![]() | |||
Rumah-rumah sementara yang kebanyakannya dibina di kawasan lereng bukit |
Sejak terhentinya rancangan penghantaran pulang pelarian Rohingya dari Bangladesh ke kampung halaman mereka di Myanmar yang dirancang untuk dilaksanakan dalam bulan Januari lalu, tidak banyak kemajuan yang diperlihatkan baik oleh mana-mana pihak sebagai penyelesaian secara tuntas isu pelarian Rohingya yang kian berpanjangan itu.
Malah, kita merasa sedih
dengan adanya laporan yang menyebutkan tentera rejim Myanmar, secara
berterusan, melaksanakan tekanan dan kekerasan ke atas saki baki penduduk Islam
Rohingya yang masih berada di Myanmar.
Kita juga menaruh curiga
terhadap kesediaan kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan masalah yang ada
bilamana Misi Pencarian Fakta, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dinafikan
pergerakan mereka ke kawasan-kawasan tinjauan, khususnya di wilayah Rakhine di
mana pembunuhan bagi tujuan pembersihan etnik dikatakan berlaku.
Malah, kita amat kecewa
dengan adanya tindakan di pihak berkuasa kerajaan Myanmar yang dikatakan cuba
menghapuskan bukti pembersihan etnik Rohingya itu dengan meratakan kampung
halaman milik penduduk Rohingya untuk dibangunkan sebagai kawasan industri
manakala sebahagian yang lain untuk dibangunkan sebagai kawasan penempatan
tentera.
Di tengah-tengah adanya
keadaan di mana pelarian Rohingya kelihatan tidak lagi mempunyai harapan untuk
kembali dengan selamat ke tanah air mereka, wujud laporan bahawa keadaan di
kem-kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh kini semakin memburuk
dengan suasana kotor dan bersesak-sesak berlaku di mana-mana. Dan paling
membimbangkan, mereka dikatakan kini menghadapi risiko terdedah kepada ancaman
tanah runtuh serta banjir yang berkemungkinan berlaku berikutan hadirnya musim
hujan monsun seawal bulan April ini.
Lembah yang curam di seluruh
kem pelarian Rohingya yang besar adalah faktor utama yang mencetuskan kebimbangan.
Tanah yang kini membentuk kawasan penempatan itu sebelum ini adalah merupakan hutan
rizab Bangladesh yang kini dipugar dan diratakan, meninggalkan lumpur yang dipadatkan serta struktur tanah
yang longgar dan lemah untuk bertahan dengan cuaca di musim monsun yang
lazimnya akan turut disertai dengan angin taufan yang kencang.
Apa yang turut dibimbangi
juga ialah keadaan rumah-rumah sementara di kem pelarian yang kebanyakannya
diperbuat daripada plastik dan buluh, ianya tidak akan dapat bertahan sekiranya
kawasan tersebut dilanda taufan dan angin kencang yang menjadi fenomena biasa
di negara Bangladesh yang sering dilanda banjir dan kemusnahan pada mana-mana
jua musim monsun yang tiba.
Dalam pada itu, satu
penilaian yang dijalankan oleh Universiti Dhaka dan Pesuruhjaya Tinggi PBB
untuk Pelarian, agensi pelarian PBB, menganggarkan kemungkinan
sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kawasan penempatan boleh terancam
dengan banjir dengan lebih daripada 85,000 pelarian berisiko kehilangan tempat
perlindungan mereka. Sementara itu, lebih 23,000 pelarian yang tinggal di kawasan
cerun yang curam pula dibimbangi boleh terdedah kepada bahaya tanah gelongsor
berikutan struktur tanah di situ yang curam dan lemah.
Catatan bencana paling
buruk di Bangladesh pernah merekodkan kematian sehingga 500,000 jiwa rakyat
Bangladesh pada musim monsun yang memusnahkan dalam tahun 1970. Kini, bayangan
kemusnahan yang serupa mula berada di depan mata berikutan wujudnya kem
pelarian Rohingya yang begitu padat dan dibangunkan secara tergesa-gesa lagi
tidak sempurna itu.
Sebagai agensi bantuan yang
diberikan tanggung jawab untuk mengurangkan risiko monsun, Agensi Pelarian PBB
bagi Bangladesh kini dikatakan turut menghadapi masalah lain. Sheikh Hasina, Perdana
Menteri Bangladesh, telah menghadapi kritikan besar kerana membenarkan lebih 600,000
pelarian ke selatan Bangladesh tahun lepas, dan Rohingya tidak pula diberikan
status rasmi sebagai pelarian.
Dengan pilihan raya umum
yang akan berlangsung di Bangladesh pada akhir tahun ini, kerajaan mempertahankan
bahawa kem itu bukanlah penempatan tetap
bagi mangsa pelarian, sebaliknya adalah merupakan penempatan sementara sebelum
mereka dihantar pulang ke negara asal mereka, Myanmar.
Justeru itulah pembinaan
prasarana di kawasan penempatan berkenaan ditegah daripada dibuat secara jangka
panjang. Pada tahap ini beberapa jalan telah dibangunkan menggunakan batu-bata,
sementara longkang konkrit telah dibina bagi memastikan laluan air tidak
tersangkut sehingga boleh memudahkan kawasan rendah dinaiki air.
Di beberapa kawasan rendah
itu juga, pembinaan jambatan buluh telah diusahakan dengan tebing yang curam
cuba ditampung menggunakan beg-beg pasir bagi mengelakkan berlakunya
kegelongsoran tanah.
Cuma dalam kesungguhan di
pihak Bangladesh untuk membantu pelarian Rohingya itu, kita agak terkilan
dengan adanya laporan bahawa kanak-kanak Rohingya dilarang belajar bahasa
Bengali bagi memastikan mereka tidak akan dapat mengintegrasikan diri dengan
orang tempatan. Ini bermakna, kerajaan Bangladesh tidak bersedia untuk menerima
pelarian Rohingya untuk kekal berada di negara itu, jauh sekali untuk diberikan
taraf kewarganegaraan Bangladesh.
Bayangkan, sekiranya
kemelut Rohingya ini berterusan beberapa bulan, malah mungkin juga beberapa
tahun lagi, apakah agaknya nasib yang bakal dilalui oleh pelarian Rohingya itu,
lebih-lebih lagi kalangan anak-anak dan generasi muda mereka.
Seperkara lagi yang agak
membimbangkan kita, kem penempatan Rohingya itu tidaklah seperti kebanyakan kem
pelarian di dunia yang dibina dengan kemas dan terkawal, kem pelarian Rohingya
tidak berpagar, berada di kawasan pedalaman dan di kelilingi sekitarnya dengan
kawasan hutan yang menjadi kediaman gajah-gajah liar.
Kebelakangan ini pula,
wujud laporan adanya aktiviti pemerdagangan orang yang cuba mengutip
kanak-kanak dari kem ini untuk dibawa keluar. Keadaan ini telah menimbulkan
rasa takut dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
Terbaru, kita merasa
sedikit curiga dengan adanya maklumat pelarian Rohingya ini berkemungkinan
besar akan dipindahkan ke sebuah pulau berlumpur di Teluk Bengal sebagai
langkah untuk mengurangkan kesesakan di dalam kem yang sedia ada. Sukar bagi
kita untuk membayangkan bagaimana agaknya keadaan hidup mereka di pulau
tersebut nanti memandangkan kemudahan infrastrukur di pulau tersebut yang
sangat terhad. Kita juga mengesyaki pemindahan tersebut, jika dilakukan, lebih
bertujuan untuk mengawal pelarian Rohingya itu daripada mengasimilasikan diri
dengan penduduk tempatan selain akan memudahkan pihak berkuasa Bangladesh untuk
mengawal pergerakan mereka.
Kesemua ini menuntut kita,
saudara seagama, untuk sama-sama merasai keperitan yang ditanggung oleh
pelarian Islam Rohingya yang mana nasib serta masa depan mereka sehingga saat
ini, tidak menampakkan sinar yang menyakinkan. Justeru itu, kita mengharapkan
agar pihak yang dekat dengan Myanmar dan Rohingya, khususnya
pertubuhan-pertubuhan seperti ASEAN dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)
untuk meningkatkan lagi komitmen bagi menyelesaikan segera isu Rohingya yang
kian berlarutan ini agar mereka juga mampu hidup sepertimana umat Islam di
negara lain juga.
Wallahu a’alam (MMO).
Wallahu a’alam (MMO).
*******
No comments:
Post a Comment