Monday, September 3, 2018

KERAJAAN MYANMAR TERUS BERDALIH DALAM ISU ROHINGYA


Sebahagian daripada pelarian Rohingya yang mendarat di pantai Bangladesh pada tahun lalu

Belum pun terlaksana proses penghantaran pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh ke kampung halaman mereka di Myanmar - sebahagian besar kerana adanya sikap berdolak dalik kerajaan Myanmar yang tidak bersedia untuk menerima kembali mereka,  pemerintah Myanmar nampaknya terus berdalih dalam isu terbaharu – menolak laporan PBB mengenai penglibatan tentera Myanmar dalam kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohinya.

Pada 27 Ogos lalu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membuat gesaan supaya beberapa pegawai tertinggi tentera Myanmar disiasat kerana didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohinya di negeri Rakhine dan melakukan jenayah hak asasi di beberapa kawasan lain.

Laporan berkenaan menyebut taktik yang digunakan oleh tentera Myanmar untuk menindas etnik Rohingya disifatkan sebagai ‘konsisten dan tidak sepadan dengan ancaman sebenar’. Selanjutnya, Laporan itu menyenaraikan enam nama pegawai tertinggi tentera Myanmar termasuk Komander Ming Aung Hlaing dan timbalannya wajar dibicarakan di mahkamah.

Selain itu, laporan berke­naan turut mengkritik sikap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dilihat gagal menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya dan meminta ke­se­mua kes melibat­kan kumpulan mi­noriti itu dirujuk ke Mahkamah Je­nayah Antarabangsa.

Laporan itu juga men­­jelaskan bahawa ‘tindakan’ yang dilakukan oleh tentera Myan­mar terhadap etnik Rohingya adalah sesuatu yang mengejutkan. “Keperluan ketenteraan tidak membenarkan pembunuhan dilakukan sesuka hati, merogol wanita secara berkumpulan, menyerang kanak-kanak dan membakar seluruh kawasan perkampungan,” jelas laporan tersebut.

Antara jenayah yang direkodkan di Kachin, Shan dan Rakhine termasuk pembunuhan, penjara, penyeksaan, rogol, hamba seks, penganiayaan dan penghambaan yang merupakan perbuatan jenayah paling berat berdasarkan undang-undang antarabangsa. Laporan itu juga mendapati terdapat elemen penghapusan etnik yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai dilakukan terhadap etnik Rohingya.

Menurut laporan beberapa agensi media antarabangsa, laporan yang dihasilkan oleh pasukan penyiasat PBB itu adalah berdasarkan beratus-ratus wawancara yang dilakukan terhadap pelarian Rohingya, pemimpin-pemimpin mereka, dan beberapa pihak lain yang bersangkutan dengannya.

Misi PBB tidak dibenarkan masuk ke Myanmar, dipercayai kerana didorong oleh kebimbangan kerajaan Myanmar terhadap kemungkinan penemuan bukti-bukti yang boleh mengaitkan penglibatan tentera Myanmar dengan kekejaman ke atas etnik Rohingya. Justeru itu, laporan misi PBB tersebut dihasilkan dengan berdasarkan beberapa sumber termasuk wawancara saksi, imej satelit, gambar serta video.

Laporan itu bagaimanapun disifatkan sebagai kritikan paling kuat daripada PBB sejauh ini berhubung penindasan Junta Myanmar terhadap etnik Rohingya.

Sejak 25 Ogos tahun lalu, kira-kira 700,000 etnik Rohingya meninggalkan Rakhine dan memasuki Bangladesh. Dianggarkan kira-kira 6,700 penduduk Rohingya termasuk 730 kanak-kanak terbunuh dalam bulan pertama selepas tentera Myanmar mengambil tindakan keganasan terhadap kumpulan minoriti tersebut.

Kerajaan Myanmar menolak sekeras-kerasnya laporan tersebut dengan menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh tentera negara itu adalah bertujuan untuk memelihara keamanan negara dan ketenteraman hidup rakyatnya. Kerajaan Myanmar menyifatkan laporan di pihak PBB itu sebagai sesuatu yang berat sebelah dan cuba mencampuri urusan dalaman negara Myanmar.

Berikutan terbitnya laporan Misi PBB berkenaan, beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), telah menggesa pemimpin tentera Myanmar yang didakwa mendalangi penginayaan terhadap etnik minoriti Rohingya supaya diadili di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata, fakta tentang penghapusan etnik Rohingya perlu disuarakan dan didengar. "Di sini, di Majlis Keselamatan PBB, kita perlu memastikan mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah itu diadili." 

Sementara itu, wujud maklumat bahawa penyiasat PBB dalam laporan mereka itu juga, telah turut menggesa Majlis Keselamatan PBB merujuk situasi di Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague atau mewujudkan sebuah tribunal antarabangsa seperti yang dibuat ke atas Yugoslavia.

Kita doakan agar hal ini menjadi kenyataan pada suatu hari nanti. Hanya melalui cara itu sahaja kita mungkin dapat menyaksikan keadilan benar-benar dapat ditegakkan dalam  isu berkaitan kekejaman tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya yang selama ini cuba diselindungkan. 

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi telah digesa supaya meletak jawatan ekoran kempen keganasan oleh junta tentera terhadap etnik minoriti Rohingya sejak setahun lalu. Gesaan itu telah dibuat oleh Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zeid Ra’ad al Hussien yang mendesak pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu kekal dikenakan tahanan rumah seperti yang dilaluinya sebelum ini daripada berpura-pura dengan berdalih dengan menyebelahi pihak tentera dalam keganasan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya.

Dalam satu wawancara bersama pihak BBC itu juga, Zeid dilaporkan telah menyatakan bahawa tiada keperluan sebenarnya untuk Suu Kyi menjadi jurucakap tentera Myanmar. Suu Kyi juga, menurut Zeid, lebih wajar mengambil sikap berdiam diri daripada cuba mempertahankan pihak tentera dengan menyatakan konon perkara ini (tindakan keganasan) adalah tidak benar, hanya rekaan semata-mata.

Zeid juga menyatakan pandangannya bahawa Suu Kyi sebenarnya berada dalam kedudukan yang boleh berbuat sesuatu bagi mengelakkan apa yang telah berlaku terhadap etnik Rohinya itu, tetapi beliau sebaliknya duduk berdiam diri. Justeru itu, Suu Kyi dituntut supaya mengambil tanggung jawab dengan cara meletakkan jawatannya.

Sebagai pihak yang ingin melihat kebenaran tertegak dalam isu Rohingya ini, kita amat berharap, malah berdoa, agar suatu tindakan yang berkesan dapat dilakukan terutama oleh PBB bagi mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Sehubungan ini, cadangan laporan Misi PBB yang menyarankan supaya mereka yang terlibat dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atau diadili oleh sebuah tribunal antarabangsa adalah satu cadangan yang tepat dan sewajarnya dilakukan dengan segera. Hanya dengan cara itu sahaja kita yakin, keadilan dan kebenaran akan dapat ditegakkan di sebalik kesengsaraan yang dialami oleh saudara seagama kita itu.


Wallahua'alam (MMO).



No comments:

Post a Comment