Thursday, August 2, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : GABON



PETA
 


 
 
Peta Gabon


GEOGRAFI

Gabon adalah sebuah negara kecil yang terletak di garisan khatulistiwa di bahagian pantai Atlantik Afrika. Negara ini berkongsi sempadan dengan Cameroon dan Guinea Khatulistiwa di sebelah utara, Republik Kongo di sebelah Timur dan Selatan, dan dengan laut Atlantik Selatan di sebelah baratnya.

Kebanyakan permukaan bumi Gabon adalah rendah dan beralun dengan sebahagian daripadanya dipenuhi dengan hutan savana. Dataran tinggi yang luas dan beberapa pegunungan rendah terdapat di utara, tenggara, dan bahagian tengah negara itu.

Gabon beriklim khatulistiwa dengan musim hujan berlaku dua kali dalam setahun, iaitu dari March hingga Mei dan dari Oktober hingga Disember.


PROFAIL PENDUDUK




Jumlah penduduk Gabon adalah seramai 1,772,255 orang (anggaran 2017). Sebagian besar daripada mereka tinggal di kota-kota pesisir seperti Libreville dan Port-Gentil. Selain itu, mereka juga tinggal di pemukiman di sepanjang sungai dan di perbukitan utara. Orang-orang di pedalaman biasanya hidup di desa-desa yang diperintah oleh seorang kepala daerah.

Secara umum, terdapat sekitar 50 suku yang berselerak di seluruh pelosok negara ini. Di antara yang terpenting adalah Fang, Myene, Teke dan Punu. Secara budaya, beberapa suku telah bergabung secara bertahap sehingga bahasa dan ciri khusus mereka lama kelamaan tenggelam sedikit demi sedikit.

Suku Fang yang merupakan kelompok suku terbesar hidup terutama di utara, manakala suku Eshira dan Bapounou lebih tertumpu di sebelah selatan dan timur Gabon.

Suku Omiéné, sekelompok suku kecil, dikatakan antara suku terawal yang berhubung dengan orang Eropah. Mereka tinggal di sepanjang pantai dan di wilayah Sungai Ogooue di sekitar Franceville. Suku Bakota yang terkenal dengan kemahiran ukiran kayu tertumpu di sebelah timur laut, sementara kelompok Pygmy tinggal di hutan selatan.

Bahasa Perancis adalah bahasa resmi Gabon. Bagaimanapun di kawasan luar bandar dan pedalaman bahasa-bahasa asli seperti bahasa Fang, Myene, Nzebi, Bapounou/Eschira, dan Bandjabi turut menjadi bahasa perhubungan. 

Agama terbesar yang dianuti penduduk Gabon adalah Kristian iaitu sekitar 82.0 peratus, diikuti agama Islam (sekitar 9.8 peratus), dan bakinya, menganuti kepercayaan  tradisi nenek moyang mereka atau tidak beragama.


SEJARAH RINGKAS


Bangsa Eropah dikatakan pertama kali tiba di bumi Gabon pada abad ke-15. Pada masa itu nama Gabon disebut sebagai "Gabão", yang dalam bahasa Portugis bermaksud ‘lapisan bumi’ dengan merujuk bentuk muara sungai Komo dekat Libreville. 

Pada tahun 1875, Perancis memimpin misi pertama ke Gabon dan Kongo. Di Gabon, mereka mendirikan kota Franceville dan kemudian menetap di sana sebagai gabenor kolonial. Kota ini terus berkembang dan menjadi asas kepada terbinanya negara Gabon.

Pada tahun 1910, Gabon menjadi salah satu daripada empat wilayah federasi Afrika Khatulistiwa Perancis yang bertahan sehingga tahun 1959. Wilayah ini merdeka pada tanggal 17 Ogos 1960. Presiden pertama adalah Léon M'ba yang dipilih tahun 1961, dengan Omar Bongo Ondimba sebagai Wakil Presiden. Selepas merdeka pengaruh Perancis terus mengambil tempat dalam politik Gabon sepertimana yang dapat dilihat dalam pemilihan presiden negara itu.

Setelah naiknya Gabriel Leon M'ba ke puncak kekuasaan, pergerakan politik ditekan, demonstrasi politik dilarang dan kebebasan berekspresi dibatasi. Perlembagaan negara secara beransur-ansur diubah bagi memberi kuasa yang lebih kepada Presiden. Ketika Presiden Léon M'ba cuba membubarkan  Majlis Nasional pada bulan Januari 1964 bagi membolehkan penguasaan  parti secara tunggal, pihak tentera bangun menentang percubaannya dan cuba memulihkan demokrasi berparlimen. 

Zaman kediktatoran M'ba dikenal sebagai "Zaman Kepentingan Perancis" yang menyaksikan Perancis secara terang-terangan membantu kedudukan M’ba sebagai Presiden boneka bagi negara itu. Ini menyebabkan kudeta yang berlangsung selama beberapa hari itu akhirnya gagal dan para penentang Presiden dipenjara. Pemerintah Perancis tidak menghiraukan kecaman antarabangsa dengan terus mempertahankan kehadiran tentera udaranya di Camp de Gaulle, di luar ibukota Gabon bagi memastikan kestabilan kerajaan M’ba. 

Ketika M'Ba meninggal pada tahun 1967, Bongo menggantikannya sebagai Presiden, dan terus menjadi Ketua Negara hingga kematiannya pada tahun 2009. 

Kerajaan Omar Bongo Ondimba terkenal salah satu ketua kerajaan yang terpanjang usianya di dunia - mendominasi adegan politik negara selama empat dekad (1967-2009). Semasa pemerintahannya, Presiden Bongo memperkenalkan sistem multi parti nominal dan perlembagaan baru diperkenalkan pada awal 1990-an. Walau bagaimanapun, dakwaan penipuan pilihan raya semasa pilihan raya tempatan pada bulan Disember 2002 dan pilihan raya presiden pada tahun 2005 mendedahkan kelemahan struktur politik formal di Gabon. 

Berikutan kematian Presiden Bongo pada 2009, pilihan raya baru membawa anaknya, Ali Bongo Ondimba ke tampuk kekuasaan. Dengan bertunjangkan faktor penduduk yang kecil di Gabon, sumber semula jadi negaranya yang banyak, serta sokongan asing yang berterusan, telah membantu menjadikan Gabon salah satu negara yang aman dan stabil di Afrika.


EKONOMI



Gabon adalah negara yang kaya dengan hasil semulajadinya. Gabon mengeksport mangan, minyak bumi, gas mentah, besi, kayu dan juga bahan lainnya sejak sekian lama. Pendapatan minyak bumi menjadi penting sejak tahun 1970-an. 

Ketergantungan yang besar pada pendapatan minyak menyebabkan Gabon mengabaikan industri lainnya. Rendahnya pelaburan dan perhatian kerajaan bagi memperbaiki bidang pertanian telah memaksa Gabon untuk mengimport banyak makanan.

Gabon menikmati pendapatan per kapita empat kali lebih tinggi daripada kebanyakan negara Afrika sub-Sahara. Namun, disebabkan wujudnya jurang ketidaksamaan pendapatan yang tinggi, sebahagian besar rakyat Gabon berada dalam kategori miskin. Dari tahun 2010 hingga 2016, minyak menyumbang kira-kira 80% daripada eksport Gabon, 45% daripada KDNK, dan 60% daripada hasil belanjawan negara itu.

Gabon menghadapi masalah perubahan harga antarabangsa untuk minyak, kayu, dan eksport mangannya. Pemulihan harga minyak dari tahun 2001 hingga 2013 telah turut membantu pertumbuhan ekonomi Gabon, tetapi penurunan pengeluaran telah menghalang Gabon daripada merealisasikan keuntungan yang seharusnya dimanfaatkan. KDNK berkembang hampir 6% setahun dalam tempoh 2010-14, tetapi perlahan dengan ketara dari tahun 2014-2017 dengan catatan hanya 1% pada tahun 2017 tatkala harga minyak merosot. Harga minyak yang rendah juga menjejaskan hasil kerajaan dan menjejaskan baki akaun perdagangan dan semasa. Berikutan hasil yang lebih rendah, Gabon menandatangani perjanjian bantuan 3 tahun dengan IMF pada bulan Jun 2017.

Walaupun Gabon memiliki kekayaan hasil semulajadi yang banyak, pengurusan fiskal yang lemah dan pergantungan kerajaan yang keterlaluan kepada minyak telah menghalang pembangunan ekonomi. Gangguan bekalan kuasa elektrik dan air yang kerap berlaku pula telah memberi kesan tersendiri terhadap pembangunan industri. Gabon masih banyak bergantung kepada import, terutama makanan. Dalam usaha meringankan beban hidup rakyat, kerajaan Gabon cuba memberi subsidi komoditi, termasuk makanan. Namun, kekecewaan rakyat terhadap kos sara hidup yang kian meningkat, masalah pengangguran, dan rasuah dalam kalangan birokrasi  kerajaan telah menenggelamkan kebaikan yang cuba ditunjukkan oleh kerajaan.


ISLAM DI GABON





Berdasarkan statistik keagamaan penduduk Gabon dalam tahun 2012, dianggarkan 9.8 peratus penduduk Gabon adalah beragama Islam. Kebanyakan mereka mengikuti Islam Sunni. 

Terdapat sekolah-sekolah agama yang dibangunkan oleh pihak-pihak persendirian di beberapa tempat di Gabon. Sekolah-sekolah ini dikehendaki mendaftar dengan Kementerian Pelajaran, yang bertanggungjawab memastikan sekolah-sekolah agama ini memenuhi piawaian yang sama yang diperlukan untuk sekolah-sekolah awam. Kerajaan tidak menyumbang dana kepada sekolah swasta, sama ada agama atau sekular.

Kerajaan Gabon turut meraikan beberapa hari perayaan umat Islam sebagai hari cuti kebangsaan. Ini termasuklah Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Korban. Demikian juga dengan slot di stesen televisyen kerajaan, turut memberikan masa siaran percuma bagi menyiarkan rancangan-rancangan agama Islam di samping rancangan untuk penganut agama yang lain.

Menariknya, cabang eksekutif Gabon buat suatu jangkamasa yang panjang, dikawal oleh seorang Muslim, Omar Bongo iaitu dari tahun 1973 hingga 2009. Bongo menukar agama kepada kepada Islam pada tahun 1973 dan sejak itu menukar namanya dari Albert-Bernard Bongo kepada nama Islamnya, Omar Bongo. Pada masa ini, kepimpinan Islam di Gabon diteruskan oleh anak Omar Bongo, Ali Bongo Ondimba selaku Presiden iaitu sejak Oktober 2009.

Gabon menjadi anggota Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dalam tahun 1974. Pada tahun 2004, persidangan kebangsaan pertama untuk umat Islam Gabon telah diadakan di ibukota negara itu, Libreville, dengan tema 'Bersatu demi Islam yang bertubuh dan toleran”. Semasa persidangan itu, ketua-ketua dari 34 kumpulan masyarakat Islam Gabon telah menandatangani perjanjian untuk melaksanakan kerja-kerja amal dan kebajikan Islam bagi faedah umat Islam Gabon.


  Wallahua'alam (MMO). 



 

No comments:

Post a Comment