaan tanpa had antara Bahrain dan Eilat. Selain itu, 5 perjalanan pesawat kargo setiap minggu antara dua negara tersebut mungkin akan di aktifkan.

Persefahaman ini adalah lanjutan dari MOU yang di tandatangani Israel dan UAE yang bersetuju mengadakan 28 penerbangan perniagaan setiap minggu antara Bandar Ben Gurian dengan Dubai dan Abu Dhabi.

Pada awal minggu lepas, Israel dan Bahrain telah mencapai kata sepakat dalam hubungan diplomasi, iaitu sebulan setelah hubungan normalisasi dipersetujui, di mana Amerika bertindak sebagai mediator.

10 November 2020

Haneyya Desak Biden Perbetulkan Keputusan Tidak Adil Terhadap Palestin

Ketua biro politik Hamas, Ismail Haneyya telah meminta presiden Amerika Syarikat yang dipilih, Joe Biden untuk memperbetulkan hala tuju politik yang tidak adil yang telah diambil oleh pentadbiran sebelumnya terhadap rakyat Palestin, terutama berkaitan dengan perjanjian abad ini.

“Dasar AS yang tidak adil telah menjadikan Amerika Syarikat sebagai sekutu dalam ketidakadilan dan keganasan (Israel), merosakkan kestabilan wilayah dan dunia, dan melumpuhkan kemampuan AS untuk menjadi pemain utama dalam menyelesaikan konflik,” kata Haneyya dalam suatu kenyataan.

“Rakyat Palestin telah menderita sejak beberapa dekad yang lalu disebabkan ketidakadilan pentadbiran Amerika yang menyokong rejim Zionis, tetapi presiden Trump dan pemerintahannya adalah yang paling melampau dalam sokongan kepada Zionis dengan mengorbankan hak nasional Palestin,” tegas ketua politik Hamas tersebut.

Beliau mendesak agar pemerintah yang telah terpilih menolak perjanjian abad ini oleh presiden Donald Trump dan membatalkan pengiktirafannya terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel serta keputusannya yang menyebabkan penempatan semula kedutaan AS ke kota suci.

Beliau juga menggesa agar keputusan Trump mengenai isu pelarian Palestin dan penggantungan sokongan kewangan AS untuk UNRWA turut dibatalkan.

11 November 2020

Kejahatan Israel meningkat sepanjang Oktober

Data yang terkandung dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Hamas menunjukkan sepanjang bulan Oktober lepas, pasukan zionis Israel telah melakukan 1,854 kali pelanggaran terhadap hak-hak rakyat Palestin di tebing Barat dan al-Quds.

Laporan tersebut menyebutkan 2 rakyat awam syahid dalam pertempuran melawan keganasan rejim zionis, 154 yang lain cedera akibat tembakan dan seramai 384 yang lain telah di tahan. Dalam tempoh itu juga, tentera Israel dilaporkan turut melakukan pencerobohan dan memusnahkan 16 buah rumah warga Palestin dengan berbagai alasan yang sengaja diada-adakan.

Laporan tersebut, selain itu, juga menyebutkan terdapat 28 serangan di pihak berkuasa dan orang awam Yahudi ke atas rumah ibadat dan tempat suci Islam yang telah dijadikan sasaran, sementara sejumlah 1,057 orang penduduk haram Yahudi menceroboh masuk ke Masjidil Aqsa, yang mana kemasukan mereka telah dilindungi oleh pasukan tentera zionis.

12 November 2020

Peace Now: Penempatan Israel berkembang pesat ketika pemerintahan Trump

Sebuah kumpulan hak asasi yang berpengkalan di Israel “Peace Now”, berkata pemerintahan Donald Trump telah membenarkan pembinaan secara giat penempatan haram Yahudi dan perancangan penempatan baharu di samping cuba memastikan pengilhakan Israel ke atas wilayah Tebing Barat yang diduduki.

“Sepanjang empat tahun Trump memegang jawatan, terdapat perubahan besar dalam pendirian Amerika terhadap penempatan Israel yang telah melanggar persetujuan antarabangsa tentang penyelesaian dua negara. Ini seterusnya menggalakkan pengilhakan,” kata Peace Now di laman sesawangnya.

Menurut Peace Now lagi, proses pengilhakan yang tidak sah itu telah mencapai peringkat kemuncak melalui kelulusan unit penempatan, pelanggaran undang-undang antarabangsa di kawasan sensitif seperti Baitulmuqaddis dan Hebron, serta pembinaan lebih 30 kem penempatan haram Israel di atas tanah milik warga Palestin yang diduduki.

17 November 2020

Rejim Zionis Mengeluarkan Tender Untuk 1,257 Kediaman di Timur Baitulmuqaddis

Rejim Zionis telah mengeluarkan tender untuk pembinaan 1,257 unit rumah pendatang Yahudi di timur Baitulmuqaddis.

Menurut Peace Now, rumah pendatang baru akan dibina di penempatan haram di tenggara Baitulmuqaddis yang mana ini merupakan satu tamparan hebat ke atas keamanan dan kemungkinan penyelesaian dua negara.

Kerajaan Netanyahu-Gantz telah ditubuhkan atas semangat untuk menentang coronavirus tetapi telah mengubah haluan pada minggu-minggu terakhir pentadbiran Trump bagi melaksanakan agenda yang bakal menguntungkan rejim Israel, sedangkan ianya dalam masa yang sama, boleh menghalang kepada usaha bagi mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah, kata Peace Now.

19 November 2020

Mladenov Selar Keputusan Israel Untuk Meluaskan Penempatan Haram

Utusan PBB di Timur Tengah, Nickolay Mladenov, telah menyuarakan kebimbangannya tentang keputusan Israel untuk membuka proses tawaran bagi pembinaan ratusan unit kediaman di penempatan haram Givat Hamatos di Baitulmuqaddis.

“Saya sangat bimbang dengan keputusan Israel untuk membuka tawaran pembinaan Givat Hamatos,” kata Mladenov.

“Jika dibina, ia akan menggabungkan penempatan-penempatan di Baitulmuqaddis dan Bethlehem di Tebing Barat. Ini akan merosakkan lagi prospek negara Palestin bagi mencapai rundingan  penyelesaian dua negara.” , katanya.

23 November 2020

Netanyahu Dorong Pembangunan Ribuan Unit Penempatan Baharu Yahudi di Utara al-Quds

Sumber media Israel menyatakan bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sedang berusaha untuk mendorong pembangunan penempatan Yahudi di daerah permukiman “Atarot” di tanah desa Palestin di “Qalandia Al-Balad” dan “Beit Hanina” di utara al-Quds yang diduduki penjajah Israel sebelum berakhirnya tempoh pemerintahan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Televisyen Israel melaporkan bahawa dalam suatu penyataan tertutup, Netanyahu menjelaskan keinginannya untuk mendapatkan persetujuan segera dari Amerika Syarikat untuk langkah tersebut. Dia akan meminta Menteri Luar Negeri Amerika, Mike Pompeo ketika pertemuan di al-Quds nanti untuk menyokong ke arah pembangunan ribuan unit penempatan baharu Yahudi di kawasan tersebut.

Melalui saluran rasmi Israel, pegawai pemerintah yang dekat dengan Netanyahu mengatakan bahawa pemerintah Israel sedang berusaha untuk memaksakan keberadaan penempatan baharu Yahudi di lapangan, sebelum presiden AS yang terpilih, Biden, secara rasmi mengambil alih tampuk pemerintan Amerika Syarikat.

Saluran rasmi Israel itu menyatakan para pegawai di sekitar Netanyahu yakin bahawa “apa yang belum diselesaikan (dari pembangunan penempatan) sekarang tidak akan terjadi di bawah pemerintahan Amerika Syarikat yang baharu.

3 Disember 2020

Israel dan Pimpinan Baharu Amerika Syarikat

Beberapa penganalisis politik antarabangsa melihat kepimpinan baharu AS dari parti Demokrat kini mula menimbulkan kegusaran di pihak Israel. Ini kerana Israel melihat penasihat kanan Joe Bidin akan lebih cenderung untuk menyelesaikan konflik Arab-Israel dengan memihak kepada Palestin dan meletakkan agenda perjuangan Palestin sebagai isu utama yang perlu ditangani.

Pihak Israel mengandaikan pimpinan baharu Biden akan memulihkan hubungan dengan pihak berkuasa Palestin, memperbaharui bantuan luar negara, membuka kembali pejabat pentadbiran Organisasi Pembebasan Palestine (PLO) di Washington dan konsulat Amerika di Al-Quds, mengembalikan perbincangan kesepakatan dua negara dan menentang rancangan penerokaan Israel di Tebing Barat.

Tindakan ini dilihat sebagai berbeza dengan sikap negara-negara teluk yang kini di katakan lebih berminat kepada usaha normalisasi dengan mendahului kepentingan peribadi dan mengenepikan hak-hak dan perjuangan Palestin. Negara Teluk lebih cenderung untuk meluaskan kerjasama komersil dan politik dengan pihak penjajah Israel.

10 Disember 2020

Israel Rampas Ratusan Ekar Tanah Pertanian Palestin di Nablus Selatan

Pihak berkuasa rejim Israel telah merampas ratusan ekar tanah warga Palestin di kawasan Burin, Maduma, Ashirah, Qabaliya, Nablus Selatan dengan tujuan meluaskan pemukiman Zionis Yetsahar.

Menurut Koordinator Pemukiman Tebing Barat Utara, Ghassan Douglas, rejim Israel turut menyerahkan surat waran rampasan di beberapa wilayah yang lain untuk tujuan pemukiman baru dan pelebaran jalan untuk kepentingan pemukiman zionis tersebut.

Douglas menambah pihak Israel betujuan menyita dan merampas tanah pertanian di kawasan sekitar dan seterusnya membangunkan rumah-rumah pemukiman Yahudi, mengakibatkan warga Palestin makin tersisih ke pendalaman.

15 Disember 2020

Hamas Sifatkan Normalisasi Maghribi Sebagai Tikaman Beracun Kepada Perjuangan Palestin

Ketua Blok Perubahan dan Reformasi Parlimen Hamas, Mahmoud Al-Zahhar, mengatakan bahawa pengisytiharan Maghribi untuk memulihkan hubungan dengan Israel adalah umpama “tikaman beracun” bagi perjuangan Palestin dan seluruh negara Islam.

Semasa berucap di Majlis Perundangan Palestin (Parlimen) di Gaza pada hari Ahad lalu, Zahhar menegaskan bahawa normalisasi rejim Maghribi dengan penjajahan Zionis adalah pengkhianatan terhadap rakyat Palestin dan perjuangan murni mereka.

Beliau mengatakan bahawa normalisasi ini juga merupakan pengkhianatan kepada para syuhada Maghribi yang telah mempertahankan tanah Kota Suci Al-Quds sambil menyifatkananya sebagai “penyimpangan sepenuhnya oleh rejim normalisasi dengan penjajahan (Israel) dari nilai-nilai dan pendirian bangsa Arab dan negara Islam.”

Justeru itu, Zahhar meminta rakyat Maghribi, dengan semua komponen dan kekuatan yang ada, untuk secara aktif menentang kezaliman normalisasi dan tidak menerima tawaran murah yang dibawa oleh Presiden Trump dengan mengorbankan hak, pendirian dan kesucian negara umat Islam.

23 Disember 2020

Hamas Kritik Tindakan Politik Pihak Berkuasa Palestin

Jurucakap Hamas, Hazim Qasim dalam kenyataan bertulisnya mempersoalkan pihak berkuasa Palestin pimpinan Mahmud Abas yang tidak meletakkan syarat untuk memulakan semula hubungan dengan Amerika agar menarik balik pengakuan Al-Quds sebagai ibukota Israel dan mengkaji semula kedudukan kedutaannya di Al-Quds, sedangkan dua isu tersebut menjadi sebab utama pemutusan hubungan Palestin – Amerika. Kenapa pihak berkuasa Palestin tidak tegas dan sanggup tunduk demi memuaskan Amerika, soal beliau lagi.

Pihak berkuasa Palestin di katakan meminta Amerika membuka kembali pejabat perwakilan Palestin di Washington dan mengembalikan pejabat konsul Amerika di Al-Quds Timur dan menolak rancangan aneksasi Israel sebagaimana di tetapkan oleh Netanyahu sebagai syarat untuk menyambung semula hubungan diplomatik dengan Amerika yang telah terputus.

30 Disember 2020

Rejim Zionis Memanfaatkan Wabak Covid-19 Bagi Menjayakan Agenda Israel

Anggota Jawatankuasa Pertahanan wilayah Al-Quds dan Jawatankuasa Pembela Al-Aqsha, Shaleh al-Syuwaiki menegaskan, penjajah zionis telah cuba memanfaatkan wabak Covid-19 tahun 2020 untuk melancarkan tindakan Yahudinisasi terhadap Al-Aqsa dan mengizinkan para pendatang Zionis menodai kesucian Al-Aqsa lebih dari sebelumnya.

Dalam wawancara khusus dengan Pusat Informasi Palestin, Syuwaiki mengatakan, persoalan Al-Quds dan Masjidil Aqsa merupakan isu bagi seluruh umat Islam. Justeru itu, beliau menyeru seluruh umat Islam untuk memikul tanggungjawab dalam mendokong perjuangan umat Palestin untuk menyelamatkan Al-Aqsa dan kota Al-Quds.

Sejak awal Mac 2020, iaitu ketika bermulanya ancaman wabak Covid-19, penjajah Israel melancarkan pelbagai penipuan untuk melancarkan Deal of Century, dan melakukan proses Yahudinisasi Al-Quds dalam waktu yang sangat cepat. 

Rejim Yahudi menegaskan kepada dunia bahawa Al-Quds merupakan ibukota Israel Raya, namun pada hakikatnya, para pelancong asing yang mengunjungi Al-Quds mengetahui hal yang sebenarnya; bahawa Al-Quds barat tidak berhadapan dengan sebarang rintangan dan sekatan, sebaliknya di Al-Quds timur, ianya penuh dengan pelbagai sekatan dan ancaman militan zionis, ujar Syuwaiki.


Wallahu a’alam (MMO)



No comments:

Post a Comment