![]() |
Pemandangan di sebuah kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh |
Kita tertarik untuk membicarakan tajuk berkaitan pelarian di seluruh dunia dengan merujuk laporan terbaharu mengenainya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) baru-baru ini. Laporan tersebut antara lain menyebutkan seramai 68.5 juta orang di seluruh dunia kini terpaksa menjadi pelarian akibat perang, keganasan dan penginayaan terutama di negara-negara seperti Syria dan Myanmar.
Berikut adalah antara
beberapa perkara penting yang telah disentuh dalam laporan UNHCR berkaitan
kedudukan terkini isu pelarian tersebut;
- Jumlah pelarian di seluruh dunia yang dianggarkan seramai 68.5 juta orang (sehingga penghujung tahun 2017 lalu) itu adalah merupakan pertambahan sebanyak tiga kali ganda berbanding dengan data pelarian yang dikeluarkan pada tahun 2016. Ia juga merupakan peningkatan sebanyak 50 peratus daripada jumlah 42.7 juta pelarian yang dicatatkan lebih sedekad lalu.
- Jumlah pelarian seramai 68.5 juta itu adalah menyamai jumlah penduduk Thailand dan bilangan mereka yang dipindahkan secara paksa dianggarkan bersamaan dengan satu dalam setiap 110 orang di seluruh dunia.
- Sekitar 70 peratus daripada jumlah pelarian itu adalah merupakan penduduk dari 10 negara dengan negara penyumbang utama kepada masalah pelarian terdiri daripada Syria (5.6 juta pelarian), Afghanistan (2.5 juta), Sudan Selatan (2.4 juta), Myanmar (1.1 juta), dan Somalia (876,000 pelarian).
- Bahawa seramai 16.2 juta pelarian baharu dipindahkan pada tahun lepas, termasuk mereka yang terpaksa melarikan diri untuk kali pertama dan mereka yang telah dipindahkan sebelum ini. Jumlah tersebut diperkirakan bersamaan dengan 44,500 orang yang dipaksa berpindah dari tempat tinggal mereka setiap hari atau kira-kira seorang pada setiap dua saat.
- Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Filippo Grandi berpandangan sekiranya konflik di negara-negara yang terlibat dapat diselesaikan, angka pelarian tersebut mungkin akan dapat diturunkan. Sehubungan ini, beliau turut menggesa agar lebih banyak kekuatan politik digerakkan bagi menghentikan krisis yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pelarian.
Laporan
UNHCR itu bagaimanapun tidak memperincikan status agama pelarian mahupun
peratusan mereka mengikut pecahan agama. Namun melihat kepada negara asal
mereka yang terlibat dapat dirumuskan bahawa keseluruhan pelarian tersebut
adalah terdiri daripada pelarian Islam.
Konflik
selama tujuh tahun di Syria yang sehingga kini tidak menampakkan tanda
penyelesaiannya telah memaksa lebih 6.3 juta rakyat Syria keluar dari negara
itu tahun lalu, sekaligus menyumbang hampir satu pertiga daripada populasi
pelarian global.
Sementara
itu, Afghanistan mencatatkan jumlah kedua tertinggi populasi pelarian global
dengan mencatatkan peningkatan lima peratus dalam pertambahan pelarian negara
itu kepada 2.6 juta orang berpunca daripada daripada tekanan dan sengketa
politik yang berlarutan di negara berkenaan.
Demikian
juga dengan Sudan Selatan di mana umat Islam merupakan kumpulan minoriti di
negara tersebut, tekanan daripada pihak berkuasa yang ditunjangi oleh penganut
Kristian telah memaksa mereka melarikan diri sebagai pelarian, sekaligus
meningkatkan jumlah pelarian dari negara ini sebanyak sejuta lagi daripada jumlah
1.4 juta pada tahun 2016. Jumlah pelarian dari negara ini pada akhir tahun 2017
dianggarkan seramai 2.4 juta orang.
Tidak
kurang, kekejaman etnik yang berlaku ke atas kaum Rohingya di Myanmar, telah
menyebabkan etnik tersebut terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka sebagai
pelarian ke negara jiran terdekat, Bangladesh. Pada masa ini dianggarkan
seramai 1.1 juta pelarian Rohingya berada di kem-kem pelarian sementara yang
dibina di kawasan sempadan antara Myanmar dengan Bangladesh, khususnya di Cox’s
Bazar yang serba kekurangan dan terdedah kepada malapetaka alam itu.
Dalam
pada itu, laporan UNHCR turut menyenaraikan perpindahan secara besar-besaran
pelarian dari negara-negara seperti Iraq, Somalia dan Republik Rakyat Congo
yang menyaksikan sebahagian besar daripada mereka adalah terdiri daripada umat
Islam.
Perbincangan
ini belum mengambilkira keadaan pelarian Palestin yang menjadi pelarian di
negara sendiri dan di negara-negara jiran sejak Israel menduduki tanahair mereka
dalam tahun 1948. Sejak peristiwa rampasan tanah rakyat Palestin oleh tentera
Israel yang membawa kepada pembentukan secara paksa negara Israel dan
pengusiran secara besar-besaran rakyat Palestin dari kampung halaman mereka
yang dirampas, jumlah pelarian Palestin pada masa ini dianggarkan mencapai
sejumlah 4.8 juta orang.
Angka
ini adalah bagi mereka yang berdaftar di bawah ‘United Nation Relief and Work
Agency’ (UNRWA), iaitu sebuah agensi kemanusiaan yang bernaung di bawah PBB. Sementara
itu terdapat laporan jika jumlah keseluruhan pelarian Palestin ini mahu diambilkira,
termasuk mereka yang tidak berdaftar dengan agensi PBB itu, jumlah mereka
dikatakan mencecah sehingga 7.5 juta orang!.
Demikianlah
peritnya minda dan pertimbangan kita apabila membicarakan akan hal pelarian ini,
lebih-lebih lagi ianya adalah berkait dengan pelarian Islam – sesuatu yang tidak
seharusnya terhenti sebagai suatu bahan kajian atau pembacaan, sebaliknya
menuntut kita untuk sama-sama membantu mencari jalan penyelesaian.
Antara
langkah yang boleh dilakukan ialah dengan mempertingkatkan lagi bantuan
kemanusiaan seperti makanan dan perubatan ke kem-kem pelarian yang memerlukan terutama
kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh yang dikenalpasti sebagai amat terdedah
kepada bencana penyakit dan bencana alam. Selain itu, bantuan juga boleh dihulurkan
dengan membuka peluang pekerjaan kepada pelarian khususnya dalam sektor yang
memerlukan pekerja asing bagi menampung kekurangan pekerja, dan di peringkat
kerajaan, meningkatkan lagi tekanan antarabangsa ke atas pemerintah negara yang
didapati melaksanakan kekerasan ke atas rakyatnya yang menyebabkan mereka
terpaksa melarikan diri ke negara asing.
Lebih
jauh dari itu, pemerintah juga boleh memainkan peranan menerusi PBB untuk
mendesak badan dunia itu supaya segera mengakhiri tekanan dan persengketaan di
beberapa negara utama yang menyumbang kepada peningkatan pelarian seperti Yemen,
Syria, Palestin dan Myanmar. Meminjam kata-kata Pesuruhjaya Tinggi UNHCR,
Filippo Grandi, hanya dengan redanya konflik dan tekanan ke atas kumpulan
tertentu di negara-negara yang terlibat barulah masalah pelarian ini
berkemungkinan akan dapat dikurangkan.
Wallahua’alam
(MMO).
No comments:
Post a Comment