Wednesday, June 12, 2019

DIARI KEHIDUPAN 1 : ETNIK UIGHUR

 
Gambar sebahagian daripada tahanan etnik Uighur yang ditahan dalam kem pemulihan

Sehebat tekanan yang dilalui oleh umat Palestin dan etnik Islam Rohingya, etnik Islam Uighur di Xinjiang, China juga sejak sekian lama, turut berhadapan dengan tekanan dan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah China dalam apa yang boleh disifatkan sebagai usaha bagi melemahkan pegangan agama Islam di kalangan mereka. Matlamat akhir kerajaan China adalah untuk melumpuhkan sama sekali pegangan agama Islam dalam kalangan etnik Uighur, sekaligus menukar pegangan agama mereka supaya selari dengan pegangan agama majoriti rakyat China yang berpegang kepada agama Buddha.

Berikut adalah rentetan perkembangan yang berlaku dalam kehidupan etnik Islam Uighur sepanjang bulan Januari hingga Mac 2019 untuk kita tatapi dan diinsafi sebagai nasib malang yang menimpa satu lagi kumpulan dari cabang saudara Islam kita itu.


Cacatan Peristiwa Penting Sepanjang Januari – Mac 2019


Tarikh
Catatan Peristiwa

6 Januari 2019



China meluluskan undang-undang baharu bagi melaksanakan tindakan sinicize atau menerapkan nilai-nilai China ke dalam agama Islam bagi tempoh lima tahun akan datang.

Portal berita al-Jazeera yang memetik akhbar berbahasa Inggeris utama China, Global Times melaporkan, melalui undang-undang baharu itu, kerajaan bersetuju untuk ‘membimbing’ Islam agar bersesuaian dengan fahaman sosialisme dan melaksanakan langkah-langkah membentuk Islam mengikut acuan sinicize.

China telah menjalankan ‘kempen’ serupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini di bawah pemerintahan Presiden Xi Jinping. Mengamalkan ajaran Islam telah dilarang di beberapa bahagian atau wilayah di negara ini. Mereka yang didapati bersolat, berpuasa, menyimpan janggut, memakai hijab berdepan ancaman untuk ditahan oleh pihak berkuasa.


     7 Januari 2019




China menegaskan akan mengalu-alukan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melawat wilayah Xinjiang jika mereka mengikut prosedur yang betul, di sebalik kebimbangan global terhadap program ‘pendidikan semula’ Beijing di wilayah itu.

Pegawai tertinggi hak asasi manusia PBB, Michelle Bachelet pada bulan lalu berkata, pihaknya sedang mendapatkan akses ke Xinjiang untuk mengesahkan ‘laporan yang membimbangkan’ mengenai kem pendidikan semula yang menempatkan minoriti Islam, termasuk Uighur.


22 Januari 2019



Sebagai tindak balas terhadap kritikan antarabangsa yang semakin meningkat mengenai penahanan lebih sejuta umat Islam Uighur dalam ‘kem pendidikan semula’, Menteri Luar China, Wang Yi cuba mempertahankan tindakan tersebut. Beliau merujuk usaha itu sejajar dengan komuniti antarabangsa - memerangi keganasan - kononnya pencegahan di peringkat awal mampu membendung keganasan merebak dan ‘berakar’.

Beberapa pegawai tertinggi Beijing turut mempertahankan perkara itu sambil mendakwa Islam sebagai ‘penyakit ideologi’, meletakkan kem-kem tahanan sebagai ‘hospital’ yang diperlukan untuk menyembuhkan penyakit tersebut. Duta China ke Amerika Syarikat, Cui Tiankai menyatakan, Beijing sedang berusaha menjadikan Uighur sebagai ‘manusia normal’.


    2 Februari 2019




Portal al-Jazeera membuat pendedahan bagaimana Beijing menempatkan perisik etnik Uighur di seluruh dunia berpandukan penjelasan yang diperolehi daripada seorang perisik etnik Uighur yang direkrut oleh kerajaan China.

“Tugas saya adalah memberikan maklumat kepada pegawai China. Saya melaporkan semua yang dilakukan oleh mereka - apa mereka makan, minum, apa mereka buat secara sembunyi di rumah, sama ada melibatkan kawan-kawan atau saudara mara, saya berkongsi semuanya.

“Kamu boleh ditahan sekiranya menyimpan janggut atau mempunyai teks berbentuk keagamaan dalam telefon atau mungkin kamu belajar di luar negara atau membuat panggilan jarak jauh dengan seseorang di luar negara,” kata perisik berkenaan yang dikenali sebagai Yusuf Amat.


4 Februari 2019



Kumpulan pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar wakil ke Xinjiang, China untuk menyiasat penahanan secara besar-besaran terhadap etnik Uighur dan minoriti Islam lain di negara tersebut. 

Ketuanya, Kenneth Roth berkata kekejaman yang berlaku di Xinjiang berada pada tahap yang cukup teruk dan memerlukan campur tangan daripada pihak antarabangsa.

HRW dan beberapa organisasi hak asasi serta masyarakat sivil memfailkan rayuan kepada badan hak asasi manusia PBB untuk melaksanakan misi siasatan antarabangsa ke wilayah itu.


9 Februari 2019



Mail Online melaporkan, penduduk di wilayah autonomi Ili Kazakh mendakwa, mereka dijemput untuk menghadiri majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang menghidangkan menu utama daging babi serta arak.

Radio Free Asia (RFA) mendedahkan menerima gambar menunjukkan pegawai kerajaan China di bandar Yining mengunjungi kediaman penduduk Islam dan mengedarkan daging babi mentah pada Isnin lalu. Selain itu, penduduk juga dipaksa menghias luar kediaman mereka dengan hiasan Tahun Baharu Cina berwarna merah. Kebanyakan penduduk di wilayah autonomi tersebut tidak meraikan Tahun Baharu Cina.


10 Februari 2019




Turki mengecam layanan buruk China kepada etnik Uighur dan menyifatkan kekejaman yang dilakukan sebagai tindakan paling memalukan terhadap kemanusiaan. Jurucakap kementerian luar Turki, Hami Aksoy dalam kenyataannya berkata polisi asimilasi sistematik yang diterapkan kerajaan China terhadap etnik tersebut adalah tidak wajar dan memalukan. 

Turki juga turut menggesa Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jeneral Antonio Guterres untuk mengambil langkah wajar bagi menamatkan tragedi kemanusiaan di wilayah Xinjiang.


11 Februari 2019




Seramai 17 orang etnik Uighur yang memegang status penduduk tetap (PR) dan pemegang visa Australia dipercayai telah dikenakan tahanan rumah, dipenjarakan atau ditahan pusat pendidikan kemahiran vokasional di Xinjiang, China.

Menurut pendedahan The Guardian yang memetik aktivis Uighur Australia, Nurgul Sawut, daripada 17 individu berkenaan, 15 orang adalah penduduk tetap Australia manakala dua lagi memegang visa suami isteri. Nurgul berkata, kebanyakan mangsa mempunyai anak atau pasangan warga Australia dipercayai ditahan semasa membuat kunjungan terhadap saudara mereka di China.


    12 Februari 2019




BBC menyingkap beberapa lagi kisah berkaitan etnik Kazakh dan keluarga mereka yang pernah disumbat dalam kem-kem tahanan serta bagaimana mereka mengharungi penindasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa China.

Kerajaan China menggelarkan kem-kem tahanan yang dibangunkan untuk etnik Uighur dan Kazakh sebagai ‘sekolah pendidikan vokasional’, namun kedua-dua etnik minoriti itu menganggap­nya sebagai ‘neraka’.


13 Februari 2019



Ratusan etnik Uighur tampil dalam media sosial menggesa kerajaan China memberi maklum balas tentang perkembangan ahli keluarga mereka yang hilang atau ditahan dalam ‘kem pendidikan vokasional’.

BBC melaporkan, gesaan itu berikutan pemuzik Uighur, Abdurehim Heyit yang sebelum ini didakwa telah terbunuh, muncul menerusi sebuah video dalam keadaan masih hidup. Video tersebut tular selepas kerajaan Turki mengkritik kekejaman dan penahanan yang dilakukan kerajaan China terhadap etnik tersebut di Xinjiang. Beberapa kumpulan Uighur bagaimanapun mempersoalkan kesahihan dan ketulenan video itu.


    19 Februari 2019




Firma teknologi China dilaporkan mengumpul pelbagai maklumat peribadi melibatkan 2.6 juta penduduk di wilayah Xinjiang. Maklumat peribadi itu meliputi keturunan sehingga lokasi, menurut suatu data bocor yang menunjukkan pengawasan meluas di wilayah berkenaan.

Kebocoran maklumat itu disedari minggu lalu oleh penyelidik keselamatan, Victor Gevers yang mendapati syarikat teknologi China, SenseNets telah menyimpan rekod individu, pangkalan data terbuka yang boleh diakses oleh mana-mana pihak’.

Menurut panel siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hampir sejuta etnik Uighur dan etnik minoriti berbahasa Turki di Xinjiang ditahan di dalam ‘kem pendidikan semula’.


25 Februari 2019






Turki sekali lagi menyuarakan kebimbangan berhubung ‘layanan buruk’ China terhadap etnik Uighur dan penduduk Muslim lain di wilayah Xinjiang. Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menggesa pihak berkuasa tempatan China untuk melindungi kebebasan beragama dan identiti kebudayaan di wilayah tersebut.

“Kami menggesa pihak berkuasa China dan mengharapkan hak asasi manusia termasuklah kebebasan beragama dihormati dan perlindungan sepenuhnya terhadap identiti kebudayaan Uighur serta Muslim lain dijaga,” katanya seperti dipetik oleh Reuters.


1 Mac 2019




Reuters melaporkan, utusan China di Ankara memberi amaran Turki mengundang bahaya terhadap hubungan ekonomi dengan China sekiranya terus mengkritik tentang layanan buruk Beijing terhadap penduduk muslim Uighur. Ini kerana syarikat Cina tersebut sedang mengorak langkah mencari peluang pelaburan dalam pelbagai projek tenaga dan infrastruktur mega di Turki.

Dalam mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada awal Mac lalu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu telah mengulangi keperihatinan Ankara tentang Uighur dan menggesa China menghormati hak asasi manusia dan kebebasan beragama.


2 Mac 2019



Etnik Uighur yang ditempatkan di kem kemahiran vokasional mendakwa mereka dilarang bersembah­yang sepanjang berada di premis itu, tindakan yang jelas melanggar hak asasi manusia.

Republika.co.id melaporkan, pendedahan tersebut dibuat beberapa organisasi Islam yang bergabung di bawah Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang melawat kem di wilayah berkenaan, minggu lalu. 

Ketua Bidang Hubungan Luar Negeri MUI, Muhyiddin Junaidi berkata, seseorang penduduk boleh dianggap sebagai radikal jika mengamalkan ajaran Islam setiap hari seperti solat, membaca al-Quran dan berzikir. Sehubungan itu, katanya, MUI meminta kerajaan China memberi kesempatan kepada pelajar vokasional tersebut untuk beribadah setelah mereka selesai menjalani latihan.


5 Mac 2019



Anggota Parti Republikan dan Demokrat Amerika Syarikat (AS) menyifatkan maklum balas pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap penindasan golongan etnik Islam Uighur di wilayah Xinjiang adalah ‘tidak cukup lantang’.

Agensi berita CNN melaporkan, mereka juga mahu Trump mendesak Beijing untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah kemanusiaan dilakukan oleh negara itu ke atas etnik Uighur.

“Pentadbiran Trump mengambil tindakan yang tidak bermakna berhubung situasi di Xinjiang,” tegas anggota Kongres menerusi surat yang dikirimkan kepada Setiausaha Negara, Mike Pompeo. Dalam surat tersebut, anggota Kongres terbabit yang diketuai Pengerusi Suruhanjaya Hal Eh­wal Luar Dewan Perwakilan, Eliot Engel menjelaskan lebih sejuta etnik Uighur ditahan di ‘kem pendidikan semula’ tanpa melalui proses tertentu, dalam usaha Beijing ‘menghapuskan’ identiti, bahasa dan sejarah Uighur.


        12 Mac 2019




China hari ini menolak kritikan antarabangsa mengenai kem tahanan yang dibangunkan untuk ‘melatih’ etnik Uighur di wilayah Xinjiang. Beijing menegaskan bahawa kem tahanan yang didakwa sebagai kem pendidikan dan latihan pekerjaan itu akan ‘hilang’ suatu hari kelak sekiranya masyarakat tidak lagi memerlukannya.

Hampir sejuta etnik Uighur dilaporkan ditahan di kem-kem tersebut dan kebanyakan bekas tahanan menceritakan mereka ditindas dalam tahanan.


        14 Mac 2019




Seorang penyelidik bebas Jerman mengenai etnik Uighur dan penduduk Islam lain,   Adrian Zenz, merumuskan jumlah tahanan etnik Uighur di ‘pusat pendidikan semula’ atau ‘pusat pendidikan kemahiran vokasional’ di Xinjiang pada masa ini mencecah seramai 1.5 juta orang.

Menurut Zenz, seperti dilaporkan Reuters, peningkatan jumlah itu adalah berdasarkan kepada analisis imej satelit, peruntukan awam bagi kemudahan tahanan, dan saksi-saksi serta waris keluarga mereka. Jumlah tersebut walau pun kelihatan agak spekulatif, namun dilihat bersesuaian dengan menganggarkan setiap seorang bagi setiap enam orang dewasa Muslim di Xinjiang akan atau telah ditahan, tidak termasuk di penjara rasmi.


21 Mac 2019



Sekumpulan ulama dan pemimpin agama dari Pertubuhan Pemimpin Islam Turkistan Timur (SMSET) yang berpangkalan di Turki mendesak dunia Islam memberikan tekanan terhadap Beijing supaya menghentikan 'perang budaya' di wilayah itu.

Ketika lawatan mereka ke Doha, kumpulan ulama dan pemimpin Islam dari SMSET itu mendakwa China terlibat dengan pencabulan hak asasi manusia Uighur dalam usaha mereka untuk menghapuskan budaya serta agama etnik itu.



 Wallahu’alam  (MMO)



No comments:

Post a Comment