Thursday, June 28, 2018

KEANGKUHAN ISRAEL YANG TIDAK BERKESUDAHAN


Wajah Penempatan Baharu Yahudi Di Atas Wilayah Palestin Yang Diduduki

Perkembangan yang berlaku di Palestin dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan jelas memperlihatkan kepada kita akan sikap angkuh Israel dalam melaksanakan misi penguasaannya ke atas bumi Palestin tanpa menghiraukan kecaman dunia terhadapnya.

Apa yang berlaku, Israel nampaknya terus berdegil dan langsung tidak mempeduli resolusi terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terbaharu yang dibuat pada 23 Disember 2016 lalu, yang menuntut negara itu menghentikan pembinaan penempatan di wilayah Palestin. 

Perkara ini dinyatakan oleh Penyelaras Khas PBB di Asia Barat, Nickolay Mladenov dalam laporannya kepada Majlis Keselamatan awal Jun 2018 lalu yang antara lain melaporkan bahawa Tel Aviv semakin rancak memperluaskan penempatan haram baharu Yahudi di atas tanah-tanah Palestin yang duduki. 

Mladenov turut melahirkan kebimbangannya di atas kehadiran dan penguasaan penuh tentera Israel ke atas kawasan-kawasan terbabit yang tergamak melakukan apa saja termasuk melepaskan tembakan peluru hidup terhadap kumpulan rakyat Palestin yang bangun menentang rancangan Tel Aviv itu.

Mladenov melalui laporannya dikatakan telah mendedahkan maklumat terbaharu berkaitan angka pembinaan penempatan haram Yahudi di mana sejumlah kira-kira 3,500 unit rumah telah dibangunkan secara haram di penempatan Kawasan C (Tebing Barat). Kawasan C tersebut dikatakan merupakan bahagian terbesar di wilayah jajahan Zionis yang meliputi 60 peratus tanah di Tebing Barat.


 


Sebelum ini, terdapat laporan bahawa tujuh buah bank terkemuka Israel telah menyatakan kesediaan untuk memberi perkhidmatan kewangan bagi membantu usaha memperluaskan penempatan haram Yahudi di tanah Palestin dengan membiayai pembinaan di Tebing Barat.

Menurut laporan yang dikeluarkan Human Rights Watch (HRW), penglibatan kebanyakan bank terkemuka Israel itu adalah untuk membina unit perumahan baharu bagi penempatan semula penduduk Yahudi dengan merampas hak rakyat Palestin di wilayah yang diduduki itu. 

Setakat ini dianggarkan seramai 500,000 rakyat Israel kini menetap di lebih daripada 100 penempatan haram Yahudi yang dibina di Tebing Barat dan Baitulmaqdis sejak 1967.

Undang-undang antarabangsa menyifatkan Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis sebagai wilayah yang diduduki secara haram oleh Israel, dan dengan itu menganggap semua kegiatan pembangunan serta penempatan Yahudi di tanah itu adalah haram.





Sementara itu, Israel terus berada dalam keadaan selesa dan merasa selamat berikutan adanya tindakan Amerika Syarikat (AS) pada awal Mei lalu yang menggunakan kuasa vetonya tatkala menentang draf resolusi terbaharu PBB yang disokong oleh negara Arab dalam menyeru langkah melindungi rakyat Palestin daripada kekejaman tentera Israel. 

AS dikatakan terkilan apabila satu lagi draf resolusi yang cuba dibawa dengan mengutuk Hamas sebagai punca keresahan dan kekerasan di Gaza gagal mendapat sebarang sokongan. Kedua-dua draf resolusi tersebut dikatakan dibawa di Majlis Keselamatan PBB beberapa jam selepas seorang wanita muda Palestin ditembak mati oleh askar Israel berhampiran pagar sempadan Gaza.

Sejak kebangkitan gelombang penentangan rakyat Palestin akhir Mac lalu, dianggarkan sekurang-kurangnya 123 rakyat Palestin telah terbunuh dalam kejadikan tembakan penyuraian tentera Israel sedangkan dalam masa yang sama, tiada seorang pun rakyat Israel dilaporkan terbunuh. 

Sepuluh negara, termasuk China, Perancis dan Rusia mengundi memihak kepada draf yang dikemukakan oleh Kuwait bagi pihak negara Arab. Empat negara lagi iaitu Britain, Ethiopia, Belanda dan Poland mengambil pendirian berkecuali.

Teks yang didraf oleh Kuwait menggesa "langkah-langkah untuk menjamin keselamatan dan perlindungan" orang awam Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, dan meminta laporan PBB mengenai cadangan untuk "mekanisme perlindungan antarabangsa".

Sehubungan dengan apa yang berlaku ini, kita tidak seharusnya lupa bahawa Dewan Hak Asasi Manusia PBB, UNHCR dalam bulan Mac 2018 lalu telah turut meluluskan lima resolusi dalam mengecam Israel berhubung isu pendudukan Israel dan pelarian rakyat Palestin dengan menuntut supaya beberapa pendekatan ke arah menangganinya dilakukan oleh semua pihak, termasuk Israel.

Resolusi yang dibuat di pertemuan kali ke-37 UNHCR di Geneva itu antara lain telah mengecam penindasan rezim Israel terhadap warga Palestin dan menyuarakan dukungan atas perjuangan Palestin melawan penjajahan.

Salah satu daripada resolusi yang diluluskan itu turut menuntut supaya akuntabiliti dan keadilan ditegakkan atas semua pelanggaran hukum internasional di kawasan Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Resolusi lain mendesak komuniti dunia untuk berhenti menjual senjata kepada rejim Israel, menuntut Israel keluar dari Dataran Tinggi Golan, dan menghentikan pemukiman haram di atas tanah-tanah Palestin yang diduduki oleh pihak Israel.

Apa yang menarik, resolusi berkenaan akhirnya telah diluluskan setelah mendapat sokongan 27 negara berbanding 4 negara yang menentang dan 15 lagi yang berkecuali.

AS ternyata, tercabar dengan resolusi UNHCR itu sehingga terdorong menggelar UNHCR sebagai sebuah lembaga yang “bodoh dan tidak layak” untuk menguruskan hal ehwal berkaitan pelarian.

Kekecewaan AS dan tidak kurang, Israel itu, tidak berakhir di situ sahaja. Pada awal Jun 2018 baru-baru ini, kedua-dua negara telah mengumumkan penarikan diri dari menganggotai agensi badan dunia PBB itu dengan alasan UNHCR gagal dalam melaksanakan misi dan objektifnya selain bersikap anti-Israel dalam menanggani isu pelarian Palestin.


Wallahua’alam (MMO).



      

No comments:

Post a Comment