Saturday, December 26, 2020

DIARI KEHIDUPAN XVIII : MAGHRIBI TURUT MEMULIHKAN HUBUNGAN DENGAN ISRAEL


       Pegawai kanan Maghribi dan Israel menandatangani perjanjian pemulihan hubungan Maghribi-Israel di Rabat pada 22 Disember 2020 


Hanya selang beberapa minggu kita dikejutkan dengan pendirian beberapa buah negara Arab/ Islam bertindak memulihkan hubungan dengan Israel, pada 10 Disember lalu sebuah lagi negara yang selama ini berada di pihak yang menyokong perjuangan Palestin secara tiba-tiba mengorak langkah memulihkan hubungan dengan Israel. 

Negara itu adalah Maghribi, yang menjadi negara Arab/ Islam keempat tahun ini memulihkan hubungan dengan Israel selepas UAE, Bahrain dan Sudan. 

Pengumuman mengenai persetujuan Maghribi untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel itu telah dibuat oleh Presiden Donald Trump yang sebelum ini turut memainkan peranan sebagai peneraju kepada usaha pemulihan hubungan Israel dengan UAE, Baharain dan Sudan. 

Trump, ketika mengumumkan keputusan Maghribi itu, telah menyatakan bahawa perkembangan yang berlaku adalah penting dari sudut perdamaian jangka panjang di Timur Tengah. Beliau juga berharap agar banyak lagi negara Arab yang akan mengikut jejak langkah yang sama.

Serentak dengan itu Trump juga turut mengumumkan persetujuan kedua-dua negara untuk segera membuka pejabat perhubungan masing-masing di Rabat dan Tel Aviv sebagai langkah awal ke arah pembukaan pejabat kedutaan kemudian nanti. Juga turut diumumkan adalah persetujuan kedua-dua negara untuk memulakan penerbangan dua hala di antara satu sama lain.

Banyak pihak yang tertanya-tanya, apa pula sebab musababnya Maghribi secara tiba-tiba sanggup berbaik dengan Israel kerana dengan tindakan itu ianya sudah pasti boleh menguatkan kedudukan Israel dalam berhadapan dengan tuntutan Palestin ke arah pembentukan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Pergerakan Hamas malah menyifatkan persetujuan itu sebagai ‘dosa politik’ di mana rejim Israel dijangka akan menggunakan proses normalisasi tersebut untuk menghalalkan dasar serta tindakan ganas terhadap penduduk Palestin dan memperluaskan secara berterusan pencerobohan ke atas wilayah Palestin.

Jawabnya, tidak lain, adalah kerana Presiden Donald Trump sekoyong-koyong menyokong kedulatan Maghribi ke atas wilayah yang sejak berpuluh-puluh tahun dipertikaikan status kedaulatannya iaitu Sahara Barat. 


Peta Maghribi dan wilayah Sahara Barat yang menjadi pertikaian


Hal ini telah dinyatakan sendiri oleh Trump melalui kenyataan yang dikeluarkan dari Rumah Putih iaitu bahawa Amerika Syarikat (AS) turut 'mengiktiraf kedaulatan Maghribi di seluruh wilayah Sahara Barat' - tindakan yang dipercayai dibuat sebagai menghargai persetujuan Maghribi untuk memulihkan hubungannya dengan Israel.

Pengumuman Trump mengenai status Sahara Barat itu telah mengundang kemarahan yang tidak sedikit daripada gerakan pembebasan nasional, Front Polisario, yang disokong oleh Algeria yang selama ini berjuang bagi mendapatkan kemerdekaan dari Maghribi. 

Serentak dengan itu, Polisario berikrar tidak akan membiarkan ketuanan Sahara Barat dengan mudah terlepas begitu sahaja kepada tangan Maghribi sambil memberi amaran bahawa perjuangan bersenjata Polisario akan terus diperhebatkan bagi mengelakkan perkara itu daripada berlaku. 

Sahara Barat adalah bekas koloni Sepanyol yang terasing dan menjadi rebutan tetapi kawasannya lebih banyak berada di bawah pentadbiran Maghribi. Polisario pada masa ini menguasai kira-kira satu perlima daripada wilayah yang dipertikaikan itu.

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, pada 12 Disember 2020, AS menerusi kenyataan yang dibuat oleh Duta AS di Rabat telah mengumum dan mempamirkan 'peta rasmi baharu' Maghribi yang merangkumi keseluruhan wilayah yang menjadi pertikaian di Sahara Barat.

"Peta ini adalah lambang jelas proklamasi Presiden Trump dua hari lalu, yang mengiktiraf kedaulatan Maghribi terhadap Sahara Barat," kata duta itu.

Beliau kemudian menandatangani 'peta rasmi baharu kerajaan AS bagi kerajaan Maghribi' dalam satu majlis di Kedutaan AS di Rabat dan akan mempersembahkan peta itu kepada Raja Maghribi, Raja Mohammed VI.

Selain Polisario, Algeria, jiran Maghribi yang juga menjadi pesaing serantaunya, juga penyokong kuat Barisan Polisario, mengkritik keras langkah itu sambil mendakwa ia bertujuan untuk menggugat kestabilan Algeria.

"Ketika ini, wujud keinginan oleh entiti Zionis untuk menghampiri sempadan kami," kata Perdana Menteri Algeria, Abdelaziz Djerad, yang merujuk kepada Israel.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, ketika mengulas perkembangan yang berlaku, menyifatkan pelan damai yang dikemukakan AS jelas mahu melemahkan perjuangan Palestin bagi menuntut kemerdekaan.

Beliau berkata, jelas sekali pelan damai ciptaan AS itu berat sebelah apabila ia hanya menguntungkan rakan sekutu mereka iaitu Israel.

“Pelan damai itu adalah rancangan kemusnahan untuk Palestin. Ia dicipta untuk memenuhi dua matlamat utama mereka merampas Baitulmaqdis dan merampas tanah milik Palestin.

“Pelan itu yang direka khusus untuk menamatkan kesengsaraan Palestin sebenarnya mahu menukarkan semua hak yang kami ada kepada Israel, dan menguburkan penyelesaian kedua negara,” katanya ketika dialog tertutup bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpu baru-baru ini.

Demikianlah, bersandarkan sebuah perhitungan politik yang berkiblatkan kepentingan dunia, sebuah perjuangan yang pada awalnya berteraskan perjuangan bagi membela agama (nasib umat dan negara Palestin) akhirnya tergamak digadaikan! Dan kini, Maghribi pula tersenarai bersama-sama UAE, Bahrain dan Sudan dalam kumpulan mereka yang dilihat sebagai mengkhianati perjuangan umat Palestin dalam menuntut kemerdekaan bagi penubuhan sebuah negara sendiri yang berdaulat dan merdeka.

Persoalan yang mengasak di fikiran kita sekarang adalah siapa lagi atau banyak mana lagi di antara negara-negara Arab/ Islam yang tergamak untuk menggadai sokongan kepada Palestin semata-mata bagi mengejar ‘keuntungan dunia’ yang dihidangkan kepada mereka?   

Apakah benar desas-desus bahawa selepas ini Oman dan Indonesia juga akan turut menjalin hubungan diplomatik dengan Israel? 

Apa pun, kita merasa lega apabila Indonesia menafikan dakwaan media Israel bahawa negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu, berusaha menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Tel Aviv. 

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Teuku Faizasyah dalam satu kenyataan menyatakan bahawa tidak ada kemungkinan tersebut, dan kementerian itu tidak pernah berhubung dengan Israel.

“Dalam menjalankan dasar luar negeri Indonesia berkaitan dengan isu Palestin, Kementerian Luar Negeri secara konsisten bekerja sesuai dengan mandat Perlembagaan,” kata Teuku.

Kenyataan itu dikeluarkan setelah akhbar harian berbahasa Inggeris Israel, ‘The Jerusalem Post’ memetik sumber diplomatik yang tidak disebutkan namanya, melaporkan bahawa Oman dan Indonesia bakal menjadi negara seterusnya untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dalam beberapa minggu mendatang. 

Indonesia sejak sekian lama menjadi penyokong kuat perjuangan negara Palestin dan telah menolak untuk berkomunikasi dengan Israel. Semasa berucap di Majlis Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 3 September, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengulangi sokongan negaranya untuk Palestin.

Selain itu, kumpulan Islam Indonesia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin mengecam perjanjian normalisasi baru-baru ini antara beberapa negara Arab dengan Israel. 

Alhamdulillah, kita bersyukur dengan komitmen yang ditunjukkan oleh Indonesia berkaitan isu pemulihan hubungan dunia Arab/ Islam dengan Israel itu. Kita juga berharap agar janganlah ada lagi negara lain yang sanggup mengikut jejak tempang negara-negara Arab/ Islam yang sudah termakan pujuk AS dan Israel itu sehingga bertindak secara yang boleh merugikan Palestin dalam tuntutan mereka bagi mendapatkan sebuah negara sendiri yang berdaulat dan merdeka.


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment