Monday, May 20, 2019

DIARI KEHIDUPAN I : ROHINGYA


 
Pemandangan di sebuah penempatan pelarian Rohingya yang serba kekurangan

Sepertimana nasib yang menimpa rakyat Palestin, kehidupan yang dilalui oleh etnik Rohingya sepanjang tiga bulan pertama tahun 2019 juga memperlihat senario yang tidak banyak bezanya. Mereka terus terdedah kepada tekanan rejim pemerintah Myanmar di samping terus berhadapan dengan pelbagai masalah dan kesusahan dengan hidup sebagai pelarian di sebuah negara miskin dan serba kekurangan, Bangladesh.

Janji Kerajaan Myanmar untuk menerima kembali pelarian tersebut untuk kembali ke wilayah asal kediaman mereka di Rakhine seawal tahun lepas terus tinggal janji. Di pihak regim tentera Myanmar keadaan ketakutan dan kebimbangan sentiasa diwujudkan bagi menakutkan dan menghalang niat pelarian untuk kembali ke kampung halaman mereka. Kejadian membakar rumah etnik Rohingya di Myanmar dikatakan masih berterusan.

Berikut adalah rentetan perkembangan yang berlaku dalam kehidupan pelarian Rohingya sepanjang bulan Januari hingga Mac 2019 untuk kita tatap sebagai tatapan mata yang sudah pastinya mendukacitakan.


Cacatan Peristiwa Penting Sepanjang Januari – Mac 2019


Tarikh
Catatan Peristiwa
 
03.01.2019

Kira-kira 2,500 lagi etnik Rohingya melarikan diri dari negeri Rakhine di Myanmar susulan pertempuran terkini yang meletus antara dua kumpulan tentera, lapor agensi berita rasmi Turki Anadolu yang memetik kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq, berkata Rohingya terbabit "terpaksa melarikan diri susulan pertempuran antara Tentera Arakan dan tentera Myanmar” yang bermula bulan lepas. Beliau berkata PBB telah menghantar satu pasukan untuk menyiasat dan menilai keperluan komuniti yang terjejas.


20.01.2019

Setiausaha Agung PBB, Antiono Guterres mengulangi teguran dan kecamannya terhadap Kerajaan Myanmar yang disifatkan bergerak ibarat kura-kura dalam membenarkan etnik Rohingya kembali ke wilayah asal mereka.  Beliau beranggapan tindakan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Yangon dalam misi ini masih belum terbayang, malah terlalu perlahan dan meragukan. 


26.01.2019

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik kerajaan India dan Arab Saudi atas layanan buruk dan pengusiran pelarian etnik Rohingya yang berada di negara itu. ABC News melaporkan, ini berikutan ratusan ribu pelarian Rohingya tidak mempunyai pilihan selain berdepan ancaman keselamatan sekiranya mereka kembali ke Myanmar.

Utusan khas hak asasi manusia PBB di Myanmar, Yanghee Lee berkata, agak jelas pelarian Rohingya tersebut tidak boleh pulang ke negara asal mereka dalam masa terdekat. Beliau turut menuntut agar  segala bentuk keganasan terhadap etnik minoriti lain di Myanmar perlu dihentikan segera.


05.02.2019

Pelakon Hollywood, Angelina Jolie menggesa pihak berkuasa Myanmar untuk menunjukkan usaha yang lebih ikhlas bagi menamatkan keganasan di Wilayah Rakhine. Katanya, ia penting bagi menghentikan penderitaan warga Muslim Rohingya supaya mereka tidak perlu terus melarikan diri ke Bangladesh demi keselamatan.  "Tanggungjawab memastikan hak Rohingya untuk kembali ke Rakhine bergantung sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan kerajaan Myanmar" katanya.


02.03.2019

Bangladesh memaklumkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) bahawa negara itu tidak dapat lagi menerima pelarian baharu dari Myanmar. Menteri Luar Bangladesh, Shahidul Haque mengatakan bahawa keadaan hidup pelarian Rohingya di negara itu semakin buruk dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan tegas bagi menghentikan tekanan dan kekejaman regim Myanmar ke atas etnik Rohingya.

04.03. 2019

Bangladesh menghargai pendirian komuniti ASEAN berkaitan isu pelarian Rohingya yang membanjiri negara itu selepas melarikan diri dari keganasan di wilayah Rakhine, Myanmar. Kenyataan itu disuarakan oleh Setiausaha Luar Bangladesh, Md. Shahidul Haque dalam satu perbincangan di ibu pejabat Institut Keamanan Antarabangsa (IPI) di New York.

Ditanya sama ada komuniti ASEAN boleh memberi tekanan kepada Myanmar untuk menerima semula pelarian Rohingya, jelas Haque di bawah piagam ASEAN terdapat peruntukan yang menghalang mereka campur tangan urusan dalaman masing-masing.


23.03.2019

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) membuat perancangan untuk membantu Bangladesh menempatkan semula pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil, satu langkah yang menerima bantahan ramai malah dilihat pakar hak asasi manusia sebagai mampu mencetuskan krisis baharu.

Sumber kerajaan Bangladesh berkata, langkah memindahkan semua pelarian ke Bhasan Char iaitu sebuah kepulauan di Teluk Bengal yang mengambil masa beberapa jam perjalanan dengan menaiki bot akan membantu mengurangkan masalah kepadatan di Cox Bazar.

Pakar kemanusiaan dan kumpulan hak asasi manusia mengecam perancangan itu dengan berkata, pulau terbabit terdedah kepada ancaman banjir, taufan dan berkemungkinan besar ditenggelami setiap kali air pasang.

Satu dokumen dikenali sebagai Konsep Operasi bertarikh 12 Mac itu menggariskan bagaimana PBB dan rakan kerjasama mereka boleh membantu proses pengenalan, perpindahan, penerimaan serta kelangsungan pelarian di Bhasan Char dengan anggaran kos pembiayaan antara AS$8.6 juta (RM34.9 juta) hingga AS$19 juta (RM77.2 juta).


25.03.2019

Bangladesh mendedahkan bahawa negara itu tidak tergesa-gesa untuk memindahkan pelarian Rohingya ke sebuah pulau di Teluk Bengal, selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan mendesak maklumat lengkap mengenai rancangan itu.

Sebelum ini, Bangladesh dilapor mahu memindahkan 100,000 daripada hampir satu juta etnik Islam Rohingya, yang berada di beberapa kem penempatan sementara di Cox’s Bazar ke sebuah pulau terpencil, Bhasan Char. Malah, beberapa projek pembangunan dipercayai sudah dilaksanakan di pulau Bhasan Char sejak dua tahun lalu.


28.03.2019

Terdapat laporan beberapa agen mengambil kesempatan di atas penderitaan etnik Rohingya untuk melakukan sindiket pemerdagangan manusia ke negara-negara di rantau ini seperti Malaysia dan Thailand. Pelarian Rohingya telah dijanjikan dengan penghidupan baru yang lebih baik untuk meninggalkan negara asal mereka tetapi kemudiannya dijual kepada agen pembekal pekerja haram di kedua-dua negara. Mereka bukan sahaja ditindas malah dikenakan dengan tindakan kekerasan dan ugutan jika enggan menurut kehendak agen berkenaan. Kaedah menyeludup yang digunakan oleh sendikit tersebut adalah dengan menyumbat pelarian dalam kapal penangkapan ikan dan tidak memberikan bekalan makanan dan minuman yang mencukupi kepada mereka. Dalam sesetengah kes, ada juga yang merogol dan membunuh mereka. Jika ingin dibebaskan, mereka perlu membayar wang tebusan sebanyak RM6,800 seorang.




Wallahu’alam  (MMO)




1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete