Thursday, April 5, 2018

PERKEMBANGAN ISU ISLAMOPHOBIA DI AMERIKA DAN EROPAH






 
Islamophobia adalah bermaksud ketakutan terhadap segala sesuatu tentang Islam – suatu fenomena yang semakin ketara berlaku di negara-negara Barat khususnya di Amerika dan Eropah. 

Pasca Perang Dunia Kedua telah menyebabkan kemusnahan besar ke atas infrastruktur dan bangunan di Eropah sehingga memaksa banyak negara di Eropah untuk membawa masuk para pekerja dari luar untuk membangunkan kembali negara mereka yang telah hancur akibat perang. Sebahagian besar negara di Eropah khususnya negara Eropah Barat “mengimport” para pekerja dari negara-negara yang majoriti penduduk dan budayanya bertunjangkan ajaran Islam seperti Algeria, Mesir, Maghribi dan Turki. Para pekerja asing ini semakin hari semakin besar jumlahnya.  Bahkan ramai di antara mereka yang berkeluarga dan membina keturunan baru di negara-negara Eropah. 

Kebanjiran para pekerja asing ini akhirnya mengundang keresahan penduduk tempatan yang melihat mereka dengan berbagai pandangan yang kurang enak seperti anggapan mereka cuba merampas peluang pekerjaan rakyat tempatan,  tidak dapat mengassimilasi diri dengan budaya dan kehendak sosial tempatan yang berkonsepkan permodenan, malah dianggap sebagai punca kepada tercetusnya pelbagai gejala negatif seperti jenayah dan kecurian. 

Dalam pada itu, tidak kurang pula, berlakunya kejadian pergaduhan di antara kumpulan pendatang dari berbagai negara telah turut memburukkan pandangan awam terhadap identiti mereka sehingga lama kelamaan menebalkan stigma masyarakat tempatan terhadap Islam sebagai punca kepada berlakunya keresahan sosial dan ketidakstabilan ketenteramaan sesebuah negara. 

Keresahan terhadap Islam itu kemudiannya memuncak berikutan berlakunya kejadian-kejadian pengganasan yang dikaitkan dengan kumpulan radikal Islam seperti yang berlaku dalam tragedi 9 September 2001 di Amerika Syarikat yang mengorbankan hampir 3,000 jiwa, serangan pengebom berani mati berdekatan stadium bola sepak di Paris, Peranchis dalam bulan November 2015 yang mengorban seramai 130 orang awam, dan sebelum itu, dalam bulan Januari 2015 serangan ke atas pejabat Charlie Hebdo yang pernah menyiarkan lakaran kartun menghina Nabi Muhammad SAW, serangan pengebom berani mati di beberapa lokasi strategik di kota London, dan di beberapa ibu kota negara Eropah lainnya – semuanya meluruskan telunjuk kepada penglibatan elemen yang berkaitan dengan Islam iaitu pengganas Islam. 

Sekaligus, peristiwa-peristiwa seperti ini telah menyumbang kepada tebalnya kebencian warga Amerika dan Eropah terhadap warga Islam di negara masing-masing sehingga menyaksikan beberapa tindakan yang cuba memperburukkan Islam dan umatnya dilaksanakan secara berterusan oleh rakyat, malah segelintir pemerintah yang di dalam hati mereka tertanam sifat kebencian dan permusuhan yang mendalam terhadap Islam. 

Terbaharu dan paling ketara, adalah kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang menjadikan pendatang Islam di Amerika sebagai sasaran kecaman dan kebencian rakyat AS di sepanjang kempen Pilihan Raya Presiden negara itu pada tahun lepas. Malah, di awal pemerintahannya, Trump secara berterusan mengeluarkan pernyataan dasar yang mempamirkan kebenciannya terhadap Islam dengan  cuba melarang masyarakat Islam daripada memasuki AS - tindakan yang bagaimanapun gagal dilaksanakan oleh beliau berikutan adanya tentangan yang kuat dari pelbagai pihak dalam AS sendiri. Walau pun tindakan tersebut gagal dilaksanakan, ianya sedikit sebanyak telah menyuburkan sentimen anti Islam dalam kalangan rakyat AS dan juga beberapa buah negara Eropah. 

Di Eropah satu persatu negara yang sebelum ini dilihat seolah-olah mesra Islam satu persatu bangun mempamirkan tindakan yang berunsurkan Islamophobia. Terbaru adalah Austria yang menguatkuasakan peraturan larangan pemakaian burqa atau niqab di tempat-tempat awam, termasuk di tempat kerja. Ini disusuli dengan tindakan yang serupa oleh pihak berkuasa beberapa negara lain seperti Itali, Peranchis, Belgium, Jerman, Bulgaria, Kanada, dan terkini, United Kingdom. Hal ini menunjukkan bahawa adanya ketakutan berlebihan terhadap orang yang menggunakan pakaian Islami ini sehingga mengundang timbulnya rasa curiga dan kebimbangan mereka yang pakaian seperti ini boleh menimbulkan ancaman dari sudut keselamatan.  

Pada awal tahun 2017, Slovakia secara rasmi melarang Islam menjadi agama yang diktiraf di negara tersebut. Larangan ini tercetus ekoran meningkatnya kebimbangan kerajaan Slovakia terhadap kemasukan  imigran Islam yang semakin ramai ke Slovakia.  Selain itu meningkatnya seruan anti-Islam di beberapa buah negara Eropah pada saat itu membuatkan pemerintah Slovakia yang diterajui Perdana Menteri Robert Fico membuat kenyataan bahawa Islam tidak mempunyai tempat di Slovakia. Ini membawa maksud bahawa Slovakia tidak akan memberi subsidi negara terhadap umat Islam, selain tidak diberikan kelulusan untuk mengelola sekolah khususnya sekolah agama. Demikian juga dengan pusat-pusat ibadah seperti masjid, tidak akan pernah berpeluang untuk diiktiraf perjalanannya oleh pemerintah Slovakia. 

Sementara itu, sebuah laporan yang telah diterbitkan oleh Political, Economic and Social Research (SETA) mendapati gerakan fobia terhadap Islam ini semakin menyusup ke dalam gerakan politik, media dan perniagaan di hampir keseluruhan 25 buah negara di Eropah.   

 

Berikut adalah ringkasan kedudukan Islamophobia di beberapa buah negara Eropah yang terpilih sepertimana yang terkandung dalam laporan SETA itu.

 

Di Finland, komuniti Islam di negara berkenaan menghadapi tentangan selepas pelan pembinaan sebuah masjid di Helsinki di bawa untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan negara itu. Pelan tersebut tidak diluluskan kerana pembinaan masjid berkenaan didakwa boleh mengundang kepada meningkatnya gerakan radikal dalam kalangan umat Islam Finland, lebih-lebih lagi dari kalangan pendatang Islam, di samping boleh mewujudkan pencemaran bunyi, kekotoran dan kacau bilau. Dalam pada itu, kerajaan Finland dikatakan lebih banyak berdiam diri terhadap kenyataan ahli-ahli politik yang memainkan isu-isu anti Islam dengan blog serta portal berita pada masa yang sama dibiarkan berleluasa.

 

Di Norway, sebuah parti sayap kanan di negara itu mendesak agar rakyat Norway bangun menentang Islam dan umatnya yang didakwa menjadi punca kepada meningkatnya pengganasan.  Tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh badan-badan tertentu sering diadakan bagi mempamirkan bantahan terhadap hak umat Islam di Norway.   Umat Islam di negara itu juga dikatakan sering terdedah kepada pelbagai persepsi buruk dari kalangan rakyat Norway berketurunan Kristian. 

 

Di Crotia, sentimen Islamophobia meningkat dengan ketara berikutan pembunuhan ke atas seorang rakyat negara itu oleh apa yang didakwa sebagai elemen DAISH di Mesir. Sentimen anti Islam yang wujud di mana-mana disuburkan lagi dengan tindakan beberapa orang pemimpin Crotia yang cenderung untuk memainkan isu-isu anti Islam, termasuk dengan menggesa kerajaan menghentikan kemasukan  pelarian Islam ke negara itu kerana didakwa boleh mengganggu tradisi, budaya dan corak kehidupan mereka. 

 

Di Hungary, kewujudan unsur-unsur Islamophobia tergambar dengan sendirinya berikutan adanya kenyataan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, bahawa kemasukan pelarian Islam ke negara itu boleh menjadi ancaman kepada keselamatan Hungary pada masa hadapan. Beliau malah dilaporkan berkata bahawa pengalaman Hungary hidup selama lebih 150 tahun di bawah kerajaan Ottoman telah membuatkan Hungary tidak mahu lagi hidup bersama-sama orang Islam!

 

Di Peranchis, salah sebuah negara di Eropah yang mempunyai komuniti Islam paling ramai, kewujudan Islamophobia merupakan sesuatu yang tidak dapat dihindarkan. Kejadian-kejadian seperti serangan ke atas pejabat akhbar Charlie Hebdo dan beberapa tempat awam lainnya, telah membangkitkan kemarahan rakyat Peranchis berketurunan Kristian terhadap warga Islam  sehingga mendorongkan mereka mendesak kerajaan mewujudkan dasar pemisahan di tempat awam antara warga Islam dan warga lainnya di negara itu. Lebih memburukkan keadaan, beberapa tindakan berunsur kekerasan terhadap warga Islam Peranchis telah turut dilakukan oleh elemen-elemen radikal Kristian seperti serangan ke atas masjid yang mengakibatkan kerosakan dan kerugian yang tidak sedikit jumlahnya. 

 

Di Jerman, unsur-unsur Islamophobia tergambar dengan jelas melalui tindakan membantah kemasukan pelarian Islam ke negara itu oleh beberapa pihak yang bernaung di bawah gerakan Patriotic Europeans Against The Islamization of The West, atau ringkasnya, PEGIDA. Pada setiap kali perjumpaan, pergerakan ini akan memutarkan isu-isu anti Islam dan mengumpulkan beribu-ribu tandatangan warga Jerman sebagai menunjukkan bantahan terhadap kehadiran warga dan pelarian Islam di negara berkenaan. 

 

Di United Kingdom (UK), sentimen anti Islam semakin menjadi-jadi selepas Parti Konservatif menguasai tampuk pemerintahan UK dalam tahun 2015. Gerakan anti Islam tersebut diketuai oleh The Henry Jackson Society (HJS) yang sering membawa agenda menyokong Israel, dan dalam masa yang sama, meniupkan sentimen anti Islam di kalangan rakyat UK. Selain itu, sentimen anti Islam itu juga turut menular ke sektor ekonomi dan perniagaan di mana wanita Islam yang bertudung dikatakan sering dinafikan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan berbanding dengan wanita Kristian. Keadaan yang sama turut dialami oleh bakal-bakal pencari kerja dalam kalangan lelaki Islam di mana peluang mereka untuk mendapat pekerjaan dikatakan hanya sekitar 30 peratus berbanding dengan lelaki Kristian. 


Demikianlah senario keseluruhan tentang fenomena kewujudan Islamophobia di negara-negara Barat - sesuatu yang sebenarnya kian parah ekoran adanya agenda kuasa-kuasa besar Barat, termasuk Yahudi, yang tidak habis-habis cuba memprojekkkan imej Islam dan umatnya sebagai punca kepada tercetus dan membiaknya pengganasan di seluruh dunia. 

 

Justeru ke arah meredakan masalah ini, kita berpandangan bahawa walaupun telah wujud inisiatif pelbagai pihak untuk mengatasi Islamophobia di peringkat tempatan mahupun antarabangsa, pihak yang bertanggungjawab dalam dakwah Islam perlulah mengembeling tenaga secara lebih intensif dan berfokus bagi menggerakkan pelbagai aktiviti dan program ke arah menangani isu Islamophobia. Pendekatan yang bakal dilaksanakan perlulah bermodelkan 'konsep wasatiyah' atau kesederhanaan serta berbentuk pendidikan dan dakwah. Pendekatan ini akan dapat mewujudkan persepsi dan kefahaman masyarakat umum dan dunia terhadap Islam. Pendekatan radikal, agresif dan berbentuk kekerasan bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham dan fitnah terhadap Islam, malah cuma boleh menjadi pencetus kepada timbulnya persepsi buruk dan kebencian terhadap agama dan umat Islam itu sendiri. 

 

Selain itu, kita juga berpandangan bahawa mengambilkira akan wujudnya manifestasi dan implikasi tertentu Islamophobia kepada kehidupan, pemikiran, fizikal dan sosio ekonomi umat Islam, maka usaha ke arah menangani isu ini perlulah dilaksanakan secara berhikmah dan berterusan. Inisiatif bersepadu melalui kerjasama di setiap peringkat menerusi jaringan kerja yang mantap akan dapat memastikan usaha ke arah mengatasi Islamophobia, insya-Allah, akan dapat dicapai. Segala gerakan, usaha dan inisiatif dalam melaksanakan tugasan ini adalah merupakan salah satu daripada cabang jihad demi menegakkan Islam di muka bumi ini. Justeru, bagi memastikan usaha ini mencapai matlamatnya, istiqamah, iltizam dan itqan perlulah dijadikan teras utama dalam strategi pendakwahan. 

 

Wallahua'alam (MMO).

 

                                                                                        *****


No comments:

Post a Comment