![]() |
Pemandangan di sebuah kem penempatan sementara pelarian Rohingya |
Kita merasa sedih, sedikit
malu, dan tercabar dengan adanya berita baru-baru ini yang mengatakan sebuah
negara Barat, Kanada, telah menyatakan kesediaan untuk menguruskan kemasukan dan
penempatan secara terhad pendatang Rohingya, termasuk wanita yang menjadi
mangsa seksual di negara mereka.
Sedihnya kerana jika hal ini
berlaku besar kemungkinan akan berlaku perpisahan di antara anggota keluarga
pendatang Rohingya dengan sebahagiannya mungkin akan di bawa ke Kanada dan
sebahagian lagi mungkin akan terus tinggal di Bangladesh atau cuba untuk
kembali ke kampung halaman mereka di Rakhine, Myanmar.
Malunya, kerana tiada di
kalangan negara Islam yang tampil untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan yang
sedemikian rupa, walhal banyak di antara negara Islam itu yang kaya raya sedang
penduduknya tidaklah sebesar mana.
Tercabarnya, kerana melihat
apakah ini merupakan satu-satunya langkah penyelesaian terakhir yang ada ke
arah penyelesaian masalah pendatang Rohingya yang berlanjutan sejak beberapa
tahun kebelakangan. Apakah ini merupakan
jawapan kepada sebegitu banyak perbincangan yang telah berlangsung antara pihak
berkuasa Bangladesh dengan pihak berkuasa Myanmar. Sebahagian daripada
perbincangan tersebut dibuat di bawah seliaan Agensi Pelarian Bangsa-banga
Bersatu sendiri. Apakah ini sesuatu yang berupa mesej bahawa rundingan asal bagi
menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar kini menemui jalan buntu?
Justeru itu, tidaklah
menghairankan apabila kerajaan Bangladesh sendiri dikatakan tidak bersetuju
untuk menerima pelawaan yang dibuat oleh kerajaan Kanada itu, sebaliknya
bertegas mahu meneruskan rancangan bagi menghantar pulang semua pelarian
Rohingya itu ke negara asal mereka.
Kanada di katakan telah
menawarkan tempat terhad untuk menerima pelarian yang memerlukan bantuan
termasuk mangsa keganasan seksual pada Mei lalu susulan lawatan Menteri Luar
negara itu, Chrystia Freeland ke Bangladesh.
Bagaimanapun, Perdana
Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dilaporkan sebagai berkata bahawa pihaknya
akan melihat perkara itu. Namun dalam beberapa kenyataan yang dipetik dari beberapa pihak dalam kerajaan Bangladesh baru-baru ini, Sheikh Hasina dikatakan tetap dengan
pendiriannya iaitu untuk menghantar kembali kesemua pelarian Rohingya itu
kembali ke kampung halaman mereka di Myanmar sepertimana perbincangan yang
dibuat dengan kerajaan Myanmar selama ini.
Dalam pada itu, terdapat
sumber yang enggan dikenali menyatakan bahawa perbincangan antara kedua negara,
Bangladesh dan Kanada, masih berterusan dengan dibantu oleh Suruhanjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR). Bagaimanapun menyedari
bahawa perkara ini menyentuh sensitiviti banyak pihak, hasil perbincangan
tersebut terpaksa dirahsiakan.
Berkaitan dengan perkembangan
ini juga, penyiasat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu ke atas
Myanmar pada Selasa lalu dikatakan telah menggesa Bangladesh supaya
menghentikan rancangan menghantar pulang ratusan ribu pelarian Rohingya ke
wilayah Rakhine bulan ini sambil memberi amaran, mereka mungkin bakal berdepan
risiko yang tinggi untuk dihukum.
Pasukan penyiasat itu juga
dilaporkan turut mendedahkan bahawa tekanan serta kezaliman pihak berkuasa
Myanmar ke atas saki baki etnik Rohingya di Myanmar masih lagi berlaku,
termasuk pembunuhan melalui tembakan rambang tentera terhadap kumpulan etnik
Rohingya yang bangun menentang pihak berkuasa.
Dalam perkembangan lain yang
berkaitan, dilaporkan pakar-pakar khusus yang ditugaskan bagi melindungi
pelarian Rohingya berkata, kebanyakan wanita etnik Rohingya yang menjadi mangsa
rogol kini berdepan dengan trauma dengan sesetengah daripada mereka
dipinggirkan selepas melahirkan anak akibat diperkosa. Mereka ini, menurut
pakar-pakar tersebut akan bakal menerima manfaat dalam program penempatan
semula di Kanada itu.
Demikianlah perkhabaran yang
menyedihkan yang sampai kepada kita mengenai nasib saudara seagama kita itu.
Ianya bukanlah perkhabaran yang kita harapkan selama ini, sebaliknya berita
yang sedikit sebanyak mengganggu emosi dan pemikiran kita.
Itu belum mengambilkira akan
nasib yang sedang dilalui oleh hampir sejuta pelarian Rohingya di kem-kem
pelarian di sempadan Bangladesh-Myanmar pada masa ini yang dilaporkan semakin
melarat. Mereka bukan sahaja terdedah kepada pelbagai jenis penyakit,
kekurangan makanan dan air besih untuk diminum, malah juga terdedah kepada
ancaman keselamatan baik terhadap diri mahupun anggota keluarga berikutan
meningkatnya ancaman jenayah seperti colek dan rogol yang dikatakan semakin
menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Semua
ini menuntut kita untuk menaruh simpati dan bersama mengorak langkah untuk
membantu, setidak-tidaknya melalui tabung-tabung bantuan kemanusiaan yang
ditubuhkan dari semasa ke semasa. Dalam pada itu, kita seharusnya berani
bertanya diri kita sendiri, apakah kita tidak mempunyai sekelumit pun rasa malu
apabila melihat ada di kalangan negara bukan Islam sendiri yang sanggup tampil
menghulurkan bantuan yang sangat diharap-harapkan oleh pelarian Rohingya itu,
khususnya bantuan penempatan yang lebih selesa, aman dan menjaminkan?
Wallahua’alam
(MMO)
No comments:
Post a Comment