Friday, November 20, 2020

DIARI KEHIDUPAN XVII : PALESTIN - HARAPAN TERHADAP KEPIMPINAN BAHARU DI AMERIKA SYARIKAT

 

Sekumpulan belia Palestin memerhati penempatan haram Yahudi di wilayah mereka

Pada 3 November 2020 lalu selesailah proses pemilihan pucuk pimpinan di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan Joe Biden dipilih untuk menggantikan Donald Trump sebagai Presiden baharu bagi negara itu. 

Kemenangan Biden telah mendapat reaksi positif dari hampir semua negara besar di dunia, termasuk negara-negara di Eropah dan China. Rata-ratanya pemimpin di seluruh dunia mengharapkan hubungan yang lebih baik yang bakal terjalin antara negara mereka dengan AS di bawah kepimpinan baharu, khususnya dalam konteks mempertingkatkan lagi persefahaman dan kerjasama dua hala dengan negara masing-masing.

Tidak ketinggalan dalam menyegerakan perutusan tahniah itu adalah negara-negara Arab, termasuk Palestin. 

Pada 7 November 2020, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haneyya dalam perutusan tahniah beliau telah menyatakan harapan Palestin agar hubungan Palestin - AS akan lebih erat dan bermakna apabila AS berada di bawah kepimpinan Joe Biden nanti. Dalam konteks ini, Palestin berharap Biden akan dapat memperbetulkan hala tuju politik yang tidak adil yang telah diambil oleh pentadbiran sebelumnya terhadap rakyat Palestin, terutama berkaitan dengan “Perjanjian Abad Ini” (Deal of The Century).

“Dasar AS yang tidak adil telah menjadikan Amerika Syarikat sebagai sekutu dalam ketidakadilan dan keganasan (Israel), merosakkan kestabilan wilayah dan dunia, dan melumpuhkan kemampuan AS untuk menjadi pemain utama dalam menyelesaikan konflik,” kata Haneyya dalam suatu kenyataan ketika mengulas tentang hal-hal yang dibawa ke pengetahuan Biden.

“Rakyat Palestin telah menderita sejak beberapa dekad yang lalu disebabkan ketidakadilan pentadbiran Amerika yang menyokong rejim Zionis, tetapi presiden Trump dan pemerintahannya adalah yang paling melampau dalam sokongan kepada Zionis dengan mengorbankan hak rakyat Palestin,” tegas beliau lagi.

Justeru, beliau mendesak agar pentadbiran Biden kelak memandang berat akan hal ini dan menolak perjanjian yang diusahakan oleh Trump bersama Netanyahu itu. Ini termasuklah membatalkan pengiktirafan AS terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel serta keputusan lain yang berkaitan dengannya yang menyebabkan berlakunya penempatan kedutaan AS ke kota suci itu.

Beliau juga menggesa agar keputusan Trump mengenai isu pelarian Palestin dan penggantungan sokongan kewangan AS untuk UNRWA turut dibatalkan.

Haneyya juga meminta pemerintahan AS yang baharu untuk menghormati kehendak rakyat Palestin, dan menghormati pilihan demokratik mereka serta perjuangan nasional mereka dan untuk tidak memaksa negara-negara serantau memulihkan hubungan mereka dengan Israel.

Di pihak kepimpinan Palestin, perkara-perkara yang dibangkitkan itu, khususnya apa yang disebut sebagai “Perjanjian Abad Ini” adalah antara yang diharapkan agar dapat disegerakan penyelesaiannya oleh pucuk pimpinan baharu di AS apabila Pentadbiran Biden mengambilalih pucuk kepimpinan di Rumah Putih pada Januari 2021 nanti. 

Namun, di sebalik itu, terdapat banyak lagi perkara yang memerlukan perhatian dan tindakan segera AS dalam memastikan negara dan rakyat Palestin dapat hidup sebagai sebuah negara yang aman dan stabil daripada diganggu-gugat setiap masa oleh Israel.

Antara yang paling menonjol dan memerlukan perhatian segera AS, selain isu perjanjan abad ini, adalah tindakan Israel yang tidak pernah leka daripada meneruskan usaha memperluaskan wilayah dan pembinaan penempatan haram mereka di atas tanah Palestin.

Tindakan ini menyaksikan sehingga kini terdapat kira-kira 650,000 penduduk Yahudi tinggal di penempatan haram yang dibina di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki sejak 1967, di mana kesemua penempatan itu melanggar undang-undang antarabangsa.


Wilayah Palestin mengecil disebabkan rampasan tanah
dan pembinaan penempatan haram Yahudi

Presiden Donald Trump ketika diajukan dengan masalah ini dahulu telah bertindak secara songsang dengan kehendak antarabangsa apabila beliau mengisytiharkan penaklukan dan penempatan haram Israel di atas wilayah Palestin tidak lagi dianggap salah disisi undang-undang antarabangsa. Pendirian Trump ini sekaligus menjadi pemangkin yang mendorongkan lebih banyak penempatan haram Yahudi dibina di atas tanah-tanah Palestin yang dicerobohi.

Dalam konteks ini, kita agak kagum dengan tindakan sebuah kumpulan hak asasi “Peace Now” yang berpengkalan di Israel, dalam mendedahkan bahawa pemerintahan Trump membenarkan peningkatan pembinaan dan perancangan penempatan haram serta cuba memastikan pengilhakan Israel Tebing Barat.

“Sepanjang empat tahun Trump memegang jawatan, terdapat perubahan besar dalam pendirian Amerika terhadap penempatan Israel yang telah melanggar persetujuan antarabangsa tentang penyelesaian dua negara. Ini seterusnya menggalakkan pengilhakan,” kata Peace Now dalam laman sesawangnya. 

“Proses pengilhakan yang tidak sah itu telah mencapai peringkat tinggi melalui kelulusan unit penempatan, pelanggaran undang-undang antarabangsa di kawasan sensitif seperti Baitulmuqaddis dan Hebron serta pembinaan lebih 30 kem.” tambah kenyataan NGO itu lagi.

Justeru, Palestin berharap pentadbiran baru di Rumah Putih kelak dapat memahami kebimbangan ini dan segera campur tangan bagi memastikan Israel patuh kepada undang-undang antarabangsa yang melarang Israel melakukan pembinaan sedemikian di atas tanah Palestin yang didudukinya.

Di samping hal-hal berkaitan penempatan haram Israel itu, AS juga harus mampu berperanan dalam memastikan rakyat Palestin dapat hidup dan bergerak secara bebas tanpa berhadapan dengan risiko penahanan sesuka hati dan bersifat menekan di pihak keselamatan Israel. Halangan-halangan seumpama ini muncul bak ‘cendawan selepas hujan’ sebaik Trump mewarisi pentadbiran Rumah Putih daripada tangan Presiden Obama sebelum ini. Puncanya - setiap tindakan Israel dalam menekan Palestin ke arah usaha memperkukuhkan ketuanan Israel sentiasa berada di bawah perlindungan dari AS.

Ini belum dihitung perkara-perkara lain yang melibatkan kesukaran kepada kehidupan rakyat Palestin yang berpunca daripada karenah dan tindakan Israel seperti sekatan ekonomi ke atas Gaza yang mengakibatkan rakyat Palestin hidup dalam kemiskinan dan tidak selamat, pelanggaran hak asasi kemanusiaan rakyat Palestin oleh pihak berkuasa Israel seperti serangan, penahanan dan pencolekan sewenang-wenangnya, pemusnahan rumah kediaman dan kebun-kebun pertanian, gangguan terhadap mereka yang mencari nafkah kehidupan seharian, dan tidak kurang pentingnya, kemudahan kesihatan yang serba daif dan kurang serta tidak menjaminkan dari sudut perubatan dan keselamatan. 

Semua ini nampaknya telah meletakkan kepimpinan Palestin dalam harapan yang cukup tinggi terhadap pentadbiran baharu di AS di bawah kepimpinan Presiden Joe Biden untuk mengembalikan situasi hubungan Palestin-Israel kepada setidak-tidaknya, era sebelum pemerintahan Trump yang dicemari dengan pelbagai salah laku dan tindakan yang melanggarkan morma serta undang-undang antarabangsa.

Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment