Monday, July 9, 2018

PROFAIL NEGARA ANGGOTA OIC : COMOROS



PETA
 


 

  

GEOGRAFI

Comoros terletak di penghujung utara Selat Mozambik, di antara Madagaskar and Mozambik. Secara resmi negara kepulauan ini terdiri daripada empat pulau di kepulauan gunung berapi Comoros iaitu: Mayotte, Grand Comore, Anjouan dan Moheli, di samping beberapa buah pulau kecil. 

Sebagai sebuah negara pulau Comoros tidak berkongsi sempadan dengan mana-mana negara tetangganya. Beberapa negara yang berdekatan dengan negara ini adalah Madagaskar, Mozambik, Seychelles, dan Tanzania.

Sebelum tahun 2002, nama resmi Comoros adalah Republik Federal Islam Comoros.

Sebagai sebuah negara kecil, Comoros hanya memiliki tanah daratan seluas 2.235 kilometer persegi. Dengan keluasan tersebut, Comoros merupakan negara ketiga terkecil di Afrika. Namun begitu, dari segi kependudukan, Comoros termasuk dalam kumpulan negara yang memiliki kepadatan penduduk tertinggi di Afrika.

Comoros memiliki iklim tropika kelautan dengan hanya dua musim iaitu musim lembab dan panas dari November hingga April dan musim  dingin dan kering pada bulan-bulan lainnya.
 

PROFAIL PENDUDUK




Jumlah penduduk Comoros adalah seramai 808,080 (Anggaran Julai 2017)

Penduduk Comoros terdiri dari suku Comoron yang terbentuk daripada sekurang-kurangnya lima etnik utama iaitu Antalote, Cafre, Makoa, Oimatsaha, Sakalava.

Agama Islam adalah agama pegangan utama penduduk Comoros iaitu sebanyak 98%. Mereka berfahaman Sunni, sementara baki 2.0 peratus terdiri daripada penganut Syiah dan agama-agama lain, termasuk Kristian. 

Bahasa-bahasa rasmi Comoros terdiri daripada Bahasa Arab, Perancis dan Bahasa Shikomoro yang merupakan Bahasa campuran antara Bahasa Swahili and Arab.


SEJARAH RINGKAS


Kepulauan Comoros yang terdiri daripada pulau-pulau Mayotte, Anjouan, Moheli, dan Grande Comore mengisytiharkan kemerdekaan dari Perancis pada 6 Julai 1975. Perancis bagaimanapun tidak mengiktiraf kebebasan Mayotte, yang masih di diletakkan di bawah pentadbiran Perancis. Sejak merdeka, Comoros telah menanggung ketidakstabilan politik yang berterusan berpunca daripada adanya beberapa percubaan rampasan kuasa. 

Pada tahun 1997, kepulauan Anjouan dan Moheli mengisytiharkan kemerdekaan dari Comoros. Pada tahun 1999, ketua tentera Kol. Azali Assoumani mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan melalui suatu rampasan secara aman. Beliau mewujudkan perjanjian perkongsian kuasa dalam tahun 2000 yang menetapkan jawatan Presiden Persekutuan akan saling digilirkan antara tiga pulau (kecuali Mayotte), di samping setiap pulau mengekalkan kerajaan tempatan masing-masing. 

Azali memenangi Pilihan Raya Presiden Persekutuan pada tahun 2002 sebagai Presiden Kesatuan Comoros dari Pulau Grand Comore, bagi  tempoh penggal pemerintahan selama empat tahun. 

Azali mengakhiri pemerintahannya pada tahun 2006. Presiden Ahmed Abdallah Mohamed Sambi dipilih sebagai Presiden yang baharu dari Anjouan. Pada tahun 2007, Mohamed Bacar pemimpin  de-facto di Anjouan enggan meletak jawatan apabila pulau-pulau lain di Comoros mengadakan pilihan raya yang sah pada bulan Julai. Kesatuan Afrika (AU) pada mulanya cuba untuk menyelesaikan krisis politik dengan menggunakan sekatan ke Anjouan, tetapi pada bulan Mac 2008, AU dan tentera Comoran merampas pulau itu. Penduduk pulau  umumnya mengalu-alukan langkah itu. 

Pada tahun 2009, penduduk Comoros meluluskan referendum perlembagaan memanjangkan tempoh Presiden dari empat tahun kepada lima tahun. Pada Mei 2011, Ikililou Dhoinine memenangi jawatan Presiden dalam pilihan raya yang dianggap aman, bebas dan adil. 

Dalam pilihan raya berikutnya pada tahun 2016, bekas Presiden, Azali Assoumani memenangi pilihan raya Presiden buat kali kedua, menjadikan jawatan Presiden bergilir kembali ke Pulau  Grand Comore.


POLITIK & PENTADBIRAN

              

1. Pemerintahan

a) Legislatif

Kekuasaan legislatif dipegang oleh Dewan Perhimpunan dengan keanggotaan seramai 33 anggota.

b) Eksekutif

Kekuasaan eksekutif Kepulauan Comoros dipegang oleh Presiden dan Menteri Kabinet yang dipilih oleh Presiden. Presiden memerintah untuk tempoh/ penggal selama 4 tahun. Jawatan Presiden dipegang secara bergilir oleh Presiden dari tiga pulau iaitu Grand Comore, Anjouan dan Moheli.

c) Judikatif

Sistem Kehakiman di Comoros adalah berpandukan sistem kehakiman Perancis dan Arab. Perselisihan biasanya cuba diselesaikan oleh ketua masyarakat atau dibawa ke proses pengadilan. High Council merupakan kuasa pengadilan tertinggi dalam menangani masalah berkaitan perlembagaan, melakukan pengawasan berkaitan pemilihan presiden, dan sebagai badan arbitrasi bagi kes-kes penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah. 

2. Daerah Pentadbiran

Terdiri dari tiga buah pulau: Anjouan, Grand Comore, dan Moheli. Pulau Mayotte ditadbirkan di bawah pentadbiran Perancis.

Ibu kota Comoros, Moroni berada di pulau terbesar, Grand Comore.

3. Parti Politik

Comoros turut mempunyai beberapa buah parti politik. Di antara parti-parti politik yang bergerak aktif adalah;

- Camp of the Autonomous Islands (CdIA)
- Convention for the Renewal of the Comoros (CRC)
- Front National pour la Justice (FNJ)
- Mouvement pour la Democratie et le Progress (MDP)
- Parti Comorien pour la Democratie et le Progress (PCDP)
- Rassemblement National pour le Development (RND)


EKONOMI



Ekonomi Comoros merupakan salah satu ekonomi termiskin dan terkecil di dunia. Dengan mempunyai tiga pulau yang jauh terpisah di antara satu sama lain, masalah perhubungan muncul menjadi masalah utama di negara kepulauan ini. Dengan jalan perhubungan yang terhad, kemudahan pengangkutan yang kurang juga turut memberi kesan kepada pergerakan aktiviti ekonomi, sosial dan pekerjaan. Ini ditambah pula oleh masalah sumber alam semulajadi yang terhad dan tahap pendidikan rakyatnya yang rendah, menjadikan Comoros tidak banyak pilihan melainkan terpaksa bergantung kepada bantuan asing baik dari sudut kewangan mahupun teknikal. 

Pertanian, termasuk perikanan, perburuan, dan perhutanan menyumbang kira-kira 50% daripada KDNK Comoros, sekaligus menjadikannya sektor pekerjaan utama yang menyediakan sebahagian besar daripada hasil eksport negara kepuluan ini. Pendapatan eksport bergantung sepenuhnya kepada tiga jenis tanaman utama iaitu vanila, bunga cengkih, dan “ylang ylang” (intipati minyak wangi). 

Di sebalik kepentingan pertanian terhadap ekonomi, negara ini turut mengimport kira-kira 70% daripada makanannya terdiri daripada beras yang merupakan makanan utama, dan sayur-sayuran kering.

Bekas kuasa penjajah Comoros, Perancis, kekal sebagai rakan dagang utama dan juga penderma utama bantuan kepada negara ini.

Dengan kedudukannya sebagai sebuah negara pulau yang kecil, Comoros turut menghadapi beberapa masalah lain seperti sistem pendidikan yang agak ketinggalan, peluang terhad untuk pembangunan perusahaan komersil dan swasta, perkhidmatan kesihatan yang lemah, sumber eksport yang terhad, dan kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi berbanding pertumbuhan ekonomi. Ini ditambah pula dengan keadaan ketidakstabilan politik yang sering berulang, dan krisis elektrik yang berterusan, ianya telah secara langsung menghalang pertumbuhan ekonomi Comoros. 

Kerajaan baharu yang dipilih pada pertengahan 2016 telah mengambil pendekatan baharu ke arah meningkatkan mobilisasi pendapatan, mengurangkan perbelanjaan, dan meningkatkan akses elektrik, walaupun rang undang-undang gaji sektor awam kekal sebagai salah satu yang tertinggi di sub-Sahara Afrika. Pada pertengahan tahun 2017, Comoros menyertai Komuniti Pembangunan Afrika Selatan dengan 15 negara anggota serantau yang lain.


ISLAM DI COMOROS





Kepulauan Comoros merupakan salah satu negara kecil dengan penduduknya bermajoriti Islam.

Nama 'Comoros' sendiri sebenarnya berasal dari bahasa Arab “al-Qamr” yang bererti bulan. Dengan demikian, Comoros secara langsung dipengaruhi oleh budaya Arab dan agama Islam.

Rakyat Comoros meyakini bahwa Islam sudah mula bertapak di negara mereka sejak zaman Baginda Nabi Muhammad SAW lagi.

Rakyat Comoros terhutang jasa kepada Fey Bedja Mwamba dan Mtswa Mwandze, bangsawan Comoros yang dikatakan telah membawa Islam ke negara kepulauan itu setelah mereka kembali dari  Mekah. Selain mereka, pedagang Arab dan Parsi turut dinamakan antara orang-orang yang berperanan dalam memperkenalkan agama Islam kepada penduduk Comoros.

Islam telah mendapat tempat yang sangat baik di hati masyarakat Comoros. Masyarakat Comoros juga sudah terbiasa melakukan tradisi keislaman dengan baik seperti mengaji Al-Qur'an dan belajar bahasa Arab, menunaikan ibadah haji, serta mempererat persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiyyah).

Para pedagang Arab mulai giat menyebarkan Islam di Comoros pada abad ke-10 Masehi. Pada awal penyebaran Islam, Comoros dihuni orang-orang Arab, terutama Hadramaut, Yaman dan etnik Melayu Indonesia. Mereka mampu beradaptasi dengan penduduk pribumi dan berkomunikasi dengan bahasa Swahili.

Comoros berada di bawah kekuasaan kesultanan Islam sehinggalah negara ini dijajah oleh Perancis pada tahun 1843. Perancis berkuasa penuh ke atas Comoros antara tahun 1843-1909.

Referendum kemerdekaan diadakan di Comoros pada tahun 1974. Namun pulau-pulau yang dihuni minoriti Kristian memilih untuk bergabung bersama Perancis.

Comoros mengistyharkan kemerdekaannya pada 6 Julai 1975 dengan Ahmed Abdallah ditabalkan sebagai Presidennya.

Comoros diterima sebagai anggota Liga Arab pada tahun 1993 M/1414 H. Selain itu, negara ini juga menjadi anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam usaha menjaga konsistensi sebagai republik Islam, rakyat Comoros beserta pejabat pemerintahnya selalu taat menjalankan syari'at Islam secara saksama dan konsisten. Peringatan Hari Besar Islam di Comoros selalunya berlangsung dengan meriah sebagai usaha melestarikan kebudayaan Islam.

Pada umumnya, masyarakat Komoro beraliran Ahli Sunnah wal Jama'ah dengan mazhab Syafi'i. Selain itu, beberapa ajaran tarikat juga dipraktikkan di negeri itu. Antara lain ialah Syadziliyyah, Qadiriyyah, dan sebagainya. Meskipun demikian, toleransi beragama berkembang dengan baik.



Wallahua’alam (MMO).






No comments:

Post a Comment