Friday, May 11, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : ALGERIA



PETA
 



 
 
  


GEOGRAFI





Negara Algeria terletak di Afrika Utara dengan Laut Mediterranean merentangi sepanjang pantainya di sebelah utara. Dengan keluasan 2,381,741 kilometer persegi, Algeria muncul sebagai negara kesebelas terbesar di dunia, dan yang terbesar di benua Afrika sejak Sudan Selatan menjadi bebas dari Sudan pada tahun 2011. Algeria bersempadan dengan Tunisia di bahagian timur lautnya, Libya di sebelah timur, Maghribi di sebelah barat, wilayah Sahara Barat, Mauritania dan Mali di sebelah barat daya, Niger di bahagian tenggara dan Laut Mediteranean di sebelah utaranya.

 

SEJARAH RINGKAS




Algeria mempunyai sejarah politik yang menarik. Selama bertahun-tahun Algeria diperintah oleh Romawi, suku Vandal Jerman, Bizantium, Spanyol, Turki, dan kemudian Perancis. Algeria dikuasai Perancis dari tahun 1830 hingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1962. Lebih dari satu juta penduduk Algeria terbunuh dalam perang meraih kemerdekaan dari Perancis pada tahun 1962.

Selepas lebih daripada satu abad berada di bawah penjajahan Perancis, Algeria melalui pejuangan jihad rakyatnya pada sepanjang tahun-tahun 1950-an akhirnya berjaya memaksa Peranchis menyerahkan kemerdekaan kepada negara itu pada tahun 1962. 

Parti politik utama Algeria, Front Pembebasan Kebangsaan (FLN) ditubuhkan pada tahun 1954 sebagai sebahagian daripada perjuangan untuk kemerdekaan. Pada tahun 1988 kerajaan Algeria telah menubuhkan sebuah sistem multi-parti sebagai tindak balas kepada tuntutan rakyat awam. Bagaimanapun, berikutan kejayaan pusingan pertama parti yang berteraskan Islam, Front Keselamatan Islam (FIS) pada pemilihan legislatif pada Disember 1991 telah mengundang pemimpin tentera Algeria untuk campur tangan dan menangguhkan pusingan kedua pilihan raya kerana bimbang golongan ekstremis agama menguasai kepimpinan politik Algeria. 

Tindakan keras terhadap FIS kemudiannya mendorong penyokong FIS untuk menyerang sasaran kerajaan, mencetus pertempuran dan memberontak. Pertempuran dan keganasan yang tercetus antara tahun 1992-98, itu dikatakan telah mengakibatkan lebih dari 100,000 kematian, kebanyakannya berpunca daripada pembunuhan beramai-ramai penduduk kampung oleh pelampau. Kerajaan bagaimanapun berjaya mengawal keadaan  pada akhir 1990-an dan berikutan itu sayap bersenjata FIS, Tentera Salvation Islam, dibubarkan pada bulan Januari 2000.

Abdelaziz Bouteflika, dengan sokongan tentera, memenangi jawatan presiden dalam pilihan raya 1999. Beliau turut memenangi pilihan raya berikutnya pada tahun 2004, 2009 dan 2014. 

Pada tahun 2011 kerajaan Algeria memperkenalkan beberapa pembaharuan politik sebagai tindak balas kepada Spring Arab, termasuk menarik balik sekatan darurat yang berjalan selama 19 tahun dan meningkatkan kuota wanita untuk perhimpunan terpilih, di samping meningkatkan subsidi kepada penduduk. 



 PROFAIL PENDUDUK




Jumlah rakyat  Algeria adalah seramai 40,969,443 (anggaran Julai 2017). Majoriti daripada mereka terdiri daripada bangsa Arab (99 peratus), manakala bakinya terdiri daripada penduduk berasal dari Eropah. Sejak 1975, Algeria juga menjadi penerima utama pendatang Sahrawi dari konflik yang sedang berlangsung di Sahara Barat. Dianggarkan 90,000 Sahrawis tinggal di lima kem pelarian di barat daya Algeria berhampiran Tindouf.

Dilihat dari sudut taburan mereka, 71.9 peratus daripada rakyat Algeria tinggal di kawasan bandar manakala selebihnya tinggal di kawasan luar Bandar. 

Dilihat dari segi struktur umur, kira-kira 44.6 peratus rakyat Algeria adalah berumur di bawah 25 tahun, 42.9 peratus berumur antara 25 – 55 tahun, manakala selebihnya berumur 56 tahun ke atas. Kadar pertumbuhan rakyat Algeria pula adalah 1.7 peratus (2017).



AGAMA





Islam  pada awalnya dibawa ke Algeria oleh dinasti Umayyad melalui serangan Uqba ibn Nafi yang kemudiannya menyaksikan penaklukan dan perubahan ke atas pegangan agama penduduk pribumi Algeria antara tahun 670 hingga 711 Masihi. Penduduk pribumi telah menerima baik kedatangan Islam dan cuba menyesuaikannya dengan pegangan asal mereka. Selepas itu, Islam di Algeria menerima kesan daripada beberapa gerakan seperti Shiah Fatimid yang kemudiannya merosot, dan gerakan Islam di bawah Khalifah Abbasiyah yang beraliran sunni dengan pegangan mazhab Maliki. Pada masa ini majoriti rakyat Algeria adalah terdiri daripada muslim sunni dengan aliran mazhab Maliki.



POLITIK & PENTADBIRAN





Pelantikan Presiden Algeria dibuat melalui pemilihan secara langsung oleh rakyat Algeria dengan pemenangnya ditentukan dalam kalangan mereka yang memperoleh majoriti mutlak undi popular dalam dua pusingan untuk penggal pemerinthan selama 5 tahun. Pilihan raya muktahir adalah pada 17 April 2014 lalu yang menyaksikan Abdelaziz Bouteflika di pilih sebagai Presiden Algeria untuk penggal keempat.

Jawatan Perdana Menteri pula dicalonkan oleh Presiden selepas berunding dengan parti majoriti di Parlimen.

Parlimen Algeria pula terdiri daripada dua komponen iaitu Majlis Negara (Dewan Negara) yang mengandungi sejumlah 144 kerusi (satu pertiga daripada ahli dilantik oleh presiden, dan dua pertiga dipilih daripada kalangan ahli-ahli majlis tempatan) dengan penggal keanggotaan selama 3 tahun;  dan Perhimpunan Rakyat Kebangsaan (Dewan Rakyat) dengan 462 kerusi, dengan penggal keanggotaan selama 5 tahun.
 


EKONOMI




Ekonomi Algeria secara umumnya masih bersifat penguasaan negara - suatu warisan model pembangunan pasca kemerdekaan negara sosialis. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Kerajaan Algeria telah menghentikan penswastaan
​​industri milik negara dan mengenakan sekatan ke atas import, mengurangkan penglibatan asing dalam ekonomi dan meneruskan dasar penggantian import yang tidak memberi kesan kebaikan kepada negara.

Hidrokarbon telah lama menjadi tulang belakang ekonomi Algeria, menyumbang kira-kira 30% daripada KDNK, 60% daripada hasil belanjawan, dan hampir 95% daripada pendapatan eksport negara itu. Algeria mempunyai simpanan gas asli ke-10 terbesar di dunia - termasuk rizab gas ketiga terbesar dan merupakan pengeksport gas ke-6 terbesar. 

Eksport Hidrokarbon membolehkan Algeria mengekalkan kestabilan makroekonomi, mengumpulkan rizab mata wang asing yang besar, dan mengekalkan hutang luar negeri yang rendah sementara harga minyak global tinggi. Dengan harga minyak yang lebih rendah sejak 2014, rizab pertukaran asing Algeria telah menurun sebanyak lebih daripada separuh dan dana penstabilan minyaknya telah menurun daripada kira-kira $ 20 bilion pada akhir tahun 2013 kepada kira-kira $ 7 bilion pada tahun 2017, iaitu minimum statutori.

Penurunan harga minyak juga telah secara langsung mengurangkan kemampuan kerajaan untuk menggunakan pertumbuhan negara untuk mengagihkan sewa dan membiayai subsidi awam, sekaligus menyebabkan kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan. Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, kerajaan telah membuat kenaikan dalam beberapa cukai sehingga menyebabkan kenaikan harga bagi beberapa produk seperti petrol, rokok, alkohol, dan barangan import tertentu yang sederhana.  Bagaimanapun atas dasar keperihatinan kerajaan terhadap rakyat, kerajaan Algeria menahan diri daripada tindakan mengurangkan subsidi, terutamanya untuk pendidikan, penjagaan kesihatan dan program perumahan.

Kerajaan Algeria  juga telah meningkatkan langkah-langkah perlindungan sejak 2015 untuk mengawal perbelanjaan importnya dan menggalakkan pengeluaran domestik industri bukan minyak dan gas. Sejak tahun 2015, kerajaan telah mengenakan sekatan tambahan ke atas akses kepada pertukaran asing untuk import, dan kuota import bagi produk tertentu, seperti kereta. Pada Januari 2018 kerajaan mengenakan penggantungan yang tidak terbatas ke atas pengimportan sebanyak 850 produk, tertakluk kepada semakan berkala.

Di samping langkah-langkah tersebut, kerajan Algeria juga cuba merancang strategi bagi menghadapi cabaran ekonomi jangka panjangnya termasuk dengan cara mempelbagaikan ekonomi daripada terlalu bergantung kepada eksport hidrokarbon, memperkuatkan sektor swasta, menarik pelaburan asing, dan menyediakan pekerjaan yang mencukupi untuk golongan muda Algeria.
 


HUBUNGAN ANTARABANGSA





 
Sebagai sebuah negara yang merdeka, Algeria turut bergerak aktif dalam menjalin hubungan dengan beberapa pertubuhan di peringkat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan agensi-agensi di bawahnya, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), dan juga pertubuhan-pertubuhan di peringkat serantau seperti Kesatuan Afrika dan Liga Arab. 

Algeria menganggotai OIC dalam tahun 1969. Sejak menyertai OIC, Algeria telah bergerak aktif bersama-sama negara anggota yang lain dalam menggerakkan misi serta program-program yang dilaksanakan oleh OIC, termasuk menghadiri Sidang Kemuncak OIC dan juga Mesyuarat di peringkat Menteri Luar pertubuhan berkenaan.



Wallahua'alam (MMO)



No comments:

Post a Comment