![]() | ||||
'Kem Pendidikan Ulangan' di Xinjiang, China |
Tempoh sepanjang suku
tahun ketiga (Julai – September) 2019 memperlihatkan sedikit kemajuan dari
sudut mendapatkan perhatian dunia terhadap nasib yang dilalui oleh etnik Uighur
di Cina.
Pada 13 Julai 2019
misalnya, sekumpulan lebih daripada 20 negara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) telah menandatangani surat yang dihantar kepada Pesuruhjaya Tinggi bagi
Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) bagi menggesa China supaya
tidak sewenang-wenangnya melakukan penahanan terhadap etnik Uighur dan minoriti
lain di wilayah Barat Laut negara itu.
Dalam tempoh liputan ini
juga, beberapa negara kuasa besar, terutama Amerika Syarikat telah turut
mempamirkan sokongan terhadap etnik Uighur dengan memperingatkan China supaya
menyelesaikan isu berkaitan layanan terhadap etnik Uighur dan tidak
sewenang-wenangnya melaksanakan tekanan serta kekerasan terhadap mereka.
Berikut adalah beberapa
lagi peristiwa penting yang berlaku dalam tempoh liputan, untuk kita amati dan
mengatur gerak langkah bagi membantu di mana yang termampu.
5
Julai 2019
Erdogan
yakin penyelesaian baru buat etnik Uighur mungkin dicapai
Presiden Turki, Recep
Tayyip Erdogan melahirkan keyakinannya bahawa satu penyelesaian mungkin dicapai
bagi membantu umat Islam yang ditahan di kem-kem tahanan di China, dengan
mengambil kira sensitiviti kedua-dua negara.
Erdogan dalam nada lembut
berkata demikian selepas bertemu Presiden China, Xi Jingping di Beijing, pada 4
Julai 2019 lalu.
“Saya percaya kita akan
mencapai penyelesaian berhubung isu itu dan mengambil kira sensitiviti
kedua-dua negara,” katanya kepada wartawan Turki di Beijing, sebelum pulang ke
Ankara.
Turki adalah satu-satunya
negara majoriti umat Islam yang sering mengkritik China berhubung penahanan
kira-kira sejuta muslim etnik Uighur, serta minoriti Islam lain di wilayah
Xinjiang.
Beijing meningkatkan
kempen penindasan terhadap etnik minoriti muslim di Xinjiang susulan siri
serangan dan rusuhan kaum sejak lebih 10 tahun lalu.
China bagaimanapun,
menafikan menahan umat Islam Xinjiang sewenang-wenangnya dan mendakwa kem
tahanan itu adalah pusat latihan vokasional bertujuan menjauhkan penduduknya
daripada sikap ekstremis.
Namun, sehingga kini
Beijing tidak membenarkan mana-mana agensi atau pertubuhan antarabangsa melawat
pusat tahanan itu.
Februari lalu, Kementerian
Luar Turki mengecam layanan China terhadap etnik Uighur dan menyifatkannya
sebagai ‘memalukan kemanusiaan’ serta berkata, mereka yang ditahan di kem-kem
terbabit didera dan diindoktrinasi.
Uighur, kumpulan etnik
Turki merangkumi 45 peratus populasi Xinjiang, menuduh Beijing melakukan polisi
keras terhadap mereka, termasuk mengenakan beberapa larangan berkaitan agama
Islam, perdagangan dan aktiviti budaya.
6
Julai 2019
Ramai kanak-kanak
Uighur dikatakan “hilang”
Satu kajian tidak rasmi
yang dilakukan oleh pihak media mendedahkan pihak berkuasa China sengaja
memisahkan kanak-kanak minoriti Islam daripada keluarga mereka di wilayah
Xinjiang.
Berdasarkan dokumen yang
disokong melalui temu bual bersama puluhan keluarga, BBC News berjaya
mengumpulkan beberapa bukti yang komprehensif tentang apa yang berlaku,
termasuk kempen besar-besaran untuk membina “sekolah asrama” di wilayah itu.
Dokumen tersebut antara
lain melaporkan terdapat lebih 400 kanak-kanak di satu bandar sahaja kehilangan
salah seorang atau kedua-dua ibu bapa yang berada di bawah kempen penahanan
yang dilancarkan sejak tiga tahun lalu.
Susulan itu, penilaian
formal dilakukan kerajaan untuk menentukan sama ada golongan itu memerlukan
penjagaan pusat yang dikendalikan oleh pihak berkuasa kem.
Di samping itu, usaha
untuk mengubah identiti penduduk dewasa di Xinjiang dikatakan kian giat
dilakukan. Bukti yang dikumpulkan juga menunjukkan terdapat kempen yang
dijalankan secara sistematik untuk menghapuskan asal-usul kanak-kanak tersebut.
Bagaimanapun, kawalan dan
pengawasan yang ketat di Xinjiang di mana para wartawan diekori selama 24 jam
sehari dikatakan menyukarkan usaha di pihak BBC News untuk mengumpulkan bukti
di wilayah tersebut.
Masalah ini sedikit
sebanyak dapat diatasi dengan pihak media menemubual etnik Uighur yang melarikan
diri dan berlindung daripada penindasan di China di Turki. Di sebuah dewan
besar di Istanbul, puluhan orang sanggup beratur untuk berkongsi kisah mereka
dan kebanyakannya memegang foto kanak-kanak yang kini ‘hilang’.
“Saya tidak tahu siapa
yang menjaga mereka. Mereka tidak dapat dihubungi sama sekali,” kata seorang
wanita sambil menunjukkan gambar tiga anak perempuannya.
“Saya dapat tahu mereka
dibawa ke rumah anak yatim,” ujarnya sambil menyapu air mata.
Dalam 60 sesi temu bual
berdasarkan maklumat diberikan ibu bapa dan saudara-mara etnik Uighur
mendedahkan kehilangan lebih 100 kanak-kanak di Xinjiang.
13
Julai 2019
Lebih
20 negara PBB selar China berhubung isu penahanan etnik Uighur
Lebih
20 negara anggota PBB menggesa China agar tidak melakukan penahanan
sewenang-wenangnya ke atas etnik Uighur dan minoriti lain di wilayah autonomi
yang terletak di barat laut negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu dengan
memetik sepucuk surat daripada diplomat ke Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
Surat
kepada presiden UNHCR itu ditandatangani diplomat 22 negara termasuk Australia,
New Zealand, Kanada, Jepun, United Kingdom, Perancis, Jerman, Sweden, Latvia, Lithuania,
Estonia, Denmark, Norway, Ireland Utara, Belanda, Iceland, Luxembourg,
Sepanyol, Austria, Ireland, Belgium dan Switzerland.
Wilayah
Xinjiang di China merupakan kediaman kira-kira 10 juta orang Uighur. Kumpulan
Islam Turki itu, yang membentuk kira-kira 45 peratus daripada populasi
Xinjiang, sudah lama mendakwa pihak berkuasa China melakukan diskriminasi
budaya, agama dan ekonomi.
“Kami
menggesa China agar menegakkan undang-undang negaranya dan kewajipan
antarabangsa serta menghormati hak asasi manusia dan kebebasan asas, termasuk
kebebasan beragama atau kepercayaan, di Xinjiang dan seluruh China.
“Kami
juga menggesa China agar tidak melakukan penahanan sewenang-wenangnya dan
sekatan terhadap kebebasan pergerakan etnik Uighur dan komuniti Islam serta
minoriti lain di Xinjiang,” menurut surat yang ditandatangani oleh diplomat dari
negara-negara Barat berkenaan.
Surat
itu menzahirkan kebimbangan berkaitan laporan mengenai pusat tahanan,
pengawasan intensif dan sekatan lain yang khususnya menyasarkan etnik Uighur dan
minoriti lain di Xinjiang.
Sementara
itu, Duta China ke PBB, Chen Xu menyangkal dakwaan tersebut dan berkata surat
berkenaan ditulis oleh “sekumpulan kecil negara Barat dan bermotifkan politik.”
Dalam
satu laporan pada September tahun lepas, Human Rights Watch mendakwa kerajaan
China melaksanakan satu “kempen yang melanggar hak asasi manusia secara
sistematik” terhadap umat Islam etnik Uighur di Xinjiang.
18
Julai 2019
Australia
seru China benar ibu Uighur dan bayinya meninggalkan Xinjiang
Kerajaan
Australia semalam menyeru kepada China untuk membenarkan seorang bayi Australia
dan ibunya yang berbangsa Uighur untuk meninggalkan negara tersebut, seterusnya
meningkatkan tekanan ke atas Beijing beberapa hari selepas Canberra sama-sama
menandatangani sepucuk surat yang mengecam layanan China terhadap masyarakat
minoriti Uighur.
China
telah menangkap kira-kira sejuta orang Uighur dan warga minoriti lain yang
kebanyakannya beragama Islam dan bercakap dalam bahasa Turki dan menempatkan mereka
dalam “kem pendidikan semula” di wilayah Xinjiang yang dikawal ketat di barat
laut negara itu.
Canberra
pada mulanya menafikan kerakyatan kepada si bayi Lutifeier, yang dilahirkan di
Xinjiang pada Ogos 2017 kepada seorang bapa warga Australia dan seorang ibu
Uighur tetapi menarik balik keputusan itu pada tahun lepas setelah perkara itu
dibawa ke mahkamah.
Bapa
bayi tersebut, Sadam Abdusalam, berkempen selama berbulan-bulan supaya
isterinya yang berbangsa Uighur, Nadila Wumaier, dan bayi lelaki mereka, yang Abdusalam
tidak pernah lihat, dapat datang ke Australia.
Semalam
Menteri Luar Marise Payne berkata, “kedutaan di Beijing sudah secara rasmi
memohon agar pihak berkuasa China membenarkan Cik Wumaier dan anaknya (yang
merupakan seorang warga Australia) untuk pergi ke Australia”.
Kenyataan
itu dibuat selepas Abdusalam menceritakan tentang nasibnya secara terbuka buat
pertama kali kepada badan penyiaran kebangsaan ABC pada Isnin lepas.
Canberra
biasanya berusaha untuk mengelak pergeseran dengan rakan niaga ter-besarnya
tetapi ketegangan antara kedua-dua negara telah meningkat berhubung kebimbangan
mengenai keselamatan dan pembabitan Beijing yang semakin meningkat di rantau
Pasifik.
19
Julai 2019
Trump
menerima kunjungan sekumpulan etnik Uighur di Rumah Putih
Presiden Amerika Syarikat,
Donald Trump menerima kunjungan 27 orang yang dikaitkan sebagai ‘mangsa
penganiayaan atas nama agama’ dari sejumlah negara di Rumah Putih. Seramai
empat orang dari mereka dikatakan dari etnik Islam Uighur dari Xinjiang.
Pertemuan tersebut dikatakan
diatur sesuai dengan prinsip kebijakan luar AS yang mempelopori kebebasan
beragama. Pertemuan tersebut juga menjadi sebahagian dari konferensi yang dianjurkan
oleh Kementerian Luar AS yang turut dihadiri Wakil Presiden AS, Mike Pence dan
Setiausaha Negara, Mike Pompeo.
Salah seorang daripada
etnik Uighur yang hadir dalam pertemuan tersebut dikatakan telah memberitahu
Trump bahawa Pemerintah Cina telah menjatuhkan hukum penjara seumur hidup
terhadap ayahnya, seorang profesor ekonomi pada tahun 2014. Beliau juga merupakan seorang pejuang hak
asasi kemanusiaan bagi Uighur.
23
Julai 2019
China
dakwa warga Uighur dulunya dipaksa masuk Islam
Pemerintah China, menerusi
sebuah kertas putih yang dikeluarkan, mendakwa warga Uighur di Xinjiang dulunya
dipaksa masuk Islam padahal wilayah itu telah menjadi sebahagian daripada China
selama ribuan tahun. Dakwaan ini dinilai sebagai alasan bagi membenarkan terhadap
tindakan kontroversi China terhadap etnik minoriti tersebut.
Laporan yang diterbitkan
pada 21 Julai oleh Departmen Informasi China itu merupakan sebahagian daripada
strategi propaganda pemerintah China dalam menginterpretasi sejarah Uighur dari
kacamata Parti Komunis China.
Laporan itu mendakwa
"Islam bukanlah sistem kepercayaan asli atau tunggal dari masyarakat
Uighur".
Islam juga didakwa disebarkan
ke Xinjiang oleh "Kekaisaran Arab" dan orang-orang Turki Uighur
"mengalami perbudakan di tangan orang Turki".
"Perpindahan agama ke
Islam bukanlah pilihan sukarela yang dilakukan oleh warga, tetapi hasil dari
perang agama dan pemaksaan oleh kelas yang berkuasa," kata laporan itu, sambil
menambah Pemerintah China tetap menghormati "hak kaum Muslim atas agama
mereka".
Lebih dari satu juta warga
Uighur, Kazakh dan etnik minoriti Muslim lainnya ditahan dalam fasilitas yang
disebut oleh kerajaan China sebagai pusat pendidikan kemahiran. PBB menyebut
fasilitas itu sebagai "kem pendidikan ulangan".
Selain mereka yang tinggal
di dalam fasilitas, mereka yang berada di luar kem juga menjadi sasaran
pengawasan, kerana Beijing ingin "memberi karakter China terhadap
Islam".
Laporan Beijing itu juga
diterbitkan sebagai strategi kempen kerajaan China dalam berhadapan dengan
kritikan antarabangsa berkaitan tindakan keras China terhadap warga Uighur,
dengan dalih ianya sebagai tindakan "anti-terorisme" terhadap
separatis Uighur dan ekstrimis Islam.
26
Julai 2019
Polis
Xinjiang ancam pelarian Uighur di luar negara
Umat Islam yang melarikan diri
daripada operasi kejam Kerajaan China di Xinjiang masih hidup dalam ketakutan
ekoran kempen intimidasi global kerajaan walaupun mereka berada di luar negara
dan memiliki pasport negara Barat.
Agensi keselamatan China dilaporkan cuba
menghubungi etnik Uighur di negara demokrasi liberal sehingga ke New Zealand
dan Amerika Syarikat (AS), menerusi pesanan teks serta suara berbaur ancaman,
terhadap ahli keluarga mereka yang masih tinggal di Xinjiang.
Difahamkan, tindakan itu bertujuan memaksa aktivis
supaya berdiam diri, selain bertujuan merekrut pemberi maklumat.
Setakat ini, kempen Parti Komunis di Xinjang
menyaksikan kira-kira sejuta etnik Uighur dan etnik minoriti Islam lain,
dipaksa menyertai pusat vokasional yang menurut pelbagai kajian dan laporan
memberikan layanan keras.
Bagi mereka yang berjaya keluar dan tinggal di luar
negara, wujud aduan mereka serta keluarga diganggu sehingga menjadikan mereka
dalam keadaan tertekan.
Guly Mahsut yang melarikan diri ke Kanada berkata,
beliau hampir membunuh diri dan dimasukkan ke hospital, selepas menerima
pelbagai mesej daripada polis Xinjiang yang mengancam keluarganya di wilayah
konflik itu.
“Kamu patut lebih bekerjasama. Jangan menjadi
sumber nasib malang ahli keluarga kamu di Toksun."
“Kamu patut bertimbang rasa dengan keluarga
sendiri,” menurut satu mesej didakwa daripada seorang pegawai kerajaan bernama
‘Kaysar’.
Mangsa berusia 37 tahun itu percaya beliau menjadi
sasaran kerana mengkritik pihak berkuasa di internet dan sudah membantu etnik
Uighur lain mencari perlindungan di luar negara.
Beliau menerima banyak mesej daripada ahli
keluarga, termasuk adik perempuannya sendiri yang merayu supaya bekerjasama
dengan pihak berkuasa.
Mahsut adalah salah seorang daripada puluhan etnik
Uighur dalam buangan di empat benua yang ditemubual. Mereka turut menunjukkan
banyak mesej teks dan suara yang didakwa daripada anggota keselamatan China
yang menuntut mereka supaya berdiam diri atau bekerjasama dengan pihak
berkuasa.
1
Ogos 2019
Diaspora
Uighur cabar China
Diaspora Uighur
melancarkan kempen media sosial untuk mencabar China membuktikan dakwaan
tentang kebanyakan tahanan yang ditempatkan di kem pendidikan semula di wilayah
Xinjiang kononnya telah dibebaskan.
Pengumuman dibuat Beijing
pada Selasa lalu itu telah mencetuskan kemarahan dan keraguan dalam kalangan
etnik Uighur yang tinggal di luar negara.
"Ia sememangnya tidak
benar. Sepupu saya dan suami rakan saya masih ditahan di kem tersebut,"
kata Guly Mahsut, 37, yang menetap di Kanada.
Mahsut dan beberapa etnik
Uighur yang lain bertindak balas dengan melancarkan hashtag #Provethe90% yang
turut memaparkan kisah dan gambar individu yang hilang serta tidak dapat
dihubungi di Xinjiang.
Hashtag tersebut merujuk
kepada kenyataan Pengerusi Xinjiang, Shohrat Zakir yang mendakwa 'lebih 90
peratus tahanan telah kembali ke pangkuan keluarga'.
"China tidak perlu
mengeluarkan jumlah itu (90 peratus) jika mereka berbuat demikian. Apa yang
mereka perlu buat adalah memberikan akses kepada wartawan ke kem terbabit dan
memberikan kebenaran rasmi kepada penduduk Uighur untuk menghubungi ahli keluarga
mereka di luar negara," ujar Arfat Erkin yang kini menuntut di Amerika
Syarikat.
Kenyataan itu sukar
dipercayai memandangkan Beijing pernah menafikan kewujudan kem pendidikan
semula itu pada tahun lalu.
"Ia seperti gurauan.
Hakikatnya, ramai masih ditahan termasuk bapa dan saudara-mara saya yang
lain," tegasnya.
10 September
2019
China kecam kenyataan Menteri Luar AS berkaitan perlakuan terhadap etnik Uighur
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo menyebut perlakuan pemerintah China
terhadap warga etnik minoriti Uighur sebagai "noda terburuk di
dunia".
Kenyataan Pompeo itu
dikatakan dibuat dalam satu persidangan di Kansas State University, di mana Pompeo
turut berjanji akan menggunakan sidang Majlis Umum PBB bulan ini untuk membawa
isu warga Uighur, yang dilaporkan mengalami penahanan sewenang-wenangnya di
bawah pemerintahan China.
"Ini pada dasarnya
bukan tentang keamanan nasional bagi mereka, ini bukan tentang ekstremisme
Islam di barat laut China," kata Menlu AS itu. "Ini tentang kebebasan
dan martabat bagi individu," ujar Pompeo.
Jurucakap Kementerian Luar
Negeri China, Hua Chunying melahirkan perasaan marah dan kecewa kerajaan China
di atas kenyataan Menlu AS tersebut.
"Kami menyatakan
ketidakpuasan hati kami yang kuat dan penolakan tegas terhadap para pegawai AS
yang mengabaikan fakta, dan secara serius mencampuri urusan dalam negeri
China," katanya kepada wartawan pada persidangan berkenaan di Beijing.
China telah menjadi sasaran
perhatian antarabangsa atas aktivitinya di wilayah barat laut negara itu, di
mana seramai satu juta warga Uighur dan minoriti Islam lainnya ditahan di ‘kem-kem
pendidikan ulangan’.
Kerajaan China pada
awalnya cuba menyangkal keberadaan kem-kem tersebut, tetapi kemudiannya
mengakui kewujudannya sebagai "pusat pendidikan kemahiran", bertujuan
untuk membendung ekstremisme agama dan
terorisme.
13
September 2019
Intelektual
Uighur dicolek secara diam-diam oleh pihak keselamatan China
Seorang intelektual Uighur
bernama Tashpolat Tiyip kini menghadapi ancaman perbicaraan oleh pihak berkuasa
China setelah dua tahun tinggal dalam penahanan secara rahsia. Amnesty
International melaporkan intelektual tersebut diculik secara diam-diam oleh
pihak keselamatan China ketika berkunjung ke Jerman.
Tiyip adalah presiden
Universiti Xinjiang. Pada 2017, beliau mengunjungi Jerman bersama sekumpulan
mahasiswa yang hadir untuk sebuah persidangan. Beliau bagaimanapun dilaporkan telah diculik dan ditahan atas
sebab yang tidak dinyatakan.
Menurut Amnesty
International, Tiyip dihukum atas tuduhan separatisme. Laporan Amnesty
mengatakan, dia dijatuhi hukuman mati, namun pelaksanaan hukuman ke atasnya
ditangguhkan.
Kumpulan hak asasi manusia
(HAM) itu turut melaporkan bahawa beliau ditahan dalam kondisi yang tidak
diketahui, dan hukuman ke atasnya boleh segera terjadi memandangkan tempoh penangguhan
hukuman selama dua tahun ke atasnya akan berakhir bulan ini.
23
September 2019
Bukti
penginayaan China ke atas etnik Uighur tersebar
Satu
rakaman video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan ratusan lelaki yang
ditutup mata digari kaki dengan kepala dibotakkan, dipercayai penduduk Islam
etnik Uighur di China dikumpulkan dekat stesen kereta api untuk dibawa ke kem
tahanan.
Menurut
news.com, rakaman video itu yang tiada pengesahan, disiarkan di YouTube minggu
lalu, menggunakan akaun baru ‘War on Fear’. Rakaman itu turut disiarkan di
Twitter oleh @warcombatfear.
“Masyarakat
sekarang hidup di bawah pengawasan teknologi kerajaan. Orang ramai hilang
kebebasan. Pemimpin Parti Komunis China mendakwa mereka patriotik dan sayangkan
rakyat, namun hakikatnya mereka hanya sayangkan parti dan kuasa.
“Video
ini dirakam di China. Ini adalah penindasan yang sudah sekian lama terjadi terhadap
hak asasi manusia dan asas kebebasan oleh kerajaan China di Wilayah Autonomi
Xinjiang Uighur,” menurut keterangan dalam video berkenaan.
Sumber
agensi keselamatan Eropah memberitahu Sky News, mereka percaya rakaman itu asli
yang mungkin dihasilkan awal tahun ini.
“Kami
sudah meneliti video itu dan percaya ia asli, kejadian itu benar-benar berlaku."
”Ia
menunjukkan 600 tahanan sedang dipindahkan, dirantai antara satu sama lain,
kepala dibotakkan dan ditutup mata dengan tangan diikat."
“Itu
adalah kaedah China memindahkan tahanan,” kata sumber berkenaan.
Menteri
Luar Australia, Marise Payne, berkata: “Saya tahu mengenai video yang
mengejutkan itu disiarkan di Internet.
“Saya
sebelum ini, sudah membangkitkan isu mengenai laporan penahanan beramai-ramai
etnik Uighur dan orang Islam di Xinjiang.
“Kami
sering mendesak China menghentikan penahanan etnik Uighur serta orang Islam,”
katanya.
Julai
lalu, Australia antara 22 negara yang menandatangani surat kepada UNHCR bagi
mengkritik layanan Beijing terhadap etnik Uighur dan mendesak kerajaan China
menghentikan penahanan beramai-ramai itu.
28
September 2019
‘Negara
Islam tak bersuara isu Uighur sebab China kuat'
Negara-negara majoriti
umat Islam tidak bersuara tentang penindasan terhadap masyarakat Uighur di
Xinjiang kerana China sebuah negara yang sangat kuat, kata Perdana Menteri Dr
Mahathir Mohamad.
Dalam wawancara bersama Bernama
News, beliau berkata negara-negara tersebut perlu mencari cara lain dalam menghadapi
China.
"Anda sudah tentu tidak
akan cuba berbuat sesuatu yang akhirnya akan gagal, jadi lebih baik cari cara
lain yang kurang berseteru agar tidak terlalu mencetuskan kemarahan China
kerana China memberi manfaat kepada kami”.
"Tentunya negara itu
rakan dagang besar kami, dan anda tidak mahu berbuat sesuatu yang akan gagal,
dan dalam proses itu, mendapat kesusahan," katanya seperti dilaporkan oleh
Bernama.
Selain sebagai rakan
dagang terbesar Malaysia, kerajaan juga kini terikat dengan sejumlah projek besar
era-BN yang melibatkan China seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
Kerajaan juga masih dalam
rundingan untuk menyelesaikan isu berkenaan di samping dua lagi projek dengan
negara itu, iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas
Trans-Sabah (TSGP).
Mahathir berkata demikian
ketika menjawab soalan tentang sebab negara majoriti Islam, termasuk Malaysia,
tidak bersuara untuk masyarakat Uighur sepertimana bantahan mereka terhadap
layanan terhadap etnik Rohingya dan rakyat Palestin.
Wallahu'alam (MMO)
No comments:
Post a Comment