Monday, August 20, 2018

MALAYSIA : 100 HARI KERAJAAN PAKATAN HARAPAN




Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah meraikan 100 hari penubuhan kerajaan baru Malaysia pada 16 Ogos lalu dengan membentangkan secara sepintas lalu pencapaian kerajaan, khususnya dari sudut perlaksanaan “10 janji, 100 hari”.

10 janji tersebut merupakan sebahagian daripada ikrar utama yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan yang bertemakan “Membina Negara Memenuhi Harapan”. Manifesto itu pula keseluruhannya mengandungi 60 janji yang diletakkan di bawah 5 teras utama iaitu pertama, pengurangan bebanan kehidupan; kedua, reformasi pentadbiran dan politik; ketiga, usaha bagi merancakkan ekonomi secara adil dan saksama; keempat, mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963; dan kelima, membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

10 janji tersebut adalah merupakan perkara-perkara keutamaan yang pada pandangan Kerajaan PH, perlu diberikan perhatian dan penyelesaian segera kerana ianya dianggap memberi kesan secara langsung terhadap kesejahteraan hidup rakyat. Secara ringkas, 10 janji itu adalah;

  • Menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.
  • Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.
  • Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang  dipaksa ke atas peneroka Felda.
  • Memperkenalkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk surirumah.
  • Menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara PTPTN) kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang RM 4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
  • Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.
  • Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) 1MDB, Felda, Majlis Amanah Rakyat (Mara), dan Lembaga Tabung Haji serta merombak semula struktur kepimpinan mereka.
  • Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakanPerjanjian Malaysia 1963.
  • Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberikan RM 500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan isi rumah berpendapatan rendah.
  • Melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.
Kini, dengan kerajaan PH melangkah melepasi garis 100 hari, media massa di negara tetangga kita cenderung untuk memberikan penilaian secara umum bahawa hampir separuh daripada janji-janji tersebut telah berjaya dilaksanakan, manakala yang lainnya dikatakan masih diusahakan penyelesaiannya untuk dicapai dalam beberapa bulan lagi.  

Sekurang-kurangnya, dua daripada janji yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia iaitu penghapusan GST dan menyiasat skandal, terutama 1MDB, adalah antara janji yang berjaya dikota dalam tempoh 100 hari itu. Berikutan pemansuhan GST, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang  menggantikan GST akan mula dikuatkuasakan perlaksanaannya mulai 1 September ini. Berikutan itu, rakyat menunggu untuk melihat dan berharap akan berlakunya sedikit penurunan dalam harga barang dan perkhidmatan kerana sistem GST didakwa sebagai penyebab berlakunya kenaikan harga barang, sekaligus kenaikan kos sara hidup rakyat.

Adapun janji untuk menyiasat skandal, terutama melibatkan 1MDB, sebuah jawatankuasa siasatan telahpun ditubuhkan, dan sejauh ini difahamkan, telah pun menyiapkan laporan mereka untuk dikemukakan kepada pihak Peguam Negara Malaysia bagi kemungkinan mendakwa mereka yang terlibat jika disabitkan terlibat dengan skandal tersebut. Sementara itu, pendakwaan ke atas bekas Perdana Menteri kerana dituduh terlibat dalam isu rasuah SRC International, sebuah anak syarikat 1MDB, telahpun dibuat di Mahkamah dengan perbicaraan dijadual akan dibuat pada awal tahun depan.

Janji-janji lain yang boleh disifatkan telah tertunai ialah langkah kerajaan PH untuk mengkaji beberapa projek mega yang dianggap menelan kos yang terlalu tinggi sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara. Kajian ini sudah pastinya mengambil masa. Dalam hubungan ini, Perdana Menteri Tun Mahathir mengumumkan dua projek mega iaitu Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura dan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) adalah antara dua projek mega yang kini dikaji semula dengan satu daripadanya iaitu HSR berkemungkinan berhadapan dengan pembatalan sekiranya kos pembinaannya yang tinggi gagal diselesaikan dengan pihak Singapura. Bagi projek ECRL, tindakan yang sama kini sedang dilakukan bertujuan untuk menurunkan kos pembinaan melalui rundingan dengan pihak China selaku kontraktor pembinaan bagi projek berkenaan.

Demikian juga dengan janji perlaksanaan skim KWSP untuk suri rumah dan penangguhan bayaran balik hutang PTPTN, telah mula dilaksanakan secara bertahap dan disambut baik oleh kalangan suri rumah serta para belia yang terlibat dengan hutang pendidikan. Para penghutang tabung pendidikan itu juga menyambut baik langkah Kerajaan PH memansuhkan senarai hitam nama-nama peminjam yang terlibat yang sebelum ini disekat daripada membuat perjalanan ke luar negara.

Status bagi beberapa janji-janji lain, walaupun perlaksanaannya belum sempat ditunaikan dalam tempoh 100 hari yang dijanjikan, ianya dilaporkan telah pun bergerak mengikut kapasiti masing-masing. Ada di antaranya yang amat bergantung kepada aspek kewangan negara seperti menyamaratakan gaji minimum dan penghapusan hutang peneroka, dan ada yang bergantung kepada aspek perundangan yang mungkin akan melibatkan pindaan kepada perlembagaan Malaysia seperti dalam hal pengembalian status Sabah dan Sarawak.

Di pihak kerajaan PH yang memerintah, ketidakupayaan untuk menunaikan kesemua janji yang dibuat dalam tempoh yang dinyatakan adalah disebabkan oleh masalah kewangan negara yang mana pada pandangan PH, ianya jauh lebih buruk daripada apa yang dijangkakan oleh gagasan itu sebelum mereka mengambilalih kerajaan. 

Perdana Menteri Tun Mahathir dalam kenyataannya yang terbaharu pada 13 Ogos 2018 menyatakan Kerajaan PH mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan, tidak hanya dalam 100 hari, tetapi menjangkau 1,000 hari.  Kerajaan PH juga telah menyatakan komitmen untuk menunaikan keseluruhan 60 janji yang digariskan dalam manifesto parti itu di sebalik kerajaan terpaksa berhadapan dengan kekangan kewangan yang dikaitkan berpunca daripada amalan rasuah dan penyelewengan kerajaan yang terdahulu.

Di pihak pembangkang, khususnya Barisan Nasional dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), mereka melihat ketidakupayaan Kerajaan PH untuk mengotakan kesemua janjinya itu sebagai petanda bahawa kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang tidak cekap disebabkan ramai menteri-menteri yang dilantik terdiri daripada mereka yang kurang pengalaman. Pembangkang juga turut menyalahkan kerajaan kerana menggunakan alasan kekangan kewangan negara sebagai alasan di sebalik kegagalan mereka untuk melaksanakan janji-janji yang dibuat dalam manifesto PH dalam pilihan raya lalu.

Apa pun, sebagai sebuah negara yang berjiran, kita mendoakan kemakmuran serta keamanan yang berterusan buat Malaysia. Kita percaya dengan kejayaan, kemakmuran dan keamanan yang dinikmati oleh Malaysia di bawah kepimpinan Tun Mahathir ianya akan bakal menyumbang kepada keampuhan ASEAN selaku gagasan yang cuba mengembelingkan suara dari negara-negara kecil di rantau sebelah sini untuk dihormati dan didengari oleh gagasan kuasa-kuasa besar. Insya-Allah.

Sedikit Pencerahan Tentang Formula “Pendekatan 100 hari

Berdasarkan sejarah, pendekatan 100 hari mula diperkenalkan dalam kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1932 oleh Franklin Delano Roosevelt.

Menerusi pendekatan pertama seumpamanya, hasilnya, Roosevelt berjaya menang Presiden AS dan seterusnya bermulalah konsep ‘100 hari pertama kepemimpinan kerajaan baharu’ sebagai penanda aras dalam sejarah politik AS dan kemudian menjadi ikutan dunia.

Apabila meletakkan perancangan jangka masa 100 hari untuk mencapai beberapa sasaran awalnya, Roosevelt berjaya membuka mata ramai mengenai kesungguhannya ‘merawat’ kemelesetan ekonomi AS dengan segera ketika itu berbanding pesaingnya dari Republikan.

Angka 100 hari itu memberi kesan psikologi, menzahirkan keseriusan atau kesegeraan untuk menyelesaikan masalah kerajaan terdahulu, sekali gus membawa obor harapan baru untuk rakyat keluar daripada keresahan.


Wallahua’alam (MMO).    



      

No comments:

Post a Comment