![]() |
Pelarian Rohingya berhimpun secara aman bagi memperingati ulang tahun kedua pengusiran mereka |
Tempoh sepanjang suku tahun ketiga (Julai –
September) 2019 terus memperlihatkan ‘sandiwara’ dan kekejaman di pihak rejim junta
tentera Myanmar terhadap etnik Islam Rohingya.
Apa yang dimaksudkan sebagai ‘sandiwara’ di sini
ialah sikap berdolak dalih di pihak kerajaan Myanmar dalam menerima balik
pelarian Rohingya yang kini berhadapan dengan seribu satu masalah di kem-kem
pelarian di Bangladesh.
Juga ‘lakonan’ mereka dalam menyanggah kecaman
antarabangsa di atas tindakan tidak berperikemanusiaan yang mereka lakukan
terhadap etnik Rohingya yang serba daif itu. Pihak junta Myanmar sebaliknya kerap
menyalahkan etnik Rohingya kononnya sebagai penyebab mengapa sesuatu tindakan
kekerasan terpaksa diambil terhadap mereka. Misalnya atas alasan untuk
membendung keganasan yang ditimbulkan oleh pihak Tentera Pembebasan Arakan.
Berikut ini, mari sama-sama kita saksikan beberapa
lagi perkembangan penting yang berlaku dalam tempoh liputan buat memandu
kita untuk memahami dengan lebih dekat kesengsaraan yang dihadapi oleh saudara
seagama kita di negara yang tidak menjanjikan keamanan dan keselesaan buat
mereka itu.
3
Julai 2019
Penyiasat PBB ramal
kemungkinan jenayah perang baharu bakal tercetus di Myanmar
Seorang anggota pasukan penyiasat Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee, dilaporkan telah meramalkan dengan
tindakan pasukan keselamatan Myanmar yang secara berterusan melakukan
pelanggaran hak asasi manusia terhadap saki baki etnik Rohingya yang berada di
Myanmar, ianya berkemungkinan besar boleh mencetuskan jenayah perang yang
baharu di negara itu.
Keadaan ini diperburukkan lagi dengan adanya tentangan
balas di pihak kumpulan pemisah Rohingya – ‘Tentera Pembebesan Arakan’, yang bangun
melancarkan serangan terhadap pos-pos keselamatan tentera rejim Myanmar yang
sering kali pula melibatkan kecederaan dan ketakutan di kalangan rakyat awam
Rohingya.
Pandangan antarabangsa sebelum ini cenderung untuk
menyifatkan tindakan jenayah perang (genosid) sebagai punca yang mendorongkan
hampir satu juta etnik Rohingya lari mencari perlindungan di Bangladesh.
Kerajaan Myanmar bagaimanapun menafikan tuduhan
tersebut dan mengatakan kempen ketenteraannya di seluruh negeri Rakhine adalah merupakan
tindak balas terhadap serangan yang dicetuskan oleh pemberontak Rohingya.
Pada masa ini tentera kerajaan Myanmar dikatakan sedang
giat memerangi Tentera Pembebasan Arakan di Rakhine dan di sempadan antara negeri itu dengan negeri Chin.
11
Julai 2019
Bekas Setiausaha
Agung PBB beri amaran Bangladesh tidak dapat lagi menampung kehadiran pelarian
Rohingya
Bekas Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon memberi
amaran bahawa dengan keadaan ekonomi negara itu yang kian sukar, Bangladesh tidak
lagi mampu untuk terus menampung kehadiran pelarian etnik Rohingya yang
jumlahnya kini hampir mencecah melebihi 700,000 orang.
Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh beliau semasa
melawat kem sementara di selatan Cox Bazar, Bangladesh, beliau dilaporkan
berkata, "Tidak mungkin bagi Bangladesh untuk terus menjadi tuan rumah kepada
sebilangan besar pelarian Rohingya untuk suatu tempoh masa yang lama."
Ban Ki-moon juga dikatakan turut mengkritik pendirian
kerajaan Myanmar di atas keengganan mereka dalam membenarkan pelarian etnik
Rohingya untuk kembali ke negara asal mereka.
Ketika ditanya mengenai cadangan penyelesaian kekal bagi
krisis itu, Ki-moon dilaporkan berkata bahawa penghantaran balik yang selamat
dan bermaruah bagi kesemua pelarian Rohingya adalah satu kemestian bagi
penyelesaian sepenuhnya krisis pelarian Rohingya yang kian berlanjutan itu.
"Kerajaan Myanmar harus berbuat lebih banyak
supaya Rohingya dapat kembali ke tanah air mereka tanpa takut akan
penganiayaan," kata beliau.
Pada bulan Mac lalu, Setiausaha Luar Bangladesh,
Shahidul Haque memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa negaranya "tidak
akan lagi berada dalam kedudukan yang mampu untuk menampung lebih ramai pelarian
dari Myanmar".
Bangladesh dan Myanmar sebelum ini telah menandatangani
perjanjian repatriasi pada November 2017 dengan tempoh dua tahun ditetapkan untuk
memulangkan pelarian Rohingya ke Myanmar.
Penghantaran balik pelarian berkenaan bagaimanapun
telah ditangguhkan kerana kebimbangan global mengenai keselamatan mereka
setelah kembali ke Myanmar.
17
Julai 2019
AS kenakan sekatan
terhadap Ketua Tentera Myanmar kerana melakukan pembersihan etnik minoriti Rohingya
Amerika Syarikat telah mengumumkan sekatan terhadap
Panglima tentera Myanmar, Min Aung Hlaing dan tiga pemimpin tentera lain kerana
peranan mereka dalam "pembersihan etnik" (genosid) minoriti Rohingya.
Jabatan Negara berkata tindakan tersebut dibuat setelah
mereka mendapati bukti yang kukuh bahawa keempat-empat mereka terlibat dalam
keganasan genosid dua tahun yang lalu yang membawa kira-kira 740,000 Rohingya
melarikan diri ke sempadan Bangladesh.
"Dengan pengumuman ini, Amerika Syarikat adalah
kerajaan pertama yang mengambil tindakan secara terbuka terhadap kepimpinan
paling kanan tentera Myanmar," kata Setiausaha Negara Mike Pompeo dalam
satu kenyataan.
"Kami tetap bimbang bahawa kerajaan Myanmar
tidak mengambil tindakan untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap
penginayaan dan pelanggaran hak asasi manusia, sedang dalam masa yang sama,
terdapat laporan lanjut tentang tentera Myanmar secara berterusan, melakukan penginayaan
dan pelanggaran hak asasi manusia di negara itu," katanya.
Turut dipertanggungjawabkan ialah Timbalan Panglima
Besar Soe Win, Brigadier Jeneral Than Oo dan Brigadier Jenderal Aung Aung,
serta keluarga dari keempat-empat mereka yang berkenaan.
Sekatan ini merupakan tanda yang paling ketara berhubung
kekecewaan AS terhadap Myanmar sejak ia melancarkan reformasi politik pada
tahun 2011, dengan penguasa tentera cuba menyesuaikan diri dengan Washington
dan akhirnya mengiktiraf kepimpinan politik yang dipilih.
18
Julai 2019
Pelapor Khas PBB
bimbang dengan keputusan Singapura hantar pulang warga Myanmar
Pelapor Khas Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Myanmar, Yanghee
Lee menggesa Singapura supaya tidak menghantar pulang warga Myanmar ke negara
asal kerana mereka dikhuatiri akan terdedah kepada penyeksaan.
Lee berkata beliau bimbang dengan berita mengatakan Singapura menghantar pulang enam warga Myanmar yang dikatakan menyokong Tentera Pembebasan Arakan, sebuah kumpulan pembebasan Rohingya yang bertapak di Rakhine.
Lee berkata beliau bimbang dengan berita mengatakan Singapura menghantar pulang enam warga Myanmar yang dikatakan menyokong Tentera Pembebasan Arakan, sebuah kumpulan pembebasan Rohingya yang bertapak di Rakhine.
"Saya prihatin dengan
keadaan mereka, apatah lagi baru-baru ini terdapat kes seorang lelaki Rakhine
maut ketika dalam tahanan kerana disyaki terbabit dengan Tentera Arakan,"
katanya pada sidang akhbar selepas mengakhiri lawatannya ke Thailand dan
Malaysia.
Kementerian Hal Ehwal
Dalam Negeri Singapura pada minggu lalu berkata enam lelaki terbabit telah
menjadikan negara itu sebagai platform menganjurkan serta mendapatkan sokongan
bagi pemberontakan bersenjata untuk menentang kerajaan Myanmar.
Tambah beliau, memandangkan konflik antara Tatmadaw (Angkatan Tentera Myanmar) dan Tentera Arakan kian memuncak, situasi pencabulan hak asasi manusia dan keganasan terhadap penduduk awam semakin buruk.
Tambah beliau, memandangkan konflik antara Tatmadaw (Angkatan Tentera Myanmar) dan Tentera Arakan kian memuncak, situasi pencabulan hak asasi manusia dan keganasan terhadap penduduk awam semakin buruk.
Beliau, selain itu, turut
melahirkan kekecewaan di atas tindakan pihak berkuasa Myanmar mengenakan
sekatan penggunaan internet di negeri Rakhine yang menurutnya, jelas mencabuli
hak asasi kemanusiaan di samping menghalang dunia antarabangsa daripada
mendapat maklumat terbaru tentang apa sebenarnya yang berlaku di negeri Rakhine
yang menjadi sasaran ketidakadilan di pihak rejim pemerintah Myanmar itu.
28 Julai 2019
Pelarian
Rohingya enggan pulang tanpa jaminan kerakyatan
Pelarian Rohingya di Bangladesh enggan pulang ke
Myanmar melainkan mereka diiktiraf sebagai salah satu kumpulan etnik di tanah
air sendiri.
Tuntutan itu dikemukakan beberapa pemimpin etnik
minoriti Muslim terbabit kepada beberapa pegawai Myanmar yang berkunjung ke
Bangladesh, ketika rundingan baharu penghantaran balik bermula.
Ia adalah kali kedua pegawai Myanmar melawat kem di
Cox’s Bazar dalam cubaan meyakinkan pelarian Rohingya supaya memulakan proses
kembali ke negara asal mereka.
Oktober lalu, wakil Rohingya menolak tawaran untuk
pulang ke tanah air, ketika satu delegasi Myanmar mengadakan rundingan dengan
pemimpin kumpulan itu.
Kali ini, delegasi Myanmar diketuai setiausaha
tetap asing, Myint Thu mengadakan rundingan dengan 35 pemimpin Rohingya di
Cox’s Bazar. Rata-rata pemimpin Rohingya berkata, mereka mahu Myanmar
mengiktiraf mereka sebagai satu kumpulan etnik dengan hak terhadap kerakyatan
Myanmar, sebelum pulang.
3 Ogos 2019
Aktivis Rohingya bantah usaha
ASEAN untuk menganjurkan dialog dengan Myanmar
Usaha ASEAN untuk menganjurkan "dialog"
antara pelarian Rohingya dan kerajaan Myanmar telah mencetuskan kritikan sengit
daripada aktivis Rohingya, yang menuduh blok tersebut mengiktiraf tindakan
jenayah di pihak tentera Myanmar dan merestui rancangan penghantaran balik yang
kurang jelas.
Inisiatif tersebut dikatakan timbul hasil cetusan daripada
lawatan satu pasukan dari kluster kemanusiaan ASEAN yang turut menyertai
delegasi kerajaan Myanmar dalam lawatan ke kem di Bangladesh baru-baru ini
dalam usaha untuk melancarkan perbincangan repatriasi baru dengan pemimpin dan
aktivis Rohingya.
Pihak berkuasa Bangladesh memuji kehadiran delegasi
Myanmar dan pasukan dari kluster kemanusiaan ASEAN tersebut sambil
membangkitkan kebimbangan Bangladesh terhadap aspek hak asasi etnik Rohingya
yang dikenakan sekatan pergerakan, dinafikan kemudahan mendapat pendidikan,
memperoleh kehidupan yang baik dan menafikan status mereka sebagai pelarian
rasmi di bawah perundangan PBB.
Semasa kunjungan itu juga, satu dialog telah
diadakan di antara delegasi Myanmar dan ASEAN dengan pemimpin-pemimpin pelarian
yang menyaksikan perdebatan hangat dengan wakil pelarian secara umumnya menaruh
sangsi dengan keupayaan delegasi untuk menyelesaikan masalah mereka yang berlanjutan
melangkui tempoh selama dua tahun itu.
16 Ogos 2019
Bangladesh timbang untuk menghantar
pulang sebahagaian pelarian Rohingya ke Myanmar akhir Ogos
Bangladesh dan Myanmar dikatakan telah menimbang
untuk menghantar pulang segelintir daripada ratusan ribu pelarian Rohingya yang
lari daripada tindakan keras tentera dua tahun lalu, hujung Ogos ini, kata
pihak berkuasa Bangladesh hari ini.
Kira-kira 740,000 Rohingya lari ke Bangladesh pada
Ogos 2017 ekoran operasi ketenteraan tentera Myanmar yang disamakan PBB dengan
pembersihan etnik.
Kedua-dua negara menandatangani satu perjanjian
penghantaran pulang pada akhir tahun 2017. Namun, hingga kini, tiada seorang
pun pelarian yang secara sukarela mahu pulang ke Myanmar berikutan kebimbangan
mereka terhadap kekejaman dan penindasan yang mungkin diwujudkan oleh pihak
keselamatan Myanmar ke atas mereka. Mereka, selain itu, juga menaruh bimbang tidak
akan diberi kerakyatan setelah pulang kembali ke Myanmar.
Dalam bulan November 2018 wujud cubaan untuk
menghantar pulang 2,260 pelarian Rohingya tetapi tidak berjaya kerana pelarian
enggan pulang tanpa adanya jaminan keselamatan terhadap diri mereka.
Cadangan terbaharu itu timbul susulan kunjungan ke
kem penempatan oleh pegawai kanan Myanmar diketuai Setiausaha Luar Tetap, Myint
Thu.
Kementerian Luar Bangladesh sudah mengemukakan
senarai lebih 22,000 pelarian kepada Myanmar untuk pengesahan tetapi Naypyidaw dikatakan
memberi kelulusan kepada 3,450 individu sahaja untuk dihantar pulang.
Bangladesh kemudian mengemukakan senarai itu kepada
agensi pelarian PBB yang membantu membuat tinjauan ‘situasi pelarian berkaitan
penghantaran pulang.’
20 Ogos 2019
UNHCR, Bangladesh buat tinjauan
Rohingya yang bakal dihantar pulang
Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(UNHCR) dan kerajaan Bangladesh hari ini mula membuat tinjauan ke atas lebih
3,000 pelarian Rohingya dari Myanmar untuk menentukan jika mereka bersedia
pulang ke negara asal secara sukarela.
Myanmar memberi kelulusan kepada 3,450 pelarian
untuk pulang daripada senarai lebih 22,000 dikemukakan Bangladesh, kata pihak
berkuasa.
“Tinjauan bermula hari ini. Secara bersama,
kerajaan Bangladesh dan UNHCR akan bertanyakan pelarian dan membincangkan
pilihan penghantaran pulang,” kata jurucakap UNHCR di daerah Cox’s Bazar,
Louise Donovan kepada Reuters.
Agensi itu akan mengadakan temu ramah sulit kedua
kepada mereka yang berhasrat untuk pulang, katanya bagi membincangkan tujuan
mereka serta memastikan keputusan itu dilakukan secara sukarela.
“Mereka akan diminta melengkapkan satu borang
penghantaran pulang sukarela,” katanya.
“Agensi pelarian PBB mula menemuramah etnik
Rohingya yang berada dalam senarai pada awal minggu ini. Pusat transit,
kemudahan pengangkutan, segala-galanya sudah sedia untuk memulakan penghantaran
pulang pada hari Khamis (22 Ogos),” kata pesuruhjaya bantuan pelarian dan
penghantaran pulang Bangladesh, Mohammad Abul Kalam menerusi telefon.
23 Ogos 2019
Panel PBB kutuk keganasan seksual
tentera Myanmar terhadap Rohingya
Keganasan seksual yang dilakukan oleh tentera
Myanmar terhadap wanita dan gadis Rohingya pada tahun 2017 adalah petunjuk
keinginan genosid tentera untuk memusnahkan etnik minoriti - demikian
kesimpulan yang dibuat oleh pasukan penyiasat PBB berhubung krisis yang berlaku
di negeri Rakhine, Myanmar.
Misi Pencari Fakta Antarabangsa yang bebas di
Myanmar berkata dalam sebuah laporan yang dikeluarkan pada 22 Ogos bahawa
tentera Myanmar "melakukan perbuatan merogol secara rapi dan bekerja
secara sistematik, melakukan permerkosaan berkumpulan dan lain-lain perbuatan
seksual yang ganas dan paksa terhadap wanita, kanak-kanak perempuan, lelaki dan
kumpulan transgender".
Tindakan keras dan tidak berperikemanusiaan di
pihak tentera di negeri Rakhine Myanmar yang bermula pada bulan Ogos 2017 telah
memaksa lebih daripada 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran
Bangladesh, di mana mereka akhirnya terpaksa tinggal di kem-kem pelarian yang penuh
sesak.
"Ratusan wanita dan gadis Rohingya telah
diperkosa, dengan 80 peratus daripada jenayah dilakukan oleh misi yang berupa ‘geng
rogol’. Tatmadaw (tentera Myanmar) bertanggungjawab atas 82 peratus daripada
jenayah secara berkumpulan ini," kata laporan itu.
Kerajaan Myanmar enggan membenarkan penyiasat PBB
masuk ke negara itu menyebabkan mereka terpaksa mengembara ke kem pelarian di
Bangladesh, Thailand dan Malaysia, dan menemui kumpulan bantuan, pemikir,
akademik dan organisasi antara kerajaan bertujuan untuk mendapatkan fakta
mengenai apa yang berlaku.
"Tatmadaw menggunakan kekerasan seksual
sebagai taktik tentera bagi mengusir etnik Rohingya dari kampung halaman
mereka, juga sebagai alat bagi melaksanakan penghapusan etnik terhadap
masyarakat Rohingya di Myanmar," kata Radhika Coomaraswamy, ahli misi
pencarian fakta PBB, kepada Al Jazeera.
***
Myanmar salahkan Bangladesh gagal
hantar pulang Rohingya
Myanmar hari ini menyalahkan Bangladesh atas
kegagalan kali kedua cubaan menghantar pulang Rohingya, sehari selepas tiada
seorang pun pelarian muncul untuk pulang ke Rakhine yang masih dilingkari
konflik.
Usaha terbaharu bagi penghantaran pulang sebahagian
daripada pelarian itu sepatutnya bermula semalam, dengan kedua-dua kerajaan
berikrar untuk menghantar pulang hampir 3,500 pelarian Rohingya, namun sekali
lagi ia gagal apabila tiada seorang pun muncul menaiki bas yang bersedia untuk
menghantar mereka menyeberangi sempadan.
Sebelum ini, satu perjanjian telah ditandatangani oleh
kedua-dua negara pada 2017, yang merupakan usaha pertama bagi penghantaran
pulang pelarian Rohingya ke Myanmar. Ia bagaimanapun gagal untuk dilaksanakan
berikutan tiada seorang pun pelarin Rohingya yang bersetuju untuk kembali tanpa
jaminan keselamatan dan kerakyatan diberikan kepada mereka.
24 Ogos 2019
Kementerian Luar Myanmar meletakkan
kegagalan penghantaran pulang pelarian Rohingya di bahu Bangladesh
“Penghantaran pulang secara lancar untuk individu
hilang tempat tinggal memerlukan pematuhan kepada perjanjian dua hala,” kata
akhbar kerajaan, New Light of Myanmar.
Kementerian itu menyalahkan Bangladesh kerana gagal
mengagihkan dengan betul, apa yang digelar ‘borang pengesahan’ kepada individu berpotensi
- satu bentuk pengenalan kontroversi yang dikhuatiri gagal menjamin kerakyatan
kepada pelarian Rohingya sebaik kembali ke kampung halaman mereka.
“Prosedur ini tidak dipatuhi,” kata akhbar kerajaan
Myanmar itu sambil mendakwa Bangladesh juga tidak mengendahkan permintaan untuk
mempercepatkan kepulangan lebih 400 pelarian Hindu.
Kementerian Luar Myanmar juga turut mengesahkan,
China dan Jepun berjanji untuk membantu penghantaran pulang dan kerajaan Beijing
memaklumkan mereka awal bulan ini hasrat Bangladesh memulakan kembali proses
itu.
Dhaka dikatakan tidak sabar-sabar untuk menghantar
pulang pelarian Rohingya disebabkan sumber kewangannya yang amat terhad
berikutan hampir sejuta pelarian tinggal dalam kem.
Menteri Luar Bangladesh Abdul Momen dilaporkan berkata,
pelarian yang tidak muncul amat mengecewakan negara itu. Rohingya mengambil
negara itu sebagai ‘tebusan’ dengan bertegas terhadap tuntutan untuk
mendapatkan kewarganegaraan, katanya.
25 Ogos 2019
200,000 etnik Rohingya sertai
perhimpunan aman di kem Bangladesh
Kira-kira 200,000 etnik Muslim Rohingya berarak di
kem pelarian di Bangladesh bagi memperingati tempoh dua tahun, sejak mereka
melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar.
Perhimpunan aman terbabit dibuat hanya beberapa
hari selepas cubaan kedua penghantaran pulang pelarian itu menemui kegagalan.
Kanak-kanak, wanita memakai tudung dan lelaki berkain
pelikat melaungkan ‘Allah Maha Besar, Selamatkan Rohingya’ semasa berarak di
tengah-tengah kem pelarian terbesar di dunia itu bagi memperingati apa yang
disebut mereka sebagai ‘Hari Pembunuhan Besar-Besaran’.
Di bawah panas terik matahari, ribuan pelarian
menyanyi lagu dengan lirik ‘dunia tidak mendengar masalah Rohingya’.
***
Bangladesh mahu lebih tegas
terhadap pelarian Rohingya
Kerajaan Bangladesh berkata pihaknya akan mengambil
pendirian lebih tegas terhadap pelarian Rohingya yang berada di negara itu.
Menteri Luar Bangladesh, Abdul Momen berkata,
negara itu tidak lagi mampu menanggung beban ekonomi bagi menguruskan pelarian.
Khamis lalu, percubaan kali kedua menghantar pulang
pelarian Rohingya ke Myanmar gagal apabila tiada seorang pelarian muncul untuk
menaiki bas yang akan membawa mereka menyeberang sempadan.
Momen mendakwa beberapa kumpulan bukan kerajaan
memujuk pelarian agar tidak pulang. Komen tersebut dibuat selepas dua lelaki
Rohingya ditembak mati polis di sebuah kem pelarian di daerah Cox's Bazar.
3 September 2019
Bangladesh sekat akses telefon
bimbit kepada Rohingya
Bangladesh telah mengarahkan pengendali telefon
untuk menghentikan akses perkhidmatan telefon bimbit kepada hampir satu juta
pelarian Rohingya, yang menetap di kem di tenggara negara itu, pada Isnin (2
September).
Langkah itu berikutan keganasan yang berlaku beberapa
minggu lalu di kem tersebut, yang melibatkan penghuninyaduduknya, yang juga
merupakan pelarian dari negeri Rakhine, Myanmar.
Langkah menyekat akses telefon bimbit itu turut
dikuatkuasakan setelah tiada pelarian yang meluahkan keingingan untuk kembali
ke negeri Rakhine pada Ogos lalu.
Pengendali telefon bimbit diberi tujuh hari untuk
membuat laporan mengenai tindakan yang mereka lakukan untuk menutup rangkaian
telekomunikasi di kem, kata jurucakap Suruhanjaya Pengawal Telekomunikasi
Bangladesh (BTRC), Encik Zakir Hossain Khan.
"Ramai daripada golongan pelarian menggunakan
telefon di kem, kami telah meminta penggendali telefon bimbit untuk mengambil
tindakan untuk menghentikannya," katanya kepada AFP sambil menyatakan
keputusan itu dibuat atas "alasan keselamatan".
Menurut seorang pemimpin Rohingya yang enggan
namanya disiarkan, arahan itu amat
mengejutkan pelarian Rohingya. Larangan tersebut menurutnya akan menjejaskan
kehidupan Rohingya, serta mengganggu komunikasi antara kem yang berlainan di
Cox's Bazar.
Menurut beliau juga, ramai Rohingya bergantung
kepada kiriman wang yang dihantar oleh saudara mereka yang berada di luar
Bangladesh, dan biasanya akan menerima panggilan telefon untuk memaklumkan
pemindahan wang tersebut telah dilakukan.
9 September 2019
Universiti Bangladesh gantung
pelajar Rohingya
Sebuah universiti di Bangladesh dilaporkan
menggantung pengajian seorang pelajarnya hanya kerana berketurunan etnik
Rohingya.
Universiti Antarabangsa Cox's Bazar memaklumkan
pihaknya menggantung pengajian seorang pelajar bernama Rahima Akter Khushi dan
akan menyiasat kesnya selepas media Bangladesh mendakwanya menyembunyikan
identiti sebenar semasa mendaftar.
"Rohingya tidak dibenarkan di universiti kami
kerana mereka adalah pelarian," kata ketua institusi terbabit, Abul Kashem
sambil menambah warga asing boleh mengikuti pengajian namun harus mematuhi
prosedur tertentu.
Menurutnya, pelajar berusia 20 tahun itu
menunjukkan dokumen yang menyatakan dia menamatkan pengajian sekolah tinggi di
bandar Chittagong.
Bercakap kepada pihak media, Kushi berkata,
keputusan universiti swasta itu 'menghancurkan harapannya'.
"Gadis lain mungkin akan membunuh diri tapi
saya mencuba sebaik mungkin berhadapan dengan situasi ini.” Katanya.
Kushi yang mengambil jurusan undang-undang berkata,
ibu bapanya tiba di Bangladesh dari Rakhine pada tahun 1990-an dan dia
dilahirkan dan dibesarkan di Cox's Bazar.
17 September 2019
600,000 etnik Rohingya di Myanmar
masih berdepan kekejaman
Baki Muslim Rohingya di Myanmar masih berdepan
risiko pembunuhan beramai-ramai, kata penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB), hari ini.
Pasukan penyiasat khas itu juga memberi amaran
bahawa penghantaran pulang sejuta pelarian Rohingya di luar negara masih merupakan
sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.
Melalui sebuah laporan yang diterbitkan, pasukan
PBB itu berkata, 600,000 etnik Rohingya yang masih berada di negeri Rakhine,
Myanmar kini mengharungi kehidupan yang menyedihkan dan tidak menjaminkan dari
sudut keselamatan diri dan keluarga mereka.
“Kerajaan Myanmar masih mempunyai niat untuk membunuh
baki Rohingya. Negara ini menafikan kesalahan, menghapuskan bukti dan enggan
menjalankan siasatan secara berkesan. Mereka juga meroboh, merampas dan membina
penempatan di atas tanah yang asalnya diduduki etnik Rohingya,” menurut laporan
akhir pasukan itu yang akan dibentangkan di Geneva, dalam masa terdekat.
Misi itu turut mengulangi gesaan supaya Majlis
Keselamatan PBB merujuk Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atau
menubuhkan tribunal sepertimana yang dilakukan terhadap pemimpin bekas
Yugoslavia dan Rwanda.
25 September 2019
Perdana Menteri Malaysia seru
penyelesaian secara berkesan isu Rohingya
Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad
telah membuat seruan yang tegas kepada komuniti antarabangsa supaya meletakkan
krisis Rohingya tepat pada radarnya dengan tujuan bagi menyelesaikannya
sekarang.
Bercakap dalam penampilan pertama sejak tiba di New
York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)
Sesi ke-74, beliau berkata, adalah jelas kerajaan Myanmar tidak bersedia untuk
mengambil sebarang tindakan untuk menyelesaikan krisis itu.
“Sehubungan itu, terpulanglah kepada kita,
masyarakat antarabangsa untuk melakukan sesuatu mengenai situasi ini,” kata Dr
Mahathir pada acara sampingan peringkat tinggi mengenai ‘Krisis Rohingya-Menuju
Ke Hadapan’ yang berlangsung di ibu pejabat PBB pada Selasa lalu.
Sebagai permulaan, beliau berkata, PBB perlu
memainkan peranannya dengan mengambil kira ia diwujudkan dengan harapan dapat
menghalang kesengsaraan perbuatan manusia di masa hadapan.
“Tetapi tindakan membisu (berhubung isu Rohingya)
ini adalah memekakkan telinga,” katanya kepada badan dunia itu yang akan
mengadakan perhimpunan tahunan minggu ini.
Dr Mahathir juga tidak menyembunyikan kata-katanya
mengenai apa yang berlaku di negeri Rakhine, Myanmar di mana komuniti etnik
Muslim Rohingya melarikan diri beramai-ramai untuk mencari perlindungan dan
keselamatan diri.
“Marilah kita mulakan dengan bercakap yang benar.
Apa yang berlaku di negeri Rakhine ialah pembunuhan beramai-ramai, permerkosaan
secara sistematik dan lain-lain pencabulan hak asasi manusia," katanya
pada majlis itu yang turut dihadiri rakan sejawatannya dari Bangladesh, Sheikh
Hasina Wazed.
No comments:
Post a Comment