Thursday, May 28, 2020

DIARI KEHIDUPAN v : ISLAMOFOBIA (EROPAH)


Demonstrasi membantah kehadiran Islam di Eropah

Saya tertarik hati dengan artikel tulisan seorang pensyarah di University of Exeter, UK, Narzanin Massoumi di bawah tajuk “Why Is Europe So Islamophobic?”. Artikel tersebut yang berupa satu cetusan pandangan secara umumnya cuba menghuraikan punca kepada berlakunya fenomena Islamofobia di Eropah.

Penulis memulakan penulisannya dengan mengenengahkan peristiwa yang berlaku pada bulan Februari 2020 lalu di mana dua serangan ganas terhadap umat Islam di Eropah: satu di Hanau, Jerman dan satu lagi di London, yang mana kedua-duanya berlaku dalam tempoh 24 jam antara satu sama lain. Walaupun keadaannya berbeza - penyerang di Hanau meninggalkan "manifesto" yang penuh dengan teori konspirasi sayap kanan, sementara motif penyerang di London walau pun kurang dipastikan - sasarannya adalah sama - umat Islam. Kedua peristiwa itu telah menambah senarai serangan ganas ke atas umat Islam di seluruh Eropah.

Sehubungan ini, penulis cuba menyenaraikan insiden berkaitan serangan ke atas umat Islam di Eropah di mana pada tahun 2018 sahaja, terdapat peningkatan 52 peratus insiden Islamofobia di Perancis. Sementara itu, di Austria, berlaku kenaikan sekitar 74 peratus. 

Di saat serangan kian meningkat terhadap umat Islam, tokoh-tokoh politik di beberapa buah negara di Eropah khususnya Perancis, Itali dan Belanda didapati telah membuat kenyataan yang berunsur kebencian terhadap Islam dan penganutnya. 

Hasilnya, 44 peratus rakyat Jerman, misalnya, melihat wujudnya pertentangan asas antara Islam dan budaya serta nilai-nilai Jerman yang secara langsung menjadi faktor yang menjarakkan hubungan di antara mereka. Keadaan yang serupa berlaku di Finland dengan 62 peratus rakyat negara itu dikatakan berpandangan negatif terhadap Islam. Di Itali, peratusannya berada pada paras 53 peratus. 

Penulis menyatakan bahawa di sebalik adanya prasangka dan unsur-unsur tekanan terhadap umat Islam di kebanyakan negara Eropah, terdapat banyak organisasi dan individu Islam yang berjaya dalam memajukan agenda mereka. 

Di kebanyakan negara Eropah, fenomena Islamofobia lebih banyak terjelma dalam bentuk gerakan jalanan sementara di kalangan parti politik, isu ini semakin banyak dieksploitasi bagi meraih sokongan rakyat tempatan. Hasilnya, wujud beberapa slogan kebencian yang dihalakan terhadap warga Islam, khususnya dari kalangan rakyat asing yang diberikan taraf kewarganegaraan. Mereka sering dianggap sebagai ancaman terhadap kehidupan aman sesebuah negara.

Pendeknya, dari isu yang bersifat jalanan, Islamofobia kini telah dimasukkan ke dalam agenda kehidupan politik di kebanyakan negara di Eropah.

Kini telah hampir 20 tahun slogan "Perang melawan keganasan" - yang menonjolkan umat dan agama Islam sebagai ancaman terhadap “ketamadunan Barat" - telah dicambahkan di jiwa dan pemikiran rakyat Eropah. 

Malah, dalam beberapa peristiwa, ia turut dijadikan sebagai “tiket” untuk menghalalkan sesuatu gerakan yang dihalakan terhadap Islam, negara dan umatnya seperti yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Libya, Yaman dan Syria.  

Di dalam negara, baik di Eropah mahu pun Amerika Syarikat, dasar pencegahan keganasan ditujukan secara terang-terangan terhadap umat Islam berbanding dengan ancaman yang berkemungkinan ditimbulkan oleh pihak lain. 

Di UK, misalnya, seseorang warga asing yang beragama Islam khususnya dari negara yang ditandakan sebagai “negara pelindung keganasan”, mungkin akan berhadapan dengan berpuluh-puluh sekatan ketika cuba masuk ke negara itu.  Nama mereka akan digeledah di bawah Jadual 7 Akta Keganasan - undang-undang yang membolehkan seseorang ditahan di mana-mana pintu masuk tanpa "kecurigaan yang munasabah". 

Sementara itu, wujud kecenderungan yang semakin nyata dalam kalangan beberapa negara yang cuba mewujudkan dasar atas nama "memerangi ekstremisme ganas" dengan memusatkan perhatian pada ancaman radikalisasi dan ekstremisme agama. Dasar-dasar tersebut telah diperluaskan dalam institusi kepolisian dan pencegahan keganasan dengan menyasarkan Islam dan umatnya sebagai punca kepada permasalahan.

Dalam suasana kecurigaan seperti ini, jaringan organisasi dan individu yang cuba memprojekkan Islam dan umatnya sebagai "ancaman" telah berkembang “bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan”. 

Di Eropah, terbentuk kumpulan seperti “Hentikan Islamisasi Denmark” dan “Liga Pertahanan Inggeris” yang telah secara terang-terangan menjadi pusat untuk mengaitkan keganasan dengan Islam.

Di Amerika, terdapat beberapa pergerakan seperti Forum Timur Tengah dan Pusat Dasar Keselamatan - yang disebabkan mempunyai hubungan rapat dengan pemerintahan pusat - berjaya memprojekkan adanya hubungan kuat Islam dengan "ancaman pengganas" luar - suatu dakwaan yang sejauh ini sering dibangkitkan oleh Presiden Trump. 

Dalam pada itu, kejayaan parti-parti sayap kanan di kebanyakan negara Eropah dalam memanipulasikan isu Islamofobia dan politik pencegahan keganasan sebagai sumber sokongan kepada parti masing-masing, ianya telah mendorongkan isu Islamofabia untuk dimasukan ke dalam retorik politik dan dasar kebanyakan parti politik berhaluan kanan di kebanyakan negara Eropah.

Pemimpin politik ini didapati sering memberi amaran terhadap "keganasan Islam" (Canselor Angela Merkel dari Jerman) dan ketidakcocokan dengan nilai-nilai Eropah "pemisahan Islamis" (Presiden Emmanuel Macron dari Perancis). 

Pengharaman tudung kepala di pelbagai tempat awam - dari larangan di sekolah di Perancis dan Jerman hingga larangan menutup wajah di ruang awam di Denmark, Belgium dan Perancis - semuanya menunjukkan bagaimana sentimen anti-Islam telah bergerak secara komprehensif dari isu picisan masyarakat kepada isu besar keselamatan pada kacamata pusat pemerintahan.

Di UK, kita dapat melihat “lingkaran Islamofobia yang ganas”, yang kemudiannya menjadi ikutan beberapa negara lain di Eropah. Negara ini memperkenalkan undang-undang yang secara jelas mensasarkan umat Islam dengan memperluas undang-undang bagi mengaitkan apa jua tindakan yang dicurigai dari sudut keselamatan sebagai mempunyai pertalian dengan keganasan. Motifnya, tidak lain, adalah untuk membangkitkan sentimen Islamofobia di khalayak ramai.

Dengan bertunjangkan kepada fenomena seperti ini, penulis berpandangan adalah suatu yang kian sukar bagi kita untuk menentu-sahkan punca kepada berlakunya sesuatu perilaku keganasan pada masa ini - apabila sesuatu pengadilan dibuat semata-mata bagi memenuhi acuan pemikiran dan kehendak di pihak pemerintah yang berkepentingan. 


Wallahu a’alam (MMO)




No comments:

Post a Comment