Sekadar menyambung Titah
Kebawah DYMM untuk dijadikan azimat menteri-menteri Kabinet Brunei Darussalam
yang baharu. Sesungguhnya, Titah yang baginda zahirkan ini bukan sekadar menjadi
harapan baginda sahaja, tetapi juga harapan seluruh rakyat.
Letakkanlah kepentingan rakyat sebagai stake holder
terbesar negara pada tempat yang selayaknya, dan hormatilah apa jua yang
menjadi hak rakyat ke atas negaranya demi menuju Negara Baldatun Thoyyibatun
Warrabun Ghafuur.
Berikut petikan Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi
Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1439H/2017M pada 12 Rabiulawal
1439H / 30 Novemer 2017M:
“Tema sambutan kita pada tahun ini berbunyi: “Rasulullah:
Qudwah Kepimpinan Yang Adil”. Memang tidak diragukan lagi, bahawa Rasulullah
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah contoh ikutan yang paling unggul
melaksanakan keadilan.
Baginda tidak pernah melakukan sebarang kezaliman,
sehingga pernah bersabda, maksudnya: “Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri,
nescaya aku akan potong jua tangannya”.
Inilah gambaran keadilan Rasulullah. Dalam sejarah, tiada
siapa pun yang pernah dizalimi oleh Baginda. Semua orang menikmati keadilan
daripada Baginda, walaupun golongan musyrik yang memusuhi Baginda.
Inilah maknanya usaha Baginda mengembangkan Islam sangat
berjaya, kerana melalui keadilan itu, hati manusia mudah terpikat kepada Islam
yang dibawa oleh Baginda.
Inilah rahsia keadilan apabila ia dilaksanakan. Allah
tidak akan menghampakan sesiapa jua yang bekerja untuk keadilan.
Dalam zaman yang penuh bergolak ini, kita biasa mendapati
keadilan itu dicemari oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Setengah
mereka terlalu kejam, merampas kebahagiaan orang lain dengan kezaliman.
Perbuatan ini amatlah terkutuk, hanya menunggu sa’at
sahaja lagi untuk dibalas oleh Allah. Di Negara Brunei Darussalam, kita tidak membenarkan
kezaliman berlaku. Kita pantangkan ia berlaku. Sesungguhnya di bumi bertuah
ini, kezaliman tidak ada tempat untuknya. Ia adalah musuh kita. Kita tidak
mampu untuk berkompromi dengannya.
Kezaliman biasanya dilakukan oleh pihak-pihak yang kuat
atau berkuasa, termasuklah dalam dunia pekerjaan atau perkhidmatan. Kerana itu,
Beta berkewajipan untuk mengingatkan, supaya sesiapa jua yang dititipkan dengan
jawatan atau kuasa, tidak akan menggunakan jawatan atau kuasa itu untuk
menzalimi orang lain.
Kezaliman yang paling dahsyat ialah ‘fitnah’: fitnah ke
atas orang-orang yang tidak berdosa. Seyugia diingat, fitnah mestilah dijauhi
oleh sesiapa saja yang ingin selamat.
Beta mahu, Brunei kita, mestilah bersih dari sebarang
gejala fitnah dan kezaliman. Inilah saja modal kita untuk selamat. Allah
Subhanahu Wata’ala pasti memberkati negara dan kerajaan yang adil.
Bersempena dengan memperingati Maulid Ar-Rasul
Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pada tahun ini, maka marilah kita sama-sama
memasang azam untuk benar-benar menghayati tema sambutan, tentang keadilan
Rasulullahi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Biarlah tema ini tidak hanya untuk
dibaca atau disebut sahaja, tetapi yang penting, menjadikannya sumber ilham bagi
kita untuk mencontohi Rasulullahi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam perkara
mengamal dan menjalankan keadilan itu”.
Wallahua'alam (MMO)
*******
No comments:
Post a Comment