Monday, July 19, 2021

DIARI KEHIDUPAN X : NASIB ROHINGYA TERUS DIRUNDUNG MALANG

 

Wajah duka sebahagian pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh

Sudah agak lama kita tidak membicarakan tentang isu Rohingya. Sebahagian besarnya kerana kita sibuk memperkatakan tentang isu Palestin yang kian hangat, dan tidak kurang, isu COVID-19 yang bukan sahaja tidak menampakkan tanda-tanda ke arah pengurangan, malah sebaliknya memperlihatkan trend yang semakin mengancam.

Sebut mengenai ancaman COVID-19, kaum Rohingya tidak terkecuali, turut dilanda dengan musibah itu yang sehingga kini meragut puluhan nyawa, khususnya dalam kalangan pelarian yang ditempatkan di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh. 

Sementara itu, terdapat juga laporan ada di kalangan pelarian Rohingya yang berlindung di beberapa negara lain, khususnya di India, yang diabaikan dari sudut perolehan vaksin sehingga menjadikan mereka begitu terdedah kepada jangkitan yang akhirnya meragut nyawa. 

Demikianlah yang terjadi pada awal Jun lalu, seorang pelarian wanita Rohingya, berumur 55 tahun, meninggal dunia akibat lambat menerima rawatan komplikasi COVID-19 di sebuah hospital kerajaan di Kashmir yang ditadbir India. Beliau merupakan antara lebih dari 200 pelarian yang ditangkap tiga bulan yang lalu dan dipenjarakan di sebuah daerah di wilayah Himalaya kerana didakwa tinggal di India "secara haram".

Menurut waris beliau, wanita itu yang sebelum ini menderita dengan masalah pernafasan dan penyakit jantung peringkat awal mula mengalami masalah kesihatan yang serius sejak ia ditangkap dan dipenjarakan. Beliau bersama suaminya telah ditangkap pada awal Mac lalu bersama ratusan pelarian Rohingya yang lain atas dakwaan tidak memiliki dokumen diri dan dihantar ke penjara oleh pihak berkuasa India.

Pada pertengahan Jun lalu, pihak berkuasa India telah mengesan sekurang-kurangnya 53 orang pelarian Rohingya yang ditempatkan di penjara itu telah diuji positif COVID-19, sebahagian besarnya berpunca dari masalah kesesakan dan kekotoran dalam penjara. 

Menurut data tidak rasmi, dianggarkan kira-kira 6,000 pelarian Rohingya telah lari mencari perlindungan di Wilayah Jammu, Kashmir yang ditadbir oleh India sejak tentera Myanmar melaksanakan tindakan kekerasan di wilayah Rakhine, Myanmar. Pada masa ini mereka bukan sahaja dilanda ketakutan terhadap ancaman COVID-19, tetapi juga ancaman tindakan kerajaan India yang berura-ura mahu menghantar mereka balik ke Myanmar yang pada masa ini dikuasai oleh rejim tentera.

Lebih malang, India tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB tahun 1951 dan dengan itu, tidak mengiktiraf kad pelarian yang dikeluarkan oleh agensi pelarian PBB, UNHCR. Akibatnya, pelarian Rohingya berkenaan, miskipun diusahakan dengan kad pelarian oleh UNHCR, tidak berhak untuk mengakses sebarang bantuan dari kerajaan India, termasuk perumahan, pendidikan dan rancangan kesihatan pemerintah. 

Demikian sedikit sebanyak pendedahan yang dapat kita kutip mengenai untung nasib kaum Rohingya dari sudut ancaman COVID-19. Dalam pada itu, bagi tempoh sebulan dua kebelakangan, banyak lagi penderitaan lain yang terpaksa dilalui oleh etnik Rohinya sepertimana yang dapat kita paparkan melalui rentetan berikut;

23 Mac 2021

Kem Rohingya terbakar lagi, puluhan ribu orang hilang tempat tinggal

Insiden kebakaran besar kembali terjadi di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh. Akibat kejadian itu, sekurang-kurangnya 50,000 pelarian Rohingya telah hilang tempat tinggal, sementara tujuh orang lagi mati kerana kebakaran.

Kebakaran tersebut dikatakan adalah kali ketiga berlaku dalam tempoh empat hari sejak kebakaran pertama. Bagaimanapun, disebabkan keadaan kem berkenaan yang sesak dengan setiap rumah dibina secara amat berdekatan di antara satu sama lain, telah menyebabkan usaha memadam kebakaran melalui proses yang sukar dan melambatkan.

Kem berkenaan yang dibina sejak tahun 2017 lalu, dianggarkan menampung kira-kira 700,000 pelarian Rohinya yang lari dari kekejaman tentera Myanmar. Dengan keadaan bahan binaan rumah yang rata-ratanya hanya dibina dari kayu dan buluh telah menyebabkan api mudah marak dan merebak dari sebuah rumah ke rumah lain dan seterusnya, dari satu blok ke blok lain yang bersebelahan.

10 April 2021

Pelarian Rohingya di India terdedah kepada tindakan deportasi ke Myanmar

Mahkamah Agung India telah menolak permohonan untuk mencegah pemerintah mendeportasi ke Myanmar sekitar 150 warga Muslim Rohingya yang ditahan polis bulan lalu. Keputusan ini akan membuka jalan bagi pemulangan mereka ke negara asal mereka di mana ratusan orang telah dibunuh oleh pihak tentera. Apa lagi dengan keadaan sekarang bilamana Myanmar ditadbir oleh pihak tentera yang merampas kuasa.

Pemerintahan Perdana Menteri India, Narendra Modi, dikatakan telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan pelarian Rohingya yang lari mencari perlindungan di negara itu tanpa mengira keadaan dan ancaman keselamatan yang bakal dihadapi oleh pelarian yang akan dihantar balik itu.

Petisi membantah keputusan kerajaan India itu telah dibawa oleh dua orang pelarian Rohingya ke Mahkamah Agung India untuk pembebasan kaum pria dan wanita Rohingya yang ditahan di wilayah Jammu utara pada bulan lalu, dan menghalangi pemerintah untuk mendeportasi mereka.

Bagaimanapun Hakim yang mengadili perbicaraan tersebut telah menolaknya sambil menyifatkan Mahkamah India tidak boleh mengulas tentang apa yang berlaku di negara lain sebagai asas atau mempunyai hubungan dengan sebarang keputusan yang dibuat.

Berikutan adanya keputusan Mahkamah Agung India itu, nasib pelarian Rohingya di India, khususnya di wilayah Kashmir, kini berada dalam keadaan yang tidak menentu dan amat membimbangkan dari sudut keselamatan diri mereka. 

Beberapa orang pemimpin komuniti Rohingya di New Delhi menyifatkan keputusan Mahkamah Agung India itu sebagai tidak adil dan boleh mengundang suasana panik dan tidak tenteram di kalangan pelarian Islam di India, juga tidak kurang, di kalangan penganut Islam di negara bermajoriti agama Hindu itu.

31 Mei 2021

Ribuan Rohingya tunjuk perasaan bantah keadaan di pulau Bhashan Char

Ribuan etnik Rohingya mengadakan tunjuk perasaan secara tidak terkawal bagi membantah situasi kehidupan di pulau di mana mereka dipindahkan, Bhashan Char, yang tidak menentu dan terdedah kepada ancaman puting beliung. 

Sejak Disember tahun lalu, kerajaan Bangladesh telah memindahkan seramai 18,000 etnik Rohingya ke pulau berlumpur itu dari kem asal mereka di Cox’s Bazar yang didiami kira-kira 850,000 pelarian dalam keadaan sempit dan kotor.

Kebanyakan daripada mereka melarikan diri daripada kekejaman tentera di Myanmar pada 2017, yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai 'genosid bersasar'.

Menurut pihak polis, protes yang diadakan itu membabitkan sehingga 4,000 individu dan dilakukan pada hari yang sama pegawai agensi pelarian PBB (UNHCR) membuat lawatan ke pulau Bhashan Char.

Menurut polis, protes bertukar liar apabila wakil UNHCR tiba di pulau itu dengan menggunakan helikopter. Tuntutan dibuat kerana mereka enggan tinggal di sana kerana bimbangkan ancaman ribut puting beliung.

Sejak pemindahan pertama ke pulau yang kerap dilanda banjir di Teluk Benggala itu dalam bulan Disember lalu, beberapa orang etnik Rohingya memberitahu AFP bahawa mereka dipukul dan dipaksa untuk bersetuju berpindah. Dakwaan itu turut disuarakan oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia di Bangladesh.

Kerajaan Bangladesh bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan pulau itu selamat untuk diduduki dengan fasiliti yang disediakan adalah jauh lebih baik berbanding dengan apa yang disediakan di kem pelarian Cox’s Bazar. 

Bagaimanapun, PBB tidak pernah dirujuk atau dibawa berbincang mengenai perpindahan tersebut sehingga mendorongkan wujudnya pandangan bahawa perpindahan itu dibuat secara paksa, bukannya sukarela.

5 Jun 2021

Berbulan di laut, kapal yang membawa Rohingya akhirnya terdampar di Indonesia

Sebuah kapal yang membawa 81 pelarian Rohingya akhirnya terdampar di sebuah pulau yang tidak berpenghuni di Indonesia setelah hanyut selama lebih dari 100 hari di laut, yang menyebabkan berlaku ketegangan dengan pihak berkuasa tempatan mengenai sama ada mereka akan dibenarkan memasuki negara itu atau perlu dihalau kembali ke laut.

Kapal kayu yang bersaiz kecil itu ditemukan di perairan Pulau Idaman, provinsi Aceh, sekitar dua jam perjalanan laut dari kota Lhokseumawe, yang biasanya hanya digunakan sebagai tempat peristirahatan nelayan di daerah itu.

"Kakitangan kami di lapangan telah bertemu dengan para pengungsi yang mengatakan bahawa mereka telah melakukan perjalanan selama tiga bulan," kata Rima Shah Putra, Direktur Yayasan Geutanyoe, sebuah NGO yang memberikan pendidikan dan dukungan psikososial kepada para pengungsi di Indonesia dan Malaysia.

"Mereka melakukan perjalanan dari India dengan menggunakan enjin berkembar kecil berkapasiti 100 tempat duduk," katanya kepada Al Jazeera.

Diperkirakan bahawa para pelarian, kebanyakan dari mereka wanita dan kanak-kanak, pada mulanya melakukan perjalanan dari kem di Bangladesh ke perairan laut lepas di mana kapal mereka rosak dan diperbaiki oleh pengawal pantai India yang memberi mereka bekalan makanan dan air, tetapi dikatakan tidak membenarkan mereka mendarat.

Pengawal pantai India dikatakan telah menunda kapal pelarian itu masuk semula ke perairan Bangladesh, tetapi telah diusahakan juga oleh pelarian untuk sampai ke Malaysia sebelum berdampar di Pulau Idaman.

15 Julai 2021

Junta Myanmar tidak berpuas hati dengan saranan rekonsiliasi PBB 

Pemerintah junta tentera Myanmar dilaporkan tidak berpuas hati dan menolak resolusi Dewan Hak Asasi Manusia (HAM), PBB yang menyeru kepada rekonsiliasi dengan kelompok etnik minoriti Rohingya yang ditindas. Myanmar juga mengecam resolusi tersebut yang dianggap sebagai 'berpihak' kepada Rohingya.

Myanmar berada dalam kekacauan sejak pemerintahan sivil pimpinan Aung San Suu Kyi diambil alih melalui kudeta tentera dalam bulan Februari lalu yang mengundang kepada berlakunya tunjuk perasaan secara besar-besar di kalangan pro-demokrasi dalam menentang penindasan di pihak tentera.

Dewan HAM PBB mengadopsi resolusi yang menyeru kepada "Dialog dan rekonsiliasi yang konstruktif dan damai, sesuai dengan keinginan dan kepentingan rakyat Myanmar, termasuk warga Muslim Rohingya."

Kementerian Luar Negeri Myanmar dalam mengulas mengenai resolusi itu, berpendapat ianya dibuat 'atas dasar informasi yang palsu dan merupakan tuduhan-tuduhan yang bersifat sepihak'.

"Istilah 'Rohingya' yang diciptakan dengan agenda politik juga tidak diakui dan ditolak oleh pemerintah," tegas pernyataan Kementerian Luar Negeri pemerintahan junta tentera Myanmar tersebut. Kenyataan itu juga menambah bahawa kelompok Rohingya 'tidak pernah diakui sebagai etnik asal negara Myanmar'. 

Di Myanmar, Rohingya sejak sekian lama dipandang sebagai pendatang dari Bangladesh dan dengan itu disangkal hak kewarganegaraan, serta hak dan akses kepada pelbagai layanan serta kemudahan  yang disediakan oleh kerajaan.


Wallahu a’alam (MMO)



No comments:

Post a Comment