Monday, November 30, 2020

DIARI KEHIDUPAN XIII : DUNIA ISLAM MENYEPI TERHADAP ISU UIGHUR

 

Satu demonstrasi membantah kekejaman pemerintah China
oleh sekumpulan etnik Uighur di Turki

Sepanjang sebulan dua lalu nada yang mengecam tindak tanduk pemerintah China ke atas etnik Uighur terus lantang kedengaran, sebahagian besarnya dari negara-negara Barat, termasuk Amerika Syarikat (AS).

Di Brussel, Belgium, satu persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh The European Foundation for Democracy, dengan kerjasama Missi AS ke Kesatuan Eropah yang berlangsung pada bulan Oktober lalu telah membuat gesaan agar kerajaan China menghentikan segera semua bentuk tekanan dan penindasan yang dilakukan terhadap etnik Uighur yang ditahan dalam penjara di negara itu yang selama ini diuar-uarkan sebagai pusat latihan dan pembelajaran semula. 

Selang beberapa hari kemudian, nada yang sama turut dibuat oleh Penasihat keselamatan kebangsaan AS, Robert O’Brien dalam menggambarkan layanan terhadap umat Islam di Xinjiang, China “hampir sama” dengan genosid. Beliau dikatakan membuat ulasan tersebut menerusi satu persidangan Institut Aspen yang diadakan secara maya.   

AS juga, sebelum ini, telah mengecam layanan China terhadap etnik Uighur dan kumpulan minoriti Islam lain di Xinjiang di samping melaksanakan sekatan masuk ke atas beberapa pegawai kerajaan China yang dipercayai terbabit ke negara itu. AS, selain itu, turut mengenakan sekatan pengimportan terhadap beberapa produk China ke negara itu kerana didakwa menggunakan buruh paksa dari kalangan etnik Uighur.

Malangnya, di sebalik adanya teguran dan tindakan keras beberapa pemimpin dunia barat terhadap pemerintah China berkaitan etnik Uighur, pemimpin dunia Islam rata-ratanya kelihatan seolah-olah terlalu berhati-hati untuk membuat teguran ke atas China, apa lagi melakukan tindakan yang mampu memberi kesan seperti sekatan ekonomi dan perdagangan bagi memaksa China menghentikan tekanan dan penindasan yang mereka lakukan ke atas etnik itu. 

Malah, lebih menyedihkan kita, terdapat segelintir pemimpin negara Islam sendiri yang seolah-olah mewajarkan tindakan pemerintah China dalam melakukan tekanan dan penderaan ke atas minoriti Islam Uighur dalam apa yang dilihat sebagai usaha bagi menangani pengganasan dalam negara China. Sementara itu, ada pula yang seolah-olah mempercayai bahawa pusat pemulihan dan pembelajaran semula itu bakal membawa kebaikan kepada etnik Uighur bilamana mereka kelak tamat dari latihan dengan memperoleh kemahiran teknikal dan vokasional.  

Punca Dunia Islam Menyepi 

Turki muncul antara negara Islam yang sering dikaitkan sebagai pembela kepentingan agama dan umat Islam bilamana adanya sesuatu isu yang boleh memberi kesan negatif terhadap agama mahupun umat Islam. 

Bagaimanapun, dalam isu Uighur ini, di sebalik adanya kenyataan yang berupa teguran di atas tindakan pemerintah China ke atas etnik tersebut, Turki dalam banyak hal, dilihat lebih berusaha untuk menjalin hubungan rapat dengan China bagi kepentingan pelaburan dan pinjaman negara itu.

Ini menyebabkan ada sesetengah pemerhati politik cuba membandingkan nada kecaman dan tindakan Erdogan ke atas rejim Myanmar dalam isu Rohingya yang didakwa amat keras berbanding dengan teguran beliau ke atas pemerintah China yang dilihat sebagai ala kadar dan tidak menjanjikan kesan yang bermakna dari sudut penyelesaian isu etnik Uighur.

Demikian pula dengan beberapa kerat pemimpin negara-negara di Asia Tengah,  rata-rata mereka tunduk membisu dan seolah-olah mewajarkan apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh pemerintah China ke atas minoriti Islam Uighur itu.  

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, seorang lagi pemimpin yang diharap mampu memperjuangkan kepentingan agama dan umat Islam seluruhnya, malangnya dikatakan tidak mengetahui secara jelas kesukaran yang dilalui oleh etnik Uighur (yang mungkin menyebabkan beliau sukar untuk mengulas mengenainya?). Namun, umum mengetahui secara jelas bahawa Pakistan kini adalah antara negara pelanggan pelaburan China yang besar di mana Beijing setakat ini telah melabur $ 60 bilion di negara itu!

Mesir malah melangkah lebih jauh dari itu. Ia terlibat dalam kerjasama bagi mengesan dan menghantar pulang etnik Uighur yang berkeliaran di negara itu kembali ke China. Pada tahun 2017, 200 etnik Uighur telah dikumpulkan dalam beberapa gerak gempur di restoran dan pasar - semuanya atas perintah Parti Komunis China.

Demikian juga dengan Arab Saudi, belum dapat membuat apa-apa ulasan, lebih-lebih lagi bantahan yang jelas mengenai Uighur. Apa yang jelas, pada tahun 2017, Beijing dan Riyadh telah menandatangani perjanjian pelaburan baru bernilai $ 70 bilion. Kesepakatan itu dikatakan dibuat oleh Arab Saudi melalui Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad bin Salman, yang dipercayai menjadi penyebab mengapa Arab Saudi sehingga kini gagal bangun bersuara dalam menuntut pembelaan ke atas nasib etnik Uighur di China.

Sebagai negara peneraju dunia Islam, Arab Saudi mempunyai pengaruh terhadap Organisasi Kerjasama Islam (OIC) yang merupakan organisasi antara kerajaan kedua terbesar di dunia selepas PBB - untuk bangun membela kepentingan dunia Islam dan umatnya. 

Namun, 57 negara anggota OIC sejauh ini kelihatan seolah-olah tidak mempunyai keberanian untuk mengkritik dan mengambil tindakan keras ke atas China berkaitan isu Uighur pada mana-mana platform persidangan antarabangsa yang dianjurkannya. Yang peliknya, pada tahun lalu, 37 negara mendukung pernyataan di PBB atas tindakan China terhadap Uighur dengan sebahagian besar penandatangannya adalah negara-negara Islam. Tidakkah ini sama ertinya dengan peribahasa ‘melepas batuk di tangga’ ?

Pada kita, apa yang jelas, tindakan pemerintah China ke atas etnik Uighur adalah sesuatu yang tidak dapat diterima, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang kini semakin menobatkan perjuangan hak asasi kemanusiaan sebagai teras perjuangan antarabangsa. 

Malah, kita menaruh khuatir bilamana semakin banyak gerakan hak asasi dunia cenderung untuk menyamakan situasi di Xinjiang kini sebagai mempunyai persamaan dengan situasi tatkala penguasaan Nazi pada Perang Dunia Kedua dan serangan terhadap etnik Muslim Bosnia pada akhir 1995. Ia dengan kata lain, dikaitkan dengan unsur ‘pembersihan etnik’ - sesuatu yang diharamkan seperti yang termaktub dalam Konvensyen Geneva yang mana China sendiri turut menandatanganinya!.


Wallahu ‘alam (MMO)



No comments:

Post a Comment