![]() |
Sebahagian daripada anggota Knesset yang membantah
pembentukan undang-undang
"negara bagi bangsa Yahudi"
|
Menerusi entri saya yang lalu (26
Mac 2018), saya ada membicarakan tentang tindakan kerajaan Israel untuk melaksanakan
rancangan menjadikan negara Israel secara eksklusifnya ‘negara bagi
bangsa Yahudi’. Pada masa laporan tersebut ditulis kerajaan Israel dikatakan telah
menghampiri proses akhir bagi perlaksanaan cadangan tersebut bilamana mereka dilaporkan
bersetuju dengan terma-terma akhir melibatkan pindaan kepada beberapa undang-undang
baharu yang akan membuka laluan bagi Israel untuk diistytiharkan sebagai negara
khusus bagi bangsa Yahudi.
Kini, apa yang dikatakan itu
nampaknya telah pun menjadi kenyataan!. Pada 19 Julai lalu Parlimen Israel yang
dikenali sebagai “Knesset” telah meluluskan undang-undang dalam menjadikan
Israel sebagai “negara bagi bangsa Yahudi” – perlaksanaan kepada suatu cadangan
yang dikatakan telah dibawa dan bincangkan sejak tujuh tahun yang lalu. Draf
undang-undang tersebut yang dibawa oleh parti Likud diluluskan dengan 62 ahli
parlimen menyokong, 55 menentang dan 2 berkecuali.
Undang-undang tersebut turut memperuntukkan
bahawa Baitulmaqdis (Jurusalem) menjadi ibu negara Israel, bahasa Yahudi
(Hebrew) menjadi bahasa rasmi, kalender Yahudi menjadi kalender rasmi termasuk
bagi sambutan Hari Kemerdekaan, hari peringatan, cuti umum dan hak semua
penduduk Israel untuk memelihara warisan mereka tanpa pertimbangan agama dan
kewarganegaraan.
Amat malang, undang-undang yang
bersifat zalim dan menindas, tidak adil dan tidak demokratik itu akhirnya
diluluskan juga oleh Knesset di sebalik adanya tentangan kuat dari rakyat dan
kerajaan Palestin, juga dunia Arab dan dunia Islam lainnya. Ianya juga telah
melanggari dengan jelasnya berpuluh-puluh resolusi yang dibuat oleh Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Israel, khususnya berkaitan tuntutan supaya Israel mematuhi beberapa larangan dalam hubungannya dengan Palestin bagi
membolehkan tercapainya rundingan damai Israel-Palestin.
Dengan tertegaknya undang-undang “negara
bagi bangsa yahudi” itu, beberapa kebimbangan yang serius, khususnya dalam kalangan rakyat
Arab Palestin yang sebelum ini sedia menetap dan dilihat telah pun diterima
sebagai “warga Israel” itu kini mulai
mengundang perdebatan. Ini termasuklah
dari kalangan sejarawan Yahudi, bekas ketua agama dan penulis serta para bijak
pandai Yahudi itu sendiri.
Presiden Kursi Sejarah Yahudi di
Universiti Wake Forest, North Carolina, Barry Trachtenberg berpandangan, Israel
kini melaksanakan undang-undang ‘negara’ sendiri yang akan meminggirkan
kewujudan 20 peratus penduduk Israel berketurunan Arab Palestin. Beliau yang
juga merupakan pakar sejarawan Yahudi Eropah turut menyifatkan pengumuman kerajaan
Israel tersebut sebagai sesuatu yang sangat menyedihkan kerana penduduk Yahudi sebelum
ini menolak dasar itu.
Menurut beliau, sejarah menunjukkan
undang-undang itu akan membawa kepada penga-singan, perkauman, penindasan,
pemenjaraan dan penghapusan etnik. “Tidak akan wujud kesamarataan dalam negara
apabila seseorang itu diberi hak berdasar undang-undang dan secara sistematik
lebih tinggi daripada yang lain,’’ katanya dalam suatu wawancara dengan agensi
berita Al-Jazeera.
Menurut Trachtenberg, pada awal
abad ke-20, golongan Yahudi di seluruh Eropah menuntut diberi hak perlindungan
sebagai kumpulan minoriti di tempat tinggal masing-masing. Bagaimanapun,
menurutnya, keinginan untuk mencatat sejarah dengan bahasa dan institusi
sendiri kemudiannya mulai dikongsi di setiap peringkat penduduk Yahudi,
khususnya ramai golongan zionis. Namun demikian, banyak negara Eropah dikatakan
tidak mengendahkan permintaan mereka dan terus melihat golongan Yahudi sebagai
‘manusia yang tidak dikehendaki’.
Sementara itu, bekas Ketua Paderi
dan Ketua Gereja Latin Baitulmuqaddis, Michel Sabbah, dilaporkan berkata
undang-undang ‘perkauman’ itu tidak mengejutkannya. “Undang-undang baharu itu
diluluskan kerana pemimpin Israel sekarang adalah golongan ekstrimis dan saya
merasakan ini adalah langkah pertama ke arah rancangan lebih besar untuk
menguatkuasakan undang-undang terhadap penduduk Arab,’’ katanya kepada pihak
Al-Jazeera.
Demikian juga dengan seorang lagi
penulis yang juga ilmuwan Israel, Yossi Klein Halevi, dilaporkan ada membuat
kenyataan kepada Al-Jazeera bahawa undang-undang baharu itu adalah `kenyataan
provokatif yang tidak wajar yang akan menjejaskan keyakinan diri penduduk Arab
yang kini merasakan kedudukan mereka di Israel masih tidak pasti’. Undang-undang
baharu tersebut juga disifatkan penulis sebagai suatu tindakan menindas ke atas
minoriti Arab, setidak-tidaknya secara psikologi.
Satu pandangan lain yang agak
menarik juga turut datangnya dari seorang wartawan Israel, Seth Frantzman, yang
mengatakan bahawa ketika penduduk Israel bukan Yahudi melahirkan kebimbangan
terhadap undang-undang berkenaan, penduduk Yahudi Israel pula tidak melihat
sebarang perubahan dalam kehidupan harian mereka. “Di Israel, kamu tidak akan
dapat melihat mereka yang teruja atau tidak kerana bagi penduduk Yahudi Israel,
undang-undang itu baharu itu hanya memperkukuhkan undang-undang yang telah
sedia ada,’’ katanya.
Frantzman malah berpandangan
bahawa undang-undang itu tidak membawa sebarang pembaharuan kerana keadaan sama
telah pun wujud sejak penubuhan Israel lagi. “Identiti penduduk Arab termasuk bahasa mereka
telah diketepikan dan dinafikan melalui proses perundangan yang bersifat
perkauman. Bahasa Arab yang sebelum ini diiktiraf oleh undang-undang sebagai
bahasa rasmi kini telah diturunkan taraf. Kaum minoriti yang selama ini
telahpun dilayan sebagai rakyat kelas kedua kini akan terus dipinggirkan dengan
lebih teruk lagi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Al-Jazeera.
Dalam Parlimen Israel sendiri,
pihak pembangkang menyifatkan undang-undang baharu Israel itu sebagai suatu
dasar bersifat perkauman (apartheid). Demikian juga dengan sebahagian rakyat Yahudi
Israel, mereka menentang undang-undang tersebut dengan menyifatkannya
sebagai suatu tindakan menindas, bercanggah dengan kehendak asasi kemanusiaan
dan merosakkan perpaduan di kalangan rakyat Israel yang terbina selama ini.
Di kalangan masyarakat Arab
Palestin di Israel, mereka mula merasakan tamparan paling awal dari kewujudan
undang-undang tersebut bilamana bahasa Arab
yang sebelum ini diiktiraf sebagai bahasa rasmi bersama-sama bahasa Yahudi/Hebrew
kini telah diturunkan taraf menjadi bahasa kedua selepas bahasa Hebrew.
Nah…sekarang kita berhadapan
dengan satu lagi cabaran dan mala petaka yang melanda umat Islam khususnya warga Arab Palestin di negara haram Israel dan warga Palestin sendiri, khususnya dari
sudut survival masa depannya dalam konteks hubungan Israel-Palestin. Apakah yang termampu dilakukan oleh PBB dalam
berhadapan dengan tindakan Israel ini yang jelas melanggar begitu banyak resolusi
badan dunia tersebut melalui perlaksanaan undang-undang baharunya itu? Antaranya
berkait dengan status Baitulmaqdis yang kini “dirampas oleh Israel” untuk
dijadikan ibu negara baharu bagi negara haram itu!
Di kalangan pertubuhan
negara-negara Islam, khususnya Organisasi Kerjasama Islam (OIC),
sekali lagi kita diundang untuk melihat sejauhmana peranan organisasi ini akan
mampu membela nasib umat dan negara Palestin yang kelihatannya terus dibuli
secara bertubi-tubi oleh kaum Yahudi ini. Apakah ia akan berada di status atau nasib yang
sama sepertimana status resolusi-resolusi di Sidang Tergempar OIC dalam bulan
Mei lalu? Sama-samalah kita perhatikan...
Wallahua’alam
(MMO).
No comments:
Post a Comment