Sunday, February 25, 2018

A.M. AZAHARI, SULTAN DAN BRUNEI RAYA (Bahagian 9)


Darah Merah Sama Sahaja 

Tiada siapa terfikir, A.M. Azahari yang dikirim oleh pentadbir Jepun belajar sains pertanian  di Bogor, di tanah jajahan takluk Belanda di Asia Tenggara itu didakwa oleh Kuasa Penjajah British sebagai  bukan watan Brunei. 

Tidak dinafikan dalam darah A.M. Azahari mengalir darah Arab, tetapi yang masih lekat hanyalah sesudu dua daripada darah setubuh jejaka itu. Kira-kira sama dengan susur galur kerabat sultan Brunei yang silih berganti, ikut mengalir darah Arab sejak dari Sultan Syarif Ali yang bersemayam pada tahun 1425-1433.

Zaman beredar, sesudah sekian lama, darah merah serupa saja dan yang mengalir di dalam tubuh masing-masing pun sama saja, tidak lagi sepekat darah Brunei asli, malah kita sendiri pun tidak tahu dari mana harus memulai realitinya asli dan jati Brunei itu.

Malah di kalangan rakyat Brunei percaya zuriat kembar Saidina Hassan dan Saidina Hussein bin Ali bin Abu Talib bertaut dan bertemu di Brunei dalam jasad Sultan Omar Ali Saifuddein dan A.M. Azahari. 

Kenapa Mesti Memohon Status Kerakyatan? 

Sekembalinya ketanah air dari Indonesia pada tahun 1952, A.M. Azahari dinasihatkan oleh pejabat Residen supaya memohon mendaftar bagi mendapat status kerakyatan Brunei. Malah dalam satu majlis mengadap, Sultan Omar Ali Saifuddin turut menasihatkan A.M. Azahari supaya memohon status kerakyatan Brunei secara berdaftar.

A.M. Azahari berdatang sembah  menolak anggapan yang beliau itu bukan rakyat jati Brunei. Beliau tetap berpegang kepada kenyataan bahawa  beliau adalah anak watan kelahiran Brunei. Walaupun ayahnya lahir di Labuan, tetapi Labuan dalam pendirian politik beliau adalah milik Brunei yang dirampas oleh penajajh British.

Hingga ke akhir hayatnya A.M. Azahari menolak dakwaan yang beliau bukan rakyat jati Brunei justeru beliau tidak rela memohon menjadi warga negara yang berdaftar seperti ‘cina kaling’,  yang mencari untung di negaranya Brunei Darussalam. Statusnya sebagai anak jati Brunei   tidak boleh  ditakwil lagi. 

Dendangan Lagu Penjajah 

Apa jua kesilapan dan kelemahan A.M. Azahari dan Parti Rakyat Brunei (PRB) adalah satu hal yang malang dan mendukacitakan. Namun, pada hakikatnya, hanya beliau dan partinya saja yang berani kehadapan memulas-mulas telinga penjajah yang jahat itu.

Hanya A.M. Azahari dan PRB yang berani menuding, menerjah dan menghambat penjajah British dari pejabat Residen di “Bumbungan Dua  Belas” di Pekan Brunei,  hingga ke London dan   Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York. Kemuncak perjuangan PRB ialah apabila lulusnya resolusi PBB 3424 (XXX) 8 Disember 1975 berkait tuntutan kemerdekaan PRB.

Yang anehnya, ada pula orang yang buta mata hati menganggap kemerdekaan Brunei itu dihadiahkan penjajah British di atas dulang emas justeru mereka yang berjuang itu adalah penjenayah  yang tidak terampun. 

Mereka tidak sedar bahawa kemerdekaan itu telah diperjuangkan oleh rakyat dengan  pengorbanan yang besar.  Sebaliknya mereka yang anti perjuangan kemerdekaan ini lah yang meraih hasil, hidup mewah dan berkuasa sebaik Brunei mencapai kemerdekaan. 

Bingkisan Terakhir Buat Sultan 

Pada bulan November 1999, ketika A.M. Azahari sedang sakit di Bogor Indonesia, beliau meminta Sdra. Mahmud Morshidi Othman yang menziarahinya waktu itu supaya memanjangkan hasratnya kepada Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zzaddin Waddaulah, mohon izin untuk kembali ke Brunei.

Lalu pada 31 Disember 1999 Sdra. Mahmud Morshidi Othman mengutus warkah kepada Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui’zaddin Waddaulah,  antara lain menulis: “...Adapun hajat tersurat hamba Kebawah Duli Tuan Patek ialah untuk menyembahkan amanah bapa saudara hamba Kebawah Duli, iaitu Tuan Sheikh A.M. Azahari bin Sheikh Mahmud (Pak Azahari), yang kini sedang uzur dan masih berada di Bogor, Indonesia yang meminta hamba Kebawah Duli agar menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli akan hasrat beliau untuk merayu, memohon perkenan dan izin Kebawah Duli untuk kembali ke tanah air sebagai seorang rakyat Negara Brunei Darussalam”. 

“...Hamba Kebawah Duli Tuan Patek telah difahamkam oleh keluarga Pak Azahari bahawa ini bukanlah kali pertama beliau melahirkan hasrat untuk kembali ke Brunei. Walau bagaimanapun. Pak Azahari dan keluarganya masih tidak putus asa untuk terus merayu, dan memohon ehsan Kebawah Duli agar kiranya dapat menimbangkan hasrat beliau dan seluruh ahli keluarganya untuk kembali ke Brunei”.

“Secara peribadi, izinkan hamba Kebawah Duli Tuan Patek melahirkan rasa dukacita dan simpati yang teramat sangat melihatkan tahap kesihatan Pak Azahari masakini dan hasrat berterusan beliau untuk kembali ke tanah air yang belum kesampaian. Dalam hal ini hamba Kebawah Duli sedar betapa undang-undang boleh menjadi alasan untuk menolak rayuan dan mengenepikan kes ini”.

“Walau bagaimanapun, atas sifat Kebawah Duli sebagai Perdana Menteri serta Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Tuan Pateklah selayaknya tempat terakhir rujukan dan rayuan sekalian rakyat. Yang demikian, mudah-mudahan tidaklah menjadi kesalahan dan kemurkaan kepada Kebawah Duli bagi hamba Kebawah Duli bagi pihak Pak Azahari untuk memohon ‘syafaat’ Kebawah Duli Tuan Patek kiranya dapat mengangkat segala halangan yang wujud apatah lagi kes Pak Azahari ini adalah kes politik yang barang sudah tentunya tidak dapat diselesaikan melalui saluran perundangan atau peraturan imigresen.” 

Pecah Piring Musnahlah Harapan 

Kira-kira dua setengah bulan selepas tarikh warkah yang dikirim itu, Sdra Mahmud Morshidi Othman menerima sampul berlogo Pejabat Kebawah DYMM.  Menggigil juga tangan ini menjawat sampul itu. Dalam hati berdetik,  pasti ada berita yang menggembirakan dari tanah air.

Surat yang diterima itu  adalah jawapan dari Pejabat Kebawah DYMM Sultan  bertarikh 13 Mac 2000 ditandatangani oleh Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Paduka Haji Awang Mohd. Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd. Taha, Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia, Kebawah DYMM (Bil: HHPO 12/1964/XVIII).

Antara lain surat tersebut berbunyi, “...Pada menjunjung titah perintah Baginda selanjutnya, inilah dimaklumkan bahawa menurut maklumat hasil daripada penyiasatan dan penelitian tersebut, maka Jawatankuasa yang berkenaan tidak dapat mempertimbangkan rayuan Awang itu oleh kerana salah satu sebab penolakan itu dibuat ialah disebabkan bapa saudara Awang iaitu Sheikh A.M. Azahari bukannya rakyat Negara Brunei Darussalam.”


 


Sdra Mahmud Morshidi Othman terduduk  gemantar  sebaik membaca surat tersebut. Pecah piring, musnahlah harapan…. Lalu bagai mana untuk menyampaikan berita duka ini kepada A.M. Azahari yang dalam keadaan masih uzur dan terlalu mengharap?. 

Surat Kedua 

Kemudian pada 28 Mac 2000, sekali lagi Sdra Mahmud Morshidi Othman menerima satu lagi  surat daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Tatkala menerima surat kedua  ini beliau tidaklah secemas mana seperti surat dari istana beberapa hari lalu.

Surat yang ditanda tangani oleh Haji Abdul Rahman Haji Mohiddin, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri mengandungi mesej yang sama: 

“...Saya seterusnya diarahkan untuk memaklumkan kepada Awang bahawa permohonan Awang supaya bapa saudara Awang itu dibenarkan balik ke Negara Brunei Darussalam adalah tidak dapat dipertimbangkan”.



Usaha Seterusnya…. 

Ahli keluarga A.M. Azahari masih belum berputus asa.  Pada tahun 2001/2002, Dr Mahmud Saedon Othman, keponakan A.M. Azahari meneruskan usaha untuk mendapatkan perkenan Baginda Sultan  untuk membawa balik A.M. Azahari yang uzur itu ketanah air.

Malangnya usaha beliau itu juga tersekat dipertengahan jalan dek ditimpa kerenah “gate keeper” dan para apparatchik.  Justeru  sekali lagi hasrat ini terhalang. Hatta jenazah beliau pun tidak dibenarkan untuk dibawa pulang ke Brunei.

Sedihnya, halangan kali ini bukan lagi dipaksakan oleh penguasa penjajah British, tetapi oleh penguasa negaranya yang merdeka, di mana A.M. Azahari ada saham mendudukkan mereka di aras kuasa. 

Ironis 

Ironinya,  A.M. Azahari memiliki passport British berstatus “British Protected Person of Brunei” sama dengan status passport dimiliki Sultan Omar Ali Saifuddein  ketika itu. A.M. Azahari  juga memiliki sebidang tanah di Kampung Kumbang Pasang, Bandar Seri Begawan atas namanya sendiri hingga sekarang.



Dimanakah logiknya kalau A.M. Azahari bukan rakyat Brunei boleh memimpin sebuah parti politik,  Parti Rakyat Brunei (PRB),  kalau  Brunei itu bukan negerinya?. Pada tahun 1958, Beliau diterima dalam rundingan kemerdekaan oleh Setiausaha Tanah Jajahan British di London atas kapisiti beliau sebagai  Ketua Umum PRB.

Demikian juga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetap mengiktiraf beliau sebagai pemimpin PRB  dan menjemput beliau untuk membentangkan kes tuntutan kemerdekaan Brunei di badan dunia itu. Malah beliau dua kali hadir di sidang PBB, iaitu pada bulan Julai dan Bulan Disember 1975 sehingga lulus sebuah resolusi mengenai kemerdekaan Brunei 3424 (XXX) 8 Disember 1975. 

Cerita Malang 

Bukannya suatu yang begitu mudah untuk melupakan segala pengalaman pahit dilalui keluarga besar A.M.Azahari  ini.  Jika A.M. Azahari memaksakan dirinya untuk masuk ke Brunei, risikonya ialah, sama ada beliau akan dimalukan,  dihambat keluar di pintu masuk immigresen atau  disumbatkan kedalam ‘Pusat Tahanan Jerudung’ tanpa diadili.

Di zaman penjajah, disumbatkan ke dalam tahanan tanpa diadili adalah permainan penguasa  yang berlindung disebalik ‘demi keselamatan negara’ iaitu kuasa yang dititipkan  oleh undang-undang darurat kepada Baginda Sultan, undang-undang kejam yang sudah berumur lebih setengah abad  hingga ke hari ini.

Pengalaman pahit yang dilalui oleh ahli keluarga besar A.M.Azahari yang turut terhukum gara-gara pemberontakan rakyat 1962 itu adalah suatu cerita malang. Kendati pun begitu, pengalaman itu tetap dirasakan sebagai sebahagian tuntutan perjuangan demi mendaulatkan raja dan mengangkat darajat nusa bangsa.

Keluarga A.M. Azahari Pasrah di atas segala penderitaan yang dilalui. Dalam sebak mengenang nasib malang keluarga besar ini, mereka  masih boleh melontarkan senyum.  Sekadar untuk jadi ristaan, saudara kandung A.M. Azahari bernama Sheikh Mohammad ditahan selama 18 tahun dan kembali Kerahmatullah pad 9 Jun 1988 iaitu empat setengah tahun setelah Brunei  mencapai kemerdekaan.

Hanya selepas tujuh tahun didalam tahanan baharulah pihak berkenaan membenarkan keluarga Sheikh Mohammad menziarahinya di dalam tahanan. Sheikh Mohammad kembali Kerahmatullah ketika berada dalam tahanan.

Adik A.M. Azahari bernama Sheikh Othman pula kembali Kerahmatullah dalam satu pertempuran dengan gerombolan pasukan keselamatan British dalam bulan April 1963, ketika berumur 30 tahun. 

Seorang lagi adik A.M. Azahari bernama Sheikh Salleh perancang utama “operation  liberty” 1973 (pelarian tahanan politik Brunei ke Malaysia 12 Julai 1973)  berada dalam buangan di Malaysia  selama 41 tahun.  Seperti nasib A.M. Azahari, adindanya Sheikh Salleh juga tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke tanah airnya sehingga beliau kembali Kerahmatullah ketika di perantauan pada17 Oktober 2014.

Seorang abang A.M. Azahari bernama Sheikh Nikman ditahan selama 18 tahun. Asnan Othman anak saudara A.M. Azahari juga pernah  ditahan selama 14 tahun, malah ramai lagi suku sakat beliau bersama lebih 2,500 orang anggota Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) yang mengangkat senjata untuk menghalau penjajah British, dan pengikut PRB yang ditangkap secara borong  dipenjarakan bertahun lamanya tanpa diadili.

Ada di antara mereka yang dipenjarakan itu bukan  kerana mereka mengangkat senjata, tetapi sekadar dijadikan mekanisma deterent bertujuan untuk mempamirkan kuasa dan menakut-nakutkan rakyat. 

Rindu 

Hingga akhir hayatnya A.M. Azahari sentiasa melahirkan kerinduannya terhadap tanah airnya. Beliau tidak mengharap untuk diberikan jawatan dan gelaran, beliau tidak menuntut apa-apa kecuali menaruh harapan akan diberi kesempatan untuk menghidu udara Brunei merdeka dan mohon disemadikan disisi pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Dagang. Sedihnya, tiada siapa jua yang sudi  menyambut hasratnya dan  mendengar rayuannya.

Yang amat dikesalkan ialah,  penjajah British telah pergi, tetapi pemikiran penjajah tetap juga tidak keluar dari perbatasan negara. A.M. Azahari juga telah pergi, namun dia tidak akan rugi apa-apa, yang rugi ialah penguasa, ketika mana nilai ehsan dan keadilan itu dicabut oleh Allah SWT dan digantikannya dengan kezaliman.

Wallahu a’alam (MMO). 

 

*******


5 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. makar allah lebih hebat,kita tungu dan lihat sahaja nanti,setiap kezaliman pasti ada hukumannya,bumi milik allah dan segala isinya

    ReplyDelete
  3. SEDAR DIRI lebih BAIK dari MERAYU-RAYAN...disebalik mahukan kemerdekaan TERSELIT ingin MELENYAPKAN KUASA RAJA2...pemberontakkan yang dipimpin bercampur baur dengan KERAKUSAN KUASA disebalik dada NAFSU yang berkobar ingin LEDUDUKKAN walau dinafikan disebalik kata2 pujangga...kerna...RAJA bukanlah jiwa yang biasa2 sehinggakan Almarhum Raja Begawan adalah diantara WALI (kekasih allah) AKHIRAT

    ReplyDelete
  4. Seorang pejuang itu tegas dan berani, kenapa tidak kembali saja ka Brunei untuk menyatakan kebenaran. kebenaran itu akan tetap benar, seperti kata perpatah berani kerana benar dan takut kerana salah. Apa kah yang menghantui pikiran seorang pejuang, bukan kah hanya menegakkan kebenaran. jadi kenapa mesti takut pada jukuman. jika dalam hati ada Allah, di atas keikhlasan perjuangan itu..... Seorang pejuang yang tegar itu mati pun dia sanggup hadapi apa lagi cuma hukuman. Demi menehakkan kebenaran dan cinta pada tanah air....

    ReplyDelete
  5. #hukuman #menegakkan

    ReplyDelete