Wednesday, April 11, 2018

TEKANAN DUNIA PERLU UNTUK SELESAIKAN ISU ROHINGYA


Pemandangan udara perkampungan etnik Rohingya yang hangus dibakar oleh tentera Myanmar

Demikianlah, telah habis nampaknya usaha yang mampu digerakkan bagi mendapatkan komitmen dan keikhlasan Myanmar dalam menyelesaikan isu kekerasan ke atas etnik Rohingya di negara itu, juga isu pelarian Rohingya yang sehingga kini tidak menampakkan tanda-tanda ke arah penyelesaiannya.

Janji demi janji telah dibuat oleh pihak berkuasa Myanmar untuk menyelesaikan isu pelarian Rohingya itu. Bermula dengan pernyataan kesediaan Myanmar untuk menerima pelarian Rohingya untuk kembali ke Myanmar seawal penghujung tahun lalu yang sehingga hari ini tidak menjadi kenyataan, membawalah kepada janji Myanmar untuk sedia berkerjasama dengan kumpulan pengumpul maklumat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menyiasat dakwaan pembersihan etnik Rohingya di Myanmar – semuanya tidak bergerak ke mana dengan etnik Rohingya sebaliknya bertambah menderita.

Beberapa bulan lalu kita dikejutkan dengan laporan adanya usaha di pihak berkuasa Myanmar untuk menutup bukti berlakunya pembersihan etnik Rohingya dengan cara meratakan keseluruhan perkampungan etnik Rohingya di Rakhine untuk dijadikan kawasan industri. Dengan cara itu, perkampungan etnik Rakhine tidak lagi akan mudah untuk dikesan di atas muka bumi Myanmar kerana apa yang wujud nanti adalah sebuah kawasan lapang yang dikhaskan bagi tujuan pembangunan industri baru di Myanmar.

Selepas itu, kita ada mendengar mengenai betapa adanya penentangan yang begitu kuat dari kerajaan Myanmar terhadap hasrat PBB untuk menghantar pasukan pengumpul maklumat badan dunia itu bagi menyiasat sejauhmana benar tidaknya dakwaan berlakunya kejadian pembersihan etnik Rohingya di Myanmar. Berikutan adanya penentangan itu, usaha PBB untuk membantu menyelesaikan isu Rohingya tertangguh buat sekian lamanya – cukup untuk masa yang terluang itu dipergunakan sebaik  mungkin oleh rejim tentera Myanmar bagi menghapuskan bukti kejadian pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik Rohingya di negara itu.

Terbaharu, rejim tentera Myanmar mengumumkan bahawa semua anggota tenteranya ‘bersih’ daripada semua tuduhan berhubung kempen keganasan yang dilakukannya di negeri Rakhine. Penafian tersebut dilaporkan telah dibuat oleh Penasihat Keselamatan Kebangsaan Myanmar, Thaung Tun  dalam usaha terdesak beliau untuk mempertahankan tindakan anggota tenteranya dengan menyatakan jenayah tersebut tidak berlaku, sebaliknya semua bukti yang dikumpulkan adalah merupakan suatu tuduhan yang tidak berasas.

Beliau, tanpa rasa bersalah (atau sengaja bersikap sebegitu rupa dengan tujuan untuk menutup kesalahan tentera Myanmar) berulang kali mendesak bukti berlakunya penghapusan etnik itu dikemukakan.  Persoalannya, bagaimana bukti tersebut akan dapat dikemukakan bilamana pasukan pencari bukti dari PBB itu sendiri dihalang daripada memasuki Rakhine, wilayah yang menyaksikan berlakunya kejadian yang dikatakan benar-benar berada di luar daripada prinsip kemanusiaan itu?.

Kenyataan di pihak junta Myanmar itu jelas bertentangan dengan kenyataan Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Zeid Ra’ad al-Hussein yang baru-baru ini mendedahkan wujudnya tindakan secara sengaja oleh pihak berkuasa Myanmar dalam menghapuskan bukti jenayah yang dilakukan terhadap etnik Rohingya.

Kenyataan tersebut dibuat berdasarkan penemuan begitu banyak kubur-kubur besar yang mengandungi mayat etnik Rohingya yang dibunuh oleh pihak tentera Myanmar di beberapa kawasan terpencil di wilayah  Rakhine.

Zeid Ra’ad malah mendakwa, penghapusan etnik Rohingya yang bermula sejak Ogos tahun lalu masih lagi berterusan hingga sekarang sepertimana yang dapat dilihat  masih ramai etnik Islam Rohingya yang melarikan diri beramai-ramai ke Bangladesh.

Menurut Zaid Ra’ad, mangsa dilaporkan telah dibunuh dengan kejam, dirogol, diseksa dan diculik oleh anggota keselamatan dan kumpulan militan Buddha selain cubaan  memaksa dan menakut-nakutkan etnik itu supaya meninggalkan kediaman masing-masing. Turut dikatakan berlaku adalah tindakan menyekat kemasukan bekalan makanan ke kawasan penempatan etnik Rohinya yang dilakukan oleh pihak tentera dan kumpulan militan Buddha dengan tujuan untuk memaksa etnik Rohingya meninggalkan kampung halaman masing-masing.

Malah katanya, PBB turut menerima laporan bahawa pihak berkuasa negara itu telah me-nyerahkan tanah milik etnik Rohingya kepada etnik lain untuk menggantikan mereka.

Justeru dengan melihat tiada suatu pun usaha yang setakat ini benar-benar dapat menundukkan rejim tentera Myanmar untuk sedia berkerjasama bagi menyelesaikan isu Rohingya, maka suatu usaha yang lebih konkrit tidak dapat tidak, haruslah segera digerakkan bagi menyelesaikan isu Rohingya yang sehingga kini tidak menampakkan sinar ke arah penyelesaiannya.

Tindakan tersebut tidak lain, adalah dengan mengheret pihak tentera berserta kerajaan Myanmar sekali ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi membuktikan berlakunya penghapusan etnik Islam Rohingya di negara itu. Kerajaan Myanmar perlu diseret sama bagi memberi pengajaran di atas keangkuhan dan ‘kebijaksanaan’ mereka dalam melakonkan aksi ‘tidak bersalah’, degil dan sombong mereka dalam menidakkan perbuatan anggota tentera negara itu terhadap etnik Rohingya.

Penolong Setiausaha Agung Hak Asasi Manusia PBB, Andrew Gilmour sendiri turut muncul antara mereka yang kuat mendesak masyarakat dunia supaya bangun menekan Myanmar bagi menghalang berlakunya kekejaman berterusan terhadap etnik Rohingya.

Beliau yang berkunjung ke Cox’s Bazar, Bangladesh baru-baru ini mendedahkan, pihak berkuasa Myanmar turut me­rampas kawasan pertanian etnik Rohingya manakala haiwan ternakan dicuri atau dibunuh. Di beberapa kawasan, etnik berkenaan dikatakan tidak dibenarkan meninggalkan kediaman ma­sing-masing bagi menghalang mereka pergi bekerja dan membeli makanan.  Tindakan di pihak tentera Myanmar itu seolah-olah  mahu menyiksa dan membiarkan etnik Rohingya kelak mati kebuluran.

“Situasi aman jelas tidak wujud di Rakhine bagi memboleh­kan etnik Rohingya pulang ke Myanmar dengan selamat,” katanya.

Ini sekali gus membenarkan kenyataan Menteri Kanan Bangladesh, Abul Maal Abdul Muhith yang secara lantang menggelar kerajaan Myanmar sebagai  ‘syaitan’, ‘penyangak’ dan tidak boleh dipercayai berhubung isu penghantaran pu­lang etnik berkenaan. 

Sementara itu, seorang anggota penyiasat bebas hak asasi manusia PBB di Myanmar, Yang Hee Lee,  turut mene­gaskan banyak bukti yang telah dikumpulkan setakat ini mampu menyokong kebenaran fakta berlakunya pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya oleh pihak tentera Myanmar.

Lee yang kini dihalang oleh kerajaan Myanmar untuk me­ngunjungi negara itu mendesak agar barisan pemimpin kerajaan Myanmar dipertanggungjawabkan terhadap jenayah tersebut kerana tidak bertindak menghentikannya.

Dalam pada itu, kumpulan misi pencarian fak­ta yang ketuai bekas Peguam Negara Indonesia, Marzuki Da­rus­man dijangka akan mendedahkan penemuan penting tentang kekejaman Myanmar terhadap etnik Rohingya sebaik dapatan mengenainya dilengkapkan. Penemuan dan pendedahan bukti terbaharu itu perlu dijadikan ‘senjata’ paling ampuh yang mampu merobohkan benteng keangkuhan Myanmar dalam melindungi perbuatan mereka yang melanggar norma-norma kemanusiaan dan antarabangsa itu.  

Wallahua'alam (MMO).

*****



No comments:

Post a Comment