Monday, June 11, 2018

PERKEMBANGAN TERKINI ISU ISLAMOPHOBIA DI EROPAH


Kempen anti-Islamophobia di Perancis

Dalam entri saya yang lalu (5 April 2018) bertajuk Perkembangan Isu Islamophobia di Amerika dan Eropah, saya telah cuba mengambarkan secara sepintas lalu mengenai kedudukan isu Islamophobia di Amerika dan beberapa buah negara di Eropah yang mana ianya boleh dirumuskan sebagai berada di suatu situasi yang meresahkan. 

Baru-baru ini kita terus dikejutkan dengan beberapa lagi tindakan baik di pihak berkuasa mahupun kalangan tertentu rakyat beragama Kristian di beberapa negara di Eropah yang secara terang-terangan melaksanakan tindakan yang mempamirkan tanda kebencian terhadap Islam.
Di Denmark, seperti mana yang dilaporkan oleh syarikat berita Agensi pada 1 Jun 2018, pihak berkuasa negara itu itu telah membuat ketetapan melarang pemakaian purdah oleh wanita di khalayak ramai berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2018 depan. Undang-undang berkaitan perkara tersebut telah pun diluluskan di Parlimen Denmark dengan 75 undian menyokong berbanding 30 menentang.
Mereka yang tidak mematuhi undang-undang itu akan berdepan hukuman denda sebanyak AS$155 dengan denda sepuluh kali ganda untuk kesalahan berulang. Walau bagaimanapun butiran larangan itu tidak pula menyebut wanita Islam secara spesifik, sebaliknya ia cuma menggariskan larangan pemakaian kain penutup muka di kalangan wanita di kawasan awam.
Sebelum ini, sebagaimana yang kita masih ingat, beberapa buah negara Eropah yang lain telahpun melaksanakan larangan yang serupa terhadap wanita Islam di negara masing-masing.
Perancis muncul sebagai negara Eropah pertama melaksanakan larangan pemakaian penutup muka di kawasan awam pada April 2011. Langkah itu kemudiannya diikuti oleh Belgium beberapa bulan kemudian. Di beberapa negara seperti Austria, Bulgaria dan  Jerman, larangan dilaksanakan mengikut kawasan tertentu dan tidak bersifat  menyeluruh. Sementara parlimen Belanda meluluskan larangan itu pada tahun 2016, dan kini menanti kelulusan dewan tinggi untuk dilaksanakan.
Itu hal berkaitan purdah. Terbaharu, tambah mencabar minda dan keintelektualan pemikiran kita, ada ahli-ahli politik di negara yang dikatakan sudah pun maju itu yang masih berfikiran sempit dengan menganjurkan supaya umat Islam yang berpuasa tidak dibenarkan berkerja. Menurut mereka, dengan berpuasa umat Islam tidak akan mampu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pekerjaan mereka. Dalam sesetengah jenis pekerjaan pula, mereka yang berpuasa didakwa boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain.
Reuters pada 31 Mei lalu melaporkan, ahli politik Jerman dari kumpulan anti-pendatang, Alternative for Germany (AfD) mendesak agar orang Islam yang bertugas sebagai doktor, jururawat, juruterbang, pemandu bas dan kereta api, dilarang daripada bekerja sepanjang Ramadan jika mereka berpuasa kerana dikhuatiri boleh membahayakan orang lain.
Ahli politik AfD Martin Sichert dipetik sebagai berkata, majikan yang tidak boleh memberikan pekerja Muslim syif malam atau syif lebih awal, perlu mengarahkan pekerja itu menggunakan cuti tahunan mereka sepanjang bulan Ramadan.
"Bayangkan pesakit di hospital perlu dibedah oleh doktor bedah yang tidak minum atau makan apa-apa selama 12 jam?"
“Kenapa penumpang (pengangkutan awam) perlu dibawa ke sana-sini oleh orang yang mungkin menghadapi masalah konsenstrasi dan dehidrasi kerana berpuasa?" kata Sichert, yang juga anggota jawatankuasa Parlimen bagi hal ehwal pekerja dan sosial.
Komen Sichert itu dikatakan dibuat susulan kenyataan seumpamanya daripada Menteri Integrasi Denmark, Inger Stojberg, yang mendesak agar umat Islam mengambil cuti sepanjang Ramadan bagi 'mengelakkan impak negatif dalam masyarakat'.

"Ia boleh menjadi suatu yang bahaya bagi kita semua jika pemandu bas tidak makan atau minum sepanjang hari, dan anda tidak boleh bekerja dengan prestasi yang sama di kilang atau hospital jika anda berpuasa," katanya seperti yang dilaporkan dalam akhbar BT di Denmark.
Bagaimanapun, syukur di sebalik adanya tindakan-tindakan yang berbentuk anti-Islam ini, pemimpin Jerman, Canselor Angela Merkel berada di pihak mereka yang memahami umat Islam. Beliau yang mahukan sebuah negara Jerman yang lebih inklusif dan pelbagai etnik sebelum ini berdepan dengan kritikan dari rakyat Jerman kerana membuka sempadan negara itu untuk dimasuki lebih sejuta pendatang beberapa tahun lalu. Merkel sudah lama menegaskan bahawa Islam juga merupakan sebahagian daripada Jerman, selain menyeru ke arah toleransi.
Jerman mempunyai kira-kira 4 juta orang Islam - termasuk dari keturunan Turki yang sudah berdekad-dekad lamanya bermastautin di situ, selain para pendatang dan pemohon suaka yang tiba sejak beberapa tahun lalu. Kebanyakan daripada mereka melarikan diri dari konflik di Syria, Iraq dan beberapa negara lain.
Sementara itu Al-Jazeera dalam satu laporannya menyebutkan bahawa fenomena kebencian terhadap Islam atau Islamophobia di beberapa buah negara di Eropah kini kian mempamirkan peningkatan. Laporan yang memetik kajian sebuah NGO, Citizen's Platform Againts Islamophobia (PCI) itu antara lain menyebutkan bahawa di Jerman misalnya, setidak-tidaknya terdapat 950 kejadian serangan ke atas umat Islam dan masjid berlaku di sepanjang tahun 2017.  
Di Spanyol, dilaporkan berlaku 500 kejadian yang serupa yang menyasarkan  masyarakat Islam termasuk wanita yang berhijab dan kanak-anak, dan juga masjid.
Laporan yang dibuat oleh PCI itu adalah selari dengan hasil kajian yang dibuat oleh sebuah lagi badan penyelidikan yang terkemuka, Pew Research Center, yang dalam satu laporannya menyebutkan bahawa sentimen negatif warga Eropah terhadap umat Islam melonjak sepanjang tahun 2016 berbanding dengan tahun sebelumnya.
Laporan tersebut menyebutkan bahawa di UK, peratusan rasa takut/benci berlebihan terhadap umat Islam atau islamophobia di kalangan penduduknya meningkat sehingga 28 peratus. Di Spanyol dan Itali, masing-masing berada di paras 50 peratus dan 69 peratus, manakala di Greece, 65 peratus. Malah di Hungary peratus yang dicatatkan jauh lebih tinggi iaitu sebanyak 72% peratus, manakala di Poland, Perancis, Jerman, Belanda, dan Sweden ianya turut mencatatkan peningkatan yang tidak kurang tingginya. (lihat jadual di bawah).


Kajian Pew itu juga merumuskan penyebab utama kepada peningkatan Islamophobia berdasarkan tinjauan pendapat responden di 10 negara yang dikaji, ialah kebimbangan terhadap gelombang kemasukan pelarian dari Timur Tengah ke negara-negara terlibat dan peningkatan kejadian-kejadian keganasan seperti serangan bom, penggunaan senjata merbahaya,  pergaduhan dan tidak kurang, rompakan dan kecurian. Ini mengundang rasa cemas dan tidak selamat dalam diri rakyat tempatan yang sering mereka hubungkan sebagai ancaman pengganasan yang berpunca dari kehadiran pendatang Islam ke negara mereka. 

Kajian Pew tersebut turut menemukan fakta yang penting iaitu bahawa sentimen kebencian terhadap Islam di kebanyakan negara di Eropah itu adalah datangnya dari pendukung parti yang berfahaman konservatif di negara terbabit yang secara puratanya memiliki tahap pendidikan yang rendah dan gemar menjadikan isu keagamaan sebagai modal politik bagi meraih sokongan. 

Pandangan ini mungkin ada kebenarannya seperti mana yang dapat dilihat di negara Hungary baru-baru ini. PM Hungary, Viktor Orban kembali memenangi pilihan raya umum negara itu buat kali ketiga dengan memprojekkan dirinya sebagai penyelamat budaya Kristian Hungary dalam melawan migrasi penganut Islam ke Eropah. Kempen beliau yang sedemikian rupa dikatakan telah mendapat simpati dan sokongan rakyat Hungary, khususnya dari kalangan penduduk luar bandar. 

Dalam pada itu, satu lagi kaedah yang lumrah dilakukan oleh kebanyakan negara yang menganuti prinsip anti-Islam iaitu melarang azan dikumandangkan melalui pembesar suara kini nampaknya terus menjadi pendekatan pihak berkuasa di beberapa negara Eropah. Dalam satu insiden terbaharu, dalam bulan Februari 2018 lalu misalnya, sebuah masjid di sebuah daerah di Jerman (Gelsenkirchen) telah dilarang mengumandangkan azan untuk solat Jumaat kerana didakwa menggangu penduduk di kawasan berkenaan.

Demikianlah senario semasa yang melanda Islam dan umatnya di beberapa buah negara di Eropah yang menuntut kita untuk sama-sama merenungi dan mencari jalan ke arah meredakannya. Dalam konteks ini apa yang boleh membantu meredakan keadaan ialah usaha bagi memahamkan umat bukan Islam terhadap kebaikan Islam itu sendiri sebagai sebuah agama yang menyeru kepada jalan kebaikan dan perdamaian, bukannya agama yang merintis kepada kebencian, kerosakan mahupun perpecahan.

Tidak kurang, strategi bagi menghadapi Islamophobia tersebut haruslah dibuat dengan betul dan berkesan. Antaranya yang boleh diteladani adalah dengan berpandukan kaedah Rasulullah s.a.w dalam mendepani mereka yang menghina dirinya sepertimana riwayat seperti berikut:

Diriwayatkan kisah serombongan orang-orang Yahudi mengunjungi Nabi Muhammad s.a.w dan mengucapkan, "Kecelakaan bagimu (Muhammad)." Aisyah, isteri Nabi yang ada di sisinya tidak dapat menerima suaminya didoakan tidak baik oleh rombongan tersebut. Ia kemudian membalasnya, "Kecelakaan dan laknat Allah bagi kalian." Mendengar balasan Aisyah tersebut, Nabi menenangkan isterinya, "Tenanglah wahai Aisyah, sesungguhnya Allah menyukai kasih sayang dalam setiap hal."

Aisyah mengingatkan Nabi tentang apa yang diucapkan orang-orang Yahudi yang menghinanya, "Apakah engkau tidak mendengar apa yang mereka katakan tentangmu wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Aku sudah menjawabnya: Dan juga bagi kalian."

Sangat singkat jawaban Nabi terhadap orang-orang yang menghinanya, "Dan juga bagi kalian." Bukan sekadar tidak menjawab lebih, Nabi juga melarang orang lain termasuk orang tersayangnya untuk membalas lebih dari apa yang dilakukan oleh orang yang menghinanya.

Alasannya, tidak lain kerana seperti sabda Beliau, "Ampunilah kaumku ya Allah! Sesungguhnya mereka (menghina/menyakitiku) kerana tidak tahu."

Wallahua’alam (MMO).



No comments:

Post a Comment