Thursday, September 10, 2020

DIARI KEHIDUPAN VII : UIGHUR

 

Pemandangan bahagian luar tembok penjara yang menempatkan etnik Uighur


Sudah agak lama kita tidak memperkatakan tentang isu Uighur selepas kali terakhir kita membicarakan tentang tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dalam mengenakan sekatan “Uighur Act” bertujuan mengenakan sekatan ke atas pegawai-pegawai China. Sekatan tersebut diambil sebagai hukuman di atas pelanggaran hak asasi manusia mereka terhadap minoriti Muslim Uighur di negara itu.

Tindakan AS itu telah mengundang reaksi kecewa dan marah dari Beijing dan dianggap sebagai cubaan untuk mengganggu urusan dalaman negeri China. Berikutan itu, China memberi kata dua akan bertindak balas sewajarnya di atas tindakan yang dilakukan oleh AS itu.

Tidak lama setelah tercetusnya ketegangan antara China- AS berkaitan isu sekatan tersebut, pada 13 Julai lalu pemerintah China mengumumkan sekatan sebagai balasan terhadap AS di mana tiga anggota kanan Parlimen Republikan dan seorang utusan AS dihalang daripada masuk ke China. 

Mereka terdiri daripada Senator Marco Rubio dan Ted Cruz bersama dengan Anggota Kongres, Chris Smith yang sejauh ini lantang dalam mengkritik China berkaitan isu hak asasi manusia etnik Uighur. Seorang lagi yang menerima nasib yang sama adalah Duta Besar AS untuk kebebasan beragama internasional, Sam Brownback.

Sekatan berupa balasan ini diumumkan beberapa hari setelah AS menguatkuasakan larangan visa dan pembekuan aset beberapa pejabat kerajaan China, termasuk Ketua Partai Komunis di Xinjiang, Chen Quanguo, atas dakwaan terlibat dengan pelanggaran hak asasi manusia di China.

Di samping berlanjutannya isu besar dan panas menyentuh soal sekatan perjalanan dan pembekuan aset beberapa individu dan entiti di antara kedua-dua negara - AS dan China itu, etnik Uighur tidak pernah sunyi daripada terus berhadapan dengan masalah-masalah yang tidak pernah selesai berkait dengan tekanan kerajaan China khususnya yang menyentuh aspek hak asasi kemanusiaan. 

Berikut adalah antara isu-isu utama hak asasi kemanusiaan yang dilaporkan oleh pihak media sepanjang beberapa bulan yang lalu.

30 Jun 2020

China Didakwa Paksa Wanita Uighur Ambil Pil Perancang Untuk Kawal Populasi

China didakwa memaksa kaum wanita di Xinjiang mengambil pil perancang kelahiran dalam usaha menyekat penduduk Islam Uighur daripada berkembang.

Dakwaan itu terkandung dalam satu laporan yang didedahkan oleh seorang sarjana China, Andrian Zenz. 

Dalam laporannya, Zenz mendedahkan wanita Uighur dan etnik minoriti lain diancam untuk dihantar ke kem tahanan jika enggan menggugurkan kandungan.

Malah, wanita yang mempunyai dua anak atau kurang dibenarkan secara sukarela mengambil alat perancang atau menjalani pembedahan untuk mengikat kesuburan.

Laporan dibuat berdasarkan data dan dokumen rasmi serta temu bual dengan wanita Uighur di Xinjiang.

Menurut Zenz, analisis data laporannya mendapati pertumbuhan semulajadi penduduk di Xinjiang berkurang secara mendadak beberapa tahun lalu.

Katanya, kadar kelahiran menurun 84 peratus di dua wilayah terbesar dihuni Uighur di antara tahun 2015 dan 2018. Ia terus catat penurunan pada 2019.

Laporan terbaharu itu mengundang gesaan supaya pihak antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat. 

Beijing segera menafikan laporan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

China sebelum ini berdepan kritikan besar-besaran berhubung layanannya terhadap etnik Uighur di kem tahanan.

Pada masa ini terdapat kira-kira sejuta warga Uighur dan etnik minoriti lain ditahan di China, di mana Beijing menyifatkan sebagai kem untuk mendidik atas pelbagai faktor termasuk memulihkan mereka selepas didakwa terlibat dengan keganasan.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo menggesa China supaya segera menghentikan amalan membahayakan itu terhadap wanita etnik Uighur.

6 Julai 2020

Uighur Dalam Buangan Desak Mahkamah Jenayah Antarabangsa Siasat Dakwaan China Lakukan Pembunuhan Beramai-ramai Etnik Uighur

Etnik Uighur dalam buangan mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa  untuk menyiasat Beijing atas dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Uighur dan kejahatan terhadap kemanusiaan - percubaan pertama dalam menggunakan undang-undang antarabangsa untuk mendesak Parti Komunis yang berkuasa China bertanggung jawab atas tindakan kerasnya terhadap minoriti Muslim.

Sepasukan peguam yang berpusat di London yang mewakili dua kumpulan aktivis Uighur telah mengemukakan aduan terhadap Beijing kerana memaksa kepulangan ribuan etnik Uighur ke China melalui penangkapan atau pengusiran yang tidak sah dari Kemboja dan Tajikistan. 

Kes ini dapat memberikan gambaran terhadap wujudnya pengawasan antarabangsa yang lebih besar di pihak kerajaan China untuk memaksakan kehendaknya di luar sempadannya.

Pengajuan setebal 80 halaman oleh peguam tersebut antara lain mengandungi senarai lebih daripada 30 pegawai China yang mereka katakan bertanggungjawab dalam kempen tersebut, termasuk Xi Jinping, pemimpin Parti Komunis.

Kebijakan Mr. Xi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dikatakan menjadikan minoriti Muslim di wilayah Xinjiang di barat China berada di bawah jaring pengawasan yang ketat, penahanan dan rekayasa sosial. 

Sebanyak satu juta etnik Uighur dan anggota minoriti Muslim lain telah ditahan di kem tahanan di rantau ini, yang menimbulkan kecaman global.

Mandat mahkamah antara bangsa adalah untuk mencari keadilan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan kekejaman lain. Tetapi China tidak mengiktiraf bidang kuasa mahkamah berkenaan dan ini mengundang persoalan sejauh mana kes itu akan berjalan.

Rodney Dixon, seorang peguam Britain yang mengetuai kes itu, mengatakan ia memintas isu bidang kuasa ke atas Beijing dengan memfokuskan kepada tuntutan tindakan tidak sah oleh China di Kemboja dan Tajikistan, dua negara yang menjadi anggota mahkamah.

Memetik keputusan pengadilan tahun 2018, Mr. Dixon mengatakan, "Pengadilan memperuntukkan ia memiliki bidang kuasa ketika kejahatan dimulai atau berakhir di negara anggota, dan itulah yang terjadi di sini."

Keputusan 2018 diterapkan ke atas Myanmar, yang juga belum menandatangani perjanjian pengadilan. Mahkamah memutuskan bahwa pihaknya dapat menuntut Myanmar atas "deportasi" dan terkait kejahatan terhadap Muslim Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh, yang merupakan anggota pengadilan antarabangsa.

19 Julai 2020

China  Didakwa Lakukan Penganiayaan 'Kasar' Terhadap Etnik Uighur

Britain menuduh Beijing melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang disifatkan sebagai “jijik dan teruk” membabitkan layanan terhadap etnik dan minoriti agama di wilayah Xinjiang, China.

Kumpulan hak asasi dan pakar hak asasi kemanusiaan menjangkakan lebih sejuta etnik Uighur dan lain-lain minoriti bertutur dalam Bahasa Turki diberkas untuk dikumpulkan ke dalam rangkaian kem tahanan.

Setiausaha Luar British, Dominic Raab, berkata laporan mengenai paksaan penghapusan dan tahanan besar-besaran di wilayah yang sebahagian besar diduduki orang Islam memerlukan perhatian.

"Jelas sekali sedang berlaku pelanggaran hak asasi yang jijik dan teruk. Ia amat amat menyusahkan.”

"Kita mahukan hubungan positif (dengan China), tetapi kami tidak dapat melihat tingkah laku yang boleh menjurus ke arah itu," katanya kepada BBC.

Komen itu dilontarkan tatkala ketegangan membuak-buak antara London dan China lantaran banyak isu.

Baru-baru ini Britain tunduk terhadap tekanan berterusan dari Washington dan mengarahkan penyingkiran secara berperingkat rangkaian 5G dari syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei, meskipun Beijing memberi amaran.

Selain itu, kedua-dua pihak juga bercanggah pendirian berhubung penguatkuasaan undang-undang keselamatan negara yang kontroversi di Hong Kong oleh China. 

21 Julai 2020

Didakwa Guna Buruh Paksa: AS Sekat 11 Syarikat China

JABATAN Perdagangan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan ke atas 11 syarikat China yang didakwa terlibat dalam pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang.

Menurut laporan Reuters, syarikat tersebut disenarai hitam kerana didakwa terlibat dalam penggunaan buruh paksa dalam kalangan etnik Uighur dan etnik minoriti lain.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan tidak boleh membeli komponen daripada syarikat AS tanpa kelulusan Washington DC.

Ini adalah tambahan kepada 37 syarikat China yang disenarai hitam pentabiran Trump sebelum ini.

Pada Mei lalu, Beijing mengkritik keras keputusan AS mengenakan sekatan ke atas syarikat dari China dengan menyifatkannya sebagai mencampuri urusan dalaman negara itu dan satu salah guna kuasa sekatan eksport.

Antara syarikat yang terlibat dalam sekatan ini termasuk KTK Group yang membina komponen untuk tren berkelajuan tinggi dan Changji Esquel Textile yang dimiliki Esquel Group.

Esquel Group dilaporkan Reuters mengeluarkan pakaian untuk Ralph Lauren, Tommy Hilfiger dan Hugo Boss.

Kebanyakkan syarikat ini menafikan dakwaan ia melanggar hak asasi manusia dan mendakwa tidak menggunakan buruh paksa dari Xinjiang.

28 Julai 2020

Penjara Di China Umpama Neraka - Etnik Uighur

Sekumpulan etnik minoriti Muslim Uighur yang melarikan diri ke Turki menyuarakan kebimbangan terhadap saudara mara mereka yang hilang di China.

Mereka mengimbau semula apa yang berlaku semasa di kem tahanan di republik itu yang dianggap mereka sebagai satu penyeksaan.

Salah seorang daripadanya ialah Gulbahar Jalilova. Dia ada pengalaman sendiri menghabiskan lebih setahun di sel bawah tanah yang sesak selepas dituduh terlibat dalam kegiatan pengganas.

Jalilova mendedahkan dia disuntik dengan bahan yang tidak diketahui dari semasa ke semasa dan dirantai selama 17 jam sehari.

"Di kem ada rantai seperti ini. Sebelah hujung mengikat tangan kita, dan hujung yang lain mengikat pergelangan kaki dan kami duduk seperti ini.

"Terdapat lubang kecil di pintu. Kami disuruh meletakkan tangan kami melalui lubang itu dan mendapat suntikan setiap 10 hari dan kami tidak boleh bertanya apa yang disuntik," kata Jalilova.

Media antara bangsa sebelum ini banyak membuat dakwaan mengenai pelbagai bentuk kekejaman yang dilakukan oleh pihak berkuasa China terhadap etnik Uighur.

Antara bentuk penganiayaan itu termasuk menahan mereka secara beramai-ramai, menjadikan mereka buruh paksa, memandulkan lelaki, dan memaksa wanita merancang kelahiran.

Beijing bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu sebaliknya menyifatkan ia sebagai tidak berasas sama sekali.

28 Ogos 2020

Jerman Digesa Bersuara Terhadap Jenayah Kemaanusiaan EtnikUighur

Pada kesempatan lawatan Menteri Luar China ke Berlin pada 1 September, Kongres Uighur Sedunia meminta pemerintah Jerman untuk menggunakan kesempatan yang ada bagi secara terbuka membangkitkan krisis Uighur dan membuat China bertanggung jawab di atas pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik itu.

“Walaupun kami berterima kasih kepada pemerintah Jerman kerana telah meningkatkan tekanan ke atas China berkaitan krisis Uyghur pada pada masa lalu, keadaan bagi orang Uighur malangnya terus memburuk.” 

“Dalam 3 tahun terakhir, 1-3 juta orang Uighur ditahan di kem, wanita Uighur telah disterilkan dalam usaha untuk mengurangkan penduduk Uighur, orang Uighur telah dikenakan kerja paksa dan perbudakan moden, bahasa Uighur telah dilarang di banyak sekolah dan wilayah, setiap ungkapan sentimen keagamaan yang paling asas telah dikriminalisasi, sementara masjid, kuil, kubur dan kediaman Uighur telah dimusnahkan. 

Di samping itu anak-anak kecil telah diambil dari keluarga mereka dan PKC telah berusaha untuk membasmi identiti Uighur dan secara paksa mengasimilasikan etnik Uighur. Jumlah kekejaman yang terpaksa ditanggung oleh orang Uighur memilukan dan bertepatan dengan definisi genosida di bawah Konvensyen Genosida PBB.”

“Jerman kini berpeluang membuat pendirian yang berprinsip dan membuat perubahan yang nyata untuk mengatasi tragedi ini. Kami meminta pemerintah Jerman, terutama Menteri Luar Negeri, Jerman Heiko Maas, untuk secara nyata dan terbuka membangkitkan isu krisis Uighur dan isu-isu hak asasi manusia lain dalam perbincangan mereka dengan Menteri Luar China Wang Yi."

"Kesempatan ini harus dimanfaatkan oleh Jerman memandangkan pada masa ini mereka memegang jawatan Presiden Majlis EU dan ini bakal mendorong kepada suatu tindakan yang bermakna dan substantif untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai etnik Uighur di China.” kata kenyataan itu lagi.


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment