Saturday, December 23, 2017

BAHAGIAN III : ULASAN TITAH


"Kewajipan Raja berlaku adil kepada rakyat sementara kewajipan rakyat pula mentaati Raja”.
 

(Petikan  Titah Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah Ibni  Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddein, Sultan Dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam,  sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan  Baginda pada 14 Muharram 1439/5 Oktober  2017).

Kemurnian hasrat Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam mengingatkan diri Baginda untuk berlaku adil kepada rakyat adalah watak seorang ulil amri yang amat tawadu’ dan disanjung tinggi Insyaallah, oleh seluruh rakyat. Dalam konteks titah Baginda itu, Baginda merungkainya dalam bentuk tanggung jawab sebagai seorang Raja, “Raja berkewajipan untuk mengetahui susah senang rakyat”.

Konsep Adil

Pada pandangan kita, keadilan berkait rapat dengan kebenaran kerana keadilan hanya boleh ditegakkan diatas kebenaran. Tuntutan melaksanakan keadilan adalah menurut perintah Allah s.w.t. antaranya melalui ayat-ayat berikut:

Surah Al Maidah, ayat 8, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”.

Surah Al Nahl, ayat 90, bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman”.

Sementara Rasulullah SAW bersabda bahawa, “Sesungguhnya orang yang berlaku adil itu di sisi Allah akan menempati beberapa mimbar dari cahaya. Mereka itu ialah orang-orang yang adil dalam menerapkan hukum, juga terhadap keluarga dan perihal apa pun yang mereka diberi kekuasaan untuk mengaturnya.” (Hadis riwayat Muslim).

Adil di sini bermaksud penerapan keadilan secara mutlak dalam semua aspek. Ihsan pula merangkumi aspek ibadah, kesepadanan dalam menghukum dan menunaikan hak, dan membalas keburukan dengan kebaikan. Para mufassir menyimpulkan adil itu adalah menunaikan kewajipan, sementara ihsan adalah menunaikan melebihi daripada sekadar apa yang wajib.

Dalam konteks keadilan sosial dalam Islam, pemerintah tidak terlepas daripada tanggungjawab umum yang perlu ditunaikan, antara lain pemerintah hendaklah: 

1.  Menjamin kebajikan ke atas rakyat miskin, fakir dan kurang upaya;

2.  Menjamin cukupnya keperluan asasi kehidupan manusia iaitu makanan, pakaian dan         tempat tinggal;

3. Merapatkan jurang dan perbezaan di antara golongan kaya dan miskin melalui falsafah ekonomi berasaskan keadilan sosial dalam Islam; 

4.  Mengutamakan hak-hak sosial lebih daripada kekayaan individu; 

5.  Melindungi orang yang lemah terdiri daripada orang yang miskin dan tidak berupaya dari di eksploitasi golongan yang kaya dan kuat;

6.  Menyediakan pendidikan dan penjagaan kesihatan secara percuma untuk semua rakyat;

7. Bertanggungjawab memelihara kesucian dan keutuhan kerohanian rakyat dan memastikan mereka dapat menjalani kehidupan berugama selaras dengan ajaran Islam.

Hak Warganegara

Islam sebagai agama yang lengkap telah menyediakan asas dan garis panduan mengenai hubungan rakyat dengan pemerintah. Asas ini meliputi beberapa aspek hak dan tanggungjawab masing-masing terhadap satu sama lain, dan hubungan ini mempunyai asas dari segi syariah dan bukannya daripada keperluan politik semata-mata. Ini dapat dilihat daripada beberapa prinsip negara menurut pandangan Islam, iaitu konsep ketinggian syariah, khilafah dan amanah, dasar keadilan, persamaan, kebebasan, tanggungjawab, syura dan kepatuhan kepada ulil amri.

Hak dan tanggungjawab adalah dua dasar penting dalam pemerintahan Islam dan kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain. Melaksanakan hak dan tanggungjawab merupakan tugas keagamaan yang mesti ditunaikan oleh kedua-dua pihak iaitu pemerintah dan rakyat.

Abu al-Ala Mawdudi telah menggariskan hak-hak warganegara di bawah pemerintahan Islam,  antara lain merangkumi aspek-aspek berikut: 

Jaminan keselamatan nyawa dan harta; Perlindungan kehormatan, maruah dan harta persendirian; Kebebasan diri; Hak menentang kezaliman; Kebebasan berfikir dan mengeluarkan pendapat; Kebebasan berpersatuan; Kebebasan beragama; Perlindungan dari dipenjarakan tanpa diadili; Hak menikmati  keperluan asas untuk hidup; Hak persamaan di sisi undang-undang selagi tidak bertentangan dengan syariat; Hak untuk menjauhi daripada dosa; Hak untuk mengambil bahagian dalam hal ehwal negara.

Kewajipan Taat Kepada Pemerintah

Sebagai imbal balik, warganegara adalah diwajibkan patuh dan taat kepada pemerintah. Perintah ini disandarkan kepada maksud ayat Al Quran berikut;

Surah An Nisa’, ayat 59, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.

Dari ayat di atas, terdapat dua bentuk ketaatan. Taat kepada Allah dan Rasul adalah mutlak, sebab itulah di dalam ayat di atas Al Quran menyebut, “taatlah kamu kepada Allah” dan “taatlah kamu kepada Rasulullah.” Sementara, bagi Ulil-Amri tidak disebut perkataan taat sebelum perkataan Ulil-Amri. Ini membawa maksud bahawa taat kepada Ulil-Amri itu tidak mutlak dan sebaliknya bersyarat. Penjelasan kepada tafsiran ketaatan tidak mutlak ini boleh dilihat dalam hadis  berikut;

Hadis Ibnu Umar r.a., Nabi SAW telah bersabda: “Wajib ke atas setiap orang muslim mendengar serta taat kepada arahan sama ada dia suka atau tidak kecuali dia diperintahkan supaya melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dia dengar dan mentaatinya.”  (Hadis Sahih Muslim).

Meskipun ketaatan kepada pemimpin itu bersyarat dan tidak mutlak, namun dalam satu hadis lain Rasulullah SAW menekankan akan peri pentingnya ketaatan kepada pemimpin itu.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi SAW telah bersabda: “Sesiapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati Allah dan sesiapa yang derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku dan sesiapa yang menderhaka pemerintah maka dia telah derhaka kepada aku.”

Selanjutnya, Baginda SAW memberi amaran bahawa: “Barangsiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia akan berjumpa dengan Allah pada hari kiamat tanpa mempunyai hujah (alasan).” (Hadis Riwayat Muslim).

Jelasnya dari dalil Al Quran dan hadis Rasulullah SAW di atas, boleh dibuat kesimpulan bahawa, mentaati pemerintah dalam perkara-perkara bukan kemaksiatan adalah wajib. Sebaliknya adalah haram unutk mentaati mereka dalam urusan kemaksiatan. 

Akauntabiliti

Walaupun pemimpin itu berkedudukan istimewa di sisi Islam, namun Islam turut menggariskan prinsip akauntabiliti yang jitu sepertimana yang dapat difahami melalui hadis berikut; “Ketahuilah setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan ditanya tentang yang dipimpinnya” (Hadis riwayat al-Bukhari). 

Islam meletakkan tahap piawaian yang tinggi pada kebertanggungjawaban dan amanah yang dipikul oleh setiap pemimpin justeru melayakkan mereka untuk ditaati oleh yang dipimpinnya.

Secara umumnya, dalam amalan politik demokrasi, golongan umara’ bukan sahaja bertanggungjawab kepada ulil amri, tetapi dalam masa yang sama juga ‘acountable’ kepada rakyat. Oleh kerana mereka dipilih oleh rakyat secara langsung maka rakyat berhak untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang lain melalui lunas yang syar’ie dan bukannya secara kekerasan, paksaan atau tipu daya.

Adalah diyakini melalui pendekatan sedemikian, sikap pemedulian rakyat akan diberi keutamaan oleh golongan umara’ dan dengan sendirinya akan membantu melancarkan perancangan kerajaan. Di samping itu ianya juga mampu untuk mengatasi segala bentuk kelemahan dalam ‘delivery system’, ‘shortfall’ dalam perbelanjaan pembangunan, kegagalan mencapai sasaran, dan lain-lain isu seumpamanya.

Kesimpulannya, adalah tidak diragui akan keikhlasan  Kebawah DYMM yang  dilihat bersungguh-sungguh berusaha  untuk  berlaku adil di dalam pemerintahan dan  ke atas rakyat Baginda. Demikian juga rakyat, pada sebilang masa tunduk patuh dan memberikan  taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Baginda. Namun, ucapan murni itu pastinya akan menjadi lebih bermakna jika rakyat diberikan peluang turut sama menentukan nasib masa depan negara dan bangsanya melalui sistem imbangan dan sekatan dalam sebuah parlimen yang berwibawa di mana di dalamnya diisi oleh perwakilan rakyat yang sah, berilmu dan beriman. 

Wallaha’alam.


No comments:

Post a Comment