Thursday, August 9, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : GUINEA (Guinea-Conakry)



PETA
 



Peta Guinea
  

GEOGRAFI

Guinea terletak di pantai Atlantik, Afrika Barat, berbatasan dengan banyak negara, antara lain Senegal, Guinea Bissau, Mali, Cote d’Ivoire (Pantai Gading), Liberia dan Sierra Leone.

Negara ini mempunyai wilayah seluas 245,857 km persegi terdiri daripada daratan seluas 235,717 km persegi dan air, seluas 140 km persegi. Tanah daratan secara umumnya landai dan beralun membawa kepada tanah tinggi dan kawasan berbukit di bahagian pedalaman.

Iklim Guinea adalah dari jenis panas lembab dengan musim hujan pada bulan Jun hingga November, dan musim kering pada bulan Disember hingga Mei.


PROFAIL PENDUDUK




Jumlah penduduk Guinea adalah seramai 12,413,867 (anggaran Julai 2017).

Suku-suku utama yang membentuk populasi Guinea terdiri daripada Fulani (Peul) 32.1%, Malinke 29.8%, Susu 19.8%, Guerze 6.2%, Kissi 4.7%, Toma 2.8%, dan lain-lain 4.6% (anggaran 2012).

Pertumbuhan purata penduduk Guinea berada pada paras 2.37 peratus setahun, dengan angka kelahiran 42.26 orang bagi setiap 1,000 orang penduduk dan angka kematian 15.53 orang bagi setiap 1,000 orang penduduk.

Agama Islam dianut oleh sebahagian besar penduduk Guinea, iaitu sekitar 85 peratus, diikuti Kristian 9 peratus, dan baki 6 peratus lagi mereka yang menganuti kepercayaan setempat.

Bahasa rasmi Guinea adalah Bahasa Perancis. Bagaimanapun, di kawasan luar bandar dan pedalaman loghat-loghat suku lebih banyak digunakan sebagai bahasa perhubungan.


SEJARAH RINGKAS


Guinea memperoleh kemerdekaan dari Perancis pada tanggal 2 Oktober 1958. Tuntutan kemerdekaan telah dimulai seawal abad 19 bilamana pemimpin suku Malinke (Mandingo), Almamy Samory Toure bertindak memerangi bangsa penakluk, Perancis. Usaha ini bagaimanapun gagal. 

Perjuangan Toure dalam mengusir penjajah Perancis dilanjutkan oleh cucunya, Ahmed Sekou Toure pada tahun 1957. Beliau berjaya mengusahakan kemenangan bagi 56 kerusi daripada 60 kerusi yang dipertandingkan di Parlimen. Ahmed Sekou Toure akhirnya dilantik menjadi Presiden, ketika Guinea memperoleh kemerdekaan dari Perancis pada tanggal 2 Oktober 1958. 

Toure menganut fahaman komunis. Ketika beliau berkuasa, Guinea menjadi negara dengan sistem satu parti di bawah pemerintahan yang disifatkan sangat diktator, menganut ekonomi sosialis serta tidak bertoleransi dalam hal berkaitan hak asasi kemanusiaan dan kebebasan berpendapat. Ini menyebabkan Guinea akhirnya dipinggirkan oleh dunia antarabangsa. 

Melihat situasi negara yang tidak menguntungkan itu, pada tanggal 10 April 1984, Leftenan Kolonel Lansa Conte (berasal dari suku Susu) mengambil alih tampuk pemerintahan dari tangan Ahmed Sekou Toure, kira-kira seminggu setelah beliau meninggal. Di bawah pemerintahan Lansana Conte, kebebasan bersuara dibuka seluas-luasnya, termasuk keizinan bagi penubuhan partai-parti politik baru. 

Pada tahun 1990 Parlimen dan sistem pengadilan baru di Guinea dibentuk. Pada tahun 1993 diadakan pemilihan presiden yang menyaksikan pemilihan Lansa Conte sebagai Presiden Guinea. Beliau dipilih sekali lagi pada pemilihan tahun 2003, yang membawanya ke kedudukan sebagai Presiden Guinea hingga tahun 2008.

Selepas kematian Conte pada bulan Disember 2008, Kapten Moussa Dadis Camara mengetuai rampasan kuasa tentera, merampas kuasa dan menangguhkan perlembagaan. Pada awal Disember 2009, Camara cedera dalam suatu percubaan pembunuhan dan dilindungi di Burkina Faso. Kerajaan peralihan yang diketuai oleh General Sekouba Konate kemudiannya membuka jalan bagi peralihan Guinea ke sistem demokrasi yang baru. Negara ini mengadakan pemilihan presiden dan perundangan demokratik yang pertama dan bebas masing-masing pada tahun 2010 dan 2013 yang menyaksikan Alpha Conde diangkat sebagai Presiden. 

Pada Oktober 2015 pemilihan presiden diadakan buat kali kedua dengan menyaksikan Alpha Conde dipilih semula untuk penggal lima tahun berikutnya. Di bawah kepimpinan Conde, beberapa siri dialog dan rundingan politik bersama pihak pembangkang telah diusahakan. Ianya sedikit sebanyak telah membantu meredakan ketegangan dalam tubuh politik Guinea.


EKONOMI

              

Guinea adalah sebuah negara miskin. Bagaimanapun, negara ini dikatakan memiliki rizab bauksit terbesar di dunia dan rizab bijih besi bermutu tinggi serta emas dan berlian yang belum dimanfaatkan. Di samping itu, Guinea juga mempunyai tanah yang subur, hujan yang banyak, dan memiliki punca air bagi beberapa sungai di Afrika Barat termasuk Senegal, Niger, dan Gambia. Potensi hidro Guinea juga dikatakan sangat besar dan mampu dimanfaatkan sebagai hasil  eksport utama elektrik bagi negara itu. Dalam pada itu, pelabur antarabangsa dikatakan telah menunjukkan minat terhadap rizab mineral Guinea yang belum diterokai, yang berpotensi untuk mendorong pertumbuhan masa depan Guinea.

Berikutan kematian Presiden Lansa Conte pada tahun 2008 dan beberapa pengubahsuaian politik yang menyusul selepasnya, penderma antarabangsa, termasuk G-8, IMF, dan Bank Dunia, dengan ketara membataskan program pembangunan mereka di Guinea. Bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Presiden Disember 2010, IMF telah meluluskan Kemudahan Kredit 3 tahun kepada Guinea pada tahun 2012. Pada bulan September 2012, Guinea mencapai status penyelesaian negara miskin di mana akses masa depan kepada bantuan dan pelaburan antarabangsa akan bergantung kepada keupayaan kerajaan untuk menjadi telus, memerangi rasuah, memperbaharui sistem perbankan, memperbaiki persekitaran perniagaan, dan membina infrastruktur. 

Pada April 2013, kerajaan meminda kod perlombongannya untuk mengurangkan cukai dan royalti. Pada tahun 2014, Guinea juga berjaya mematuhi keperluan Inisiatif Ketelusan Industri. Menjelang Oktober 2016, Guinea telah banyak menyelesaikan programnya dengan IMF. Berikutan itu, Guinea kini pada peringkat perundingan bagi mendapatkan beberapa lagi program baru di bawah IMF yang akan dipadankan di bawah pelan ekonomi lima tahun negara itu yang akan datang. Sehubungan ini, Guinea dikatakan cuba menumpukan kepada pembangunan produk nilai tambah yang lebih tinggi, termasuk dari sektor agro-perniagaan dan pembangunan ekonomi luar bandar.

Ancaman terbesar terhadap ekonomi Guinea adalah ketidakstabilan politik, penularan kembali wabak virus Ebola, dan harga komoditi antarabangsa yang rendah. Pemulihan ekonomi akan menjadi proses yang panjang sementara kerajaan menyesuaikan diri dengan aliran masuk bantuan kewangan antarabangsa. 

Ebola merencatkan pertumbuhan ekonomi Guinea khususnya bagi tempoh 2014-2015 yang menyaksikan berapa projek seperti penerokaan minyak luar pesisir dan projek bijih besi Simandou terjejas. Walau bagaimanapun, ekonomi Guinea kembali berkembang sebanyak 6.6% pada tahun 2016 dan 6.7% pada tahun 2017, terutamanya disebabkan pertumbuhan dari perlombongan bauksit dan penjanaan tenaga haba serta daya tahan sektor pertanian. 

Industri bijih besi Guinea terjejas pada 2016 apabila pelabur dalam projek bijih besi Simandou mengumumkan rancangan untuk melepaskan pegangan daripada projek itu. Pada tahun 2017, pengeluaran pertanian dan pelaburan awam mendorong pertumbuhan ekonomi, manakala sektor perlombongan terus memainkan peranan penting dalam prestasi ekonomi.

Di bawah kepimpinan kerajaan yang diterajui oleh Presiden Alpha Conde, usaha ke arah mewujudkan persekitaran lebih menarik kepada pelaburan asing telah dijadikan keutamaan. Ianya dibuat dengan harapan penyertaan yang lebih besar dari negara-negara barat dan firma antarabangsa akan dapat membantu membawa pembangunan ekonomi yang berterusan kepada Guinea.


ISLAM DI GUINEA





Islam masuk Guinea pada abad ke-10, semasa kerajaan Malinke, Shonghai dan Ghana berkuasa di sana. Ini menyebabkan suasana keberagamaan di negara itu sangat kental diwarnai oleh Islam iaitu sekitar 85 peratus. Pejuang-pejuang dari kalangan penduduk Islam ini juga terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Guinea daripada pihak penjajah Perancis. Di antara mereka yang sangat terkenal adalah Almamy Samory Toure. 

Salah satu suku di Guinea iaitu suku Fulani yang dipolopori oleh Futa Djalon, telah berhasil mendirikan pemerintahan di Guinea dengan melaksanakan sistem pemerintahan berdasarkan Islam (teokrasi). Suku Fulani berasal dari Afrika Tengah, bermigrasi ke Guinea pada abad ke-15. 

Pada tahun 1720-an, Fouta Djalon telah mengisytiharkan ‘jihad’ dalam rangka mendirikan sebuah pemerintahan teokrasi. Pemimpin Fouta Djalon yang sangat terkenal adalah Karamoko Alfa, yang dikenal dengan sebutan Almaamis. Karamoko Alfa sekaligus adalah pemimpin, pendiri negara dan pemerintah suku muslim Fulani (Fulbe). Perjuangan menuntut kemerdekaan diteruskan oleh Alfa Yaayaa, seorang pemimpin yang kental dengan perjuangan bagi mengusir penjajah Perancis. Beliau akhirnya dipenjara pada tahun 1905. 


Wallahua’alam (MMO).



 

No comments:

Post a Comment