Thursday, August 16, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : GUYANA




PETA
 





  
 

GEOGRAFI

Negara Guyana terletak di bahagian Utara Amerika Selatan, bersempadan dengan Lautan Atlantik Utara, antara Suriname dan Venezuela. 

Negara ini merupakan negara ketiga terkecil di Amerika Selatan selepas Suriname dan Uruguay.

Guyana berkongsi sempadannya dengan tiga negara iaitu Brazil, sepanjang 1,308 km, dengan Suriname (sepanjang 836 km), dan dengan Venezuela (sepanjang 789 km).

Keluasan keseluruhan negara ini adalah 214,969 km persegi, terdiri daripada kawasan daratan seluas 196,849 km persegi dan air, seluas 18,120 km persegi.

Struktur muka bumi Guyana secara umumnya terbahagi kepada lima bentuk, terdiri daripada dataran beralun sempit dan subur di sepanjang pantai Atlantik (dataran pantai rendah), kawasan pasir berbukit dan wilayah tanah liat yang mengandungi sebahagian besar deposit mineral Guyana, hutan hujan di bahagian selatan negara itu,  padang pasir savana di sebelah barat daya, dan dataran pedalaman kecil yang sebahagian besar dipenuhi dengan bukit dan pegunungan yang secara bertahap menaik ke perbatasan Brazil.

Iklim Guyana adalah dari jenis tropika yang secara umumnya berkeadaan panas dan lembab. Terdapat dua musim hujan di negara ini; pertama, dari Mei hingga pertengahan Ogos, dan kedua, dari pertengahan November hingga pertengahan Januari.


PROFAIL PENDUDUK




Jumlah keseluruhan penduduk Guyana adalah seramai 737,718 orang (anggaran Julai 2017). Anggaran ini dibuat dengan mengambil kira kesan kematian yang tinggi akibat penyakit AIDS yang menyaksikan tempoh jangka hayat menyusut, kadar kematian bayi yang lebih tinggi, dan kadar pertumbuhan penduduk yang lebih rendah.

Penduduk tertumpu di bahagian timur laut Guyana khususnya di sekitar Georgetown dan di sepanjang Sungai Berbice ke timur. 

Kumpulan etnik utama yang membentuk komponen penduduk Guyana terdiri daripada India (39.8%), etnik Afrika (29.3%), etnik campuran (19.9%), Amerindian (10.5%) dan bakinya etnik-etnik lain (anggaran tahun 2012).

Bahasa Inggeris menjadi bahasa resmi Guyana dan digunakan dalam kebanyakan urusan rasmi, termasuk di sekolah-sekolah. Selain itu, bahasa Carribean (Akawaio, Wai-Wai, Arawak dan Macushi) turut dituturkan oleh sebahagian kecil masyarakat. 

Dari segi agama, kira-kira 34.8 peratus penduduk Guyana menganut agama Kristian/ Protestan, 24.8 peratus Hindu, 7.1 peratus Kristian/ Roman Katolik, 6.8 peratus Islam, dan bakinya lain-lain agama dan kepercayaan (anggaran tahun 2012).


SEJARAH RINGKAS


Guyana pada awalnya dihuni oleh suku-suku Arawak dan Karibia dari penduduk asli Amerika. Pihak Inggeris menuntut penguasaan ke atas Guyana di akhir abad 18 yang membawa Belanda secara resmi menyerahkan daerah tersebut kepada Inggeris pada tahun 1814. Pada tahun 1831 tiga koloni yang terpisah di Guyana menjadi koloni Inggeris yang tunggal, dikenal sebagai British Guyana.

Guyana mencapai kemerdekaan dari Inggeris pada 26 Mei 1966 dan kemudiannya menjadi sebuah negara republik pada 23 Februari 1970. Amerika Syarikat bersama Britain telah memainkan peranan besar dalam politik Guyana yang menyaksikan kedua-dua kuasa mendukung pemimpin Parti Rakyat, Forbes Burnham di tahun-tahun awal kemerdekaan Guyana. Seorang lagi pesaing politik kepada Burnham, Cheddi Jagan yang memimpin parti Kongres Nasional Rakyat, dianggap Marxis, didukung oleh penduduk Guyana berketurunan India.


POLITIK & PENTADBIRAN

              

Guyana adalah sebuah negara Republik Berparlimen.

Ketua Negara/ Presiden :  Presiden David Granger (sejak May 2015).

Menteri-menteri Kabinet dipilih dan dilantik sendiri oleh Presiden dan bertanggung jawab kepada Parlimen. Mereka berkhidmat untuk penggal lantikan selama lima tahun.

Dari segi perundangan, Guyana mengamalkan sistem common law berdasarkan model perundangan Inggeris.


EKONOMI



Ekonomi Guyana secara umumnya mempamerkan pertumbuhan  yang sederhana dalam beberapa tahun kebelakangan yang banyak bersandarkan kepada industri pertanian dan sumber alam. Ekonomi Guyana sangat bergantung kepada eksport enam hasil komoditi iaitu gula, emas, bauksit, udang, kayu, dan beras - yang mewakili hampir 60% daripada KDNK negara itu. Komoditi-komoditi ini pula sangat terdedah kepada keadaan cuaca buruk dan turun naik harga.

Pertumbuhan ekonomi Guyana dalam beberapa tahun kebelakangan ini banyak disumbangkan oleh peningkatan pengeluaran emas. Dengan rekod 700,000 auns emas yang dihasilkan pada 2016, pengeluaran emas di Guyana telah mengimbangi kesan ekonomi ekoran penurunan pengeluaran gula. 

Pada bulan Januari 2018, dianggarkan sejumlah 3.2 bilion tong simpanan minyak telah dijumpai di luar pesisir dan berikutan itu, Guyana dijangka mampu menjadi pengeluar petroleum menjelang Mac 2020.

Guyana juga telah menikmati pertumbuhan ekonomi yang positif hampir setiap tahun sejak sedekad yang lalu. Inflasi telah dapat dikawal. Tahun-tahun kebelakangan ini telah menyaksikan stok hutang kerajaan berkurangan dengan ketara - dengan hutang luar negeri kini kurang daripada separuh daripada apa yang berlaku pada awal 1990-an. 

Di pihak kerajaan, walaupun beberapa langkah penambahbaikan dilakukan baru-baru ini, kerajaan masih perlu menyesuaikan hutang luar negeri yang besar terhadap keperluan mendesak untuk pelaburan awam yang diperluaskan. 

Pada bulan Mac 2007, Bank Pembangunan Inter-Amerika, penderma utama Guyana, membatalkan hampir $470 juta hutang Guyana, bersamaan dengan 21% daripada KDNK - suatu pengampunan hutang negara miskin yang terlalu tinggi. Ini membawa nisbah hutang kepada KDNK Guyana turun dari 183% pada tahun 2006 kepada 52% pada tahun 2017. Namun, di sebalik semua itu, Guyana masih berhadapan dengan beberapa masalah ekonomi yang agak kronik, termasuk kekurangan buruh mahir dan kekurangan infrastruktur.


ISLAM DI GUYANA





Sejarah awal kedatangan Islam di kawasan Carribean dapat dihubungkan dengan sejarah kolonial yang menyaksikan tenaga kerja perhambaan dari Afrika Barat di bawa masuk ke Guyana. Mereka termasuklah para muslim Mandingo dan Fulani, yang dibawa masuk oleh Kerajaan Inggeris untuk berkerja di ladang-ladang tebu. 

Bagaimanapun, kondisi perhambaan di bawah sistem kolonial pada tahun-tahun berikutnya telah menyebabkan praktik keagamaan Islam secara beransur-ansur lemah dan pudar. Pada tahun 1838 sejumlah 240,000 tenaga kerja perhambaan dari Asia Selatan (yang  merujuk pada wilayah India, Pakistan, dan Afganistan), telah dibawa masuk ke Guyana, menyaksikan praktik keagamaan Islam kembali meningkat walaupun pada kadar yang perlahan, sehinggalah sekarang.

Gelombang kemasukan tenaga kerja baharu ini, selain membawa komunitas Muslim, juga menyumbang kepada peningkatan penganut agama Hindu, agama kedua terbesar di Guyana. 

Setelah merdeka dari Inggeris pada 1966, Guyana mula menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara Arab seperti Mesir, Iraq, dan Libya, sekaligus membuka kedutaan besar mereka di ibukota Guyana, Georgetown. Para pemuda Islam Guyana juga menuntut ilmu ke negara-negara Arab bagi mendalamkan lagi pengajian keagamaan dan bahasa Arab mereka. 

Lawatan Presiden Cheddi Jagan pada 1996 ke Syria, Kuwait, Bahrain, Qatar, Arab Arab Bersatu, dan Lebanon kemudiannya membuahkan keanggotaan Guyana di Organisasi Persidangan Islam (OIC) dengan statusnya sebagai pemerhati tetap. Pada 1998, Guyana secara resmi diterima menjadi salah sebuah dari negara anggota OIC. 

Bahasa Urdu secara umumnya mudah dijumpai di Guyana – suatu pertalian sejarah yang berkait dengan kemasukan tenaga kerja dari Asia Selatan. Bahasa ini banyak dituturkan oleh kalangan orang Indo-Guyana, sebutan untuk orang-orang yang berasal dari Asia Selatan. Dalam hal keagamaan, bahasa Urdu dipakai untuk pelbagai perayaan dan peringatan seperti Maulidul Rasul, Isra Mikraj, Qasidah, pernikahan, dan lain-lain. 

Bagaimanapun, kesinambungan budaya mahupun penggunaan bahasa Urdu di kalangan umat muslim Guyana sering berhadapan dengan saingan beberapa bahasa lain khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa resmi Guyana, dan juga bahasa Arab sendiri yang dipandang lebih Islamik tetapi agak ortodoks. 

Dalam masa yang sama, gerakan untuk membersihkan tradisi mencampur-adukkan kepercayaan agama Islam dengan kepercayaan tempatan terus mendapat perhatian. Demikian juga, pertembungan nilai-nilai hidup dan agama antara generasi muda dan tua, menuntut kepada kesungguhan usaha semua pihak dalam masyarakat Islam. Dalam hubungan ini, iInstitusi pendidikan sering diharap dapat menjadi wadah bagi penyelesaiannya. 

Dari sudut politik, warga Islam Guyana pernah dilarang daripada megambil bahagian dalam pilihan raya negara itu. Ini menyaksikan sejak merdeka pada tahun 1966, politik Guyana secara berterusan dipegang oleh kelompok etnik dan agama Afro-Kristian. 

Di pihak pemerintah Guyana, pengiktirafan telah diberi kepada beberapa hari perayaan umat Islam untuk diwartakan sebagai hari cuti umum negara. Ini termasuklah Hari Raya Idul Fitri, Idul Adha, dan perayaan Maulidul Rasul. Ia diakui oleh pemerintah Guyana, bersama hari besar agama lain, baik Kristian mahupun Hindu.


 Wallahua’alam (MMO).







No comments:

Post a Comment