Friday, January 15, 2021

DIARI KEHIDUPAN VIII : PELARIAN ROHINGYA DIPINDAHKAN KE PULAU KONTROVERSI


Pelarian Rohingya dipindahkan ke Pulau Bhashan Char

Berakhirnya tahun 2020 lalu secara perkiraannya, menggenapkan tempoh empat tahun tertundanya rancangan penghantaran pulang pelarian Rohingya ke kampung halaman mereka di Rakhine, Myanmar.

Tolak menolak yang berlaku antara Myanmar dan Bangladesh khususnya ketiadaan jaminan keselamatan di pihak Myanmar terhadap pelarian yang bakal pulang telah menyebabkan ramai pelarian takut untuk kembali ke Myanmar. 

Di satu pihak lain, Bangladesh sendiri merasa tidak yakin untuk menghantar mereka pulang ke kampung halaman masing-masing disebabkan tiadanya jaminan keselamatan terhadap mereka yang ingin pulang. 

Kesudahannya, rancangan penghantaran pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh ke Myanmar yang dirancangkan pada tahun 2017 lalu terus malap dan berterusan tertunda hingga ke hari ini.

Sementara itu, kehidupan pelarian di kem perlindungan sementara di Cox’s Bazar terus dihantui dengan kesesakan berikuatan semakin ramai pelarian yang masuk mencari perlindungan di kem berkenaan sejak kemasukan pertama mereka dalam tahun 2017 lalu. Sehingga akhir tahun 2020 lalu, dianggarkan seramai lebih 1 juta pelarian Rohingya telah ditempatkan di kem itu.

Masalah kesesakan, kurangnya bekalan elektrik dan air bersih, ancaman banjir, dan tidak kurang, masalah jenayah, dadah dan kongsi gelap, telah membuatkan kehidupan pelarian di kem tersebut menjadi semakin tidak selamat. Hal ini telah membuatkan kerajaan Bangladesh tidak mempunyai banyak pilihan selain terpaksa mempercepatkan tindakan memindahkan mereka ke sebuah pulau yang penuh kontroversi kerana kedudukannya yang dianggap tidak selamat kerana terdedah kepada laluan taufan dan ancaman banjir.

Pulau tersebut, Bhashan Char, yang perjalanan laut ke sana mengambil masa kira-kira 1 jam dari daratan terdekat, merupakan pulau yang timbul dari laut kira-kira 20 tahun lalu dan dikatakan tidak berpenghuni. Pulau ini yang berkeluasan 52 km persegi, terletak di Teluk Benggala yang juga merupakan kawasan laluan taufan monsun dan mudah terdedah kepada bencana banjir. Malah, ada yang berpendapat pulau ini bakal tenggelam jika berlakunya air pasang besar. 


   Lokasi pulau Bhashan Char

Hal ini telah menyebabkan kumpulan hak asasi dan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri menaruh curiga terhadap keselamatan pelarian yang bakal dihantar ke pulau itu.

Bagaimanapun, pada akhir Disember lalu, pihak berkuasa Bangladesh secara rasminya telah menghantar 1,640 pelarian Rohingya ke pulau itu bagi fasa pertama pemindahan yang melibatkan perancangan keseluruhan 100,000 orang. 

Kumpulan hak asasi mendakwa kebanyakan pelarian dalam kumpulan fasa pertama itu dipaksa berpindah ke sana. Bagaimanapun, Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen, berkata dakwaan kumpulan itu adalah 'satu penipuan' kerana kemudahan di pulau itu adalah jauh lebih baik berbanding apa yang ada di kem pelarian Cox’s Bazar.

"Hakikatnya, Myanmar tidak akan menerima mereka kembali dan Bangladesh tidak mampu menampung kemasukan mereka," katanya. 

Bangladesh membelanjakan AS$400 juta (RM1.6 bilion) bagi membangunkan tempat perlindungan dan tebing banjir berukuran tiga meter di sepanjang kem itu. Pelarian yang dibawa ke sana diberikan bilik dan peralatan rumah bagi membolehkan mereka memasak serta memulakan kehidupan baharu. 

Pihak berkuasa Bangladesh berkata penempatan semula akan mengurangkan kesesakan di kem pelarian yang sering dilanda tanah runtuh selain menghapuskan keganasan kumpulan ekstremis dan kongsi gelap berkaitan kes dadah. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kemudahan kesihatan dan pendidikan disediakan di pulau berkenaan atau pelarian dibenarkan untuk meninggalkan kawasan itu mengikut kemahuan mereka. 

Pejabat Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bangladesh berkata pihaknya dihalang daripada menilai tahap keselamatan, keupayaan dan kemampanan pulau itu untuk dijadikan tempat tinggal. Keselamatan di pulau itu diperketatkan dan balai polis dengan lebih 300 anggota ditempatkan di kawasan itu. 

Dalam masa terdekat, Bangladesh dikatakan akan menghantar kumpulan kedua pelarian Rohingya ke pulau tersebut disebalik adanya gesaan kumpulan hak asasi agar usaha itu dihentikan atas alasan keselamatan pelarian. Kumpulan ini dianggarkan seramai 1,100 orang dikatakan terdiri daripada mereka yang melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh untuk menyertai pelarian yang sedia berada di Cox’s Bazar. 

Bagi menangkis tohmahan yang dilemparkan, Bangladesh menyatakan ia hanya memindahkan individu yang mahu berpindah ke pulau itu secara sukarela dan penempatan semula akan mengurangkan kesesakan di kem pelarian yang kini didiami lebih sejuta etnik Rohingya. 

Pegawai kerajaan bertanggungjawab menguruskan pelarian, Mohammed Shamsud Douza, berkata benteng sepanjang 12 kilometer (km) sudah dibina untuk melindungi pulau itu daripada banjir.

Selain itu, kemudahan perumahan untuk 100,000 orang dan pelbagai infrastruktur seperti kedai, sekolah serta pusat rawatan sudah disediakan bagi mereka yang mahu berpindah secara sukarela. 

Sekadar rekod, pada akhir tahun lalu, ribuan etnik Rohingya yang tinggal di kem pelarian Bangladesh, melalui satu bancian, menyatakan persetujuan mereka untuk berpindah ke sebuah pulau di Teluk Bengal, walaupun wujud kebimbangan kawasan itu cenderung banjir. Pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Mahbub Alam berkata, pihak berkuasa yang memantau pemindahan akan dihantar ke pulau Bhashan Char, sebelum perpindahan dilakukan. 

Menurut beliau lagi, kira-kira 6,000 hingga 7,000 pelarian sudah menyuarakan kerelaan dipindahkan ke Bhashan Char, sambil menambah jumlah pelarian yang bersetuju dijangka akan meningkat.

Pada tahun lepas juga, wakil khas hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Yanghee Lee telah dibawa melawat sebuah pulau di luar pantai Bangladesh yang disebut-sebut menjadi lokasi penempatan semula pelarian Rohingya walaupun wujud kebimbangan, ia terdedah kepada cuaca buruk. 

Menteri Luar Bangladesh, A.K. Abdul Momen pada awal Januari lalu berkata, Dhaka tidak menyembunyikan apa-apa di pulau terbabit dan mereka sedia membawa diplomat yang berminat untuk mengadakan lawatan ke pulau berkenaan sebaik kerja pembinaan selesai. 

Apa pun, kita mendoakan yang terbaik untuk pelarian Rohingya yang akan dipindahkan ke pulau yang dikatakan berkontroversi itu. Setidak-tidaknya, perpindahan tersebut diharap akan dapat mengurangkan kesesakan yang wujud di kem yang sedia ada di Cox’s Bazar di samping mengatasi masalah-masalah lain seperti jenayah, dadah, dan terbaharu, ancaman Covid-19.

Di satu sudut yang lain, kita mendoakan perancangan di pihak Bangladesh akan membuahkan kejayaan sepertimana yang diharapkan. Ini kerana, sepertimana yang dikatakan oleh kerajaan Bangladesh, Myanmar sememangnya tidak akan menerima kembali pelarian Rohingya untuk kembali ke negara asal mereka, sedang di pihak Bangladesh, perancangan jangka panjang sudah tentunya diperlukan bagi mengatasi masalah yang kian meningkat di kem pelarian yang sedia ada. 


Wallahu ‘alam (MMO)


No comments:

Post a Comment