Saturday, October 31, 2020

DIARI KEHIDUPAN XVI : SUDAN SETUJU JALIN HUBUNGAN BAIK DENGAN ISRAEL


      
Trump ketika perbualan telefon bersama Netanyahu dan Abdallah Hamdok 


Dalam entri yang lalu ada kita perkatakan mengenai pendedahan Presiden Donald Trump bahawa banyak lagi negara Arab/Islam yang akan menjalin hubungan rapat dengan Israel. Dalam hati, kita tertanya-tanya juga siapakah lagi gerangan pemimpin Arab/Islam yang sanggup mengorbankan prinsip perjuangan daripada menyokong Palestin kepada bersahabat baik dengan Israel - musuh sepanjang zaman bagi Palestin. 

Pada 23 Oktober 2020, kita sekali lagi terkejut dengan pengumuman yang dibuat dari Rumah Putih di Washington bahawa Sudan juga bersetuju untuk menjalinkan hubungan baik dengan Israel sepertimana langkah yang diambil oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain beberapa minggu yang lalu.

Dengan penyertaan Sudan itu, bermakna telah ada lima negara Arab/Islam yang mengorak langkah menjalin hubungan baik dengan musuh tradisi Palestin, Israel selepas Mesir (1979), Jordan (1994), dan UAE serta Bahrain pada bulan September lalu.

Cuma dalam kes Sudan ini banyak pihak yang tertanya-tanya, apakah faktor yang telah mendorongkan negara itu berbuat demikian (dengan secara tiba-tiba mahu menjalin hubungan baik dengan Israel) memandangkan latar belakang negara itu yang pernah ‘berperang’ dengan Israel melalui sokongannya kepada Palestin dalam Perang Arab-Israel pada tahun 1948 dan Perang Enam Hari 1967. Sudan juga diketahui umum, secara berterusan, bersikap keras terhadap Israel di pentas-pentas perbincangan berkaitan Palestin-Israel, termasuk di persidangan antarabangsa.

Malah, Sudan juga pernah menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak Liga Arab yang mengecam pengakuan, perdamaian, atau perundingan mana-mana jua negara anggota dengan Israel. Penduduk Sudan, selain itu, diketahui lebih kuat bersikap anti-Israel dan dalam banyak keadaan, berpendirian anti-Semitik yang jauh mengatasi pendirian rakan-rakannya di Teluk. 

Dalam konteks ini beberapa andaian awal yang boleh dibuat adalah kerana pujukan mahupun desakan Amerika Syarikat (AS) supaya Sudan bersetuju dengan formula yang dibuat oleh AS itu (yang secara halusnya bertujuan menambah bilangan negara Arab/ Islam dalam mengiktiraf kewujudan Israel sebagai sebuah negara yang merdeka, termasuk di atas wilayah Palestin yang diduduki). 

Apa yang jelas, Sudan secara tiba-tiba bersetuju dengan perancangan yang diatur oleh Trump, iaitu perlunya Sudan berbaik dengan Israel, sejurus selepas AS menamatkan gelaran negara berkenaan sebagai pembiaya kepada keganasan antarabangsa. Bagi Sudan, tindakan AS ini dilihat sebagai suatu pencapaian yang cukup penting - suatu pengiktirafan terhadap kemajuan negara itu ke arah demokrasi setelah penggulingan mantan pemimpin Omar al-Bashir pada tahun 2019 dan sebagai ganti pakej pampasan dari Sudan untuk mangsa keganasan AS. 

Dalam pernyataan bersama yang dibuat melalui panggilan telefon antara Trump, Netanyahu, Ketua Majlis Kedaulatan Sudan Abdel Fattah al-Burhan, dan Perdana Menteri Sudan Abdallah Hamdok, pentadbiran Trump mengatakan bahawa Amerika Syarikat "akan mengambil langkah-langkah untuk mengembalikan kekebalan berdaulat Sudan dan melibatkan rakan-rakan antarabangsa untuk mengurangkan beban hutang Sudan, termasuk memajukan perbincangan mengenai pengampunan hutang yang selaras dengan Inisiatif Negara-negara Miskin Berhutang." 

Israel dan Sudan juga akan "memulai hubungan ekonomi dan perdagangan, dengan fokus awal pada pertanian," dan "akan bertemu dalam beberapa minggu mendatang untuk merundingkan perjanjian kerjasama di bidang-bidang tersebut serta dalam teknologi pertanian, penerbangan, masalah migrasi dan bidang lain untuk kepentingan dua hala."

Perjanjian normalisasi ini dijangka akan mengikuti perjanjian serupa antara Israel dengan UAE dan Bahrain, kerana AS dan Israel berusaha meningkatkan hubungan Israel dengan negara-negara di seluruh rantau Arab, terutama ketika Iran meneruskan pencerobohan ketenteraannya.

Penganalisis politik antarabangsa rata-ratanya melihat pengumuman Trump itu sebagai antara peristiwa penting yang diharapkan dapat melancarkan transformasi politik dan ekonomi Sudan walaupun banyak pihak di Sudan ingin melihat pengumuman tersebut dibuat berdasarkan kehendak mereka sendiri.

Di satu sudut, Washington kelihatan menepati janji dengan mengumumkan Sudan dikeluarkan dari senarai keganasan setelah Khartoum memenuhi syarat terakhir untuk memindahkan $ 335 juta untuk pembayaran penyelesaian Washington atas pengeboman Kedutaan AS 1998. Ini turut dilihat sebagai kemenangan politik  bagi Perdana Menteri Sudan, Abdallah Hamdok, yang berjanji untuk ‘melepaskan  Sudan dari warisan pengganasan’ dan membentuk kembali hubungannya dengan masyarakat antarabangsa.  

Namun di satu sudut yang lain, pengumuman ini dilihat sebagai boleh mendatangkan kerugian politik yang besar kepada Hamdok kerana ramai yang akan melihat normalisasi Khartoum dengan Tel Aviv sebagai harga yang terlalu tinggi untuk dibayar untuk perlaksanaannya. 

Namun bagi Hamdok, apa yang diumumkan oleh Trump diharap sebagai pakej normalisasi yang akan melepaskan Sudan dari bebanan hutang dan bakal merancakkan pembangunan melalui jaminan pelaburan yang besar. Justeru, ianya diharap cukup untuk mengurangkan tuduhan bahawa Sudan mungkin ‘dibuli’ atau ‘diperas ugut’ untuk menyetujui pelan perdamaian yang diusahakan oleh AS itu.

Bagi Israel, penjalinan perjanjian ini sudah pasti akan memberi makna yang besar dari sudut perluasan sokongan negara-negara di benua Afrika terhadap negara itu. Jika selama ini Israel merasai kesan pemboikotan Arab selama bertahun-tahun yang turut disokong oleh negara-negara Afrika, Israel melalui normalisasi  dengan Sudan ini sudah pastinya berharap akan dapat menambah beberapa lagi sekutu baru yang bakal menyuburkan kehadiran dan pengaruhnya di benua Afrika, khususnya negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Cuma apa yang menjadi pertanyaan di sini ialah sejauhmana perancangan yang diatur oleh Trump itu akan bakal dapat direalisasikan. Umum mengetahui, Sudan bukanlah sebuah negara yang stabil politiknya. Sejarah memperlihatkan terdapat begitu banyak pertukaran kerajaan yang berlaku di negara itu yang akhirnya mendedahkan negara tersebut kepada ketidakstabilan dan kacau bilau. Jika ini berlaku, orang yang paling untung dalam percaturan ini adalah Benjamin Netanyahu. Dia memperoleh sokongan dari sebuah negara Islam yang pernah berperang dengannya dan dalam masa yang sama, mungkin tidak perlu menunaikan janji-janji perdamaian baru sekiranya Sudan kelak bertukar kerajaan yang berpendirian menentang Israel.

Di pihak kita, sama-samalah kita doakan agar jangan ada lagi mana-mana negara Arab/Islam yang sekonyong-konyongnya bangun menyahut seruan perdamaian yang diusahakan oleh AS itu, yang sudah pasti dalam jangka panjangnya boleh melemahkan tuntutan Palestin ke arah penubuhan negara sendiri yang berdaulat dan merdeka. 

Kita juga agak risau bilamana Trump ada menyebutkan banyak lagi negara Arab yang akan tampil menyetujui pelan perdamaian yang diusahakan oleh AS itu. Antaranya, menurut pentadbiran Trump, adalah ARAB SAUDI…Subhanallah! Kemusnahanlah bagi Palestin dan Islam sekiranya pelan ini benar-benar menjadi kenyataan.


Wallahu a’alam (MMO)


No comments:

Post a Comment