Thursday, December 10, 2020

DIARI KEHIDUPAN XIV : TAHANAN ETNIK UIGHUR DIPAKSA MAKAN DAGING BABI

 

Demonstrasi membantah penahanan etnik Uighur di Brussel, Belgium

Sebelum ini penulis ada melaporkan mengenai berbagai bentuk tekanan dan penderaan yang dikatakan berlaku di dalam pusat tahanan etnik Uighur di Xinjiang, China dalam apa yang dilihat sebagai langkah kerajaan bagi mengarus-perdanakan kehidupan minoriti Islam Uighur ke dalam kehidupan majoriti rakyat China yang beragama Buddha. 

Antara unsur-unsur tekanan tersebut adalah paksaan supaya mereka mempelajari bahasa Mandarin dan tidak lagi bertutur dalam bahasa mereka, larangan berpuasa dan mengerjakan solat, sekatan terhadap ekses maklumat dari dunia luar dari pusat tahanan dan larangan mengamalkan budaya serta cara hidup etnik Uighur sepanjang berada dalam tahanan.

Lebih mencabar keintektualan kita adalah dakwaan berlakunya tindakan-tindakan yang bersifat melanggar hak asasi kemanusiaan dan agama seperti si isteri di pisahkan dari si suami, malah ada yang dipaksa tidur bersama pihak penguasa di dalam kem tahanan, wanita dipaksa mengambil pil-pil yang boleh mencegah kehamilan, malah boleh menyebabkan pengguguran anak yang dikandung, dan perbuatan pemerkosaan oleh pihak berkuasa kem terhadap wanita-wanita Uighur. 

Selain unsur-unsur tekanan yang dinyatakan itu, tahanan etnik Islam Uighur juga didakwa telah dipaksa memakan daging babi, lebih-lebih lagi apabila mereka didapati melanggar larangan-larangan dalam kem tahanan seperti ‘mencuri-curi’ kesempatan untuk berpuasa dan/ atau bersembahyang, enggan menghadiri kelas bahasa, dan kesalahan-kesalahan lain seumpamanya. Dakwaan tersebut bagaimanapun untuk sekian lamanya, belum dapat dibuktikan akan kesahihannya sehinggalah baru-baru ini, seorang doktor wanita berketurunan etnik Uighur yang lari mencari perlindungan di Kazakhstan mendedahkan maklumat terperinci mengenainya.

Menurut wanita tersebut, yang dikenali sebagai Sayragul Sauytbay, pihak berkuasa China memaksa tahanan 'pusat latihan' Xinjiang yang beragama Islam memakan daging babi pada setiap hari Jumaat.

Dalam temu bual beliau dengan Al-Jazeera, beliau berkata kerajaan China sengaja memilih hari Jumaat kerana mereka tahu ia adalah hari yang mulia untuk umat Islam dan perbuatan menyentuh, apa lagi memakan daging babi adalah sesuatu yang amat dilarang dalam Islam.

"Jika anda enggan patuh arahan supaya makan daging babi, maka anda akan menerima hukuman yang keras sebagai tindakan disiplin.

"Strategi ini sengaja dipilih bagi memalukan dan menghina tahanan apabila setiap kali mereka dipaksa makan daging babi.

"Sukar bagi membayangkan perasaan saya setiap kali terpaksa makan babi, terasa seperti orang lain dan rasa kaku, sukar untuk saya menerimanya," katanya.

Selepas membocorkan rahsia kekejaman di kem tahanan terbabit, Sauytbay dikatakan telah bertindak melarikan diri ke Kazakhstan tetapi dilaporkan telah dinafikan suaka politik oleh pihak Kazakhstan. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan China dikatakan telah memfailkan permohonan ekstradisi bagi membawanya pulang ke negara itu.

Keengganan kerajaan Kazakhstan untuk memberi perlindungan politik kepada Sauytbay, seorang pakar klinikal dan guru, telah mendorongkan beliau untuk lari  ke Sweden, dan di sana, beliau berjaya mendapat suaka politik bersama keluarganya.

Beliau juga dikatakan kini sedang mengusahakan pendedahan kisah di dalam 'kem latihan' itu dalam sebuah buku, termasuk menceritakan mengenai kes tahanan dipukul, dicabul secara seksual dan dipaksa tinggal dalam persekitaran kotor.

Malah, penindasan terhadap penduduk etnik Islam Uighur di Xinjiang tidak hanya terhad kepada budaya dan agama, sebaliknya turut menyasarkan struktur sosial masyarakat menerusi 'kem latihan' yang ditubuhkan sejak 2017.

Di samping pendedahan yang dibuat oleh Sauytbay itu, pendedahan yang hampir sama juga telah dibuat oleh seorang pakar antropologi dari Jerman, Adrian Zenz, yang banyak membuat kajian mengenai etnik Uighur. Beliau memberitahu Al-Jazeera bahawa China kini turut memperluaskan dasar sekularisme.

Sebagai contoh, katanya, China mengembangkan industri penternakan babi dengan matlamat menjadikan wilayah Xinjiang sebagai hab penternakan babi terbesar sedangkan hampir 90 peratus penduduk setempat beragama Islam.

"Terdapat ladang ternakan babi di Kashgar, selatan Xinjiang dan kerajaan China menyasarkan untuk menternak kira-kira 40,000 ekor babi setiap tahun dalam kawasan seluas 25,000 meter persegi.

"Malah, projek ini, yang dilancarkan atas alasan mahu memastikan bekalan daging babi di Kashgar mencukupi, sengaja diumumkan pada 23 April tahun ini iaitu ketika umat Islam menunaikan ibadat puasa.

"Ini amat nyata bahawa kerajaan China berniat menyerang budaya, amalan agama dan cara hidup masyarakat setempat, sekali gus mendorong mereka memilih ideologi sosialis," katanya. 

Kerajaan China, seperti yang kita sedia ketahui, tidak pernah mengakui apa jua dakwaan yang dibuat berkaitan tindakan mereka terhadap etnik Uighur.

China, malah, pernah membidas laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa Beijing membebaskan etnik Uighur yang ditahan atas alasan keganasan dengan mengatakan penemuan itu ‘tiada asas dari segi fakta.’

Menurut anggaran Jawatankuasa PBB berkaitan Penghapusan Diskriminasi Perkauman, sehingga kini dianggarkan seramai sejuta etnik Uighur dan minoriti Islam lain ditahan di kem tahanan di rantau barat Xinjiang, China. Jawatankuasa tersebut mengatakan ia ‘bimbang’ terhadap laporan diskriminasi terhadap etnik Uighur di dalam kem tahanan.

Di pihak China, alasan yang sering dikemukakan adalah keperluan di pihak kerajaan untuk bertindak dalam memerangi pelampau dan keganasan di sempadan barat negara itu. 

Dalam konteks status kem tahanan, kerajaan China terus mempertahankan kem berkenaan bukanlah sebuah kem tahanan, sebaliknya pusat bagi melatih etnik Islam Uighur dari sudut teknikal dan vokasional agar mereka kelak dapat berdikari selepas dibebaskan dan tidak mudah terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat, terutama keganasan.

Bagaimanapun, maklumat yang dikumpulkan oleh berbagai pihak yang prihatin terhadap aspek hak asasi manusia etnik Uighur, termasuk PBB, dan berbagai pendedahan sulit yang dibuat oleh mereka yang pernah ditahan menghasilkan fakta disebaliknya.

Apa pun, kita mendoakan nasib umat Islam Uighur, terutama mereka yang ditahan di dalam kem-kem pemulihan di Xinjiang lambat laun akan terbela juga sudahnya. Dan untuk membolehkan semua ini berlaku, ianya sudah tentu memerlukan suatu kerjasama yang cukup besar lagi bersepadu dalam memaksa kerajaan China untuk menghentikan segera apa jua bentuk tekanan dan penindasan yang mereka laksanakan terhadap etnik minoriti itu dan seterusnya memberikan pengiktarafan atau status yang besesuaian kepada mereka selaku warganegara bagi sebuah negara (China) yang 'kononnya' mendokong undang-undang dan hak asasi kemanusiaan antarabangsa.


Wallahu ‘alam (MMO)


No comments:

Post a Comment