Monday, February 10, 2020

DIARI KEHIDUPAN VIII : PALESTIN


Peta cadangan sempadan negara Palestin dan Israel di bawah "Deal of The Century"

PELAN PERDAMAIAN TERBURUK ABAD INI

Keterujaan kita dalam menyambut kehadiran tahun baharu 2020 yang diharapkan bakal membawa penyelesian kepada banyak masalah yang dilalui oleh negara serta umat Islam di seluruh dunia nampaknya telah dicemari dengan teruknya oleh pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkaitan apa yang dianggap olehnya (dan juga Israel) sebagai “Deal of The Century” (DoC).

Bagi kita, juga sebahagian besar negara Islam lain, pelan tersebut sama sekali tidak dapat dianggap sebagai “Pelan Penyelesaian Terbaik Abad Ini” dalam konteks penyelesaian masalah Palestin-Israel. Malah, tidak keterlaluan jika ia sebaliknya dikatakan lebih berupa “Penyelesaian Terburuk Abad Ini” yang selayaknya (seperti yang dikatakan beberapa pemimpin Palestin), “dibakulsampahkan” sahaja.

Jika diperhatikan pelan ini sebenarnya mempunyai muslihat kotor yang bertujuan untuk menghalalkan tindakan Israel merampas tanah-tanah Palestin dan dalam masa yang sama, memaksa pihak Palestin menerimanya bulat-bulat, kononnya sebagai satu-satunya langkah penyelesaian terbaik serta peluang yang ada bagi Palestin bagi menyelesaikan masalah mereka dengan Israel yang berlarutan sejak berabad tahun yang lalu.

Negara Palestin yang dirancangkan oleh Trump (bersama Netanyahu) adalah tidak lebih daripada kawasan-kawasan kecil yang terpisah (Bantustan) di Wilayah Palestin yang diduduki (Occupied Palestinian Territories - OPT). Pihak berkuasa Palestin nanti tidak akan mempunyai kawalan sempadan, ruang udara dan sumbernya sendiri dan dengan yang demikian tidak memiliki  kedaulatan yang bermakna. Sementara penempatan-penempatan haram Israel di Wilayah Palestin yang diduduki, yang sebenarnya tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, akan diiktiraf oleh pelan ini sebagai sebahagian daripada Israel. Akhir sekali, hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka yang diiktiraf oleh resolusi 194 PBB sejak tahun 1948 lagi,  juga akan dimansuhkan oleh pelan ini.


Pengecilan sempadan Palestin 1946-2012

Di bawah pelan damai ini penjajah-penjajah dari negara apartheid Zionis jelasnya, akan diberi ganjaran sedangkan aspirasi rakyat Palestin untuk menetukan masa depan mereka yang lebih bermakna dan sejahtera di dalam sebuah negara yang berdaulat akan diketepikan begitu sahaja.

Maka itu, tidaklah menghairankan apabila ada pihak-pihak tertentu yang cenderung untuk melihat dan menamakan pelan ini sebagai “Perjanjian Balfour Baharu”, di mana kuasa-kuasa besar dengan kekuatan dan kekuasaan yang ada pada mereka menggenakan paksaan ke atas Palestin untuk menyerahkan tanah-tanah mereka bagi membolehkan negara rejim Zionis itu dibangunkan (dan pada fasa ini, untuk diperluaskan).

AS dan Israel sedia tahu bahawa Palestin telah lama menolak usul-usul yang dicadang untuk dimasukkan ke dalam DoC itu. Justeru timbul pertanyaan kenapa AS masih beriya-iya mahu mengumumkan juga pelan tersebut setelah mampu menjangka penolakannya di pihak Palestin.

Apa yang boleh kita fikirkan, pengumuman tersebut mungkin mempunyai strategi sinis untuk membuktikan kepada dunia  bahawa pihak Palestin seolah-olah adalah pihak yang sentiasa tidak berminat untuk berdamai kerana enggan menerima cadangan di bawah pelan damai ini walaupun hakikat sebenar - adalah mustahil bagi pihak Palestin untuk menerimanya kerana terma yang terlampau tidak adil terhadap mereka.

Apa yang lebih kita bimbangkan, pelan ini akan bakal mencetuskan galakan kepada pihak Israel untuk terus mencuri dan merampas lebih banyak lagi wilayah Palestin memandangkan pelan damai ini (jika diterima dan direalisasikan) akan dengan sendirinya, mengabaikan puluhan resolusi PBB mengenai status Tebing Barat, Baitul Maqdis  serta kedudukan penempatan haram Israel di OPT.

Apa yang sangat menyedihkan kita ialah terdapatnya beberapa negara Arab yang kaya serta mempunyai pengaruh di rantau tanah Arab yang nampaknya agak keberatan untuk mengutuk dan menolak pelan Trump ini. Pemimpin negara-negara ini seolah-olah tidak menghiraukan penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin selama ini serta tidak menghiraukan langsung kehendak dan aspirasi mereka.

Akhir sekali masyarakat antarabangsa juga perlu sedar bahawa rancangan Trump mempunyai implikasi di luar konteks konflik Israel-Palestin. Jika ianya diterima, maka ianya bermakna bahawa masyarakat antarabangsa telah menghalalkan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel. Ini akan menggalakkan tindakan sesebuah negara yang mempunyai kekuatan kententeraan untuk merampas wilayah negara lain secara haram. Sudah tentu ini akan menyumbang kepada suasana antarabangsa yang akan menjadi semakin tidak stabil dan tidak aman di masa akan datang.

Dalam mendepani masalah yang ada di hadapan kita ini, kita perlu terus berpegang kepada pendirian bahawa penyelesaian hubungan Palestin-Israel hendaklah dibuat atas prinsip bahawa penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka perlu dibuat melalui penyelesaian dua negara Palestin-Israel, berdasarkan sempadan yang wujud sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.

Di samping itu, kita juga menyokong sebarang usaha konkrit dan jujur dari mana-mana jua pihak untuk mencari penyelesaian yang adil dan kekal kepada konflik Israel-Palestin berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang relevan melalui rundingan yang melibatkan pihak-pihak berkepentingan. 

Terbaharu, kita amat menyambut baik hasil persidangan Organisasi Kerjasama Islam (OIC) pada 3 Februari lalu yang secara sepakat menolak rancangan perdamaian Amerika di Timur Tengah itu. OIC melalui kenyataannya juga , menegaskan akan tetap menyokong Palestin sejak awal dalam memperjuangkan keadilan demi mendirikan negara mereka dengan ibukota Al-Quds Timur.

Hal itu disampaikan dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan dalam pertemuan terbuka Kumpulan Eksekutif Khusus di tahap Menteri-menteri Luar Negeri, negara anggota OIC yang membahas kesan dan implikasi rancangan Amerika tersebut. 

Kumpulan Eskekutif itu juga turut menyeru negara Anggota OIC agar tidak bekerjasama dengan Amerika untuk melaksanakan rancangan tersebut baik dalam apa jua bentuk.

Kenyataan itu juga menegaskan penolakan OIC terhadap apa jua perancangan, kesepakatan atau inisiatif yang diajukan oleh mana-mana pihak yang tidak selari dengan hak-hak serta undang-undang berkaitan Palestin. Ianya juga tidak sewajarnya terdedah kepada urusan tawar-menawar. Hak tersebut sudah diakui oleh PBB dan undang-undang antarabangsa serta selari dengan referensi yang diakui dunia antarabangsa dalam proses perdamaian terutama resolusi-resolusi PBB dan Inisiatif Perdamaian Arab.


Wallahu ’alam (MMO)




No comments:

Post a Comment