Monday, February 15, 2021

DIARI KEHIDUPAN XX : PALESTIN - "ADA CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG"


Ibu Pejabat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda

Pada 5 Februari lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memutuskan bahawa ia memiliki bidang kuasa ke atas situasi di wilayah Palestin yang ditakluk, sekali gus membuka laluan untuk tribunal itu membuka siasatan jenayah peperangan terhadap Israel.

Sebelum ini Pendakwa Raya ICC, Fatou Bensouda, memohon pendapat undang-undang daripada mahkamah itu sama ada bidang kuasanya menjangkau kawasan ditakluki Israel, selepas mengumumkan pada Disember lalu bahawa beliau mahu memulakan satu siasatan penuh.

Susulan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengecam keputusan ICC itu dengan mendakwa ia adalah 'badan politik'.

Amerika Syarikat (AS) pula menyuarakan 'kebimbangan serius' terhadap keputusan terbabit, manakala Palestin menyifatkannya sebagai 'kemenangan untuk keadilan'.

Menurut ICC dalam satu kenyataan, barisan hakim 'memutuskan dengan majoriti bahawa bidang kuasa mahkamah itu dalam situasi di Palestin meluas hingga ke wilayah ditakluki Israel sejak 1967, iaitu Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.'

Palestin adalah negara anggota mahkamah itu selepas menyertainya pada 2015, namun Israel bukan ahli.

Menurut mahkamah itu lagi, keputusan yang dibuat bukanlah atas asas  'kenegaraan' Palestin tetapi berikutan kedudukannya sebagai negara anggota bawah Statut Rome yang mendasari ICC.

"Kamar ini bukan memberi keputusan atas satu pertikaian sempadan di bawah undang-undang antarabangsa, serta bukan melakukan pra-pengadilan terhadap persoalan mengenai sebarang persempadanan pada masa depan," katanya.

Disember lalu, Bensouda menggesa supaya siasatan penuh dilakukan berhubung isu berkenaan selepas siasatan awal dijalankan selama lima tahun.

Pejabat beliau memaklumkan, pihaknya mengalu-alukan kejelasan kehakiman itu dan akan menentukan tindakan seterusnya dengan berlandaskan mandat bebas serta tidak memihak. 


Pemandangan di salah satu mesyuarat ICC

Kita amat mengalu-alukan keputusan ICC tersebut dan berpendapat ICC perlu segera menguatkuasakan Resolusi 2334, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan memulakan tindakan undang-undang ke atas Israel.

Resolusi 2334 PBB  yang dibuat pada pada 23 Disember 2016, antara lain mendesak agar diakhirinya pemukiman Israel ke atas tanah Palestin dan juga penempatan Israel yang dibangun di atas tanah yang diduduki melalui Perang Enam Hari tahun 1967. Resolusi itu menyebut bahawa permukiman Israel tersebut sebagai "suatu pelanggaran yang jelas di bawah undang-undang antarabangsa." 

Resolusi berkenaan juga merupakan resolusi PBB yang pertama disahkan berkaitan Israel dan Palestin sejak tahun 2009, dan yang pertama untuk mengatasi isu permukiman Israel sejak adanya Resolusi 465 tahun 1980. 

Resolusi tersebut berpendapat bahwa semua tindakan yang bertujuan mengubah komposisi demografi dan status wilayah Palestin yang diduduki Israel, termasuk pembangunan dan perluasan permukiman, perpindahan pemukim Israel, penyitaan tanah, pembongkaran rumah, dan pengusiran warga awam Palestin merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Resolusi itu juga mengutuk semua tindakan kekerasan terhadap warga awam Palestin termasuk terorisme, provokasi, dan perusakan. Resolusi ini menegaskan kembali dukungan untuk solusi dua negara dan memperingatkan bahwa kegiatan permukiman "membahayakan" viabilitasnya.

Dokumen ini juga menggariskan bahawa Dewan Keselamatan PBB tidak akan mengakui perubahan apa pun terhadap garis sempadan yang ditetapkan selepas  4 Jun 1967, termasuk berkenaan dengan Baitulmaqdis, selain yang disetujui oleh kedua-dua pihak melalui perundingan dan menyeru kepada semua negara untuk membedakan, dalam setiap dasar dan tindakan yang diambil, antara wilayah Negara Israel dan wilayah-wilayah yang diduduki sejak tahun 1967.

Resolusi itu menjadi asas kukuh untuk Pejabat Pendakwa ICC untuk memohon kebenaran Kamar Pra-Bicara ICC bagi memulakan siasatan ke atas jenayah yang didakwa dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin, selaras Perkara 15 (1) Statut Rome.

Kita dengan itu mengalu-alukan perkembangan terbaharu ICC tersebut menerusi keputusan majoriti hakim dalam Kamar Pra-Bicara I di ICC.

Apa yang amat melegakan kita ialah keupayaan Hakim di Mahkamah ICC untuk menyatakan secara jelas bahawa bidang kuasa mahkamah itu dalam situasi Palestin sebagai negara yang meratifikasi Statut Rome, turut meliputi wilayah diduduki Israel sejak 1967 iaitu Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur - sesuatu yang dipercayai amat sukar untu diterima oleh rejim Zionis Israel.

Palestin adalah negara anggota ICC selepas menyertainya pada tahun 2015. Namun Israel (mungkin atas dasar negara itu yang tidak mahu menghormati undang-undang antarabangsa) tidak menjadi ahli ICC.

Kita percaya keputusan itu, setidak-tidaknya, dapat memberi harapan untuk rakyat Palestin secara khususnya, dan seluruh umat manusia lain, secara umumnya, untuk mendapat “hak untuk dilindungi” daripada kezaliman, penindasan dan pelanggaran hak-hak asasi.

Justeru itu, setiap negara baik besar atau kecil, wajib mematuhi dan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan antarabangsa, termasuklah Israel, walaupun ia tidak menerima pakai Statut Rome.

Kita juga menyeru agar seluruh masyarakat antarabangsa, tanpa berbelah bahagi, menyokong keputusan berani yang dibuat oleh Kamar Pra-Bicara I ICC itu. Dengan sokongan yang diberikan, ia akan menjadi petanda yang amat bernilai dari sudut penegakan nilai-nilai dan keadilan antarabangsa, juga kedaulatan undang-undang, serta mengambil tindakan segera, secara adil dan saksama, terhadap sesiapa saja yang melanggar prinsip tersebut.


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment