Thursday, May 7, 2020

DIARI KEHIDUPAN V : CORONAVIRUS DAN ROHINGYA


Pemandangan di sebuah pasar harian dalam kawasan kem pelarian Rohingya

Wabak Coronavirus yang melanda seluruh pelusuk dunia sejak awal Januari lalu, tidak terkecuali, turut melanda etnik Rohingya khususnya mereka yang berada dalam kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh. Juga mereka yang berkerja sebagai tenaga buruh asing di beberapa buah negara jiran khususnya Malaysia dan Singapura.

Sejauh ini tiada angka rasmi yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkaitan jumlah jangkitan dan kematian berpunca dari Coronavirus terhadap etnik ini, baik yang berada di kem pelarian mahu pun di negara jiran. Angka tidak rasmi menyimpulkan jumlah jangkitan tersebut telah pun menjangkau ratusan orang.

Di kem-kem pelarian di Bangladesh, keadaan kem yang sempit dan tidak bersih yang menempatkan hampir sejuta pelarian Rohingya dilihat oleh ramai pakar kesihatan sebagai sangat rapuh dan mampu mengundang pandemik untuk menular dengan mudahnya ke kawasan berkenaan.

Arahan menjarakkan diri sejauh dua meter seperti yang dilaksanakan di negara lain tidak mampu dilaksanakan di kem terbesar di dunia itu. Setiap unit kediaman di dalam kem hanya dijarakkan sejauh 10 meter persegi dan sesak dengan purata 12 orang di dalam sesebuah rumah sehingga mereka mampu mendengar dengkur jiran yang tidur di rumah sebelah.

Ketua Doktor Tanpa Sempadan Bangladesh, Paul Brockman, berkata pengasingan sosial di kem itu amat mustahil dapat dilakukan dan cabarannya adalah sangat besar.

Walau pun kadar jangkitan dan kematian di kalangan pelarian Rohingya secara umumnya masih terkawal, namun para pakar kesihatan bimbang ia mungkin akan bertambah. Ini ditambahburukkan lagi dengan keadaan masyarakat Rohingya yang hampir tidak mengetahui mengenai virus itu memandangkan Bangladesh menyekat penggunaan internet sejak tahun lalu sebagai langkah mengatasi masalah pelarian.

Bagaimanapun, ketakutan semakin meningkat apabila empat sekeluarga Rohingya yang kembali dari India minggu lalu dikuarantin di pusat transit PBB untuk ujian. 

"Kami sangat bimbang jika virus itu tersebar di sini. Banyak bantuan dan pekerja komuniti datang ke kem setiap hari, malah ada beberapa diaspora Rohingya turut kembali yang memungkinkan mereka membawa virus itu juga," kata ketua komuniti Rohingya, Mohammad Jubayer.

Penghuni kem, Lokman Hakim, 50, menyatakan langkah pencegahan sangat kurang di kem yang mana hanya sabun diberikan, manakala Ketua Komuniti, Sayed Ullah, berkata kekangan internet menjadikan mereka tidak mendapat maklumat lanjut dan hanya mengetahui ramai orang mati akibat virus itu. 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan sukarelawan dan pekerja bantuan untuk melancarkan kempen basuh tangan di kem dan menggesa kerajaan untuk mengembalikan keperluan internet dalam kadar normal. Jurucakap PBB, Louise Donovan, berkata komunikasi adalah langkah paling efektif ketika ini.

Ketika ini, Pejabat Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh menolak untuk mengesahkan sama ada pihak berwajib akan memulihkan kembali internet.

"Kami sudah meminimumkan aktiviti bantuan di kem selain hanya makanan, kesihatan dan berkaitan undang-undang saja diteruskan," kata pegawai dari pejabat pesuruhjaya, Bimol Chakma. 

Di Myanmar, saki baki warga Rohingya yang masih kekal berpengkalan di Rakhine, mereka juga turut terdedah kepada ancaman wabak Coronavirus. Negara Myanmar, dengan jumlah penduduknya seramai 51 juta orang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap dan memuaskan, sekaligus menyebabkan kerajaan terpaksa melakukan kawalan penyakit secara berpilih. Dalam konteks ini, daerah Rakhine malangnya, dipercayai tidak dimasukkan sebagai kawasan keutamaan bagi kawalan jangkitan.  

Organisasi Hak Asasi Manusia, Human Rights Watch (HRW) mengatakan pelarian Rohingya di dalam kem sangat terdedah kepada virus Corona kerana situasi kem yang terlalu padat, adanya larangan pergerakan dan kemudahan sanitasi yang buruk.

"Kondisi kesihatan adalah sangat buruk bagi para pengungsi di kem-kem pelarian Rohingya, baik di Bangladesh mahu pun di Rakhine, Kachin, dan bahagian utara Shan di Myanmar. Mereka kini amat terdedah kepada bahaya jangkitan dan penularan wabak Covid-19 ini," kata Brad Adams, Pengarah HRW bagi kawasan Asia.

Sementara itu, sebuah organisasi penyelidikan bukan keuntungan dari UK, Oxfam, menggambarkan situasi di salah satu kem di daerah Rakhine sebagai sangat daif dan mendukacitakan, lebih-lebih lagi dalam keadaan setiap negara kini cuba mempertingkatkan kelengkapan kesihatannya bagi menghadapi ancaman Covid-19.

"Jika ada mana-mana anggota di dalam kem yang jatuh sakit dan memerlukan rawatan perubatan, mereka harus meminta izin resmi daripada penguasa kem yang biasanya memakan waktu beberapa hari. Di samping itu, mereka jua harus membuat "bayaran" tertentu kepada pihak kem sebelum dapat bergerak ke klinik atau hospital yang sedia penuh sesak bagi menerima rawatan," kata Oxfam sebagai menggambarkan kesukaran yang terpaksa dilalui oleh warga Rohingya dalam berhadapan dengan wabak Coronavirus pada masa ini.

Tidak cukup setakat itu, warga Rohingya yang kini bertaburan di beberapa negara sebagai pekerja asing, khususnya di negara-negara jiran seperti Malaysia dan Singapura, juga turut terdedah kepada bahaya penularan Covid-19 berikutan keadaan tempat tinggal mereka yang sesak dan kotor. Mereka ini, didorong oleh langkah berjimat, menyewa rumah untuk tinggal secara beramai-ramai tanpa menyedari keadaan seperti itulah yang mengundang virus Corona untuk dengan mudahnya menjengah ke kediaman mereka. 


Wallahu a'alam (MMO)





No comments:

Post a Comment