![]() | |||||||
Anggota kumpulan Daesh dengan kelengkapan senjata moden |
Daesh atau nama lengkapnya Al-Dawlah Al-Islamiyyah
fi Al-Iraq Wa al-Sham adalah sebuah kumpulan pejuang Islam yang telah menyalahtafsirkan
agama untuk kepentingan politik dan perjuangan mereka. Ia pada awalnya
ditubuhkan untuk memerangi kerajaan Syria dan Iraq kerana penindasan politik
yang dilakukan oleh pihak pemerintah ke atas pengikut Sunni. Dengan menggunakan
konsep jihad, mereka memerangi umat Islam yang enggan menerima ideologi dan
perjuangan mereka.
Dalam doktrin Daesh jihad melawan musuh merupakan
satu tuntutan agama. Mereka menganggap sebagai musuh siapa sahaja yang tidak menerima
ideologi dan perjuangan mereka sama ada dari kalangan orang Islam sendiri mahupun bukan
Islam. Bagi menjayakan matlamat jihad mereka, ahli-ahli Daesh melaksanakan
pelbagai bentuk pendekatan, termasuk “operasi syahid” iaitu dengan menggadaikan
nyawa dengan niat melaksanakan jihad
fisabilillah.
Daesh juga membenarkan pengikutnya melaksanakan
pelbagai bentuk hukuman yang boleh menakutkan pihak musuh seperti
penyembelihan, pembakaran, dan melemaskan musuh di dalam air dengan tujuan untuk
mempamirkan kekuatan Daesh dan menakutkan musuh Islam.
Bagi golongan wanita yang berhasrat untuk
mengahwini anggota Daesh mereka perlu melakukan jihad nikah iaitu meninggalkan
negara untuk berkahwin dengan anggota Daesh di medan perang. Ini kerana mereka
beranggapan menjadi isteri kepada seorang pejuang Islam merupakan suatu
penghormatan tertinggi bagi seorang wanita dan mendapat ganjaran pahala yang
berlipat ganda.
Kumpulan ini, di sebalik gagal dalam mencapai
matlamat perjuangan mereka di negara-negara yang disasarkan itu, diketahui
mempunyai kelebihan tersendiri yang jarang dimiliki oleh kumpulan militan tempatan. Antaranya adalah pengalaman perang gerila termasuk di kawasan sukar
seperti di kawasan banjaran dan gunung ganang, keupayaan mengendalikan pelbagai
jenis senjata berat dan moden, kemampuan membuat bom dan pelancar roket sendiri, dan
paling tersohor, semangat juang yang kental dan tidak pernah kenal erti takut
mati.
Bagi menyebarluas ideologi mereka, khususnya di
kalangan belia Islam, Daesh telah memanfaatkan sepenuhnya saluran komunikasi
internet kerana akses kepadanya dapat dicapai di mana-mana jua bahagian di
seluruh dunia. Selain itu, saluran ini dipilih memandangkan ia merupakan
platform perhubungan paling popular di kalangan belia dalam mendapatkan apa
juga maklumat.
Antara aplikasi yang banyak digunakan oleh Daesh
ialah pelbagai platform media sosial seperti facebook, whatsapp, wechat dan telegram. Salah
satu daripada media muktahir bagi merekrut ahli baru pergerakan ini adalah
sebuah majalah online berjudul ‘Dabiq’. Melalui majalah itu juga Daesh turut memuat
naik artikel mengenai cara-cara untuk membuat bom sendiri.
Melalui rencana yang dipaparkan, Daesh cuba
mempengaruhi belia Islam untuk bangun menyahut seruan jihad menentang musuh
Islam baik dengan jiwa raga mahupun harta kekayaan. Bagi menguatkan
propaganda mereka, Daesh dikatakan turut menggunakan petikan ayat-ayat suci
Al-Quran dan hadis, khususnya dalam konteks keperluan jihad bagi meraih
keyakinan dan sokongan massa terhadap perjuangan mereka.
DALAM tempoh sedekad lalu, beberapa buah negara di
Asia Tenggara telah berhadapan dengan ancaman kumpulan ini sepertimana yang
dapat dilihat melalui senario-senario berikut;
FILIPINA
Di Filipina sebuah kumpulan militan tempatan, Abu Sayyaf yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda, didapati turut menyatakan sokongan kepada Daesh. Kumpulan ini pada awalnya
bermatlamat untuk menubuhkan kerajaan Islam tetapi kemudiannya beralih menjadi sebuah
kumpulan pengganas yang berorintesikan keuntungan apabila sumber kewangan
mereka mulai kering. Kumpulan tersebut terlibat dalam penculikan untuk
mendapatkan wang tebusan sama ada yang dilakukan
di Filipina sendiri membawalah kepada kejadian yang dilakukan di negara jiran
Malaysia. Mereka juga bertukar menjadi ganas dan terlibat dalam membunuh
tebusan yang gagal membayar wang tebusan yang dituntut.
THAILAND
Sepertimana dengan agenda kumpulan militan tempatan
di Filipina, perjuangan militant tempatan di Thailand juga adalah bertujuan
untuk mendapatkan kuasa autonomi daripada pemerintahan pusat. Tuntutan ini
wujud akibat adanya desakan dan kekecewaan yang dihadapi oleh umat Islam di selatan
Thailand yang merasakan komuniti itu
telah ditindas dan dipinggirkan oleh kerajaan pusat bagi mendapatkan keadilan
sosial dan ekonomi melalui pelbagai program pembangunan kerajaan Thailand.
Kemuncak kepada manifestasi kekecewaan itu adalah
peristiwa pengeboman di sebuah kuil yang mengorbankan 20 orang awam di Bangkok
pada Ogos tahun lalu yang turut merupakan antara keganasan terburuk di
Thailand. Meskipun motif serangan tidak diketahui, tetapi dengan penyerangnya didakwa
terdiri daripada rakyat Turki dan China, ia mencetuskan kemungkinan kehadiran
elemen Daesh antarabangsa di Thailand
sebagai sesuatu yang sukar untuk dinafikan.
INDONESIA
Indonesia, walaupun tidak mempunyai kumpulan
pemisah Islam tempatan yang menuntut pemisahan wilayah atau kuasa autonomi
sepertimana di Filipina dan Thailand, tidak terkecuali, turut terdedah kepada
ancaman pengganasan. Pada awalnya, aktiviti pengganasan tersebut dikaitkan
dengan pergerakan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) yang sering mempamirkan
serangan ke atas lokasi atau simbol yang dikaitkan dengan bukan Islam dan
Kristian. Ini termasuklah serangan bom di Bali pada tahun 2002 yang
mengorbankan 202 orang. Demikian juga dengan serangan di Hotel JW Marriott,
Jakarta pada 5 Ogos 2003 dan serangan berulang di hotel yang sama dan Hotel
Ritz-Carlton pada 17 Julai 2009.
Terkini, pada 14 Januari 2017, Indonesia dikejutkan
dengan serangan pengganas di Jakarta yang mengorbankan empat orang awam dan
empat anggota penyerang di samping melibatkan kecederaan ke atas 23 jiwa yang
lain. Peristiwa itu dikatakan merupakan serangan pertama seumpamanya yang dipercayai
dilakukan oleh kumpulan Daesh di negara tersebut.
Daesh berhasrat menubuhkan “Katibah Nusantara”
iaitu negara Daesh Asia Tenggara yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura,
selatan Filipina dan selatan Thailand. Indonesia dengan jumlah populasi umat
Islam teramai di dunia menjadikannya antara destinasi baru bagi Daesh untuk
mengembangkan ideologinya, setelah perjuangan mereka di Syria dan Iraq menemui
kegagalan.
Bagaimanapun, dengan ideologi Daesh yang bersifat
ganas umat Islam di Indonesia dan Malaysia dikatakan sukar untuk menerimanya. Kaji
selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew mendapati hanya empat
peratus rakyat Indonesia bersimpati dengan Daesh manakala di Malaysia, 11
peratus. Malah, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama (NU)
yang mempunyai lebih 50 juta ahli turut mengutuk tindakan Daesh dan menolak
ideologi yang dibawa oleh pergerakan itu.
MALAYSIA
Tidak seperti beberapa negara jirannya, khususnya Thailand
dan Indonesia, Malaysia belum pernah menghadapi isu besar melibatkan kumpulan
militan. Ancaman kumpulan militan tempatan seperti al-Maunah, Jemaah Islamiah
(JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang wujud sebelum ini keseluruhannya
telah berjaya dibanteras dari peringkat awal sebelum ia berkembang.
Cuma selepas berlakunya peristiwa letupan bom di
pusat hiburan Movida di Puchong pada 28 Jun lalu, pihak berkuasa Malaysia mulai
menghubungkannya dengan elemen pengganasan Daesh, khususnya dalam konteks
pergerakan Katibah Nusantara. Apa lagi berikutan adanya laporan oleh Jabatan
Negara Amerika Syarikat (AS) bahawa lebih 1,000 orang rakyat Asia Tenggara
telah menyertai Daesh di Syria atau Iraq yang mana sebahagian dari mereka ini
dikatakan telah kembali ke tanah air masing-masing, kerajaan Malaysia tidak
menolak kemungkinan ada elemen Daesh yang terlibat dalam serangan ke atas pusat
hiburan di Malaysia itu.
Indeks
Keganasan Global 2015
Menurut Indeks Keganasan Global 2015 yang dikeluarkan
oleh The Insitute for Economics and Peace negara Asia Tenggara yang paling
terdedah kepada risiko ancaman pengganasan adalah Thailand, iaitu di tempat
kesepuluh, diikuti Filipina di tempat kesebelas, dan Malaysia, di tangga ke-49.
Kini Daesh semakin kehilangan banyak kawasan dan
pejuang berani matinya di Syria dan Iraq. Pengkalan mereka di kedua-dua negara
ini juga dikatakan telah tergugat dengan teruk. Justeru, Daesh perlu mencari alternatif baru sebagai
pusat gerakannya dengan menjadikan Asia Tenggara yang ramai umat islamnya
sebagai pengkalan baru bagi pergerakan mereka.
Apa lagi bilamana terdapat laporan antarabangsa
yang menyebutkan beberapa kumpulan militan yang sedia berada di rantau ini
telah menyatakan sokongan kepada Daesh, maka ancaman pergerakan tersebut di
rantau ini seharusnya mendapat perhatian dan keutamaan paling tinggi di pihak berkuasa
kerajaan di rantau ini.
Kita di Brunei,
syukur Alhamdulillah, sejauh ini nampaknya terelak daripada merasai kesan
ancaman pengganasan sepertimana yang berlaku di negara-negara jiran kita.
Begitu pun, kita tidak seharusnya berterusan merasa selesa tanpa cuba mengambil
sebarang langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya penyusupan masuk elemen
pengganasan ke negara kita.
Kawalan dan
pemeriksaan yang lebih rapi di sempadan negara, tidak dapat tidak, perlu sentiasa
di titikberatkan. Kerjasama dengan negara jiran dalam konteks pertukaran
maklumat keselamatan, penyertaan di dalam seminar dan bengkel berkaitan
pengganasan dan peningkatan usaha dari sudut pengumpulan data pengganasan,
semuanya menuntut kepada kesungguhan di pihak berkuasa untuk menangganinya
dengan berterusan dan bijaksana.
Wallahua'alam (MMO).
Wallahua'alam (MMO).
*****
No comments:
Post a Comment