Thursday, August 30, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : IRAQ



PETA

  

GEOGRAFI

Iraq adalah sebuah negara yang terletak di kawasan Timur Tengah benua Asia. Negara ini berkongsi sempadan dengan beberapa negara Arab seperti Arab Saudi dan Kuwait di sebelah Selatan, Jordan di sebelah Barat, Syria di sebelah Barat Laut, Turki di sebelah Utara dan Iran di sebelah Timurnya. 

Sebahagian besar wilayah Iraq adalah terdiri daripada padang pasir. Daerah subur di Iraq hanya terdapat di daratan beraluan yang berada di sekitar sungai Eufrat dan Tigris. Iraq memiliki garis pantai yang sempit  berukuran 58 km di sekitar Teluk Parsi.

Luas negara Iraq adalah 438,317 km persegi dengan jumlah penduduk seramai 39,192,111 orang. Majoriti daripada mereka adalah dari etnik Arab dan etnik Kurdi.


PROFAIL PENDUDUK




Penduduk Iraq secara umumnya tertumpu di sebelah Utara, Tengah, dan bahagian Timur negara itu, dengan kawasan penempatan kebanyakannya terbentuk di sepanjang Sungai Tigris dan Euphrates. Kebanyakan kawasan di sebelah Barat dan Selatan sama ada mempunyai kepadatan penduduk yang rendah atau tidak berpenghuni.

Kira-kira 70.5 peratus penduduk Iraq adalah merupakan penduduk bandar dengan kadar perbandaran tahunan berkembang sekitar 3.06%. Kawasan perbandaran utama termasuklah Baghdad dengan penduduk seramai 6.643 juta; Mosul 1.527 juta; Basra 1.299 juta; Kirkuk 981,000; Erbil 821,000; dan Najaf 820,000 orang.

Etnik-etnik yang membentuk populasi Iraq adalah terdiri daripada  Arab 75-80%, Kurdish 15-20%, lain-lain 5%. (termasuk Turkish, Syrian, Badawi).

Pertumbuhan penduduk Iraq berlaku pada kadar 2.55 peratus setahun, dengan kadar kelahiran 30.4 orang bagi setiap 1,000 penduduk, sementara kadar kematian, 3.8 orang bagi setiap 1,000 penduduk.

Bahasa rasmi Iraq adalah Bahasa Arab dan Turki/Kurdish. Bahasa-bahasa lain yang dipertuturkan secara meluas adalah Bahasa Syria dan Armenia khususnya di penempatan yang menjadi tumpuan utama etnik berkenaan. 

Kira-kira 95 - 98 peratus penduduk Iraq adalah beragama yang meliputi 64-69 peratus pengamal aliran Syiah dan 29-34 peratus, pengamal aliran Sunni. Jumlah penganut Kristian hanya kira-kira 1.0 peratus, manakala agama dan kepercayaan lain, antara 1-4 peratus.


SEJARAH RINGKAS


Bekas sebahagian daripada Empayar Uthmaniyyah, Iraq diduduki oleh United Kingdom semasa Perang Dunia I. Pada tahun 1920, ia diisytiharkan oleh PBB sebagai berada di bawah pentadbiran UK. Iraq mencapai kemerdekaannya sebagai sebuah kerajaan pada tahun 1932. Pada tahun 1958, Iraq diumumkan sebagai sebuah negara Republik. Sejarah memperlihatkan Iraq diperintah oleh beberapa orang pemimpin yang berpengaruh. Yang terakhir adalah Saddam Hussein dari tahun 1979 hingga 2003. 

Pertikaian wilayah dengan Iran menyebabkan perang lapan tahun Iran-Iraq (1980-88). Pada bulan Ogos 1990, Iraq telah merampas Kuwait tetapi telah diusir oleh pasukan gabungan PBB semasa Perang Teluk (Januari-Februari 1991). Berikutan pembebasan Kuwait, Majlis Keselamatan PBB menuntut Iraq memusnahkan semua senjata beratnya dan membenarkan pemeriksaan PBB. 

Ketidakakuran Iraq terhadap resolusi PBB akhirnya mengundang Amerika Syarikat (AS) untuk memasuki Iraq dan menjatuhkan rejim Saddam Hussein pada bulan Mac 2003. Tentera AS kekal di Iraq di bawah mandat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) sehingga tahun 2009. Satu perjanjian keamanan dua hala Iraq-PBB kemudiannya ditandatangi selepas itu, bertujuan menyediakan prasarana keselamatan dan latihan bagi  pasukan keselamatan Iraq.

Pada bulan Oktober 2005, rakyat Iraq meluluskan perlembagaan dalam satu referendum nasional dan, menurut dokumen ini, memilih 275 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada bulan Disember 2005. Dewan kemudiannya meluluskan perlantikan kebanyakan menteri kabinet pada Mei 2006, sekaligus menandakan peralihan kerajaan Iraq kepada kerajaan berperlembagaan dalam tempoh hampir setengah abad. 

Operasi ketenteraan AS di Iraq berakhir pada pertengahan Disember 2011. Pada bulan Januari 2009 dan April 2013, Iraq mengadakan pemilihan untuk majlis wilayah di semua wilayah bergabenor kecuali bagi Daerah Kurdistan dan Kirkuk. Iraq mengadakan pemilihan DPR pada Mac 2010 dengan memilih 325 wakil dalam Dewan yang diperluaskan. Ini kemudiannya membawa kepada pengistyharan pembentukan kerajaan baru Iraq pada bulan Disember 2010. 

Pada bulan April 2014, Iraq mengadakan pilhanraya baharu DPR dengan memperluas keanggotaan Dewan kepada 328 orang. Perdana Menteri Nuri al-Maliki kemudiannya mengakhiri pentadbirannya selama tiga penggal, membolehkan Perdana Menteri baru Haydar al-Abadi, mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan. Beliau membentuk Kabinet barunya pada September 2014.

Sejak 2014, Iraq telah terlibat dalam kempen tentera melawan ISIS untuk menawan semula wilayah yang hilang di bahagian Barat dan Utara negara itu. Pada tahun 2017, pasukan Iraq menyelesaikan operasi untuk mengambil semula Mosul dan mengusir ISIS dari kubu kuat di beberapa bandar lain di Iraq. Pada akhir 2017, tentera Iraq telah menguasai wilayah yang dipertikaikan di seluruh Iraq Utara yang sebelum ini diduduki dan ditadbir oleh tentera Kurdish. 

Pada Disember 2017, Abadi secara terbuka mengisytiharkan kemenangan terhadap ISIS. Pentadbiran beliau juga dikatakan  sedang mempersiapkan untuk mengadakan semula pilihan raya Iraq pada Mei 2018, tetapi kemudiannya memutuskan untuk menangguhkan pilihan raya tersebut ke suatu tarikh baharu pada Disember 2018.


POLITIK & PENTADBIRAN

              

Sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Iraq adalah sistem pemerintahan Republik Berperlembagaan. Dengan sistem pemerintahan ini, Ketua Negara adalah seorang Presiden yang dipilih secara tidak langsung oleh Dewan Perwakilan Rakyat Iraq  dengan penggal perjawatan selama 4 tahun (sebelum diplih kembali). 

Ketua Pemerintahan adalah Perdana Menteri yang pada dasarnya merupakan orang yang mendapat kepercayaan serta dipilih mewakili parti atau blok terbesar yang mengisi Dewan Perwakilan Rakyat Irak.


EKONOMI



Pertumbuhan KDNK Iraq menurun kepada 1.1% pada tahun 2017 - suatu penurunan yang ketara berbanding dua tahun sebelumnya kerana penggunaan domestik dan pelaburan jatuh berikutan keganasan awam dan pasaran minyak lembap. 

Kerajaan Iraq menerima bantuan dana ketiga dari IMF pada Ogos 2017, bertujuan untuk menstabilkan kewangannya dengan menggalakkan pengurusan fiskal yang lebih baik, merangsang pembaharuan ekonomi dan pengurangan perbelanjaan. Pada akhir tahun 2017 pula, Iraq menerima lebih daripada $ 1.4 bilion pembiayaan daripada pemberi pinjaman antarabangsa, sebahagian daripadanya dihasilkan dengan mengeluarkan bon bernilai $ 1 bilion untuk pembinaan semula dan pemulihan di kawasan yang bebas dari ancaman pengganasan. 

Pelaburan dan kepelbagaian sektor utama adalah komponen penting dalam pembangunan ekonomi jangka panjang Iraq. Bagaimanapun, ianya memerlukan iklim perniagaan yang lebih kukuh dengan pengawasan undang-undang serta pengawalseliaan yang lebih baik untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta. Peningkatan yang berterusan dalam taraf hidup secara keseluruhan bergantung kepada harga minyak global, pembaharuan dasar utama kerajaan pusat, persekitaran keselamatan yang stabil selepas era pengganasan, dan resolusi pertikaian sivil dengan Kerajaan Daerah Kurdish (KRG).

Ekonomi Iraq didominasi oleh sektor minyak, yang memberikan kira-kira 85% hasil kerajaan dan 80% pendapatan pertukaran asing. Ianya juga menjadi penentu utama bagi kekayaan serta pertumbuhan masa depan ekonomi Iraq. Kontrak Iraq dengan syarikat-syarikat minyak utama berpotensi untuk menjana perluasan eksport dan pendapatan minyak. Namun, Iraq perlu meningkatkan usaha bagi memperbaiki sistem pemprosesan minyak, saluran paip, dan infrastruktur eksport bagi membolehkan sumber yang ada dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan potensi ekonomi Iraq.

Kerajaan Iraq berusaha untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing, tetapi menghadapi banyak halangan, termasuk sistem politik yang lemah dan kebimbangan mengenai keselamatan dan kestabilan masyarakat. Rasuah yang merajalela, infrastruktur yang sudah ketinggalan zaman, perkhidmatan yang tidak mencukupi, kekurangan buruh mahir, dan undang-undang komersial yang lama telah menghalang pelaburan dan terus mengekang pertumbuhan sektor swasta. 

Inflasi negara secara umumnya masih terkawal sejak 2006. Bagaimanapun, pemimpin Iraq terus berusaha keras untuk menterjemahkan keuntungan makro-ekonomi ke dalam taraf hidup yang lebih baik bagi rakyat Iraq. Pengangguran masih menjadi masalah di seluruh negara walaupun terdapat sektor awam yang menjadi sebahagian daripada penyedia kepada pekerjaan. 

Untuk mencapai matlamat jangka panjang pembangunan ekonominya, kerajaan Iraq bagaimanapun diharap dapat memberi perhatian bagi menggalakkan perusahaan swasta melalui pengawalseliaan yang diharap bakal memudahkan rakyat Iraq dan pelabur asing memulakan perniagaan baru. Demikian juga dengan langkah memerangi rasuah dan melaksanakan pembaharuan ekonomi seperti penyusunan semula institusi kewangan – semuanya akan  menjadi mekanisme penting yang dapat menjana pertumbuhan masa depan ekonomi Iraq.
                   

HUBUNGAN ANTARABANGSA





Di sudut hubungan luar negara, Iraq adalah negara anggota PBB dan lembaga-lembaga yang berada di bawahnya seperti IAEA, IMF,  UNESCO, WHO,  WTO, dan beberapa agensi lagi. Selain itu, Iraq juga merupakan negara anggota OPEC, dan Organisasi Kerjasama Islam (OIC) yang disertainya dalam tahun 1976.

 Wallahu a'alam (MMO)




No comments:

Post a Comment