![]() |
Sekumpulan jemaah dari komuniti Islamberg berdekatan New York |
Sehebat mana tekanan dan
penderitaan yang dilalui oleh umat Islam di Palestin, etnik Islam Uighur di
China dan umat Islam Rohingya di Myanmar, sehebat itulah juga tekanan yang
dihadapi oleh beberapa kumpulan minoriti Islam di beberapa buah negara
tertentu, khususnya di Amerika Syarikat dan Eropah.
Mereka yang terlibat
bukanlah berhadapan dengan tekanan daripada kerajaan yang memerintah seperti
yang berlaku di China atau Myanmar, atau kuasa lain yang mengawal pemerintahan
seperti di Palestin, tetapi berhadapan dengan suatu fenomena apa yang dipanggil
sebagai “Islamophobia”.
Islamofobia bermaksud takut,
benci dan prejudis ke atas agama Islam dan penganutnya. Islamophobia sering
dikaitkan dengan pandangan seperti Islam adalah agama yang mempromosikan
keganasan dan agresif, agama yang barbarik, seksis dan tidak bertamadun, membenci
Barat, memecah belah masyarakat dan negara, bersifat menjajah serta merampas
peluang pekerjaan dari rakyat tempatan, menghabiskan duit pembayar cukai dan
menyebabkan pertembungan tamadun. Malah, Islam juga didakwa sebagai ideologi
politik.
Berikutan adanya tanggapan
sedemikian, yang seringkali pula dihangatkan dengan kejadian-kejadian berunsur
pengganasan yang sering dipotretkan oleh pihak berkuasa sebagai dicetuskan oleh
penganut agama Islam, ianya telah
menjadikan penganut Islam di beberapa buah negara khususnya di Barat tidak lagi
selamat dan sering berada dalam keadaan ketakutan.
Berikut ini mari kita saksikan
beberapa peristiwa penting yang berlaku di seluruh dunia di sepanjang tempoh
suku tahun kedua (April – Jun) 2019 yang sedikit sebanyak dapat memberi
gambaran terhadap fenomena Islamophobia sepertimana yang kita perkatakan di
atas.
Peristiwa-peritiwa
Penting Islamophobia Dalam tempoh Suku Tahun Kedua
(April – Jun) 2019
3 April 2019
Senator
Anning buat komen keterlaluan berkaitan serangan masjid di Christchurch
AUSTRALIA: Seorang senator berhaluan
kanan, Fraser Anning, telah membuat komen yang dianggap oleh banyak pihak
sebagai amat keterlaluan berkaitan serangan masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu.
Anning dalam suatu tulisan
di facebook beliau telah cuba menghubungkan kejadian yang berlaku sebagai
mempunyai kaitan dengan isu imigresen dan lebih berunsurkan kepada ketakutan
yang berpunca dari pengganasan dalam kalangan penganut Islam.
Berikutan adanya kenyataan
Senator Anning itu, Parlimen Australia telah mengundi secara sebulat suara bagi
mengecam kenyataan yang dibuat oleh Anning sambil menyifatkan kenyataan Anning
itu sebagai tidak langsung menaruh simpati terhadap nasib mangsa yang terlibat
dan tidak sama sekali mencerminkan pendapat Senat, mahupun rakyat Australia.
15 April 2019
Ilhan
Omar dakwa ancaman keselamatan ke atas dirinya meningkat berikutan adanya komen
Trump terhadap dirinya
AMERIKA SYARIKAT: Ilhan Omar, salah seorang
wanita Islam berketurunan Somalia yang pertama dipilih ke Kongres Amerika
Syarikat, berkata bahawa beliau telah menghadapi ancaman keselamatan yang
semakin meningkat sejak Presiden Donald Trump memuat naik sebuah video yang
disunting yang menunjukkan bahawa dia menyangkal serangan 11 September 2001.
Berikutan itu, beliau
telah menzahirkan bantahan terhadap dakwaan Trump sambil menggesa supaya
dakwaan seumpama itu dihentikan segera. Gesaan Ilhan kemudiannya disusuli
dengan pengumuman oleh Speaker Dewan, Nancy Pelosi, bahawa dia telah mengambil
langkah untuk memastikan keselamatan anggota Demokrat dari Minnesota itu terpelihara dan
menggesa supaya video berkaitan dipadamkan.
Pelosi muncul antara anggota
Demokrat yang telah mengkritik Trump atas tweet itu, dengan beberapa orang
menuduh dia cuba menghasut keganasan terhadap ahli politik Islam.
Bagaimanapun, dalam satu
usaha yang dipercayai bertujuan untuk mempertahankan Trump, Setiausaha Akhbar
White House, Sarah Sanders mengatakan Presiden mempunyai tugas untuk menyerlahkan
sejarah Ilhan Omar dalam membuat komen yang dianggap oleh orang lain sebagai
anti-Semitik atau menyinggung perasaan dan bahawa dia tidak layak untuk menjadi
ahli politik jangka panjang.
20 April 2019
Lelaki
AS ditangkap kerana mengancam ahli politik Demokrat
AMERIKA SYARIKAT: Polis menahan seorang
lelaki Florida pada hari Jumaat kerana disyaki meninggalkan mesej perkauman,
homophobia dan Islamophobia yang penuh dengan ancaman kematian pada mel suara
beberapa ahli Kongres Demokrat.
John Kless, 49, dari
Broward County, dituduh meninggalkan ancaman kematian yang turut mengandungi
bunyi letupan di peti suara Wakil Eric Swalwell di California, anggota Kongres
Detroit, Rashida Tlaib dan Senator Cory Booker, New Jersey. Dalam mesej itu,
dia didakwa mengancam dan menyatakan kebenciannya terhadap Ilhan Omar.
Tlaib dan Ilhan Omar
adalah dua wanita Islam pertama yang dipilih ke Kongres. Booker, pula merupakan
seorang Afrika Amerika, sementara Swalwell sedang menjalankan pencalonan Presiden
AS 2020 mewakili parti Demokrat.
Kless dikatakan telah
menyalahkan Ilhan Omar, seorang bekas pelarian Somalia-Amerika yang dikatakan
telah menyangkal serangan September 11, 2001 sebagai dilakukan oleh elemen berkaitan pengganasan Islam. Berikutan adanya
pendirian Ilhan itu, Kless melalui salah satu mesejnya dikatakan telah mengugut
untuk menyingkirkan Ilhan dari Bangunan Empire State, yang merupakan pejabat parti
Demokrat.
26 April 2019
Masyarakat
Islam Sri Lanka berada dalam tekanan ekoran peristiwa pengeboman
SRI LANKA: Penduduk Islam di
Dematagoda, Colombo, Sri Lanka berada dalam tekanan pihak keselamatan Sri Lanka
ekoran peristiwa pengeboman berani mati yang dikatakan telah dilakukan oleh
seorang pemuda dari sebuah keluarga kaya yang sangat dikenali di penempatan
tersebut.
Lebih daripada 250 orang
terbunuh dalam satu siri pengeboman yang diselaraskan di gereja-gereja dan
hotel pada hari Easter, yang didakwa dilakukan oleh pergerakan Thowheed Jamath
Kebangsaan (NTJ), sebuah pergerakan Islam tempatan.
Berikutan kejadian
tersebut, Presiden Maithripala Sirisena mengumumkan pihak polis sedang memburu
140 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan Negara Islam Iraq dan Levant
(ISIL), yang mengaku bertanggungjawab atas serangan terburuk sejak berakhirnya
perang saudara di negara pulau itu sedekad yang lalu.
17 Mei 2019
Tiada
tindak balas sosial kepada sesiapa yang memegang pandangan Islamophobia
PERANCHIS: Kalangan wanita Islam di
Peranchis dilaporkan merasa tertekan dan terhina dengan peristiwa di mana seorang
wanita Islam yang memakai hijab gagal memohon pekerjaan di sebuah kedai pakaian
di kota Montpellier semata-mata kerana dia mengenakan pakaian hijab.
Melalui sebuah klip video
yang diposkan di Twitter yang telah dilihat lebih daripada 240,000 kali,
Oumaima berkata dia adalah mangsa perkauman dan meminta supaya jenama pakaian syarikat yang dipohonnya itu diboikot
kerana bersikap diskriminasi dan prejudis terhadap wanita Islam yang berhijab.
Oumaima dilaporkan berkata "betapa sukarnya untuk hidup, belajar, dan
bekerja dengan berhijab di negara seperti Perancis ".
Islamophobia di Peranchis
mula mengambil tempat berikutan serangan pada tahun 2015 di Paris, di mana
Negara Islam Iraq dan kumpulan bersenjata Levant (ISIL atau ISIS) dikatakan
terlibat dalam satu serangan ke sasaran awam yang membunuh 130 orang dalam tiga
kejadian berasingan.
Ekoran kejadian itu, wujud
persepsi di kalangan sesetangah pemikiran rakyat awam Peranchis bahawa penganut
Islam tidak boleh menjadi sebahagian daripada Republik Perancis. Malah, di
kalangan sesetengah kumpulan rakyat Peranchis yang lain pula mereka cenderung
untuk mentafsirkan bahawa Muslim
Perancis adalah musuh yang berbahaya dan menyamar dari dalam negara.
19 Mei 2019
Pilihan
raya Australia: Parti-parti kecil cenderung menganut pandangan berkaitan Islamophobia
AUSTRALIA: Pemimpin masyarakat Islam di
Australia dikatakan amat prihatin terhadap ucapan kebencian dan mesej berunsur Islamophobia
di kalangan pemimpin parti-parti politik, terutama parti-parti kecil di
Australia menjelang pemilihan pucuk pimpinan negara itu dalam bulan Mei lalu. Mereka
mendesak supaya pengundi dari kalangan warga Islam untuk tidak memberikan undi
mereka kepada parti di mana pemimpinnya terlibat dalam mencetuskan isu
berkaitan Islamophobia.
Majlis Islam Victoria
mengatakan para pengundi perlu menjalankan penyelidikan mereka sebelum memberikan
undi mereka dan telah menghantar beratus-ratus kad panduan tentang bagaimana cara
untuk mengundi kepada pengundi Islam dengan menamakan hampir 10 parti yang perlu
diperhatikan.
Majlis tersebut turut menyatakan
bahawa pihak yang dinamakan dalam senarainya, termasuk Parti Kebangsaan
Konservatif pimpinan Fraser Anning adalah contoh sebuah parti yang perlu
ditolak kerana mempunyai dasar imigresen yang berunsurkan anti-Islam.
24 Mei 2019
Kawalan
keselamatan masjid-masjid di Amerika Syarikat dipertingkatkan ekoran serangan
di Christchurch
AMERIKA SYARIKAT: Ekoran kejadian serangan
ke atas masjid di Christchurch, New Zelanad, pihak keselamatan Amerika Syarikat
dikatakan telah merancang untuk meningkatkan kawalan keselamatan di masjid-masjid
di negara itu menjelang ketibaan bulan Ramadan yang akhirnya mendorong
perdebatan di kalangan rakyat Amerika Muslim mengenai hubungan komuniti dengan
penguatkuasa undang-undang.
Bahi, yang merupakan
pengarah di Pusat Komuniti Islam (MCC) di Brooklyn, New York, berkata memang
wujud kebimbangan di kalangan Jemaah sejak berlakunya kejadian serangan di dua buah
masjid di Christchurch Mac lalu, yang telah membunuh 51 orang jemaah Islam.
"Kami mengupah
pengawal bersenjata untuk berada di luar semasa solat Jumaat sejak kejadian di
Christchurch" katanya. "Setiap kali terdapat Jemaah dalam bilangan
yang besar hadir di masjid-masjid, keselamatan diletakkan sebagai prioriti
utama, mengatasi isu-isu lain seperti makanan dan minuman.
Serangan Christchurch,
serta pembunuhan beramai-ramai di rumah ibadat lain - termasuk sinagog di
Amerika Syarikat dan serangan pada hari Easter di gereja-gereja di Sri Lanka -
telah meningkatkan ketakutan di kalangan ramai umat Islam di Amerika Syarikat,
lebih-lebih lagi ketika negara itu kini di bawah pentadbiran Presiden Donald
Trump yang sering mempamirkan sikap serta pendirian yang prejudis terhadap
Islam dan penganutnya.
4 Jun 2019
Para
Menteri Islam di Sri Lanka letak jawatan kerana mendakwa kerajaan gagal jamin
keselamatan warga Islam
SRI LANKA: Semua Menteri Islam Sri
Lanka dan Timbalan masing-masing telah meletak jawatan dari portfolio mereka
setelah menuduh kerajaan gagal menjamin keamanan komuniti minoriti Islam di tengah-tengah kebimbangan berlakunya
serangan balas selepas peristiwa pengeboman bunuh diri di perayaan hari Easter.
Tindakan tersebut
dilakukan berikutan adanya amaran keras yang dibuat oleh seorang pemimpin sebuah
gerakan ekstrim agama Buddha, Gnanasara, yang memberi tempoh kepada pemerintah
supaya melucutkan jawatan Gabenor dan Menteri-menteri dari kalangan mereka yang
beragama Islam sebagai reaksi terhadap peristiwa pengeboman berani mati di
perayaan hari Easter dalam bulan April lalu.
Gnanasara, yang telah lama dituduh mencetuskan
jenayah benci terhadap umat Islam, dibebaskan dari penjara pada pengampunan Presiden
dalam bulan Mei lalu.
Perletakan jawatan
sembilan Menteri dan dua Gabenor wilayah itu berlaku selepas beribu-ribu orang
yang dipimpin oleh para sami Buddha mula menunjuk rasa dan bantahan di kota
Kandy, 115km di timur ibu kota Colombo.
6 Jun 2019
Lelaki
AS ditahan kerana mengancam kanak-kanak Somalia
AMERIKA SYARIKAT: Seorang lelaki di
Minnesota, Amerika Syarikat telah dituduh melakukan perbuatan jenayah kecil
kerana didakwa menyemburkan seorang remaja perempuan berbangsa Somalia dan
adik-beradiknya dengan air dengan menggunakan hos kebun.
Zachariah Manahan yang
berusia 18 tahun dari Minnesota, didakwa telah secara sengaja menyembur air ke
arah remaja Islam itu tanpa sebab tertentu, merosakkan harta dan berkelakuan
tidak senonoh.
Gadis itu juga berkata
Manahan menyemburkan air melalui tingkap yang terbuka di rumah keluarganya
sehingga menyebabkan permaidani, sekeping perabot dan dinding rumahnya basah.
Beliau di samping itu didakwa turut mengeluarkan kata-kata lucah dan cacian terhadap
wanita itu.
13 Jun 2019
Lelaki
AS mengaku bersalah atas pembunuhan tiga pelajar Muslim
AMERIKA SYARIKAT: Craig Hicks mengaku
bersalah kerana membunuh tiga pelajar Muslim, Deah Barakat, Yusor Abu-Salha, dan
Razan Abu-Salha di sebuah rumah di Carolina Utara pada tahun 2015.
Pembunuhan itu dikatakan
amat berkaitan dengan konfrontasi dan sentimen keagamaan yang berlaku antara
Craig Hicks dengan pelajar-pelajar berkenaan. Keluarga mangsa berkata mereka
percaya Hicks bertindak atas kebencian dan sentimen anti-Islam.
Hicks, 50, memohon maaf
kepada tiga tuduhan pembunuhan di mahkamah Durham yang turut dihadiri oleh
berpuluh-puluh ahli keluarga mangsa dan kawan-kawan mereka, lebih empat tahun
selepas dia menembak mati jiran-jirannya di apartmen mereka.
16 Jun 2019
Umat
Islam menjadi sasaran tangkapan selepas peristiwa serangan pada hari Easter
SRI LANKA: Polis di bandar Hasalaka
berdekatan ibu negara Sri Lanka, Colombo, bertindak menahan Abdul Raheem
Mazahina, seorang wanita Islam berusia 47 tahun kerana pola pakaiannya yang
seolah-olah memberi gambaran mengenai simbol suci agama Buddha, dharmachakra.
Mazahina, yang mempunyai
asma dan hipertensi, telah memakai pakaian yang sama berkali-kali sebelum ini
tetapi tiada siapa yang mengambil perhatian.
"Jika ia adalah
dharmachakra, seseorang akan pasti menegur pakaian saya," katanya.
Jabatan Agama Sri Lanka
kemudian memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka tidak dapat menentukan sama
ada simbol pada pakaian itu sebenarnya dharmachakra.
Polis di Hasalaka - yang
terletak 130km di timur ibu kota Sri Lanka Colombo - mendakwa Mazahina ditahan di
bawah undang-undang ucapan benci, dan juga undang-undang lain yang mengharamkan
penggunaan agama bagi tujuan menghina dan merendahkan agama lain.
Jurucakap polis kemudiannya
memberitahu Al Jazeera Mazahina adalah salah seorang daripada 2,289 orang -
termasuk 1,820 orang Islam - yang ditahan "berkaitan dengan pengeboman hari
Easter dan kejadian-kejadian lain yang berkaitan". Walau bagaimanapun pihak
polis mengesahkan bahawa pertuduhan terhadap Mazahina hanya berkaitan dengan
pakaiannya.
18 Jun 2019
Quebec
mengharamkan simbol agama dalam beberapa pekerjaan sektor awam
KANADA: Wilayah Quebec di Kanada telah
meluluskan undang-undang kontroversial yang melarang beberapa pekerja sektor
awam memakai simbol agama semasa waktu kerja, menyebabkan wujudnya bantahan
dari gerakan yang memperjuangkan kebebasan awam dan kumpulan pergerakan Islam.
Undang-undang yang telah
lama dijangka itu, telah diluluskan oleh wilayah yang kental dengan pengaruh
Perancis sehingga memberi kesan kepada pekerja awam termasuk guru, hakim dan
pegawai polis.
Jika majikan tidak
menguatkuasakan pengharaman, mereka akan bakal berhadapan dengan "tindakan-tindakan
disiplin" yang tidak ditentukan.
Bagi guru sekolah, media
tempatan melaporkan bahawa hanya mereka yang diambil bekerja selepas 28 Mac
tidak dibenarkan memakai simbol agama. Walau bagaimanapun, jika guru yang diambil
berkerja sebelum 28 Mac ingin menikmati kenaikan pangkat, mereka tidak
dibenarkan memakai sebarang simbol agama.
Kerajaan negeri di Quebec
telah berusaha selama bertahun-tahun untuk menyekat pegawai-pegawai awam
daripada memakai simbol-simbol agama di tempat kerja dalam usaha untuk
mengukuhkan masyarakat sekular di negeri itu.
24 Jun 2019
India
tolak laporan kebebasan beragama AS yang kritikal
INDIA: Kerajaan India telah menyerang
sebuah laporan oleh Amerika Syarikat yang mengatakan sikap tidak bertoleransi
agama berkembang di bawah pemerintahan sayap kanannya, yang menimbulkan tuduhan
baru menjelang lawatan oleh Setiausaha Negara Mike Pompeo.
Laporan tahunan mengenai
kebebasan beragama antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pompeo pada hari Jumaat
mengatakan kumpulan Hindu telah menggunakan "keganasan, intimidasi, dan
gangguan" terhadap umat Islam dan pemimpin agama kasta rendah pada tahun
2017 untuk memaksa identiti kebangsaan berasaskan agama Hindu.
Kerajaan Perdana Menteri
Narendra Modi bagaimanapun menegaskan bahawa tiada negara asing mempunyai hak
untuk mengkritik rekodnya.
Pompeo dijadual tiba di
New Delhi pada hari Selasa untuk perjalanan yang bertujuan untuk mengukuhkan
hubungan, tetapi sudah rumit oleh spekulasi mengenai tarif perdagangan,
peraturan perlindungan data, visa AS untuk kaum India dan isu pembelian senjata
dari Rusia.
29 Jun 2019
Tiga
mengaku bersalah menentang komuniti Islam di New York
AMERIKA SYARIKAT: Tiga pemuda tempatan yang
dituduh merancang untuk menyerang komuniti Islam “Islamberg” di New York dengan
bahan peledak buatan sendiri akhirnya mengaku bersalah di mahkamah terhadap
tuduhan yang dihadapkan terhadap mereka.
Kumpulan lelaki berkenaan
yang berasal dari kawasan Rochester ditangkap pada Januari lalu dan dituduh
merancang untuk menyerang komuniti Islamberg, berhampiran Binghamton.
Sumber pihak polis mendedahkan
defendan mempunyai akses kepada 23 laras senapang dan senapang patah dan tiga
bahan letupan buatan sendiri. Penyiasat menemui plot yang dirancangkan oleh
mereka selepas seorang pelajar melaporkan komen yang mencurigakan yang dibuat
oleh kumpulan tersebut di sebuah gerai makan di bandar tersebut.
No comments:
Post a Comment