Monday, March 1, 2021

DIARI KEHIDUPAN XV : UIGHUR - LAGI BUKTI KEZALIMAN BARU DIDEDAHKAN

 

Sekumpulan etnik Uighur mengadakan tunjuk perasaan di Eropah

Di sebalik adanya desakan berterusan dunia antarabangsa terhadap China berkaitan layanan dan tindakan keras mereka terhadap etnik Islam Uighur di wilayah Xinjang, kerajaan China secara berterusan pula cuba menafikannya dengan mendakwa bahawa apa yang dilakukannya terhadap etnik itu adalah untuk kebaikan mereka sendiri.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) mendakwa tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa China ke atas etnik Uighur itu, khususnya mereka yang ditahan di dalam kem-kem pemulihan sebagai genosid atau “pembunuhan beramai-ramai”. Berikutan itu, AS melaksanakan beberapa bentuk sekatan ekonomi bertujuan untuk memaksa China mematuhi gesaan dunia antarabangsa supaya berhenti daripada melaksanakan tindakan yang melanggari hak-hak asasi kemanusiaan etnik tersebut.

Terbaru, kita dikejutkan lagi dengan khabar bahawa China bakal meningkatkan pendakwaan terhadap minoriti Muslim di Xinjiang melalui sistem mahkamah dengan menjatuhkan hukuman penjara lebih lama bagi tuduhan meragukan seperti terbabit dalam pergaduhan dan memberi hadiah kepada keluarga di luar negara, kata sebuah kumpulan hak asasi, baru-baru ini.

Sabitan bagi kesalahan itu sudah pasti akan meningkatkan angka mereka yang ditahan yang kini menjangkau sekitar satu juta orang di dalam kem-kem yang dikaburkan sebagai kem "pendidikan politik" di Xinjiang.



Menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW), kebanyakan yang dipenjarakan adalah orang biasa yang menjalani kehidupan harian dengan mengamalkan ajaran agama mereka. 

Berkaitan perkembangan terbaru ini juga, ahli-ahli Parlimen Kanada baru-baru turut berkongsi pendirian yang sama dengan meluluskan usul dalam menyifatkan perlakuan China terhadap minoriti Uighur sebagai 'pembunuhan beramai-ramai' - mengekori dakwaan yang sebelum ini dibuat oleh AS.

Demikian juga dengan Parlimen Belanda, turut mengeluarkan usul yang serupa dengan menyifatkan perlakuan China terhadap minoriti Muslim Uighur sebagai tindakan genosid. Belanda malah menyeru pemerintah China supaya bersedia mengambil tanggungjawab terhadapnya. 

Turut menyatakan pendirian mengenai apa yang berlaku di wilayah Xinjiang itu adalah United Kingdom (UK) yang mendakwa kini wujud bukti kukuh mengenai kewujudan buruh paksa dalam kalangan etnik Uighur Islam di wilayah Xinjiang di China.

“Bukti adanya buruh paksa dalam kalangan pekerja Uighur di Xinjiang dan serata negara adalah cukup kukuh, dan bukti yang sedang menyusul ini telah menimbulkan kerisauan bagi kerajaan UK” kata seorang Ahli Parlimen, Nigel Adams, ketika berbahas dalam satu sesi perbahasan parlimen di negara itu baru-baru ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap satu laporan agensi berita nasional BBC yang mendakwa terdapat beberapa jenama fesyen yang telah memperoleh bahan kapas melibatkan wilayah tersebut.

Awal bulan Disember, Amerika Syarikat (AS) telah mengharamkan import kapas daripada sebuah organisasi China yang dipercayai menggunakan kakitangan banduan Uighur Islam.

Tambah Adam, firma-firma negara itu seharusnya memastikan rantaian bekalan bebas daripada buruh paksa.

Di kalangan negara Islam, Turki seperti biasa, muncul sebagai ‘wakil’ dalam menyatakan kekesalan terhadap apa yang berlaku terhadap nasib etnik Uighur.  Malah Turki tidak merasa gentar untuk mengutuk tindakan China ke atas penduduk Islam Uighur sambil menyifatkannya sebagai ‘keaiban besar kepada kemanusiaan’ - mengekori dakwaan yang sebelum ini sering dilemparkan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa.

“Dasar asimilasi sistematik dilakukan pihak berkuasa China terhadap penduduk Uighur adalah keaiban besar kepada kemanusiaan,” kata jurucakap Kementerian Luar Turki, Hami Aksoy, dalam satu kenyataan.

Demikianlah, semakin banyak negara besar yang kini bangun bersuara dalam mengutuk tindakan keras kerajaan China ke atas etnik Islam Uighur di Xinjiang. Semuanya menguatkan lagi dakwaan yang pernah dibuat oleh AS sebelum ini, iaitu bahawa kerajaan China, dengan mengambil tindakan menghukum mati secara besar-besaran ke atas tahanan etnik Uighur, telah secara langsung terlibat dengan perlakuan genosid, sesuatu yang amat ditegah oleh undang-undang antarabangsa.

Namun, apa yang kita kesalkan, Beijing tidak pernah memberi respons yang diharapkan di sebalik adanya dakwaan dan gesaan antarabangsa itu. Kerajaan China sebaliknya, berterusan mempertahankan bahawa kem-kem yang diwujudkan itu adalah lebih berupa pusat pendidikan vokasional bagi membantu warga Uighur daripada terperangkap dengan pengaruh keganasan dan membolehkan mereka bergaul dengan masyarakat.

Di pihak yang menjadi harapan ramai, Presiden Joe Biden diharap akan bakal berupaya untuk mendesak dan mengambil lebih banyak tekanan terhadap China dalam isu hak asasi etnik Uighur, lebih-lebih lagi berkaitan adanya dakwaan China terlibat dalam perlakuan 'pembunuhan beramai-ramai' itu. Dunia amat mengharapkan agar tindakan keras kerajaan China ke atas etnik Uighur, termasuk tindakan-tindakan yang melanggari hak asasi mereka, segera dapat dihentikan dan etnik itu diberikan hak serta kebebasan untuk hidup sebagaimana rakyat China yang lain.


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment