Saturday, January 6, 2018

LAGI USAHA ISRAEL UNTUK MENGAMBIL TANAH PALESTIN


Penduduk Palestin berarak bagi membantah pembinaan penempatan haram Yahudi
  
Belum pun genap sebulan dunia dikejutkan dengan tindakan Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang baharu, kita kini dihadapkan pula dengan satu lagi tindakan yang tidak kurang mengejutkan - kali ini di pihak Israel, yang berhasrat untuk mengambil tanah-tanah Palestin yang diduduki di Tebing Barat untuk dimasukkan sebagai sebahagian daripada wilayah Israel.

Pada 31 Disember 2017 lalu, kira-kira 1,500 anggota Parti Likud Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengundi sebulat suara di Parlimen negara itu, Knesset, untuk memanjangkan kedaulatan Israel ke atas “Judea dan Samaria”, merujuk kepada nama-nama Israel yang diberikan kepada beberapa kawasan yang diduduki secara haram oleh penduduk Yahudi dalam wilayah Palestin.

Resolusi yang dibuat itu bagaimanapun tidak mengikat mana-mana pihak dari sudut perundangan (non-legally binding). Resolusi tersebut juga turut menyeru supaya pembinaan penempatan yang tidak terbatas dibuat di atas tanah-tanah yang diduduki penduduk Israel di kawasan Tebing Barat - tanah yang selama ini menjadi sumber pertanian bagi rakyat Palestin kerana kesuburannya.

Kedua-dua sayap perjuangan rakyat Palestin - Fatah dan Hamas bersatu suara dalam mengecam rancangan Israel itu dengan menganggapnya sebagai “penghapusan sisa-sisa proses damai” yang akan mengundang lebih banyak penentangan daripada rakyat Palestin.

Presiden Palestin yang juga pemimpin al Fatah, Mahmoud Abbas ketika mengulas tindakan Parti Likud itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai tamparan kepada semua perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini. Ia juga, menurutnya, jelas melanggar semua resolusi PBB yang pernah diluluskan. Resolusi terakhir, Resolusi 2334 menurut Abbas, sangat jelas menegah Israel daripada membangunkan penempatan haram di atas tanah-tanah Palestin yang diduduki. 

Pemimpin Hamas, dalam mengutuk tindakan Parti Likud pula menyifatkan keputusan tersebut sebagai suatu dasar pencerobohan terhadap rakyat Palestin dan hanya memanfaatkan kedudukan Amerika, termasuk pengisytiharan berbahaya Donald Trump dalam mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu.

Berdasarkan undang-undang yang ada pada masa ini berkaitan pengambilan hak ke atas tanah awam di Tebing Barat, pihak berkuasa hanya dibenarkan menguasai sesuatu tanah persendirian bagi maksud keperluan awam. Kerajaan Israel bagaimanapun menyalahgunakan undang-undang ini dengan tujuan untuk merampas tanah persendirian dengan alasan ianya digunakan bagi tujuan pembinaan infrastruktur perhubungan. 

Persoalannya, dari sudut manakah akan datangnya manfaat bagi rakyat Palestin bilamana jalan-jalan yang dibina itu lebih bertujuan untuk menyambung penempatan-penempatan haram Israel yang berselerak di atas bumi Palestin?. Rakyat Palestin sendiri sebenarnya tidaklah sebebasnya dapat menggunakan jalan-jalan tersebut bilamana pergerakan mereka seolah-olah mahu dihadkan oleh pihak keselamatan Israel melalui sekatan-sekatan pemeriksaan yang menyusahkan. Hasil dari adanya muslihat Israel itu juga, dianggarkan 12 penempatan haram yang dibina di Baitulmuqaddis Timur kini tercantum dengan kemas melalui rangkaian jalan raya yang pembinaannya sering diuar-uarkan oleh pihak berkuasa Israel sebagai "keperluan awam".

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, Pusat Kajian Tanah (LRC) Palestin baru-baru ini telah mendedahkan bahawa sepanjang tahun 2017 rejim Zionis telah merampas seluas 9,784 dunum (978.4 hektar) tanah Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Dalam tempoh yang sama, rejim Zionis dikatakan turut memusnahkan kira-kira 500 bangunan atau struktur binaan milik penduduk Palestin serta mengeluarkan notis perobohan ke atas 855 yang lain. 

Laporan tersebut juga menyebutkan sebanyak lapan pos penempatan haram baharu telah dibina, di samping pembinaan secara haram lebih 3,000 unit rumah serta perluasan 60 lagi kawasan  penempatan haram Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin yang diduduki. Kesemua tindakan ini dibuat di tengah-tengah adanya resolusi PBB yang menegah Israel daripada melakukan tindakan sedemikian ke atas wilayah Palestin.

Justeru dengan melihat perkembangan yang berlaku ini, beberapa fakta serta rumusan seperti berikut mungkin boleh kita fikirkan;

  1. Israel mengambil kesempatan di atas adanya dasar dan sikap lantang Presiden baharu Amerika Syarikat pada masa ini yang “sangat berpihak” kepadanya untuk segera melaksanakan agenda mereka ke atas Palestin. Antara agenda itu termasuklah menggiatkan pembinaan penempatan haram di atas tanah milik rakyat Palestin yang diduduki secara haram. Pendudukan haram ini kemudian nanti akan dijadikan asas bagi tindakan pengambilalihan hak milik tanah-tanah berkenaan kepada Israel.
  2. Resolusi Parti Likud ini walaupun tidak mempunyai implikasi mengikat dari sudut perundangan, dipercayai dibuat sebagai suatu peringatan bahawa tanah-tanah Palestin yang diduduki secara haram oleh rakyat Israel lambat laun akan diambil “melalui apa jua cara” untuk dijadikan sebahagian daripada wilayah Israel.
  3. Baik Amerika Syarikat, lebih-lebih lagi Israel, kini cenderung untuk menjadikan diri mereka kebal daripada sebarang ketetapan yang dibuat oleh PBB. Peristiwa pengundian isu Baitulmaqdis di PBB dalam bulan Disember lalu menyerlahkan segala-galanya. Israel dan Amerika dikatakan tetap akan meneruskan agenda mereka di sebalik adanya bantahan majoriti anggota badan dunia itu.
  4. Sejauh ini jumlah resolusi yang telah dikenakan oleh PBB terhadap Israel telah mengatasi angka usia negara itu sendiri, lebih daripada 70 resolusi. Namun tiada satu pun yang dipatuhi dari sudut perlaksanaannya. Pemimpin-pemimpin Israel malah sering kali berlagak bongkak dan secara “menongkah arus” - mencabar ketetapan-ketetapan yang dibuat dengan berikrar akan meningkatkan lagi tindakan-tindakan provokatif mereka ke atas Palestin dan rakyatnya. Justeru, dalam isu yang ada di hadapan kita ini, siapa agaknya yang mampu menghalang Israel jika mereka berhasrat untuk mengambil alih tanah-tanah Palestin yang diduduki secara haram oleh rakyatnya itu ?
  5. Perkembangan antarabangsa yang berlaku dalam tempoh sebulan dua ini, khususnya selepas Amerika diterajui oleh Presiden Donald Trump, mengundang kita untuk melihat suatu penampilan gaya politik antarabangsa yang baharu yang akan berbalik kepada “undang-undang rimba”. Yang gagah akan menguasai yang lemah. Badan dunia, PBB tidak lagi dihormati oleh Amerika dan Israel, jauh sekali untuk berperanan sebagai penghalang kepada kedua-dua negara bagi melaksanakan agenda liar masing-masing. PBB baru-baru ini telah dipersalahkan oleh Amerika sebagai “pihak yang tersasar” dalam mencari formula penyelesaian isu Palestin-Israel di sebabkan majoriti negara anggotanya menentang pendirian Trump berkaitan isu Baitulmaqdis. Netanyahu pula menganggap PBB sebagai “rumah pembohongan” (“House of lies”) dan berikutan itu berikrar setiap resolusi yang diluluskan tidak akan terpakai buat Israel. Justeru atas asas apa lagi yang ada bagi kita untuk mengharapkan PBB sebagai satu-satunya platform terbaik bagi menyelesaikan isu Palestin-Israel?
  6. Amat malang, di tengah-tengah adanya tekanan kuasa kufar ke atas negara Islam sepertimana yang berlaku ke atas Palestin, negara-negara Islam kian mengendur lemah, bukan sahaja dari segi kekuatan ketenteraan dan ekonomi, malah juga ukhuwah dan perpaduan yang semakin longgar. Negara-negara Arab/ Islam yang dahulunya digeruni seperti Iraq, Libya, Syria, Jordan dan Mesir kini menjadi antara negara yang hampir gagal (“failed states”) disebabkan sengketa dalaman dan juga sengketa sesama sendiri.
Cuma, sebagai orang biasa, apa yang terdaya kita lakukan ialah melalui jihad kecil dengan berdoa. Doakan agar kejayaan akhirnya akan tetap menyebelahi umat Islam sebagaimana janji Allah di dalam Al-Quran. Antaranya, melalui surah-surah dan ayat-ayat berikut; 

“Jika Allah menolong kamu maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan) maka siapakah yang dapat menolong kamu (selain dari Allah) setelah itu? Kerana itu hendaklah kepada Allah sahaja orang mukmin bertawakal.”  (Surah Ali Imran: Ayat 160)

“Dan tidaklah Allah menjadikannya (mengirim pertolongan) melainkan sebagai khabar gembira agar hatimu menjadi tenteram, dan kemenangan (pertolongan) itu hanyalah dari sisi Allah. Sungguh Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (Surah Al Anfal : Ayat 10)

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas semua agama meskipun orang musyrik membencinya ”. (Surah At Taubah : Ayat 33)


Wallahua'alam (MMO)


 

No comments:

Post a Comment