Monday, March 15, 2021

DIARI KEHIDUPAN IX : ROHINGYA BERHADAPAN DENGAN KETIDAKTENTUAN EKORAN RAMPASAN KUASA TENTERA DI MYANMAR


Sebahagian lagi pelarian Rohingya dipindahkan ke Pulau Bashan Char


Rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar pada 1 Februari lalu -  pada hari yang Parlimen baru Myanmar sepatutnya bersidang buat pertama kalinya selepas pilihan raya umum pada November lalu - dibimbangi akan bakal memberi kesan negatif kepada nasib etnik Rohingya baik yang berada di kem pelarian di Rakhine, mahupun yang berada di kem-kem pelarian di Bangladesh.

Bagi mereka yang berada di kem pelarian di Rakhine, Myanmar, mereka dikhuatiri akan sekali lagi bakal menjadi mangsa diskriminasi dan sepak terajang tentera pimpinan Jeneral Min Aung Hlaing, orang yang bertanggung jawab dalam mencetuskan huru-hara yang mengorbankan ribuan jiwa etnik Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak dan memaksa hampir 1 juta yang lain melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh pada tahun 2016 lalu.

Bagi pelarian yang berada di kem-kem sementara di Bangladesh pula, khususnya mereka yang telah menyatakan kesediaan untuk kembali ke Myanmar di bawah pelan pengembalian etnik Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar, mereka kini berhadapan dengan peluang yang gelap untuk kembali ke tanah air mereka. 

Mereka bukan sahaja tidak mungkin akan diterima untuk kembali tatkala Myanmar kini berada kembali di bawah pemerintahan rejim tentera yang anti Rohingya, malah dirundung dengan ketakutan untuk pulang kerana kemungkinan akan terdedah kembali kepada tindakan ganas pihak tentera.

Pelan pengembalian pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar - pelan yang diaturkan semasa Myanmar berada di bawah pemerintahan awam,  Aung San Suu Kyi - jelasnya mungkin bakal berkubur begitu sahaja berikutan apa yang berlaku pada tubuh politik Myanmar pada hari ini.

Pengerusi Serantau Muslim Myanmar, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, seperti semua sedia maklum, junta tentera Myanmar sudah lama diketahui mendiskriminasi etnik Rohingya melalui Undang-undang Kewarganegaraan Burma 1982 yang menafikan hak kerakyatan etnik terbabit.

Menurutnya, apabila mereka ini diberi semula kuasa maka dilihat tidak akan ada sinar harapan buat etnik Rohingya yang masih berada di negara terbabit mahupun yang bercadang untuk kembali ke kampung halaman mereka di Rakhine.

Malah, beliau turut mendedahkan mengenai adanya arahan terbaru yang dikeluarkan oleh pemimpin junta tentera yang dilihat sebagai amat merisaukan berkaitan soal ekonomi dan kesihatan etnik Rohingya sepanjang Myanmar kini diperintah kembali oleh pihak tentera.

"Kita juga bimbang dengan nasib etnik Rohingya yang berada di Bangladesh kerana sebelum ini sudah ada usaha antara kedua-dua negara ketika pemerintahan parti pemerintah pimpinan Aung San Suu Kyi untuk menerima semula kepulangan dan memberi kerakyatan kepada mereka," katanya kepada pihak media.

Dengan apa yang berlaku pada hari ini, segala perancangan yang telah diatur itu menurutnya, berkemungkinan besar akan gagal begitu saja.

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, Bangladesh dikatakan terus giat mengatur perancangan untuk memindahkan lebih ramai lagi pelarian Rohingya dari kem pelarian di Coxs Bazar ke penempatan baru yang telah dibangunkan di Pulau Bashan Char.

Bangladesh dikatakan tidak lagi menaruh keyakinan terhadap masa depan etnik Rohingya untuk kembali ke tanah air mereka, lebih-lebih lagi setelah Myanmar kini jatuh kembali ke tangan pemerintahan tentera. Bangladesh dengan itu tidak mempunyai banyak pilihan selain meningkatkan urusan pemindahan baki pelarian yang berada di kem-kem yang sesak di sempadan Bangladesh-Myanmar itu ke pulau yang dikatakan agak berkontroversi itu.

Pada minggu lepas, pihak angkatan laut Bangladesh dikatakan telah memindahkan kira-kira 4,000 lagi pelarian Rohingya ke penempatan baru di pulau Bashan Char.

Dhaka sebelum ini sudah memindahkan lebih 10,000 orang ke pulau berkenaan sejak awal Disember lalu dari kem di Cox's Bazar yang dihuni oleh lebih sejuta pelarian Rohingya.

Menurut Bangladesh, penempatan semula itu dilakukan secara sukarela, namun beberapa pelarian daripada kumpulan pertama yang dihantar ke pulau itu awal Disember lalu mendakwa mereka sebenarnya dipaksa. 

Beberapa kumpulan hak asasi kemanusiaan mendakwa kerajaan Bangladesh telah mengabaikan aspek keselamatan pulau yang mampu menampung 100,000 orang itu kerana ia amat terdedah kepada ancaman taufan, ombak kuat dan risiko banjir.

Bangladesh juga ditegur kerana enggan berunding dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bantuan lain berhubung pemindahan pelarian Rohingya itu.

Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHRC) berkata pihaknya tidak dibenarkan menilai keselamatan dan kelestarian hidup di pulau itu.

Wakil jabatan kerajaan Bangladesh yang bertanggungjawab terhadap pelarian, Mohammad Shamsud Douza, menegaskan pelarian terbabit berpindah ke Bashan Char secara sukarela, bukannya atas paksaan.

"Proses ini akan diteruskan dan keutamaan kami adalah untuk mengembalikan mereka ke tanah air mereka di Myanmar," katanya menerusi panggilan telefon dengan pihak media.

Di satu sudut lain, Bangladesh, biarpun tidak menaruh harapan yang tinggi, terus meminta Myanmar untuk meneruskan proses pemindahan Rohingya secara sukarela. Namun tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap pimpinan tentera berikutan rampasan kuasa mengaburkan harapan pelarian untuk kembali. 

Di pihak kita, kita berdoa dan mengharapkan masa depan pelarian Rohingya, baik yang berada di Myanmar mahupun  di kem-kem pelarian di Bangladesh, kelak akan menemui jua jalan penyelesaiannya. 

Bagi mereka, pilihan terbaik yang diharapkan adalah pulang kembali ke kampung halaman mereka di Myanmar dengan diberikan jaminan keselamatan dan perlindungan oleh pihak berkuasa Myanmar. Harapan jangka panjang mereka pula adalah pengiktirafan kerajaan Myanmar terhadap status mereka sebagai warganegara yang bakal membolehkan mereka menikmati hak serta kebebasan sebagaimana warganegara Myanmar yang lain.

Jika itu tidak termampu untuk dicapai, mereka mengharapkan setidak-tidaknya penghidupan mereka sebagai pelarian di Bangladesh terjamin di bawah status dan keistimewaan pelarian PBB yang antara lain menjanjikan jaminan penghidupan serta layanan yang lebih baik di pihak kerajaan Bangladesh, juga badan-badan kebajikan antarabangsa. 

Setakat apa yang berlaku pada hari ini, kita percaya pilihan kedua itu sahaja yang mungkin terbuka untuk dikecapi oleh etnik Rohingya. Jika itupun tidak mampu dicapai, apa lagi yang mampu untuk kita lakukan selain berserah bulat-bulat kepada yang Maha Mencipta - yang Maha Mampu melakukan segala-galanya.


Wallahu a'alam (MMO)




No comments:

Post a Comment