Wednesday, January 3, 2018

Petikan Buku Kecil, “Transkrip Temu Bual Dr. Pramudya Ardanta Taufik dan Pramoedya Ananta Toer Bersama A.M. Azahari Mahmud, Ketua Umum Parti Rakyat Brunei (PRB): Satu Pencerahan”: Bhg 11 - 16 (Akhir)



BAHAGIAN 11

Surat Dari Kiram Corporation

PAT: Jadi tadi ceritanya, rencana itu untuk perundingan (ke PBB), belum sempat perundingan sudah ada utusan mengatakan berontak?

AMAZ: Ya, saya kan mahu berangkat ke PBB, kan saya balik dulu ke Johor menghantar isteri saya. Dari Johor saya mahu ke Filipina, dengan rombongan langsung ke Amerika. Rencana waktu itu...terjadilah hal begitu.

AMAZ: Sempat juga saya mengirim surat. Iaitu surat dari Kiram Corporation yang ditujukan kepada Seri Paduka Baginda.

AMAZ: Di dalam surat Kiram Corporation mengatakan bahawasanya saya sudah mengadakan perundingan dengan […….] Filipina…

PAT: Yang isinya kira-kira?

AMAZ: Menyatakan begini, “Your Majesty, Mr. Azahari from the chairman of the People's Party Brunei visited us...dan kami berunding. Maka dari kami akan mencabut hak kementerian luar negeri Filipina daripada mengklaim Sabah, apabila Brunei, Sarawak dan Sabah menjadi satu dan merdeka di bawah kerajaan Seri Paduka Baginda.”[1]

AMAZ: Saya kirim (surat dari Nicasio Osmena) supaya Bung Hapidz Laksamana menghantar surat itu ke istana. Bukan saya langsung, saya titipkan kawan yang balik dari Filipina waktu itu ke Brunei.

AMAZ: Rupanya menurut cerita yang saya dengar waktu Hapidz Laksamana ini mahu berangkat ke istana, dia sendiri juga tidak tahu akan ada pemberontakan. Dia juga tidak tahu.

AMAZ: Jadi waktu dia mahu pergi ke istana (mengadap Sultan), terjadi pemberontakan. Disangka dia ini mahu menculik baginda. Padahal menurut pengetahuan saya bukan mahu menculik baginda. Sehingga dia ditangkap dan dijaga oleh Gurkha katanya. Sehingga dia ketakutan, sebetul dia kena trauma.

AMAZ: Sebetulnya saya sudah bisa (selesaikan) soal claim Filipina atas Sabah itu.

PAT: Kemudian yang surat yang dibawa oleh Hapidz Laksamana nggak jadi diserahkan?

AMAZ: Saya nggak tahu sampai sekarang.


BAHAGIAN 12

Matlamat Perjuangan

AMAZ: Jadi kita punya cita-cita, perjuangan kita itu untuk kedaulatan takhta kerajaan Brunei (mengembalikan wilayah kesultanan Brunei). Bukan memberontak terhadap baginda (jalur sudah terbentang luas). Tidak ada niat kita sedikit pun.

AMAZ: Di sinilah timbul salah sangka, adalah orang-orang yang mengeksploitir kerana beraniaya anti saya. Jadi dia eksploitirlah saya pengkhianat lah...

PAT: Maaf Pak Azahari ya. Kalau misalnya lihat dari segi orang yang tidak senang, iaitu orang yang kira-kira mengeksploitir keadaan, dengan adanya satu kesatuan negara Kalimantan Utara itu tentunya yang diharapkan akan menghapus kerajaan sehingga terjadinya suatu negara yang bukan kerajaan yang pimpin...

AMAZ: Nggak ada itu...justeru kan saya ceritakan, saya kan minta kepada Tunku supaya Sarawak, Sabah, Brunei menjadi satu dan mengangkat Seri Paduka Baginda Sultan Brunei menjadi raja di Kalimantan Utara. Dan kedua, saya perjuangkan di Filipina, (supaya Filipina menguggurkan tuntutan ke atas Sabah) itu kan ada surat itu...nanti dokumennya bisa dicari. Ertinya saya perjuangkan takhta, bukan ada tujuan khianat kepada raja atau kepada kerajaan. Berjuang untuk kepentingan takhta kerajaan dan untuk kepentingan rakyat.

PAT: Sekarang siapa yang membuat tafsiran bahawa Pak Azahari itu sebagai pengkhianat?

AMAZ: Saya tidak tahu. Saya tidak tahu…

PAT: Adanya pemberontakan tersebut yang bapak pimpin sehingga bapak dianggap suatu...

AMAZ: Saya tidak memimpin pemberontakan. Saya malah tidak mahu adanya pemberontakan...tidak mahu sama sekali pemberontakan. Saya tidak mahu berontak. Buat apa berontak pak? Fikir saja, parlimen (MMN) sudah kita kuasai. Kedudukan kita di PBB sudah (diundang untuk bentang petition)… Buat apa saya berontak? Bukan saya orang gila.

PAT: Kerana tadi kan adiknya Pak Azahari (membawa perutusan Dewan General TNKU)…

AMAZ: Nggak itu, kerana (BrigJen Sheikh Othman Mahmud) diperintah oleh sidang, satu konsul katanya, konsul pemberontakan itu (Dewan General/Panitia Perang TNKU). Mereka-mereka itulah yang sebetulnya yang bertanggungjawab soal rencana pemberontakan, bukan saya. Saya nggak ikut dalam konsul itu.[2]

PAT: Kerana bapak ada di Johor ya.

AMAZ: Ya, ke Johor.

PAT: Dengan rencana mahu ke PBB untuk...

AMAZ: Untuk mengemukakan (petition), untuk menentang Malaysia, (supaya) […….] Malaysia itu jangan jadi. Kalau rencana pemberontakan, saya nggak tahu sama sekali pak.

PAT: Siapa dulu yang mengesahkan bahawa di dalam sidang itu mereka memberontak?

AMAZ: Banyak (majoriti).

PAT: Sebab kan di dalam Partai Rakyat ertinya di antara Partai Rakyat Brunei, kalau di dalam sidang itu menyetujui?

AMAZ: Saya tidak tahu pak.[3]

AMAZ: Saya tidak tahu siapa-siapa, saya tidak tahu siapa-siapa...dalam sidang itu saya tidak hadir. Kalau saya hadir, kalau dia orang bilang begitu, bisa boxing dengan saya dia orang... Saya tidak tahu...cuma yang dikasi tahu oleh adik saya begitulah.

PAT: Kalau di dalam sidang itu siapa yang bisa mengambil keputusan?

AMAZ: Kalau dalam sidang semua mesti mengambil keputusan.

PAT: Kan ada tiga partai, Partai Rakyat Brunei, kemudian dari Sabah, Sarawak. Kan mereka ini di dalam sidang memutuskan untuk...

AMAZ: Bukan partainya pak.[4] Orang-orangnya aja. Ini orang-orang yang anarsis...bukan partai. Partai Rakyat maka saya pimpin, tidak involve. Tapi orang-orang Partai Rakyat itu (ada) yang jahat...ada beberapa orang mereka saya tidak tahu (pimpinan di peringkat Daerah). Sebab saya tidak hadir. Kalau saya tahu, berkelahi saya. Saya tidak akan izinkan, pekerjaan gila pemberontakan itu. Hanya orang-orang gila, bukan orang-orang waras. Orang tinggal waktu saja (sejengkal sahaja lagi) kita duduk dalam pemerintahan. Kan kerja bodoh itu pak? Mana saya bisa setujui.

AMAZ: Cuma sebagai pemimpin, mahu tidak mahu saya (mengambil tanggung jawab).

AMAZ: Dan inilah dia dalam buku, ada kan buku[5] dikarang oleh Poulgrain, Greg Poulgrain.[6] Ada dalam buku itu kan. Bahawasanya dia (Greg Poulgrain), mengatakan pada saya, dia menginterview iaitu anggota inteligen British, MI5 MI6. Dan mereka waktu itu sudah minum-minum kata Poulgrain. Mereka bertepuk-tepuk dada, “kamilah katanya yang responsible, what happened in Brunei. Kerana kami harus menghancurkan Azahari dari politik.”[7] Itu kan dikatakan oleh Poulgrain, boleh tanya lagi sama Poulgrain.


BAHAGIAN 13

Kisah Yang Tidak Terungkap

PAT: Itu sebenarnya, apa yang bapak ceritakan itu, pernah nggak diungkapkan pihak kerajaan selama ini?

AMAZ: Tentang apa?

PAT: Tentang jalannya peristiwa bapak ketemu dengan Seri Paduka Baginda, pada waktu ketemu dengan Tunku Abdul Rahman? Pernah bapak ceritakan? (selain mereka yang hadir bersama dalam pertemuan-pertemuan)

AMAZ: Nggak, (dengan sultan) kita itu bicara cuma empat mata.

PAT: Selama ini belum pernah ada (dengan elit pemerintah)...

AMAZ: Nggak ada...habis bagaimana, hubungan sama siapa? Kan (mereka) takut nggak berani ketemu. Semua kan sekarang ini posisinya pak, semua itu takut. Kalau mahu ketemu saya atau berbicara dengan saya itu takut. (Semua takut kepada baginda, yang punya kedudukan takut dia dipecat).

AMAZ: Jadi hubungan saya dengan baginda ini putus total. Saya berkirim surat kepada baginda berapa kali, tapi nda ada respon.[8]
PAT: Terakhir waktu bapak minggat[9] dari Brunei itu, tahun berapa pak?

AMAZ: Saya tidak minggat. Dari Brunei saya ke Filipina dengan pasport British (British Protected Person Of Brunei sama dengan status Sultan).

PAT: Yang pada waktu mahu ke PBB itu?

PAT:Setelah itu bapak nggak pulang lagi ke Brunei?

AMAZ: Nggak…

AMAZ: Jadi saya waktu di Filipina, kan saya nda ada duit. Terumbang-ambing kan saya. Siapa yang bantu saya? Kecuali dari Indonesia melalui duta besarnya yang di Filipina.

PAT: Waktu itu siapa duta besar?

AMAZ: Datuk Pamuncak.[10] Nah itulah yang membantu saya, setiap bulan beberapa ribu pesos. Ya untuk penghidupan...

PAT: Kemudian setelah dari Filipina?

AMAZ: Saya diminta supaya...saya datang ke Indonesia.

PAT: Oleh siapa minta?

AMAZ: Dari Indonesia, dari Bung Karno, dari Bandrio. Saya datang ke Indonesia. (naik pesawat) special plane itu saya datang ke Indonesia.

PAT: Sampai saat itu belum pernah kembali lagi (ke Brunei)?
AMAZ: Belum. Bagaimana saya balik?

PAT: Jadi dari tahun 19…?

AMAZ: 63 awal.


BAHAGIAN 14

Tiada Yang Hendak Dikesalkan

PAT: Saya kira cukup pak, nanti mungkin yang akan datang dengan Pak Pram […….] mungkin kisahnya bapak, perjuangan bapak dari semasa muda bapak sampai bisa datang ke Indonesia.

AMAZ: Ya kapan pun boleh. Habis kita tidak ada lain yang bisa kita tinggalkan pak, kecuali sejarah.

PAT: Sejarah, betul. Dan saya bilang juga...bangsa yang besar adalah bangsa yang menghargai jasa-jasa pahlawan. Saya sitir-sitir ucapan Bung Karno.

AMAZ: Ya tapi...saya sendiri terus terang juga kadang-kadang payah. Cuma saya tidak menyesal apa yang sudah berlalu, saya tidak menyesal. Yang sangat saya sesalkan masa saya tua. Saya harus menghadapi bermacam-macam problem, menghadapi bermacam-macam fitnah, menghadapi bermacam-macam sekali provokasi, menghadapi bermacam-macam sekali penghinaan, tuduhan. Itu yang saya sangat sesalkan. Yang itu datangnya dari bangsa, negara yang saya ikut memperjuangkan kemerdekaannya. Sudah mereka menikmati kemerdekaan itu, malah bukan dia orang mengatakan terima kasih, tetapi malah menganggap saya pengkhianat. Saya tidak tahu apa yang saya khianati, kecuali itulah saya katakan kesalahan saya yang paling besar dalam soal Brunei ini ialah kerana saya penuh semangat memperjuangkan kemerdekaan Brunei itu. Itulah salah satu kesalahan saya.

PAT: Satu kesalahan?

AMAZ: Kesalahan. Sebab saya tidak mengerti sebetulnya bagaimana mentalitas orang Brunei ini? Saya tidak mengerti mentaliti daripada Seri Paduka Baginda. Itu yang saya menyesal. Kenapa saya tidak lebih dulu tahu itu? Padahal saya akan diberi pangkat setinggi-tingginya oleh British. Saya diminta, “apa position you need Mr. Azahari? And how much money you want?

PAT: Bagaimana bisa tahu...mungkin Seri Paduka Baginda tidak tahu persis, kerana beliau kan pada waktu itu masih kecil.

AMAZ: Umur 15 - 16 tahun.

PAT: Ya, bererti belum terfikir dalam segi politik.

AMAZ: Ya, tapi kan sekarang ini kan sudah tahu.

PAT: Mungkin dari pihak yang tidak mengetahui, memberi hal-hal yang bertentangan dengan apa yang sebenarnya.

AMAZ: Ya, mungkin itu. Cuma yang saya kadang-kadang terfikirkan, di mana sumber kesalahan ini? Itu (adakah) sumber saya. Tapi sumber kesalahan ini di mana? Kan ada sumbernya...saya tidak tahu sampai sekarang ini itu persoalannya...

AMAZ: Ya, kan British Inteligen mengakui mereka yang bertanggungjawab what happened in Brunei. Dan Seri Paduka Baginda...TV, di TV Indonesia saya ikuti, pernah bertitah. Begini (maksud) titah baginda, “Sebenarnya apa yang terjadi tahun 62, rakyat beta bukan menentang kerajaan beta. Tetapi rakyat beta tidak menginginkan kerajaan beta bergabung dengan Malaysia.” Jelas baginda punya titah. “Dan rakyat beta menginginkan kerajaan beta yang sebagaimana yang ada sekarang ini.”

AMAZ: Itu titah, ertinya baginda mengerti. Saya ikuti itu waktu baginda bertitah.

AMAZ: Kedua, waktu baginda balik ke Jakarta sesudah sidang APEC[11], baginda di atas, ini helikopter berputar-putar mungkin ada lima kali. Di atas rumah ini. Rupanya baginda mahu tahu...itu waktu baginda ada itu...di helikopter, saya tahu. Sebab ada orang baginda yang ikut waktu itu rombongan bagitahu bahawasanya baginda betul ada. Ada lima kali putar-putar.


BAHAGIAN 15

Tuduhan Komunis

PAT: Apa mungkin bapak dicop sebagai komunis, itu di mana tu asalnya bisa ada orang mengcop?

AMAZ: Sebab begini pak. Sekarang (sebelum Gestapo PKI) Indonesia sendiri ini begitu dekat dengan komunis. Kan tadi saya katakan soal politik. Kan saya pernah diundang ke Tiongkok waktu sedang perjuangan. Saya pergi ke Tiongkok ketemu dengan Zhou Enlai[12] pada pertengahan tahun 1966, itu gambarnya itu berjabat salam dengan saya itu, dengan Mao Zedong[13], malah berpelukan dengan Mao Zedong. Dengan Ching-ling[14] wakil presidennya, kan Ching-ling itu adik beradik dengan isterinya Chiang Kai-shek. Ya saya ketemu dengan Madam Ching-ling, ya berpeluk cium, sudah tua. Dengan Perdana Menteri Zhou Enlai itu jabat salam, saya diundang makan siang.
AMAZ: Sebab itu orang fikir saya itu orang komunis. Ini kebodohan manusia.[15] Kalau besok saya berdekatan (pergi) ke Vatican, apa saya itu orang katolik? Dan dulu itu begitu (ketika perang dingin semudahnya seseorang dikaitkan sama ada dengan blok komunis atau blok imperialis/kolonialis)...tapi sekarang kan apa, Pak Harto (ada hubungan dengan negara-negara) […….] komunis?

AMAZ: Dalam perjuangan (pembebasan Palestin) itu, macam Yasser Arafat, apa dia komunis? Dan macam sekarang Prince Sihanouk, waktu Prince Sihanouk berada di Peking saya berada di Peking. Waktu ketemu Mao Zedong, itu Prince Sihanouk juga ada. Apa Prince Sihanouk komunis? Sampai Amerika salah sangka memerintahkan […….] mengcoup (pemerintahan Prince Sihanouk) […….]

AMAZ: Jadi soal politik itu (politik kolonialisme mengaitkan sesiapa saja yang anti penjajah sebagai komunis)...ya sama waktu di London itu (akhir September 1957) sampai Alan Lennox Boyd[16] minta maaf sama saya. Waktu dalam perundingan itu dia berkata bahawasanya Partai Rakyat ini seakan-akan mengikuti langkah-langkah komunis. Dan saya bilang, Your Right Honourable, saya mahu tanya Your Right Honourable, apakah cuma kaum komunis ini pahlawan-pahlawan nasional? Pejuang-pejuang bangsa? Apa cuma hanya kaum komunis sajakah orang-orang yang patriot? Saya tanya kepada Alan Lennox Boyd. Dia langsung minta maaf, “I hope you will accept my apology, Mr. Azahari.”

AMAZ: Dan akhirnya… waktu ditanya oleh pemerintah Filipina, waktu saya di Filipina…kan saya juga dicop komunis! Pemerintah Filipina bingung, apa betul saya ini orang komunis? Kan Filipina ini paling anti komunis.

PAT: Mungkin… Ya…, kalau menurut saya, mungkin dulu kan Indonesia kan komunisnya banyak di sini. Ertinya mayoritas kekuatan organisasi politik itu komunis dulu di Indonesia. Waktu membantu bapak, perjuangan Kalimantan Utara, tu kan banyak pihak sukarelawan.

AMAZ: Saya tidak tahu itu pak (tujuan sukarelawan itu benar-benar membantu NKKU atau kelangsungan agenda politik konfrontasi).

AMAZ: Saya tidak tahu sama sekali. Itu semua siapa yang mengorganisasi (sukarelawan) saya tidak tahu. Tidak tahu sama sekali.[17]

PAT: Ya mungkin, saya fikir […….]

AMAZ: Ya, tapi kan kita dalam hal begini, dalam soal politik itu saya katakan komplikasinya politik. Kalau seorang itu dibenci sama dengan satu orang marah kepada seekor anjing, dia tembak itu anjing. Kalau ditanya orang kenapa tuan tembak anjing itu? Sebab anjing ini rabies. Itu saja, sudah selesai. Begitulah manusia, mentalitas manusia. Dengan mudah saja menuduh orang, menyangka orang (sebagai komunis), yang bisa membawa akibat yang tidak baik buat saya.


BAHAGIAN 16

Kezaliman, Kemelaratan dan Penderitaan Rakyat lebih ditakuti daripada Komunis

AMAZ: Saya sebenarnya pak, di dalam pendapat saya tidak perlu manusia ini takut kepada komunis. Kalau saya, tidak pernah mahu takut sama komunis. Tidak.

AMAZ: Yang saya takuti ni apa pak, kezaliman, kemelaratan, penderitaan rakyat. Jadi kalau sebuah negara itu adil pak, dan ekonomi rakyat itu betul-betul adanya social justice. Saya fikir komunis itu biar dia berkauk-kauk…, nggak kan laku.

AMAZ: Macam di London, saya juga bingung. Di London pun ada komunis, parti komunis, ada. Di Amerika itu ada parti komunis pak. Tapi nggak bisa berputik, kenapa? Kerana mereka punya status sosial sudah tinggi. Jadi kalau kita di sini, di mana letak kesalahan kita juga tidak tahu.

AMAZ:Jadi kalau saya itu mahu menjadi seorang komunis, itu sulit sekali pak. Kalau mahu berkawan dengan komunis, itu biasa aja.

AMAZ: Saya punya...soal kedua soal Das Kapital, saya paling senang baca...buku Karl Marx. Das Kapital nya… itu di otak saya semua itu pak.

PAT: Walaupun kita baca bukan berertinya kita (komunis)...

AMAZ: Kita matured... Tapi bapak tahu dalam sabda Muhammad al-Amin, sebelum nabi Muhammad menjadi Rasulullah. Waktu Muhammad menjadi pedagang, dia bersabda begini, “Tiap-tiap pedagang sebaik-baiknya, membeli semahal-mahalnya, menjual semurah-murahnya.” Orang bingung...tapi saya analisa. Cuba, beli semahal-mahalnya, jual semurah-murahnya.

PAT: Terbalik ya...

AMAZ: Cuba bapak sekarang analisa itu apa maksudnya? Itu sebabnya Rasulullah memberi nama Makkah al-Mukarramah. Sudah itu mendirikan Madinah al-Munawwarah. Kan ertinya mukarramah itu social justice, Makkah al-Mukarramah ertinya social justice. Keadilan sosial. Kalau sudah ada social justice, maka adanya munawwarah, adanya keamanan dan kedamaian.

AMAZ: Siapa saja, negara mana saja, pemerintah mana saja di dunia ini yang melanggar social justice, tidak akan menemui keamanan dan kedamaian.

AMAZ: Itukan sudah 1,500 tahun. Dan sekarang ini kita lihat...

PAT: …membeli semahal-mahalnya, menjual semurah-murahnya....

AMAZ: Ya, itukan sekarang proses perindustrian. Ertinya industrialis bukan dilarang untuk mencari keuntungan, tetapi berikanlah kesejahteraan kepada buruhnya. Kalau buruh sudah diberi kesejahteraannya, ertinya akan melahirkan keamanan dan kedamaian.

AMAZ: Kan begitu mudah tu pak. Cuba kalau sekarang kan, industrialis kita ini, bukan industrialis kita saja, dunia..., jadi adanya exploitation de l'homme par l'homme[18]. Jadi kalau saya punya pendapat, yang penting itu ialah rasa cinta kasih sebagaimana Rasulullah, sebagaimana nabi Isa alaihis salam, dan cinta kasih ini yang tidak ada.


------------------------------------------



[1] Surat daripada Kiram Corporation bertarikh 28 November 1962 yang ditujukan kepada Sultan Omar Ali Saifuddien: “Your Highness: Confirming our conversations with Mr. A.M. Azahari, Chairman of the Party Rakyat, I wish to state that as Legal Adviser to the heirs of Jamalul Kiram, former Sultan of Sulu and as controlling stock-holder of the Kiram Corporation who is the assignee of all the rights and interests of the heirs of the former Sultan of Sulu, I want to express my conformity to surrender the rights and interests of the said heirs of the former Sultan of Sulu to certain portions of British North Borneo which was the subject of a contract between the Sultanate of Sulu and the North Borneo Company, at present represented by the British Government, as successor in interest to the North Borneo Company, in favor of the Sultanate of Brunei in accordance with the expressed principles of the Party Rakyat, Brunei, Kalimantan Utara. The terms and conditions under which the transfer of rights wil be carried out shall be determined upon mutual understanding and agreement. With renewed assurances of our cooperation for the establishment of a unified independent Kalimantan Utara under the sovereignty of Your Highness - Signed, Nicasio Osmena, President, Kiram Corporation.

[2] Dewan General, disebut juga sebagai Panitia Perang diketuai oleh Yasin Affandy (tanpa penglibatan A.M Azahari).
[3] TNKU/Dewan General atau Panitia Perang suatu entiti berasingan dengan PRB.
[4] (i) Dalam struktur penubuhan TNKU: Di peringkat pusat, adalah Panitia Penubuhan TNKU diketuai A.M. Azahari, sementara Yasin Affandy Wakil Ketua. Di peringkat daerah, ditubuhkan pula Panitia Penubuhan TNKU Peringkat Daerah. (ii) Menjelang pemberontakan 8 Disember 1962, Panitia Penubuhan TNKU di peringkat pusat berubah menjadi Dewan General atau Panitia Perang diketuai Yasin Affandy (tanpa A.M. Azahari) dan Panitia Penubuhan TNKU di peringkat Daerah berubah menjadi Komando Daerah (KODAM), dianggotai Panglima Daerah dan komiti pimpinannya. (iii) Perubahan mendadak struktur dan objektif TNKU di peringkat pusat dan daerah terjadi berikutan desakan sidang KODAM pada malam 25 November 1962 supaya TNKU segera melancarkan pemberontakan atas beberapa alasan, antaranya pemerintah Inggeris di Brunei sudah mengetahui kewujudan TNKU berikut terjumpanya padang kawad dan uniform TNKU oleh Polis Cawangan Khas Sabah di Sipitang pada 12 November 1962. Pada 22 November 1962 pihak Polis Cawangan Khas Brunei pula menjumpai padang kawad di Temburong, dan pada 25 November 1962 tertangkapnya 10 anggota TNKU di Sundar, Sarawak termasuk Panglima KODAM Sdra. Sabli Damit dan Sdra. Daud Daim. Urutan peristiwa tersebut tersebarlah maklumat bahawa pimpinan PRB/TNKU akan ditangkap beramai-ramai justeru mendorong diadakan sidang tergempar KODAM yang mengambil ketetapan mahu melancarkan pemberontakan sebelum tangkapan beramai-rami oleh pihak polis. (iv) Desakan dan ugutan sidang KODAM inilah yang disampaikan kepada Dewan General, yang kemudiannya mengutus BrigJen Sheikh Othman Mahmud menemui A.M. Azahari di Johor pada 5 Disember 1962 untuk memaksa A.M. Azahari merestui pemberontakan yang akan dilancarkan. (v) KODAM Brunei/Muara dari zon Kampong Ayer yang kuat mendesak supaya dilancarkan pemberontakan, malah ada yang menyampaikan ugutan jika A.M. Azahari enggan merestui pemberontakan yang bakal dilancarkan nama A.M. Azahari akan dicatat dengan darah sebagai pengkhianat dan seluruh keluarganya akan dibunuh.
[5] Poulgrain, G. (1998), The Genesis of Konfrontasi: Malaysia Brunei Indonesia 1945-1965, London: C, Hurst & Co. Ltd.
[6] Dr Greg Poulgrain merupakan pensyarah di University of the Sunshine Coast, Brisbane, Australia. Beliau telah mengajar dalam bidang sejarah Asia Tenggara/Indonesia di beberapa universiti Australia sejak 1993. Pada 1984, beliau berkhidmat sebagai konsultan Indonesia berpusat di London dan bertanggungjawab menyediakan laporan mengenai Indonesia bagi persidangan PBB di Geneva. Selain itu beliau juga telah menghasilkan dua buah buku dan pelbagai artikel berkenaan sejarah dan politik Indonesia.
[7] Individu utama yang terlibat adalah Roy Henry (Ketua Cawangan Khas bagi Brunei dan Sarawak) dan Hector Hales (Pengarah Urusan syarikat minyak di Brunei dan Sarawak, British Malayan Petroleum). Roy Henry dalam temubualnya dengan Poulgrain mengakui peranan beliau dalam mencetuskan pemberontakan di Brunei. A.M. Azahari menganggap pemberontakan yang terjadi berpunca daripada provokasi British yang berazam mengekalkan pengaruh di Brunei. Teori ini disokong oleh dokumen-dokumen di arkib Public Record Office yang menyatakan sejak awal 1957 Pejabat Tanah Jajahan telah merancang untuk memusnahkan politik Azahari melalui komplot pemberontakan di Brunei yang akan menjurus kepada kemasukan tentera British, sekaligus menyelesaikan kemelut politik di negeri Brunei. Petikan daripada buku Poulgrain: (i) “The historical role of Sukarno as the initiator of confrontation should be revised in the light of new evidence, such as that of former head of Sarawak Special Branch, who admitted a direct hand in starting the Brunei Revolt. Documentary evidence from the Public Records Office in London supports the theory that Britain employed two guiding principles in the postwar process of decolonisation of South-East Asia: One, that the new political leaders who assumed the reins of power when the Colonial Office departed should be known to be amenable to continue British investment; and the other, that the political environment envisaged by the British as best suited to such regional development did NOT include Sukarno as leader of neighbouring Indonesia.” ms 6; dan (ii) “As early as August 1957, the Colonial Office adopted a plan to eliminate Azahari politically. This covert and reprehensible operation was, to an extraordinary degree, influenced by 'Hector' Hales, the managing director of the oil company in Brunei and Sarawak, British Malayan Petroleum (BMP). Hales, who ran a separate intelligence network, demonstrated that his authority was superior even to that of the Governor of Sarawak. Ultimately, having penetrated Azahari's political party, the People's Party of Brunei, even to the level of the executive, the upper echelons of British Intelligence, together with a few Colonial Office representatives, hatched a scheme for a rebellion in Brunei that would spill into Sarawak.” ms 8.
[8] (i) Pada tahun 1999, ketika A.M. Azahari sedang sakit, beliau meminta Sdra. Mahmud Morshidi Othman memanjangkan hasratnya kepada Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah mohon kebenaran untuk kembali ke Brunei. (ii) Sdra. Mahmud Morshidi Othman menyembahkan surat kepada Sultan Haji Hassanal Bolkiah, bertarikh 31 Disember 1999 antara lain: “...Adapun hajat tersurat hamba Kebawah Duli Tuan Patek ialah untuk menyembahkan amanah bapa saudara hamba Kebawah Duli, iaitu Tuan Sheikh A.M. Azahari bin Sheikh Mahmud (Pak Azahari), yang kini sedang uzur dan masih berada di Bogor, Indonesia yang meminta hamba Kebawah Duli agar menyembahkan kehadapan majlis Kebawah Duli akan hasrat beliau untuk merayu, memohon perkenan dan izin Kebawah Duli untuk kembali ke tanah air sebagai seorang rakyat Negara Brunei Darussalam”. “...Hamba Kebawah Duli Tuan Patek telah difahamkam oleh keluarga Pak Azahari bahawa ini bukanlah kali pertama beliau melahirkan hasrat untuk kembali ke Brunei. Walau bagaimanapun. Pak Azahari dan keluarganya masih tidak putus asa untuk terus merayu, dan memohon ehsan Kebawah Duli agar kiranya dapat menimbangkan hasrat beliau dan seluruh ahli keluarganya untuk kembali ke Brunei. Secara peribadi, izinkan hamba Kebawah Duli Tuan Patek melahirkan rasa dukacita dan simpati yang teramat sangat melihatkan tahap kesihatan Pak Azahari masakini dan hasrat berterusan beliau untuk kembali ke tanah air yang belum kesampaian. Dalam hal ini hamba Kebawah Duli sedar betapa undang-undang boleh menjadi alasan untuk menolak rayuan dan mengenepikan kes ini. Walau bagaimanapun, atas sifat Kebawah Duli sebagai Perdana Menteri serta Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Tuan Pateklah selayaknya tempat terakhir rujukan dan rayuan sekalian rakyat. Yang demikian, mudah-mudahan tidaklah menjadi kesalahan dan kemurkaan kepada Kebawah Duli bagi hamba Kebawah Duli bagi pihak Pak Azahari untuk memohon ‘syafaat’ Kebawah Duli Tuan Patek kiranya dapat mengangkat segala halangan yang wujud apatah lagi kes Pak Azahari ini adalah kes politik yang barang sudah tentunya tidak dapat diselesaikan melalui saluran perundangan atau peraturan imigresen.” (iii) Petikan daripada surat jawapan Pejabat Kebawah DYMM Sultan yang bertarikh 13 Mac 2000 ditandatangani oleh Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Paduka Haji Awang Mohd. Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd. Taha, Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia, Kebawah DYMM (Bil: HHPO 12/1964/XVIII): “...Pada menjunjung titah perintah Baginda selanjutnya, inilah dimaklumkan bahawa menurut maklumat hasil daripada penyiasatan dan penelitian tersebut, maka Jawatankuasa yang berkenaan tidak dapat mempertimbangkan rayuan Awang itu oleh kerana salah satu sebab penolakan itu dibuat ialah disebabkan bapa saudara Awang iaitu Sheikh A.M. Azahari bukannya rakyat Negara Brunei Darussalam.” (iv) Petikan daripada surat jawapan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bertarikh 28 Mac 2000: “...Saya seterusnya diarahkan untuk memaklumkan kepada Awang bahawa permohonan Awang supaya bapa saudara Awang itu dibenarkan balik ke Negara Brunei Darussalam adalah tidak dapat dipertimbangkan”, ditandatangani oleh Haji Abdul Rahman Haji Mohiddin, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (Ruj: 15/8/J/1). (v) Ironisnya A.M. Azahari memiliki pasport berstatus ‘British Protected Person Of Brunei’, sama dengan status pasport dimiliki Sultan ketika itu. Setiausaha Tanah-Tanah Jajahan British menerima rombongan merdeka PRB pada 26 dan 30 September 1957 dipimpin A.M. Azahari atas kedudukannya sebagai presiden PRB. Bagaimana pula British boleh menerima A.M. Azahari mewakili PRB kalau beliau bukan rakyat Brunei? Kalau pun A.M. Azahari dianggap sebagai seorang berbangsa Arab, apa pula bezanya dengan Sultan yang dikatakan punya salur galur berdarah Arab?
[9] Melarikan diri.
[10] Nazir Datuk Pamuncak, Duta Besar Republik Indonesia di Filipina.
[11] Sidang APEC ke-6, 15-16 November 1994, di Bogor.
[12] Zhou Enlai (1898-1976), Perdana Menteri pertama Republik Rakyat China, memegang jawatan tersebut dari 1949 hingga ke akhir hayat beliau.
[13] Mao Zedong (1893-1976), pemimpin revolusi komunis China, pengasas Repulik Rakyat China, dan seterusnya memimpin negara tersebut dari 1949 hingga ke akhir hayat beliau.
[14] Soong Ching-ling (1893-1981), isteri kedua Sun Yat-sen, pemimpin revolusi 1911 yang mengasaskan Republik China. Antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah Naib Presiden Republik Rakyat China (1959-1975).
[15] (i) Usaha A.M. Azahari menjalin hubungan dengan setiap pemimpin dan negara luar, atau mana-mana organisasi antarabangsa adalah semata-mata dalam kapasiti beliau sebagai pemimpin sebuah negara (dalam buangan). (ii) Tuduhan komunis yang berbangkit kerana hubungan beliau dengan negara China hanyalah andaian ‘separuh masak’ yang tidak mengambil kira senario politik antarabangsa dan konteks pada masa itu. Walaupun China tegar dengan fahaman komunisnya, adakah ini bermakna setiap hubungan dengannya wujud kerana persamaan ideologi? Sudah pasti tidak, kerana hubungan diplomatik bisa saja terjalin tanpa sebarang ikatan ideologi. Ia boleh dibina atas semangat setiakawan dan dasar kepentingan bersama, sama ada dari aspek ekonomi, keselamatan dan sebagainya. (iii) Perhatikan sahaja bagaimana semakin eratnya hubungan Brunei dengan China pada masa kini. Sebagai contoh, pelaburan langsung dari China melonjak daripada BND12.9 juta pada 2015 kepada BND116.1 juta pada tahun berikutnya. Dari sudut pertahanan pula, sejak 2007 lagi Brunei telah menghantar pegawai-pegawai Angkatan Tentera Diraja Brunei bagi menghadiri kursus ketenteraan di Akademi Pertahanan China, dan begitu juga sebaliknya, China turut menghantar pegawai-pegawai tenteranya berkursus di Brunei. Terkini, pengurusan Pelabuhan Muara, pelabuhan utama Brunei dikendalikan oleh syarikat dari China, dan Kompleks Kilang Penapisan Minyak Mentah dan Aromatics Cracker Hengyi Industries di Pulau Muara Besar merupakan antara pelaburan besar China yang bernilai USD3.445 bilion, di samping melibatkan penghantaran pelajar-pelajar UBD ke China sebagai persiapan tenaga kerja yang terlatih. Selain itu, pendirian pasif Brunei terhadap China dalam isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan (malah Brunei telah menggugugurkan tuntutan tersebut) merupakan sebuah lagi milestone dalam rentetan hubungan rapat Brunei-China. Justeru, adakah wajar untuk membuat spekulasi yang Brunei kini semakin terjebak dengan komunis atau sekurang-kurangnya menghampiri status client state kepada China? Bukankah sifir yang sama (andaian separuh masak) turut digunakan untuk memalitkan A.M. Azahari dengan tuduhan pro komunis?
[16] Alan Tindal Lennox-Boyd (1904-1983), Setiausaha Tanah Jajahan British (1954-1959).
[17] (i) Sejak awal lagi, bantuan yang dipohon oleh A.M. Azahari kepada Indonesia adalah daripada kerajaan Indonesia (ABRI). (ii) Di peringkat pemerintah Indonesia yang menyampaikan bantuan terhad kepada NKKU adalah Jeneral Ahmad Yani dan Jeneral Nasution, dua tokoh ABRI yang anti Komunis. Bagi pihak NKKU, yang menerima bantuan adalah Jeneral Ahmad Zaidi Adruce selaku Menteri Pertahanan NKKU.
[18] Penindasan manusia atas manusia.

 



No comments:

Post a Comment