Thursday, April 1, 2021

DIARI KEHIDUPAN XXI : PALESTIN DI SUKU TAHUN PERTAMA 2021


Sekumpulan pendatang Yahudi menceroboh masuk ke perkarangan Masjid Al-Aqsa


Masuknya tahun baharu 2021 telah memberikan harapan yang cukup tinggi buat pemimin dan rakyat Palestin khususnya dari sudut untuk merealisasikan matlamat mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dan membebaskan Palestin daripada tekanan serta penindasan rejim Israel yang tidak pernah menghormati hak asasi kemanusiaan rakyat Palestin dan undang-undang antarabangsa.

Harapan ini diperkuatkan lagi dengan adanya beberapa perkembangan baharu dunia antarabangsa yang menyaksikan kemenangan Joe Bidin sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam mengalahkan Donald Trump - seorang pemimpin dunia yang dikenalpasti amat menyokong serta menyebelahi kepentingan Israel dalam apa jua isu yang timbul dalam hubungan Israel-Palestin. Joe Bidin, ringkasnya, amat diharapkan untuk membantu mewujudkan keseimbangan dalam hubungan Palestin-Israel yang selama ini jelas meletakkan Palestin di pihak yang rugi, tertekan dan dijajah.

Demikian juga dengan adanya keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)  untuk membuka siasatan rasmi terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin yang dijajah, turut disambut baik dan dilihat sebagai satu-satunya platform yang mungkin boleh mengembalikan Palestin sebagai sebuah negara serta bangsa yang berdaulat dan merdeka. Setidak-tidaknya, merdeka daripada penindasan dan kekejaman Israel yang tidak pernah mengenal hak asasi dan kemanusiaan rakyat Israel dengan melakukan pelbagai tindakan buruk dan ganas seperti pengusiran, pembunuhan, pencerobohan ke atas kesucian Masjidil Aqsa dan pemusnahan kebun-kebun milik petani Palestin.

Namun, sementara menunggu adanya tindakan konkerit yang mungkin datang dari mana-mana sumber yang diperkatakan itu, pemimpin dan rakyat Palestin secara berterusan, terpaksa meneruskan perjuangan dalam menghadapi karenah dan muslihat Israel dalam usaha mereka untuk melanjutkan penguasaan ke atas bumi dan kedaulatan tanah Palestin. 

Apa yang jelas, Israel tidak pernah terhenti dalam meneruskan tindakan jahat mereka dalam menekan rakyat Palestin sepertimana yang dapat dilihat pada sepanjang tempoh suku tahun pertama (Januari-Mac) 2021 lalu.

4 Januari 2021

Warga Palestin Cedera Dalam Serangan Peneroka Haram di Jericho.

Sekumpulan peneroka haram Yahudi telah menyerang seorang warga Palestin di Arab Al-Rashayida di utara Jericho dalam kawasan taklukan Israel di Tebing Barat. 

Menurut sumber tempatan, beberapa peneroka menyerbu masuk kawasan Arab Al-Rashyida dengan kawalan tentera zionis Israel dan mencederakan seorang warga Palestin bernama Ammar Abu Kharbish.

Peneroka haram dan tentera zionis Israel menyerbu kawasan Arab Al-Rashayida dan kawasan Arab Zayed dan meruntuhkan beberapa rumah serta merosakkan hampir 350 batang pokok zaitun.

6 Januari 2021

Fatwa Ulama Islam Wajib Boikot Israel Secara Total Israel

Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa mengeluarkan fatwa wajib boikot secara total terhadap penjajah Israel termasuk memboikot ekonomi dan menarik semua pelaburan dari wilayah yang dijajah Israel. 

Hal tersebut disampaikan oleh Kesatuan Ulama Islam pada 2 Januari lepas - bahawa fatwa berkait dengan pemboikotan produk dan komoditi Israel dibuat kerana rejim itu telah menguasai dan menjajah wilayah negara-negara Arab, menjajah dan menguasai wilayah Palestin, Golan di Syria dan masih menjajah masjid Al-Aqsa.

Pihah Kesatuan Ulama menjelaskan bahawa Israel yang melakukan kekerasan di wilayah Palestin perlu dicegah dan diusir. Israel perlu dilawan dengan pelbagai  cara selagi tidak bertentangan dengan undang-undang yang mana ianya menjadi kewajiban syariat dan masalah darurat secara kemanusiaan.

Melawan tindakan permusuhan Israel dengan pelbagai cara yang sah ini diakui secara nurani manusia, ditegaskan undang-undang antarabangsa, resolusi PBB serta perjanjian-perjanjian antabangsa, tegas fatwa itu lagi.

9 Januari 2021

Mufti Kecam Cubaan Pihak Zionis Israel Untuk Menukar Hak Al-Aqsa

Sheikh Muhammad Hussein, Mufti Besar Jerusalem dan Palestin, juga pengajar Masjid Al-Aqsa, mengecam keras usaha pencerobohan Zionis dalam mengubah hak Islam ke atas tanah suci di Masjid Al-Aqsa.

Dalam kenyataan yang dibuat pada 5 Januari, Sheikh Hussein menyatakan penentangan beliau ke atas pengubahan hak agama, sejarah dan perundangan di Masjid Al-Aqsa, merangkumi hak umat Islam ke atas Masjid Al-Aqsa sebagai salah satu daripada dua kiblat dan juga tempat suci Islam yang ketiga selepas Mekah dan Madinah. Masjid, dengan segala bangunan di sekitarnya, kawasan terbuka di atasnya dan juga di bawahnya - adalah hak mutlak umat Islam yang tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak, kata beliau.

11 Januari 2021

Pendatang Yahudi Cemari Masjid Aqsa dan Kawasan Suci Nabi Musa

Sekumpulan pendatang Yahudi telah menceroboh masuk serta mencemari dataran Masjid Aqsa di bawah perlindungan polis walaupun perintah berkurung dilaksanakan di kota suci itu.

Perintah berkurung dikenakan ke atas Baitulmuqaddis beberapa hari lalu atas alasan mencegah penyebaran coronavirus. Namun demikian, polis rejim secara terang-terangan masih membenarkan pendatang Yahudi bergerak memasuki masjid tersebut dan dataran sekitarnya dengan ada di antara mereka yang cuba mengambil kesempatan melakukan ritual keagamaan mereka masing-masing.

Dalam satu insiden lain yang berasingan, sekumpulan pendatang Yahudi dengan diiringi pihak tentera Israel telah bertindak menceroboh Masjid Nabi Musa dan kawasan suci yang terletak di antara Jericho dan Baitulmuqaddis.

1 Februari 2021

Kunjungan Pertama Menteri Israel ke Sudan

Menteri Risikan Israel, Elly Cohen melakukan kunjungan pertamanya ke Sudan. Koresponden Diplomatik Israel, Barac Ravid berkata, Cohen bertemu beberapa orang pegawai tinggi Tentera dan kor risikan Sudan sebelum kembali ke Israel setelah beberapa jam kunjungan ke Khartoum.

Kunjungan ini merupakan yang pertama kali di lakukan oleh menteri Israel ke Sudan sehingga menjadi viral dan kecaman di media. 

Pada 6 Januari lepas, Sudan menandatangani apa yang disebut sebagai  “Perundingan Abraham” dengan penjajah Israel - suatu tindakan yang mengundang kecaman daripada kebanyakan rakyat Sudan sendiri dan juga dunia Arab yang selama ini berdiri teguh di belakang Palestin dalam menjayakan perjuangan membebaskan negara itu daripada penjajahan serta penindasan Israel.

4 Februari 2021

Israel Geledah Tebing Barat dan Al-Quds, Sejumlah Warga Palestine di Tangkap

Pihak keselamatan Israel dilaporkan telah melancarkan penggeledahan dan penangkapan sejumlah warga Palestin di beberapa kawasan di Tebing Barat.

Di Baitulmaqdis, pihak polis Israel telah menangkap 5 warga Palestin dari Kota Taqua dan mengancam untuk mengusir mereka keluar dari kawasan kediaman setelah menggeledah dan memeriksa rumah mereka.

Sejak awal tahun ini penjajah Israel telah merobohkan lebih 20 lokasi serta mengusir ramai warga Palestin yang tinggal di beberapa kawasan di Kota Khidir, Baitulmaqdis.

9 Februari 2021

Netanyahu Tunda Kunjungan ke UAE dan Bahrain

PM Israel, Benjamin Netanyahu telah mengumumkan penundaan kunjungan beliau ke UAE dan Bahrain yang telah di jadualkan pada minggu ini.

Netanyahu berkata penundaan tersebut adalah berpunca daripada lanjutan dari ‘lockdown’ di Israel.

Beliau menyatakan penghargaan atas undangan Putera Emeriah Arab Bersatu, Muhammad bin Zayed dan Raja Bahrain, Hamid bin Isa ke atas beliau serta menyifatkan perdamaian bersejarah telah terjalin antara Israel bersama Abu Dabi (UAE) dan Manama (Bahrain).

Pada pertengahan Ogos lepas, Kerajaan Amerika di bawah pimpinan Donald Trump telah mengatur perjanjian normalisasi perdamaian antara UAE dengan Israel. Tidak sampai sebulan selepas itu, Trump mengumumkan pula perdamaian Israel dengan Bahrain.

7 Mac 2021

Hamas Sambut Baik Keputusan ICC Untuk Menyiasat Jenayah Perang di Palestin

Gerakan Hamas pada 3 Mac lalu menyambut baik keputusan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk membuka siasatan rasmi terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin yang dijajah.

“Keputusan berani ini adalah langkah penting untuk mencapai keadilan bagi rakyat kami dan menghukum para pemimpin penjajah atas kejahatan mereka,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qasem dalam kenyataan media pada hari Rabu.

Qasem mendesak ICC untuk menolak sebarang tekanan yang berkemungkinan menghalang badan dunia itu daripada menyelesaikan misinya.

Dalam satu kenyataan kepada pihak media, pendakwa ICC, Fatou Bensouda mengumumkan pelancaran siasatan ini dan mengatakan bahawa ia akan dilakukan “secara bebas, tidak berat sebelah dan objektif, tanpa rasa takut atau pilih kasih.”

AS bagaimanapun secara lantang telah mengkritik keputusan yang dibaut oleh ICC itu. 

“Amerika Syarikat menentang keras dan sangat kecewa dengan keputusan ini. ICC tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal ini. Justeru itu, kami akan terus mempertahankan komitmen kami terhadap Israel dan keselamatannya.” kata  Setiausaha Negara AS yang baharu, Antony Blinken.

Beliau turut mendakwa kononnya rakyat Palestin tidak memenuhi syarat sebagai sebuah negara berdaulat. Maka itu Pelastin menurutnya, tidak memenuhi syarat untuk memperoleh keanggotaan sebagai sebuah negara, menglibatkan diri dalam mana-mana forum atau platform antarabangsa sebagai sebuah negara, atau mewakilkan bidang kuasa ke ICC.

9 Mac 2021

Tentera Israel Mengarahkan Penduduk Kampung Berhenti Menuntut Tanah Mereka

Tentera rejim zionis telah mengarahkan warga Palestin di kampung Birin, Masafer Yatta dan selatan al-Khalil agar berhenti menuntut hak milik ke atas tanah mereka yang diambil oleh kerajaan.

Menurut sumber tempatan, pentadbiran awam Israel menyampaikan notis ketenteraan kepada penduduk tempatan di kampung Birin, dan mengarahkan mereka agar berhenti menuntut atau mengusahakan tanah mereka atas alasan tanah itu milik negeri.

Pegawai tempatan, Rateb Jabour berkata, tentera rejim mendakwa tanah tersebut dimiliki oleh kerajaan sejak 1982 - sesuatu yang dipertikaikan oleh penduduk kampung yang telah tinggal di situ sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

10 Mac 2021

Abbas Umumkan Darurat 30 Hari hadapi CoviD-19

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan perlaksanaan darurat 30 hari bermula pada hari Khamis, 4 Mac bagi membendung penularan virus Covid-19 di wilayah Palestin.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin, May Al-Keilah mengumumkan bahawa sebanyak 15 kes kematian akibat virus tersebut telah berlaku dalam tempoh 24 jam, sementara 2,017 kes penularan baru dilaporkan. Dalam tempoh masa yang sama sejumlah 1,152 kes sembuh telah dicatatkan.

Satu kenyataan di pihak Kementerian Kesihatan Palestin menyatakan kenaikan besar dalam jumlah mereka yang terinfeksi antaranya adalah berpunca daripada penyebaran varian baru virus tersebut yang disyakki bermula di Afrika dan UK.

Dalam satu perkembangan lain yang berkaitan, Kementerian Kesihatan Palestin  mengumumkanpemberian vaksin di negara itu telahpun dimulakan. Walaupun dalam undang-undang antarabangasa program vaksinasi di Palestin menjadi tanggungjawab pemerintah Israel, namun pihak penjajah tidak menjalankan kewajiban sepatutnya. Akhirnya, pihak berkuasa Palestin bekerjasama dengan PBB, Russia dan pihak-pihak lain untuk mendapatkan vaksin, kata kementerian itu lagi.


Wallahu a’alam (MMO)




No comments:

Post a Comment