Wednesday, October 17, 2018

PAMERKAN SOLIDARITI, PALESTIN WAJAR DILAWATI


Pemandangan di sebuah bazar di kota lama Baitulmuqaddis   

Kita merasa teruja dan terpanggil untuk melanjutkan seruan yang dibawa oleh Mufti Besar Baitulmuqaddis, Sheikh Mohammad Ahmad Husein dalam menyeru umat Islam di seluruh dunia supaya terus mengunjungi Masjid Al-Aqsa sebagai tanda solidariti dan sokongan moral umat Islam kepada rakyat Palestin.

Sheikh Mohammad membuat seruan demikian ketika menyambut kunjungan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke masjid itu pada 5 Oktober lalu. 

Keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Tinggi Hal Ehwal Islam Al-Quds, Dr. Ekremah Said Sabry. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarah Wakaf Al-Quds, Syeikh Azam Al-Khatib; Menteri Al-Quds, Ir. Adnan Al-Husaini; Mufti Al-Quds, Syeikh Adnan Ghaith dan Pengarah Masjid Al-Aqsa, Syeikh Omar Al-Kiswani.

Menurut Sheikh Mohammad, sememangnya ada tekanan oleh tentera Israel kepada mereka yang berhasrat mengunjungi Masjid Al-Aqsa. Bagaimanapun halangan tersebut menurutnya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin selama ini.

Sheikh Mohammad juga berpendapat bahawa menerusi lawatan seumpama itu juga ianya secara tidak langsung dapat membantu menjana ekonomi penduduk Palestin yang sedia lemah dan ketinggalan disebabkan peperangan dan tekanan yang dikenakan oleh Israel dan Amerika Syarikat.

Berdasarkan data-data yang ada, Palestin dikatakan memerlukan dana antara AS$150 juta hingga AS$170 juta setiap tahun bagi membangunkan semula ekonomi Baitulmuqaddis yang terjejas teruk akibat kezaliman tentera rejim Zionis Israel.  

Sehubungan ini, Pengerusi Universiti Al-Quds, Munib Al-Masri pernah dipetik sebagai berkata bahawa kerjasama erat daripada semua negara Islam adalah amat penting bagi membangunkan semula Baitulmuqaddis sebagai sebuah bandar raya yang terbuka dan berdaya saing.  Di samping itu, kerjasama sedemikian juga akan bakal membantu memperkukuhkan kedudukan Baitulmuqaddis dalam peta Palestin memandangkan Israel sudah pun berniat menjadikan Baitulmuqaddis sebagai bandar raya rejim berkenaan dalam tempoh 10 ke 15 tahun lagi. 
 
Munib Al-Masri yang turut dikenali sebagai “Dermawan Palestin”, juga tokoh yang dikatakan paling kaya dan berpengaruh di Palestin, juga melahirkan keyakinannya terhadap masa depan Baitulmuqaddis yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan semula terutamanya dalam sektor pelancongan, perubatan dan pembinaan. Bagaimanapun, bagi mencapai hasrat tersebut, Baitulmaqddis, menurutnya, dianggarkan memerlukan nilai pelaburan kira-kira AS$100 juta setiap tahun. 
 
Sayangnya, di sebalik semua harapan tersebut, perekonomian Palestin nampaknya semakin jauh dari kedudukan yang mampu digembelingkan bagi merintis pencapaian yang dihasratkan itu.   

Malah, pemulihan ekonomi Palestin kini dilihat sebagai suatu hal yang semakin sukar untuk dicapai berikutan adanya tindak-tanduk Israel yang cuba membatasi perdagangan dan akses Palestin terhadap sumber alam yang terdapat di negara itu. 

Bank Dunia menerusi Economic Outlook bagi Palestin yang diterbitkan pada Oktober 2017 berpendapat bahawa disebabkan oleh keadaan sedemikian juga, risiko penurunan terhadap pertumbuhan ekonomi dan penyediaan peluang perkerjaan menjadi sesuatu yang semakin signifikan dan mencengkam masa depan Palestin dalam beberapa tahun yang akan datang.

Dalam pada itu, keadaan di Tebing Barat yang terus memanas dan tidak stabil berpotensi dalam mewujudkan kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi wilayah itu. Pertumbuhan ekonomi di kawasan Tebing Barat juga mungkin lebih memburuk sekiranya bantuan antarabangsa bagi rekonstruksi berkurangan. 

Sementara itu, keadaan di kawasan Gaza yang kini melalui proses rekonstruksi berkemungkinan akan terjejas sekiranya konflik bersenjata tercetus kembali, sekaligus bakal mengheret wilayah itu ke kancah kemelesetan ekonomi seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Data-data ekonomi yang ada jelas memperlihatkan betapa lemah dan rapuhnya ekonomi Palestin – sesuatu yang seharusnya membuka mata dan hati kita untuk bergerak membantu.

Data GDP Perkapita  di Gaza dan Tebing Barat pada tahun 2014 adalah sebanyak AS$4,300 setahun, iaitu pencapaian yang sekadar melayakkannya berada pada kedudukan ke-176 negara di dunia.

Kadar pengangguran di kedua-dua wilayah pada tahun 2017 pula adalah 26.7%, suatu pencapaian buruk yang hanya melayakkannya berada di kedudukan ke-198 negara yang sukar menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya.

Kesemua data-data dan senario yang dipersembahkan ini seharusnya membuka mata dan hati kita untuk mengorak langkah bagi membantu saudara seagama kita yang semakin hari semakin melarat kehidupan mereka itu. Kita mungkin tidak mampu untuk membantu dari sudut perjuangan bersenjata dalam menentang kuasa penjajah Israel laknatullah itu. Kita juga mungkin tidak mampu untuk hadir di jalanan bagi mempamerkan protes serta bantahan terhadap Israel sepertimana yang dilakukan oleh belia-belia Palestin saban hari dan masa itu.

Akan tetapi, kita berkemungkinan besar berupaya untuk menunjukkan sokongan dan solidariti kita terhadap rakyat Palestin dengan cara mengunjungi negara itu, khususnya ke Kota Baitulmuqaddis  yang semakin terdedah kepada pencabulan kuasa penjajah Israel yang dibantu oleh Amerika Syarikat itu. 

Setidak-tidaknya, lawatan kita akan dapat dimanifestasikan sebagai tanda sokongan kita terhadap kedudukan Baitulmuqaddis sebagai Kota Suci kepada agama kita, kota yang seharusnya dibangunkan sebagai ibu kota bagi negara Palestin yang merdeka. 

Di satu sudut lain, kunjungan kita akan dapat menyumbang kepada penjanaan ekonomi rakyat Palestin, khususnya terhadap mereka yang berkecimpung dalam industri pelancongan dan pengeluaran produk pelancongan. Kunjungan kita di samping membuahkan ganjaran pahala kerana dikira menziarahi bumi Anbiya’, juga insya-Allah, akan dikira sebagai sedekah bilamana perbelanjaan kita berupaya untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan dan amat memerlukan kepada bantuan itu.


Wallahua’alam (MMO).




No comments:

Post a Comment